TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, July 31, 2008

Pada Suatu Malam....

Lebih kurang jam 1-2 pagi, dalam perjalanan saya balik ke rumah dari majlis perkhawinan saudara Padis dan kakak si Mimie ( kakak si Juraina Mabin. Sori lupa pula nama dia. Minta maaf kio pinsan.. hehe), saya mula melalui kampung Morion. Saya tidak ingat sejak bila adik-adik dan kakak balik rumah meninggalkan saya keseorangan. Yang saya ingat ialah waktu saya mau balik abang saya Jack, masih berada di majlis tersebut 'mengaramai' bersama kawan-kawannya.
Ketika menghampiri simpang empat masuk ke kampung dan Gereja Morion, lebih kurang 50-70 meter saya ternampak dua lembaga berpakaian putih berdiri saling bertentangan di kedua belah bahu jalan. Orang kampung bilang di siring kiri kanan jalan. Kedudukan jalan yang agak tinggi sedikit kerana laluan yang melintasi sungai kecil membuatkan cahaya dari perumahan sedikit menyuluh ke kawasan tersebut. Saya mula tertanya-tanya siapakah yang cuba berkelakuan 'nakal' menyakat orang tengah-tengah malam. Saya dapat melihat jelas kedua-dua lembaga berdiri, sedikitpun tidak bergerak dengan posisi tegak saling berhadapan antara satu sama lain. Saya mula mengharapkan Abg Jack dalam perjalanan pulang waktu itu. Saya mula melangkah....
Dua tiga langkah ke depan, kedua-dua lembaga tersebut mula kelihatan seperti bergerak, seperti menari namun tetap dalam posisi berdiri tegak dan tangan melurus ke bawah. Saya kira lembaga itu mengulang-ulang pergerakan naik turun tumit kaki perlahan-lahan, dalam posisi yang tetap sama dan tidak berganjak. Rasa cemas mula menyerang sanubari. Saya mengambil keputusan untuk melangkah beberapa lagi ke depan untuk memastikan apakah yang saya lihat ini sesuatu yang benar berlaku di depan mata atau sebaliknya. Jarak 30 meter sudah cukup membuatkan saya pasti itu bukan ilusi. Saya memberanikan sahaja melangkah...
Selangkah ke depan.. lembaga itu semakin rancak menari seperti mengangguk-angguk. Saya tidak peduli, terus juga melangkah lagi... Kedua-dua lembaga tersebut mula menggerakkan kaki, kali ini dalam variasi pergerakan yang pelik. Kedua-duanya membuat pergerakan kaki dalam satu masa, sambil mencondongkan badan sedikit ke kiri dan kaki kanan di angkat separuh tinggi ke sisi kanan dan kembali ke posisi berdiri dan mengulangi pergerakan yang sama tapi ke arah bertentangan pula, badan condong sedikit ke kanan dan kaki kiri di angkat separuh tinggi ke sisi kiri dan kembali ke posisi tegak. Pergerakan ini berterusan menjadi satu tarian yang mula membuatkan bulu roma memberi reaksi yang tidak selesa. Saya berpura-pura tetap memberanikan diri juga melangkah mendekati lembaga tersebut. Kali ini tanpa diduga, kedua-dua lembaga masing-masing tubuh mereka terbelah menjadi dua membentuk jasad lain dan kini berjumlah empat orang dan melakukan 'tarian' sama dalam satu masa.
Semakin saya melangkah, semakin mereka berpecah dan akhirnya menjadi ramai dan membentuk satu bulatan di atas jalan melakukan tarian yang sama. Saya masih tidak peduli, cuba juga mendekati (lebih kurang 10-15 meter) mereka mula berjalan tapi masih posisi tegak, terangguk-angguk dan bergerak ke sisi. Gila! Siapa mereka ini, jeritan bergema dalam benak. Saya mengambil keputusan bertahan pada jarak tersebut, mencangkung dan terus memerhatikan mereka.
Saya memerhati ke belakang mengharap ada lampu motorsikal Abg Jack di hujung jalan sana tapi keadaan masih gelap. Saya mula buntu. Saya memerhati kembali ke depan dan 'mereka' masih ada di sana terus-menerus dengan tarian pelik mereka. Saya mencari akal bagaimana supaya dapat melepasi lembaga tersebut namun kaki sudah tidak terdaya lagi untuk mahu melangkah. Lebih kurang 15 minit saya terus bertahan dan sepanjang itulah fikiran saya terus didera oleh setiap inci pergerakan mereka, membuatkan hati saya seperti membeku tidak sanggup melihat. Mujur 'mereka' hanya berminat melakukan tarian daripada mengambil tahu betapa resahnya saya waktu itu. Tiba-tiba saya terdengar bunyi motorsikal Yamaha RXZ dari jauh dan saya melihat ke belakang. Pasti Abg Jack, bisikku lega. Bila saya melihat ke depan..... saya tercari-cari. Ke mana mereka menghilang???
Bila Abg Jack sampai, dia pun berkata "Kenapa ni? Naik la..". Melihat cara pemanduan abg Jack, saya kira 'cas' dalam kepala sudah berlebihan. hehe. Dan saya terus membonceng dan balik ke rumah. Dalam perjalanan balik rumah, saya melihat-lihat ke belakang juga ke arah sekumpulan lembaga tadi. Kawasan itu gelap, sunyi sepi dan tidak ada sesiapapun di sana.
Esok pagi saya menceritakan kepada beliau akan kejadian semalam. Ini pula reaksi yang saya dengar dari bapa.
"Haiyaa.. Kenapa tidak tangkap??"
Dalam hati saya, tulung laa... Rasa macam mo pengsan ja malam tu, MAU TANGKAP la pula????
"Kenapa kalau kita tangkap?" Saya bertanya kunun-kunun macam berani ja padahal senyuman saya senyuman ngeri.
"Kalau dapat satu, boleh buat kawan. Atau boleh minta sesuatu"..
KAWAN??? MINTA SESUATU??? Adesss... Punya kering lutut saya bilang mo minta sesuatu. Hehe.. Kalau saya berani buli juga add diurang sana di friendster saya.. Syoh! Syoh! selisih 44 malaikat.
Sampai sekarang saya masih terkenang-kenangkan peristiwa malam itu. Mujurlah dalam usia muda saya waktu itu tidak sampai membuatkan saya trauma.

Wednesday, July 30, 2008

Siapakah Gerangannya Dia?

Pelik dan menyeramkan! Itulah pengalaman yang dilalui oleh seorang pemilik telefon bimbit yang mendakwa telah merakam wajah hantu tanpa sengaja ketika hendak menguji kekuatan kamera telefon tanpa bantuan cahaya pada waktu malam, 27 julai lalu di salah satu resort di daerah Kuantan.
Saya percaya pendedahan yang dibuat oleh individu berkenaan akan membuatkan resort tersebut menjadi tumpuan ramai yang semata-mata datang untuk melihat tempat kejadian. Pemilik resort tentunya akan tersenyum lebar melihat orang ramai yang datang tapi bila melihat rekod pelanggan yang bermalam, memanjang ja geleng kepala. Patut the Seeker's kena buat penggambaran di sana.

Thursday, July 24, 2008

16 September: Antara Sejarah Sabah Dan 'Pembentukan' Kerajaan PR

Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara, menyertai negeri-negeri di tanah semananjung bersama-sama dengan Sarawak dan Singapura bersatu membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Pada tahun 1970, Sabah merupakan negeri kedua terkaya di Malaysia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar. Walaupun memiliki kekayaan sumber asli, Sabah masih antara negeri yang termiskin dengan pendapatan purata paling rendah di Malaysia dan pada masa yang sama kos sara hidupnya yang lebih tinggi daripada semananjung Malaysia. Antara penyebab masalah ialah pengagihan kekayaan yang tidak saksama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah. 95% daripada pendapatan Negeri Sabah menjadi milik Persekutuan dan hanya 5% untuk keperluan Sabah. Berdasarkan senario ini tidak hairan ada suara-suara di kalangan pemimpin Sabah yang tidak selesa dengan layanan yang diterima. Sabah sebelum ini mempunyai rekod bertindak keluar daripada Barisan Nasional atas sebab yang sama dan tambahan isu-isu lain. Terbaru usul SAPP mengulangi perkara yang sama (antara sebahagian daripadanya ialah royalti minyak dan pengagihan kekayaan) yang dikritik hebat oleh pemimpin kerajaan dan di kalangan pemimpin BN Sabah sendiri (sekalipun pada dasarnya bersetuju dengan usul tersebut kecuali undi tidak percaya).
Polemik politik ini membuka satu lagi ruang untuk pihak pembangkang mempergunakan kesempatan atas pergeseran tersebut menjadi titik tolak kepada penyuburan idea pembentukan kerajaan PR bersamaan tarikh Sabah setuju bergabung dengan Malaysia. DSAI mempunyai sebab memilih tarikh ini. Bagi seluruh rakyat sabah, ada sesuatu yang memberi nilai kepada harga kewarganegaraan mereka iaitu harapan melihat Sabah mendapat perhatian pembangunan yang wajar dan bantuan teknologi yang dapat mengusahakan kekayaan hasil bumi Sabah untuk menjana ekonominya melalui persefahaman dengan Persekutuan. DSAI menyedari Sabah dilukai oleh perjanjian yang tidak saksama. Saya percaya pemimpin tertinggi PKR telah melakukan beberapa usaha termasuk pertemuan demi pertemuan dengan beberapa MP sabah untuk menjelaskan dasar dan polisi kerajaan yang bakal dibentuk termasuk mempersetujui tuntutan yang diperjuangkan oleh pemimpin Sabah sejak sekian lama.
Kompas perjuangan pemimpin De Facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas terarah ke Sabah yang dilihat mempunyai prospek politik yang berpotensi tinggi merealisasikan pembentukan kerajaan baru berdasarkan kemelut tuntutan Sabah yang tidak digemari Persekutuan, menjadi penanda formula pemangkin kepada hala tuju politik PR. DSAI sedar jika MP Sabah berjaya dipujuk untuk menyertai gagasan beliau, itu satu cara yang sudah mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baru. Pada masa yang sama kesempatan digunakan sepenuhnya oleh DSAI untuk terus-menerus meyakinkan Sabah bahawa Sabah akan mendapat kembali hak kekayaan sumber asli dan royalti minyak termasuk mengendalikan isu-isu PATI dan kemiskinan tegar. Kesediaan DSAI dalam isu ini sebenarnya semakin hampir mengetuk pintu hati rakyat Sabah yang masih berbelah bagi dalam membuat keputusan besar berkaitan masa depan Sabah.
Pada masa yang sama, kerajaan BN kini terasa bahang berikutan usaha PKR yang selari dengan kehendak tuntutan termasuk reaksi Sabah yang tidak tunduk dengan tekanan Persekutuan. Kerajaan BN memulakan langkah pertama mereka dengan janji melakukan operasi besar-besaran membenteras PATI bermula bulan Ogos. Jika isu royalti minyak dan pengagihan kekayaan Sabah dipandang sebelah mata oleh Persekutuan, ini menyukarkan usaha BN menyekat potensi gagasan Pakatan Rakyat memanipulasi isu yang bakal mengubah sama sekali senario politik nasional.
Kini pemimpin Sabah dan seluruh rakyat di Negeri Di Bawah Bayu menggenggam sebatang anak kunci yang menjadi penentu kepada corak dan landskap politik masa depan Negeri Sabah. Untuk beberapa sebab yang terbesar, BN masih berkemampuan melaksanakan segala perancangan melalui pakej suntikan ekonomi, kuasa merancang pembangunan melalui RMK9 dan DEB. Dari sudut lain, jika kerajaan BN gagal memberikan kerjasama dalam soal membabitkan hak Sabah, PKR/PR dianggap beberapa alternatif sekalipun DSAI belum terbukti kemampuannya dalam dasar dan polisi perancangan pembangunan dan ekonomi.
Cara lain ialah melalui peti undi dengan mengangkat pejuang masa depan Sabah memimpin negerinya sendiri di luar daripada BN dan tanpa ada kaitan dengan mana-mana pertubuhan politik pembangkang. Asas jati diri perjuangan negeri Sabah kukuh dan tidak perlukan PKR, PAS atau DAP untuk mengangkat maruah Negeri Sabah. Parti Bersatu Sabah pernah berdemonstrasi menjadi pembangkang tanpa apa-apa pakatan lain. Waktu itu PKR belum wujud. Hanya ada PAS, DAP dan PRM.
Rekod DSAI sebagai Menteri Kewangan sebelum ini yang lebih cenderung berkompromi dengan cara pengurusan kewangan versi Barat dan bersekongkol dengan tindak-tanduk Bank Dunia menerbitkan kegusaran akan cara beliau mengendalikan ekonomi negara masa depan. Sehingga kini hubungan rapat DSAI dengan pemimpin Barat termasuk sokongan antarabangsa yang diterima beliau boleh menjadi indeks kepada bentuk acuan yang mendasari corak kepimpinan DSAI masa depan. Karekter Anwar penuh dengan risiko sekalipun beliau tidak gagal bercakap tentang isu tuntutan Sabah.
Ada yang mengatakan, beri peluang DSAI memerintah dan barulah penilaian dibuat atau rayuan dalam memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan sekarang untuk kesinambungan dasar sedia ada. Gesaan seperti ini tidak pernah tidak dibenarkan. Siapa berjuang untuk siapa, lakukan hak anda.

Wednesday, July 23, 2008

Ros Merah Dan Sejambak Kenangan Di Laman Hati

Cinta itu kudiamkan seketika menunggu siang melintasi lukisan duka. Sukma dan ragaku bergema menari bersama kupu-kupu musim bunga tanpa warna. Perih terluka tergores selangkah dari jantungku membiru oleh getir yang disuluh sirna tanpa sedarku pagi tadi menjengah ke tingkap yang sudah lama terkatup kisahnya pada bingkai hati. Bayang kelam terjatuh lalu menjadi lagu hiba melingkari sekuntum ros merah berduri telah bermusim kuhidupkan dengan percikan darah mengalir dari telapak tangan tergores.

Luka itu bertahan enggan sembuh dipuja waktu

Sunday, July 20, 2008

Surat Terbuka Untuk DSAI

Salam DSAI dan penyokong2 PKR...
Apa khabar Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan sekeluarga? Semoga sihat-sihat hendaknya dalam kesibukan urusan hidup seharian. Saya mengambil kesempatan untuk menulis sedikit mengenai senario politik terkini melibatkan DSAI. Dulu saya pernah melihat DSAI sebagai pemimpin yang berkaliber untuk mengambil teraju kepimpinan UMNO dan kerajaan BN. Namun selepas insiden 1998, keperibadian DSAI langsung berbeza.

Sekalipun DSAI seorang yang ada karekter dan karisma tapi saya tidak pernah melihat DSAI sebagai berkemampuan membawa Malaysia dalam konteks perpaduan dan hala tuju masa depan Malaysia. Mungkin beliau masih boleh dilihat sebagai pemimpin tetapi daya kepimpinan beliau terdorong oleh sikap tergesa-gesa dalam cita-cita politik, tidak menentu dalam tindak tanduk, seorang political strategies yang lemah, tidak konsisten dalam menghadapi kemelut peribadi yang dikaitkan dengannya. Sayang sekali karismanya sering terbabas mengundang persoalan demi persoalan. Seorang yang BENAR mempunyai konsistensi mempertahankan dirinya. Dari segi ini Anwar sememangnya memenuhi kriteria dalam mempertahankan dirinya. Tapi dari aspek MEMBUKTIKAN kebenaran yang dapat membantu DSAI sendiri, yang membolehkan nama DSAI bersih dari apa yang disifatkan DSAI sebagai satu lagi ulangan kronologi yg cuba menjatuhkan karier politik dan nama baiknya, ternyata DSAI menjebakkan usahanya ke lembah kegagalan yang dengan sendirinya saya boleh fahami sebagai satu peluang besar DSAI membersihkan dirinya dari tomahan.

Mengenai kes liwat yang dikaitkan dengan DSAI, beliau sebenarnya telah mendapat layanan yang sepatutnya dinikmati juga oleh sesiapa yang dipertuduhkan dan adalah tidak adil kes ini memberi ruang yang berlebihan kepada DSAI seolah-olah hanya DSAI yg mendapat hak eksklusif semata-mata kerana beliau antara nama besar politik... Terlalu banyak usaha yang bertolak ansur terhadap DSAI sebenarnya. Jika saya rakyat biasa dipertuduhkan sedemikian rupa, tidak mungkin saya akan dapat 'pengiktirafan layanan proses' seperti ini. Jadi dengan ruang besar seperti ini, DSAI sepatutnya sudah melihat ini juga salah satu daripada cara terbaik menggunakan kesempatan sepenuhnya membuktikan KEBENARAN melalui layanan yang saya sifatkan 'memberi muka' kepada DSAI...

Tentang sampel DNA, DSAI sangat paranoid terhadap orang lain. Sangat berprasangka yang keterlaluan sehingga apa sahaja proses yang mudah menjadi sukar. Bukan sahaja sukar, malah DSAI memberatkan proses pembuktian kebenaran dengan lontaran statement yang tidak releven dan berserabut. DSAI sepatutnya merancang dengan saksama, dengan adil, satu persatu dari segi tingkat prioriti konflik-konflik yang dihadapinya. Mencampuradukkan kes terdahulu dan kes terkini dan ditambah dengan acuan andaian demi andaian yang berdasarkan syak wasangka menjadikan situasi semakin bercelaru. Prioriti TERBESAR sepatutnya DSAI lakukan ialah membuktikan KEBENARAN bagi pihak yang mendakwa dirinya BENAR. Sesudah mengesahkan KEMENANGAN di pihak yang benar, lakukan usaha seterusnya apa yang disifatkan DSAI sebagi ketidakadilan dalam kes-kes lain dan rancangkan usaha untuk mendapatkan proses keadilan. Kepekaan seperti ini harus ada dalam diri DSAI sebagai seorang pemimpin yang bijaksana.

Saya secara jujurnya bukan penyokong DSAI, namun saya masih mengharapkan DSAI dapat membuktikan segala tomahan terhadapnya adalah satu kesilapan. Dengan itu DSAI ada kesinambungan perjuangan agenda politiknya yang memberikan manafaat kepada institusi politik Malaysia.

Ini adalah surat terbuka ikhlas daripada saya, kerana sekalipun DSAI gagal dalam mendapatkan sokongan orang biasa seperti saya melalui kertas undi, saya masih melihat DSAI relevan dalam mempastikan kerajaan sekarang tidak terlena dalam tindak-tanduk politik mereka.. Jika DSAI dan penyokong PKR bertanyakan kepada saya di pihak mana, saya adalah warganegara yang memihak kepada Malaysia yang cintakan perpaduan, aman dan harmonis, ada muafakat sekalipun mempunyai ideologi politik berbeza, mempunyai perjuangan politik yang berlandaskan pengiktirafan terhadap keluhuran undang-undang dalam proses hak dan kesaksamaan, sentiasa mendekati keluhan dan kesengsaraan rakyat serta menghias landskap ekonomi dan pembangunan negara dengan idea yang berwawasan dan berhemah. Jika ada pemimpin yang berusaha mendekati elemen-elemen ini, pemimpin seperti inilah yang akan mendapat undi dalam proses demokrasi pilihanraya.
Sekian...
jalimik.s.p.sambion
N.5 Tandek, Kota Marudu, Sabah

Friday, July 18, 2008

DEBAT: Kemenangan Moral Kepada Keluhuran Undang-Undang

Perdebatan antara Dato Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek 15 Julai lalu membuka satu lagi episod baru yang mampu merangsang persepsi demokrasi yang sebelum ini dihumban ke dalam gaung polemik yang negatif. Lebih daripada itu, sikap keterbukaan politik dan kesediaan 'berganding' ideologi dalam satu wahana ilmu melalui konteks keharmonian dilihat mampu melentur ketegangan yang sentiasa diuji oleh perbezaan persepsi perjuangan politik. Implikasi daripadanya ternyata telah menganjakan paradigma selangkah ke depan yang akhirnya dapat mengiktiraf kedaulatan dan keluhuran undang-undang, menyingkirkan sama sekali sindrom ketidakselesaan dan prasangka yang tiada titik noktah sekaligus menyuntik kelegaan merungkai perbalahan yang keterlaluan dalam mengkritik keupayaan fungsi undang-undang dan aplikasi prinsip dan amalan demokrasi.
Siapa menang? Saya tidak berminat tentang siapa kalahkan siapa, bagi saya apa yang lebih mengembirakan ialah Malaysia ternyata masih berjaya mendidik persepsi yang ekstrem pihak-pihak tertentu.

Thursday, July 17, 2008

Nota Rasa

Kepada ombak yang bercanda di bibir pantai
gemersikmu pecah ke batu yang tersusun ragu
nyanyian senjamu tidak ada lagi lagu rindu

dan aku yang bercanda di hujung ombak
bukan menunggu purnama..
tidak ada lagi gurau di tepi samudera

Wednesday, July 16, 2008

Aku Pagi Ini

Duduk di bangku taman
Menunggu pesan
Tidak ada siapa-siapa
Cuma pohon mati
Melanggan dingin
Di hujung jalan mati

Daun kering
Sujud di hujung kakiku
Itupun disapu angin

Tuesday, July 15, 2008

Kronologi Pendek Dalam Satu Malam Yang Panjang...

Potret malam meruntun satu demi satu menyala bara di hujung sebuah kisah. Sebentar tadi kemboja merunduk mengintai senja menunggu gulita menyapu malam demi satu janji kosong. Ada tari nafsu yang berdansa mengasak ruang emosi sang pecinta mengelinjang di ranjang kota melahap mimpi di telaga sukma sang jelitawan, mendesah dihujani gerimis menembusi tirai awan gemawan membiru dipagut rindu yang aneh.

Bila bulan purnama meminggir diterjah bening berkabus di jendela waktu, bayang mendung menoktah satu pertempuran yang sia-sia...

lalu ada tanyaku pada satu sore menyingkir dari perkotaan 'Hanya itukah yang mereka cari dari neon kota?'

Sunday, July 13, 2008

Sesuatu Yang Saya Terlupa..

Menikmati seluruh hidupku pernah kuanggap hari-hari yang sangat membebankan. Bukan kerana saya tidak pernah memiliki waktu yang sering menggusarkan membauri seluruh hidupku. Bukan kerana sebelum ini saya tidak melalui waktu-waktu runsing saat terbenam matahari diremangi kelam malam yang kian hampir. Sering juga saya tercari-cari kabus pagi bagaikan itulah yang menyejukkan segala lirihku yang tampaknya tidak mengasihani diriku sendiri. Membasuh lelahku dengan cerita kunang-kunang malam tidak lagi memberikan aku satu sketsa yang melenakan pejam mataku pada suatu malam yang panjang di hujung mimpi.
Biarlah kukatakan rentetan hariku yang tersenyum antara terjahan gerimis dan kilat halilintar, itu cuma ulangan dan mengulangi lagi sekelumit rasa silam yang mengejarku kembali menulis gurindam keluh kesah di sisi gunda hati seorang lelaki. Bezanya hikayat hidup kota sering menyeringai mewarnai rentak jejakku yang pernah kuasuh dengan simpang siur desa. Sesuatu yang tidak pernah tergesa-gesa mengundang segenggam kronologi yang meliar ke kiri dan kanan bagai satu dendam yang mau menyisihkan tenteramku.
Untuk seketika, aku cuba mendekati sepi dinihari mencari lonceng sukma, berteduh di bawah bayang terang purnama kerana aku perlukan pesan dari sang Penguasa. Pada satu malam yang tidak kujangka..
Lalu kata-Nya:
'Kenapa engkau biarkan harta-harta yang Kutanam dalam dirimu dan melupakannya saat engkau menikmati perasaan marahmu dan memilih untuk merajukkan dirimu jauh daripada-Ku?'
'Kenapa engkau lalukan kata-kata yang baik yang Kutiupkan dalam jasadmu dan melupakannya saat engkau menikmati seluruh gundahmu dan memilih untuk menyinggungkan hati-Ku yang memerhatikan mu selalu?'
'Kenapa engkau lepaskan kebahagiaan yang telah Kukalungkan ke lehermu dan melupakannya saat engkau menikmati hari-hari mendungmu dan lalu memilih untuk memusuhi waktu-waktu yang Kuberikan kepadamu?'
'Kenapa engkau rosakkan citra yang Kulukiskan di wajahmu dan melupakannya saat engkau menikmati kegagalan merendahkan hatimu dan memilih untuk menyembunyikan keagungan karya-Ku di sebalik keangkuhanmu?'
'Kenapa engkau menidakkan engkau manusia yang kuhidupkan dari telapak tangan-Ku dan melupakannya saat engkau menikmati kejatuhan harga dirimu dan memilih untuk menghindarkan dirimu daripada-Ku?'
'Kenapa engkau lupakan dirimu yang punya martabat telah siap Ku-hiaskan dalam setiap emosimu dan engkau melupakannya saat engkau menikmati ketidaksuksesan dalam harimu dan memilih untuk berjalan sendirian?'
'Kenapa engkau gagal dalam bersikap tulus yang Kuasuhkan dalam lembut mindamu dan melupakannya saat engkau menikmati ribut taufan yang telah mengeggarkan jiwamu dan memilih untuk berhenti berbicara dengan-Ku?'
'Kenapa engkau terlepas dalam mengasihani dirimu setelah Kualirkan airmata-Ku menyejukkan luka-lukamu dan melupakannya saat engkau menikmati kejatuhanmu dan engkau tidak memilih untuk bangun waktu Ku-hulurkan tangan-Ku?'
'Kenapa engkau menyingkir dirimu dari rasa percayamu yang Kuajar dalam belas kasihan-Ku dan melupakannya saat engkau menikmati kemurungan lantas kau memilih untuk tidak selalu berpaling kepada-Ku?'
'Kenapa engkau tidak melihat bahawa engkau terus ada untuk satu hari lagi pada hari ini dan ini hadiah-Ku dan engkau tetap melupakannya saat engkau menikmati kerianganmu dan kau juga memilih untuk tidak bersyukur dengan segala kemurahan-Ku?
'Lebih daripada itu engkau terlupa Aku sentiasa memanggil-manggil namamu dan Aku menitiskan airmata-Ku saat engkau memilih untuk pergi menjauh, malah lebih jauh dari kemampuanmu sendiri sehingga tanpa sedarmu Aku harus memaut bahumu agar jangan sampai dirimu terlalu jauh untuk Kucapai. Mungkin engkau kelukan lidahmu untuk selalu-selalu berbicara dengan-Ku, sekalipun engkau tidak tahu akan hari-hari esokmu, Aku masih sudi memberikan hari itu untuk beberapa waktu lagi, aku menunggu di antara hari-hari yang kuberikan cuma-cuma itu, mungkin engkau mula menganggil-Ku dalam doamu.. Ya, sekalipun engkau mendiamkan dirimu seperti selalu daripada-Ku, Aku akan sentiasa setia menunggu'
Aku terjatuh menerima pesan ini, dalam kelam sujud dan gementar jemariku..

Wednesday, July 09, 2008

Antara Waktu Dan Seorang Lelaki Seperti Aku

Jika aku diberikan peluang untuk meminta apa yang tidak dapat kucapai dalam hidupku sebelum ini, aku tidak akan meminta mengundurkan waktu pada hari aku tidak memilikimu kerana aku percaya jika engkau bukan untuk aku, engkau adalah untuk seseorang yang lain. Yang cuma tinggal hanyalah aku seorang lelaki, yang masih gagal menghapuskan memori lama. Ia bukanlah sesuatu yang sukar, Sekadar kubiarkan apa yang berlaku itu di satu tempat di mana hatiku masih boleh mengunjungi jejakku, Selama mana aku masih sudi mengenang.
Kubiarkan saja kisah itu wujud di daerah hatiku bukan demi kerana cinta, sekadar kerana kita mengenal erti bersahabat. Kita tidak perlu lagi meragui seperti dulu. Tidak perlu lagi bertanya-tanya sekelumit gunda di jendela hati kerana kita punya inspirasi berteman. Beginikan lebih baik kerana aku memiliki dirimu yang dulu. Seorang sahabat yang selalu tersenyum bila kita punya waktu saling berpandangan, membalas tawaku dengan kerianganmu. Bila satu hari kita bertanyakan khabar ternyata bicara kita punya ruang untuk menikmati waktu-waktu yang selesa. Emosi begini bukan kerana kita pernah melalui satu perasaan yang sama.. kerana kau dan aku tidaklah sesukar seperti yang kita jangkakan

Saturday, July 05, 2008

Penyiasat Persendirian Balasubramaniam Menarik Balik Laporan Akuan Bersumpah

Semakin kalut dan mengarut!. Akuan bersumpah yang mengaitkan salahlaku Datuk Seri Najib ditarik balik dengan alasan laporan itu dibuat atas dasar 'terlalu marah dengan kerajaan'. Inilah natijahnya emosi yang tidak dikawal oleh akal.

"KEMARAHAN SEKADAR MENDEKATKAN KITA KEPADA KATA-KATA YANG MERBAHAYA"
Renung-renungkanlah...
Resah bila melihat situasi terkini. Sedih melihat Malaysia diporakporandakan oleh fitnah dan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesukaran yang dialami rakyat terpinggir dek kesibukan para pemimpin saling bercakaran, saling menyerang peribadi lawan dan kawan, saling bersilat kata di dada media, tepis sana tepis sini, tikam sana dan tikam sini, rakyat juga yang terpinga-pinga. Cukuplah! rakyat pening memikirkan soal makan dan minum dan masa depan anak-anak. Jangan ditambah lagi derita, rakyat sudah mula sesak nafas, nasib bagai pelanduk menunggu masa untuk mati bila gajah sama gajah mula bersengketa.
Bagi yang bergelar pemimpin, rakyat mempercayai anda untuk memimpin!! Nak tunggu rakyat buat teguran? Jika sekarang anda merasa seronok melakukan 'hiruk-pikuk politik' membiarkan rakyat tersadai tanpa perhatian, tunggulah pilihanraya akan datang...