TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, January 26, 2006

BLOOD PRESSURE!!!
Tekanan darah;
Bacaan Bawah: 85
Bacaan Atas : 140
(Sumber: Rekod Kesihatan Klinik Dr. Chandran, Cheras, Kuala Lumpur)
Nota:
1. Minyak makan- kurang 'makan '
2. Garam - kurang masin atau tak masin langsung
3. Daging - jangan makan
4. Selalu bersenam.. sekurang-kurangnya dapat melakukan pergerakan seperti di bawah. HEHE!

5. Banyakkan makan sayur rebus -

6. Ada sapa lagi nak tambah senarai larangan selain daripada list yg mama bagi di atas dua hari lepas????

Hacchuuu!!...

Aku ke klinik Dr. Chandran lewat malam rabu. Hanya ada pembantunya yang peramah. "Doktor out station", lembut dan sedikit resah melihat kehadiranku. Aku sudah dapat mengagak rambut panjangku mengundang waspada. Ya! Aku mengerti kerana matanya berbahasa begitu.
"Deman" katakku perlahan sambil mengeluarkan MyKad.
"Demam selesma...?" Suaranya berbunyi ragu.
"Hmmm..."
Sehabis urusan, setiba di rumah, aku hanya bercekak pinggang melihat beberapa paket ubat di atas meja. Aku menelitinya satu persatu.
"Ini ubat demam. Makan dua biji, tiga kali sehari selepas makan". Aku tersenyum mengenangkan wajah manis petugas di tempat aku menerima rawatan.
"Yang ini ubat antibiotik. Makan dua biji, dua kali sehari selepas makan. Kena habiskan walaupun encik dah sembuh". Aku membiarkan fikiranku bermain dengan suara merdu yang masih terngiang-ngiang di telinga.
Panadol dan ubat sakit tekak ku letakkan kembali di atas meja sambil sambil kepalaku mendongak menerima aura lingkaran yang mencubit-cubit rongga hidung bersedia sesuatu dengan segenap rasa yang tidak boleh dirungkai dengan kata-kata betapa terlalu seronok untuk melepaskannya dan ia tiba-tiba begitu MEMUNCAK!.
"AchuuuuUUU!!!!"
Air mata 'keasyikan' mengalir sejurus kuhabiskan 'dentuman' yang ke lima berturut-turut. Anehnya, tubuhku tidak menemui titik rasa yang dapat menyelesaikan fenomena asyik yang masih bergetar menghulur isyarat kemuncak seribu rasa ke seluruh mata urat jasadku. Huhu!.. asyik WA CAKAP LU... hehe.

Wednesday, January 25, 2006

Terlalu payah menyebut huruf 'R'

Ketika itu, umur saya baru mencecah 8 atau 9 tahun barangkali. Waktu itu bapa sering memarahi kami 3 adik beradik (saya, Nuar dan Kelem) kerana tidak tahu menyebut huruf 'R' dengan bunyi yang betul. Kalau perkataan merah, maka kami akan menyebut perkataan itu 'meyah', atau marah menjadi 'mayah'. Saya, Nuar dan kelem waktu itu, seingat saya persis budak kecil comot, baju yang terlalu besar saiznya, koyak rabak dan kusam menutupi kaki yang dipenuhi bekas luka dan kudis akibat kegemaran kami saban hari menyusuri parit tepi sawah mencari ikan Badus atau Koruk buat santapan malam.
Hinggalah pada suatu hari, bapa hilang sabar melihat kami tidak mengambil berat sebutan 'R' dengan betul. Sebelum itu bapa sudah beberapa kali memberi contoh bagaimana cara membunyikannya tapi kami tetap selesa dengan 'sebutan semulajadi' kesukaan kami. Malam itu, bapa memanggil kami bertiga 'menghadiri kelas tidak formal' dan bapa memberikan tumpuan bagaimana supaya kami dapat menyebut dan membunyikan huruf 'R'. Di bawah sinaran lampu pom, bapa menunjukkan cara dengan jelas kedudukan lidah menggulung sedikit ke langit-langit dan bergetar bila sebutan 'R' menyerbu keluar dari mulutnya. Kemudian kami bertiga serentak cuba membunyikan hurup 'R' dengan panjang dengan penuh bersemangat. Tanpa sempat kami menghabisnya, bapa membentak dengan suara yang keras. Kus semangat.. betapa ketakutan menguasai kami waktu itu. "Bukan iiii... rrrrrrr!!" Kami turuti perintah "iiiii...". "Bukan iiii bah!!..rrrrr! rrrr! rrrrr!". Kami tetap menyusuli perkataan 'i' sewaktu kemarahan bapa memuncak. Dengan pantas bapa mencapai rotan yang tersisip di celah dinding. "Malam ini, kamu tiga-tiga belajar sebut 'R' sampai dapat. Besok pagi, kalau tidak dapat, saya ROTAN!!". Serentak itu tubuh kecil kami bergetar sekejap ketakutan.
Selepas 'kelas' dengan bapa, kami terus ke bilik. Saya, Nuar dan Kelem terus berbaring sambil lengan kami menyilang di dahi yang basah dengan peluh. Saya dan Nuar sudah bersiap sedia dengan pakaian sekolah, bimbang tidak sempat bangun pagi jika semalaman itu kami gagal dalam misi kami membunyikan bunyi 'R' dengan betul. Maka bilik yang gelap tidak berlampu mengeluarkan pelbagai macam bunyi yang lucu dan sudah tentunya masih gagal menyebut huruf 'R'. Sehingga lewat pagi, kami masih berusaha dan berusaha. Entah denan tidak semena-mena, saya berjaya membunyikan huruf 'R' dengan jelas. Ketiga-tiga kami serentak terbangun terkejut. Nuar dan kelem sibuk bertanya. Selepas memberikan contoh kedudukan lidah, dan meminta membunyikan sahaja ' arrrghh', tidak lama kemudian Nuar dan Kelem berjaya menemui 'rentak' betul dan selepas itu kami tertidur lena.
Esok paginya, bapa sudah bersedia denga rotan di genggaman. Dalam satu barisan, saya di depan, Nuar dan diikuti oleh Kelem beratur di depan bapa. Tiba-tiba bapa bersuara, "Rrr!...". Serentak itu juga saya menyebut perkataan 'R' dengan bunyi yang betul. "Jalan", tegas suara bapa. Dalam hatiku, yeahhh!! berjaya!. Aku berdiri jauh melihat giliran Nuar. Nuar menggigil melihat rotan. "Sebut 'R'!", kedengaran suara bapa. "Rrrr!" Nuar berjaya melepasi ujian. Saya dan Nuar beratur jauh menunggu kalau-kalau Kelem boleh terlepas dari sebatan rotan. Sedar-sedar saja, Kelem berlalu perlahan di depan bapa. Saya dan Nuar kemudiannya melihat bapa dengan wajah yang tenang menyimpan kembali rotan panjang di tempat asal. Lega rasanya. Saya dan Nuar meneruskan langkah kami pagi itu ke sekolah meninggalkan adik kelem yang termanggu ditinggalkan keseorangan.....
Pendidikan bermula dari rumah

Tuesday, January 24, 2006

Genap Setahun....

Hari ini 24 Jan, sejak Mickey's Corner mengorak langkah setahun yang lepas, perlahan-lahan mengembara melengkapi sedikit demi sedikit mengusik pengertianku yang masih terbatas. Kalau diibaratkan dengan satu hubungan, kataku "Setahun yang sudah bukan satu waktu yang cukup untuk aku dan blog ini mengenali budi masing-masing". Apapun, kesan rasa yang mengerti dan menerbitkan ungkapan terima kasihku boleh juga dimisalkan 'sedikit terjahan mentari ke muka gua yang gelap'. Aku semakin tenteram kerana blog ini sudah memberikan aku apa sahaja yang kuperlukan.
Selamat ulang tahun MICKEY'S CORNER!

Friday, January 20, 2006

Happy CNY 2006

H.a.P.p.Y C.h.I.n.E.s.E N.e.W Y.e.A.r

Thursday, January 12, 2006

Hampir Setahun....

3 yang tahun lepas, Jack bercakap mengenai BLOG dan Masinasin Komuniti. Otak terasa seperti berasap untuk mengerti butir percakapan Jack pada mulanya. Barangkali setengah tahun atau hampir setahun, ya! ruang waktu itu belum juga mengundang keinginan untuk saya membina blog sendiri. Sehinggalah pada suatu hari jack berkata sesuatu 'Mungkin blog masinasin akan ditamatkan riwayatnya". Tiba-tiba rasa sedih menjengah sejurus habis perbualan dan saya tidak mengerti mengapa kesedihan itu timbul terhadap hal-hal yang belum pun saya mengerti sepenuhnya. Lantas, pada suatu hari yang baik, masa yang terluang tidak kulepaskan dan peluang itu kuambil untuk menjawab pertanyaan gerangan apakah yang dimaksudkan blog itu dan apa kaitannya masinasin komuniti dengan blog itu sendiri.. Dengan perasaan yang begitu teruja, hari pertama memasuki blog masinasin, kuperhatikan dengan sabar, termenung dan termanggu berselang seli, sedikit atau terlalu banyak reaksi bodoh, berfikir, berulang fikir, dan sudahnya memerlukan sepanjang waktu melayan keasyikan yang bertukar rupa seperti nota muzik sayup-sayup beralun entah dari ceruk fikiran mana, meresap ke seluruh pembuluh darah, sehinggalah mendorongku melangkah jauh satu dua ke depan dan sedikit berjaya dan akhirnya lahirlah blog pertama dengan tajuk "Izinkan Bahasa Melayu Menyelit Di Antara Sirloin Steak Dan.. dan.. dan... err.. (Argghhh! aku terlupa!).
Barulah Setahun kemudian, saya mengerti blog bukanlah setakat atau sekadar sebagai sesuatu yang telah berjaya dibina di ruang maya, tetapi lebih daripada itu saya mula mengerti jejak sulung Jack di arena blog sebenarnya berpaksikan cita-cita meluaskan rangkaian perhubungan sesama komuniti, bertukar pandangan dan suka duka, informasi ilmiah persekitaran dan seluas bumi. Dan hari ini, seharusnya saya sangat berterima kasih terhadap jack (Tok Penghulu) atas apa yang telah dimulakannya sekian lama dan menjadi pencetus revolusi berganda di antara terbinanya sebuah blog dan seggengam idea yang terdampar di atasnya...
Permulaan kepada segala sesuatu ialah berfikir
dan berfikir akan menuntun permulaan kepada segala sesuatu

Jendela Metropolitan: Peringatan Yang Tinggal Menjadi Cakap-Cakap Biasa

Yang manakah yang harus dibenteras terlebih dahulu. Dadah? Pada mulanya merupakan kejayaan penemuan sains ubat-ubatan kini menyebabkan lebih banyak 'otak gila' perlu diperah dan dikerah menanganinya. Penagih dadah? Asal dulunya jiwa yang lurus bermain dengan fikiran yang berkecamuk ingin atau sekadar mencuba dan kini menjadi 'cobaan' yang tidak tertanggung jasad. Pengedar dadah? faktor kocek penuh merupakan hal yang terlalu mutlak didahulukan dan kini menyebabkan kebanjiran penggemarnya di sel tahanan, pusat pemulihan, atau yang masih terbaring di ceruk belantara, rumah kosong atau di celah mana sekalipun. Inilah harga yang perlu dibayar apabila mengorientasikan kepercayaan bahawa usaha harus lebih berpaksikan kejayaan semata-mata. Agak menyedihkan apabila satu demi satu selebriti gagal menyingkirkan diri mereka daripada tertulis di antara lipatan sejarah yang sering kali memberikan peringatan yang berulang-ulang dan kesedihan ini tidak termasuk puluhan ribu 'penagih biasa' yang tidak berjaya membuatkan lensa dan pena wartawan menyoroti kegagalan mereka. Apabila yang Maha Bijak berkata 'Lakukan lah apa yang ingin kamu lakukan dan kamu akan menuai perbuatanmu sendiri'.. Maka haruskah lagi kita bercakap mengenai siapakah yang harus dan perlu terlebih dahulu dibenteras?
Sesuatu yang dicipta untuk kebaikan
belum tentu dapat bercakap tentang hal- hal yang baik.