TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, February 28, 2007

Tiada ROKOK, Tiada ALKOHOL

Sekian lama saya ingin bercakap mengenai 2 pekara yang 'baik' dalam banyak-banyak situasi yang berat. Pernah juga saya akui bahawa mengambil dua bahan 'penenang' ini selalunya mendatangkan hasil yang saya kira mengembirakan emosi. Saya pernah menjadi seorang lelaki yang 'bangga' setiap kali menghembus udara kelabu ke awangan. Saya pernah menjadi lelaki yang paling 'gagah' ketika mula terhuyung hayang di muka bumi. Paling tidak saya dapat katakan ialah kedua-duanya menyeronokkan. Kawan-kawan juga melakukan pekara yang sama tetapi entah kenapa masih juga saya merasakan diri ini lebih 'tinggi' daripada yang lain.

Suatu masa, ketika tanpa saya ketahui bila waktunya perasaan itu datang membisik ke nurani meminta saya harus berhati-hati untuk menjaga anugerah tubuh. Pada mulanya, saya tidak mengambil endah. Perasaan menjadi semakin kuat di antara roh yang minta dikasihani dan daging yang ingin di'layani'...

6 tahun yang lepas, saya adalah seorang perokok yang bangga dengan diri sendiri. Perasaan ini bermula sewaktu saya menuntut di universiti. 8 tahun yang lepas, saya adalah lelaki yang gagah melayan setiap cabaran hos kecil yang menghulur keluar dari muka baldi buatan kadazandusun. Ini mengingatkan saya akan Kg. Inanam, Kota Kinabalu.

Tahun 2004, saya menghambil keputusan untuk 'bermain-main dengan rekod' hari tanpa rokok. Hari pertama tanpa rokok, pening. Hari kedua, badan terasa panas dan perasaan mula kacau. Saya fikir, oh! sudah 2 hari tanpa rokok. Tiba-tiba sangat bangga melakukan rekod 2 hari tanpa rokok. Terfikir pula, sangat sayang untuk memusnahkan rekod yang baik ini. Lanjutkan untuk beberapa hari, getus hatiku. Minggu pertama, kedua, bulan pertama... Yess!! Rekod baru!. Tapi saya mula risau bila melihat berat badan mula meningkat. Ah! Aku ingin melakukan rekod selama yang boleh, jerit hatiku. dan sehingga hari ini aku masih berbangga tidak mencalarkan rekod baik ini.

Suatu hari, pada suatu petang yang baik saya sangat susah hati. Entah, akhirnya saya merokok juga. Saya hampir menangis. Kenapa??? jerit hatiku. Tiba-tiba saya sangat sayangkan tubuh saya. Seperti mau pengsan dan tiba tiba saya terbangun.. Ah!! saya merokok dalam mimpi. Alangkah terlalu gembiranya saya mendapati ia bukan kenyataan. Dan kali ini air mata saya benar-benar mengalir..

Kawan-kawan bertanya apa rahsia untuk berhenti merokok. Aku hanya tersenyum dan cuma mampu katakan harus ada keinginan untuk berhenti. Akhirnya saya gembira, dapat juga saya mengerti apakah sepatutnya cara saya untuk menyatakan kebanggaan. Saya bangga kerana saya ada upaya untuk memberitahu kawan-kawan - berhenti merokok sebenarnya adalah perkara yang lebih baik.

Kali terakhir saya terhuyung-hayang ialah pada tahun 1996. Selepas itu tidak lagi saya mau menjadi lelaki 'segagah' seperti itu. Pelik sebenarnya kelihatan begitu. :) Lebih baik berjalan tanpa ada perasaan 'gagah'. Langkah begitu lebih selamat.

Hari ini, tiba-tiba sahaja saya ingin menulis mengenai 2 pekara ini bila mendengar khabar seminggu lepas, salah seorang saudara dekat masuk ke hospital akibat kerosakan hati. Pertama, saudara ini (Jaimon Sarikal) adalah penghidap Hepetitis B. Tanpa apa-apa maksud lain, sahaja saya ingin menulis (maaf kepada pihak yang berkaitan terutama keluarga beliau) minum dan rokok adalah punca kepada kerosakan hati dan 'menyokong' kuat aktiviti virus Hepetitis B memakan sel-sel hati. Beliau kini dalam keadaan kritikal di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Jika ada peluang untuk berhenti, berhentilah merokok dan jangan meminum minuman keras. Sama-samalah kita berusaha dan bertekun. Tidak ada yang mudah bagi setiap yang dikatakan 'usaha'.
Chaiyooo...


Tuesday, February 27, 2007

Sekali Lagi Aku Kembali Ke Tempat Yang Membuatkan Aku Teringin Untuk Pulang Lagi, Seperti Sebelumnya.

Selamat tiba di Kuala Lumpur jam 5.00pm, Ahad. Sarat dengan pelbagai kisah pendek, pertanyaan singkat, cebisan memori , sekelumit senyuman, pertemuan yang sekadar disudahkan dengan kata 'Apa khabar?' dan terpaksa berlalu pergi tanpa sempat menjawab sepenuhnya.
Kisah majlis yang meriah, suasana keluarga yang santai dan menyeronokkan, kawan-kawan yang terpisah bertahun-tahun lamanya, saudara mara yang mesra sempat mengisi juga masaku dalam seminggu percutian.
Semuanya ini membuatkan aku memilih untuk 'pok lambat' tiba di lapangan terbang demi kerana hatiku yang masih sukar memisahkan diri dengan bumi Borneo. Kemudian kembali ke rumah dengan 'kata-kata tidak puas hati' - lambat setengah jam pun direject oleh petugas Airasia untuk check-in. Adik kelem dan mama hanya melemparkan senyuman mengerti karenahku yang dibuat-buat. Inilah aku, kali keduanya memilih untuk ter'mis flight'. Tapi aku puas kerana berjaya memanjangkan masa sekali lagi mendengar celoteh mama dan melihat perangai 'budak-budak' dari kelem, sokongan yang tidak pernah lekang dari bibir nuar, kakak anang, kakak lyedd, kakak may dan adik why, konong. Aku terhibur dan terasa kehilangan bila tiba hari ahad dan aku benar-benar kembali ke Kuala Lumpur. Sayang sekali Abg Jack tidak dapat bersama dalam majlis dan perkumpulan keluarga. Aku tahu, jika abg Jack ada pada waktu itu, adik-adiknya akan tetap melihat inspirasi yang sekian lama ini pun adalah sumber yang mengorientasikan hala tuju kami.
Beberapa hari yang dapat kupanjangkan... Cuma sahaja aku tidak dapat melihat bapa dalam beberapa hari berada di Kota Kinabalu. Jiwaku seperti himpunan baldu setiap kali bapa memilih waktu bercakap-cakap dengan anak-anaknya. Aku tahu beberapa bahagian dalam hidup menjadi 'berat' dan aku tahu bicara bapa memandikan pengalaman dalam diriku. Tidak sukar sebenarnya menjadi seorang lelaki yang penuh kelegaan.
Sudah pasti, aku tidak boleh lari daripada pertanyaan 'Bila?'. Terima kasih atas pertanyaan begini kerana ia membuatkan aku tersenyum. Entah apa ertinya yang membuatkan aku tersenyum spontan tapi ia mengajarku terasa ikhlas untuk tersenyum. Aku faham benar sudah sampai masanya aku perlu menjawab pertanyaan ini... Tunggu la sehingga beberapa waktu lagi. :)
Ini adalah perkataan yang dapat kuingat sebelum aku kembali ke Kuala Lumpur.
Bapa - "Jaga kesihatan dan keselamatan. Apa sahaja keputusan, kami sedia menyokong. "
Mama- "Jangan bimbang. kami tetap akan membantu sedaya upaya kami"
Kakak Anang - "Jangan ragu-ragu. Jangan takut dan bersungguh-sungguhlah."
Kakak Lyedd - "Jaga diri baik-baik. Saya percaya Tuhan sentiasa membantu"
Kakak Miewella - "Aiyaa siou nda dapat hantar di apot. Bagus-bagus kau jalan"
Adik Nuar - "Kalau yang itu, saya sokong betul-betul"
Adik Kelem - "Ini ialah hadiah yang kami terima tapi inda pandai pakai. Tau la urang kampung"
....i love u and miss u all....

Wednesday, February 14, 2007

Itu Aku...

I
Malam itu tenang, aku masih tegah berdiri disaksikan bayang purnama yang mencuri pandang dari segenap sisi rimba. Mengkhayal waktu antara selangkah terdiam atau mengundur dua dan nantinya mengorak entah beberapa kali. Mencari akal agar dapat mengupayakan kesamaan desah nafas atau akan hilangkah musim bunga?. Bila seri rembulan berjabat khabar suria di cakerawala, akan pergikah semesta meninggalkanku sendirian?? Biarlah tidak...
II
Di tengah-tengah bumi, sering juga merasa aneh bila aku sering juga disuguhkan gigi ombak yang pecah di karang. Atau menikmati angin yang membelah helai dedaun menjadi gugusan yang gugur tanpa mengerti arah. Berkawan pada waktu, sekadar membawanya melewati separuh zaman. Atau satu zaman? Tenang-tenang sahaja atau cuba untuk menjadi damai meskipun nyaris tanpa nada... Biarlah pasti...
III
Muram lagi, hari sudah kelam. Sejuk mengetuk rasa, antara merah dan kuning menyuram di bawah langit. AKu membiarkan sahaja itu pergi daripada melepaskan jiwa ragaku dengan rela. Bayu menderu sedikit geram mengasak layar malam mengembang bersama kunang-kunang dan tanpa membantah aku mula mau pergi. Pesona di hujung bumi memanggil aku pulang..

Tuesday, February 13, 2007

Menyusur Puncak Ilham..

sukmaku dipagut ingatan
keping sinar mantera rasa mematri langit
antara luka awan yang sayu
menghantar bayu ke gigi ombak yang selesai
menyusun firasat di dada pantai


riak sendu
terdiam mendampingi puncak
aku akan ke sana
rindu melangkah sungai dan hijau belantara
dengan telapak yang terluka
menyusur kisah makin kelam
dilintasi purnama


Sekali sekala
di puncak masa
aku akan menoleh juga ke belakang
menghafal waktu
di bawah langit maya
jika ada angin taufan pun
tidak mengapa
tidak lagi sederas dulu

Tuesday, February 06, 2007

Balik Kampung...

Balik kampung lagi tahun nie. Kebetulan Tahun Baru Cina dan pada masa yang sama berlangsungnya majlis perkahwinan adik Clement pada 19hb Feb. Ahad petang 18hb, bertolak dari Kuala Lumpur jam 7pm dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 9.50pm. Bercuti lebih kurang 10 hari, agak-agaknya boleh la sekali lagi berkenalan dengan desa dan cerita silam yang tersembunyi di balik hijau dan panorama.

Dalam waktu yang sekejap lagi, jika tiada aral melintang, kita akan bertemu lagi di halaman yang sering mempersatukan tawa riang dan tangisan kita dulu.Tok Penghulu dapat balik ka??