TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, October 30, 2008

Jika Ingin Tahu Mengapa Itu Tidak Pernah Berubah Sejak Dahulu Kala...

Catatan yang pernah lalu dalam kehidupan bagai satu prasasti sepanjang masa. Sekali tercoret, bermusim akan menatapnya selalu antara pendam rasa dan jiwa yang kehilangan arah...

Sunday, October 26, 2008

TPM: Perlu Digubal Berasaskan Jangkaan Yang Mendapat Sokongan Popular

Saya ingin memetik kenyataan TPM dalam artikel yang disiarkan oleh Utusan Malasyia berkenaan kebebasan awam (di bawah tajuk besar: Unsur DEB dihapus beransur). Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kini masyarakat menjadi semakin canggih dan prihatin terhadap kebebasan sivil, tentang kematangan demokrasi dan "kami perlu menangani perkara itu."

..."Contohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ia merupakan undang-undang pencegahan dalam usaha memerangi keganasan, mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku, tidak kira sama ada ia dalam bentuk keganasan, pergaduhan kaum atau seumpamanya," kata beliau

"Kesimpulannya, apa jua undang-undang yang diamalkan di negara ini, ia perlu digubal berasaskan jangkaan bahawa ia akan mendapat sokongan popular, jika tidak, ia tidak akan memberi makna," kata Najib....
Saya melihat daripada sudut kekuatan sistem perundangan yang 'tidak digemari' dalam mendidik kemantapan bermasyarakat, mengawal adab dan tatasusila. Kemampuan dari segi definisi menjalankan fungsi kuasa inilah yang juga dapat menangani trend pemikiran semasa yang cenderung mengaplikasikan 'kesedaran' hak kebebasan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang dilihat mahu mengangkat konsep kebebasan bersuara 'tanpa had dan kekangan', atas alasan yang menggunapakai 'kebebasan bersuara secara aman', 'kebebasan berhimpun secara aman', 'kebebasan hak asasi dalam membuat bantahan secara aman' dan sebagainya yang boleh disudahkan dengan takrif 'aman'. Sekilas pandang, 'aman' dengan mudahnya dapat menangkap perspektif, satu kerangka menifestasi yang boleh sahaja memberikan kredibiliti dari segi penghayatan konteksnya. Dengan sendirinya dapat memberikan semacam dimensi yang berkonotasikan penolakan terhadap kelakuan subversif, konfrontasi atau kacau bilau emosi.
Percaya atau tidak, setuju atau tidak, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan berarak untuk membantah, jika tidak dididik oleh sistem yang betul dengan sendirinya akan menjemput emosi tidak terkawal yang akhirnya melupakan tujuan asal, sama ada diakibatkan oleh propaganda, aplikasi intelektual yang tidak searah, tidak puas hati, pergeseran ideologi dan fahaman politik atau yang melibatkan isu perkauman. Bijak pandai dapat melahirkan pengalaman melalui kata-kata 'api kecil itu kawan, bila besar menjadi lawan'. Di dalam setiap karekter, kita tidak akan dapat membaca potensi dan tahap reaksi ketika yang mempimpin 'terlupa ketika teruja' dan yang dipimpin 'teruja dan terlupa'. Ia belum lagi pada peringkat bertelingkah pula dengan pihak bertentangan. Bila pihak berkuasa mengambil bahagian menjalankan tugas di bawah peruntukan kuasa undang-undang yang 'tidak digemari', bayangkan sahaja di mana tahap kawalan diri bila kecelaruan emosi semakin bertambah kacau.
Sejak akhir-akhir ini, isu ISA menjadi medan agrumentasi politik yang membawa kepada gesaan agar perubahan dilakukan termasuk idea yang mahu akta tersebut memansuhkannya. Ia bertitik tolak daripada ciri-ciri dalam perlaksanaan kuasanya yang boleh menahan individu pada bila-bila masa, mengikut keperluan, menahan tanpa perlu dibicarakan. Satu-satunya akta yang sangat tidak popular, kejam dan sudah tentulah telah diklasifikasikan sebagai ancaman kepada hak asasi, yang dianggap sebagai satu bentuk penafian dalam mendapatkan proses keadilan.
Terdapat beberapa isu yang bermain di dalam benak jika pengubalan undang-undang semata-mata berasaskan kepada 'dapat menjelmakan' populariti untuk memenangi hasrat dan desakan pelbagai pihak. Saya mempunyai kebimbangan jika kriteria ini yang diambil kira. Saya percaya, rata-rata rakyat Malaysia dengan mudah mengambil pendirian mendesak kerajaan mengambil langkah 'popular' agar meletakkan batu nisan kepada beberapa akta yang tidak digemari terutamanya ISA. Saya tidak mengatakan bahawa statement Datuk Najib bersangkut-paut dengan ISA. Namun, kenyataan beliau seakan-akan membuka pilihan kepada pihak tertentu memanipulasikan sepenuhnya kenyataan ini. Saya perlu mengingatkan bahawa jika ada undang-undang yang digubal (apa lagi jika bercakap mengenai idea pemansuhan) ISA tidak perlukan apa-apa 'jangkaan' kerana pilihan popular ialah HAPUSKAN ISA!. Sejauh mana kematangan kerajaan dalam menangani idea popular ini.
Jika pengubalan satu-satu akta berpaksikan ia idea yang popular, kerajaan yang memerintah dengan sendiri meletakkan situasi mereka di persimpangan dilema. Keputusan terpaksa diambil terhadap langkah pengubalan yang sememangnya mendatangkan sokongan dan sebarang langkah lanjutan akan menentukan sama ada kerajaan akan popular atau ditolak (kerana tidak dapat memenuhi kehendak ramai yang memberi sokongan padu) dan sudah tentunya menghadapi risiko akan dihujani oleh kemarahan rakyat jika gagal dalam mengimplementasikannya. Sekiranya kerajaan berpendapat 'ia perlu digubal berasaskan jangkaan bahawa ia akan mendapat sokongan popular' dijadikan sebagai satu platform, usah terkejut jika rakyat bangkit memberikan reaksi penolakan yang luarbiasa terhadap beberapa akta yang tidak digemari. Dan jika ini berlaku, sistem perundangan di Malaysia kehilangan cengkaman kukuh untuk mengekang tindak-tanduk ekstrem atau sebarang perbuatan subersif yang membahayakan negara.
Saya mempunyai harapan yang baik mengenai kenyataan Datuk Seri Najib yang menyebut "kami perlu menangani perkara itu." Semoga barisan kabinet akan datang dapat menghalusi setiap tindakan masa depan berkenaan sebarang langkah membabitkan pengubalan undang-undang demi mempastikan hayat negara tidak tercalar oleh kerakusan. Usah perjudikan demokrasi yang bernafaskan budaya mengikut acuan Malaysia semata-mata kerana jangkaan bahawa ia mendapat sokongan popular untuk pengubalan sekian akta yang banyak memberikan nyawa kepada keamanan sejagat dalam negara.

Friday, October 24, 2008

Catatan Kimaragang terhadap Blog YB Zulkifli Noordin

1. Kita tidak lupa Mahathirlah orangnya yang menghancurkan insitusi Raja-Raja Melayu dengan pindaan Perlembagaan pada tahun 1980an;
Pindaan perlembagaan apa yang dilakukan sehingga pada pendapat YB 'telah menghancurkan' institusi Raja-Raja Melayu?' Kedudukan kuasa Raja-Raja dalam perlembagaan? Kedudukan Raja-Raja yang mempunyai hireraki menduduki Balairong Seri sebagai Ketua Negara (YDPA)? Kedudukan kuasa Raja-Raja (khasnya DYMMYDPA) memperkenankan lantikan jawatan utama dalam Perkhidmatan Awam? Kedudukan Raja-Raja dalam memerintah negeri masing-masing? Atau adakah telah mengubah kedudukan YDPA sebagai Ketua Agama Rasmi Islam? Ampun Tuanku. Mohon patik menyentuh sedikit mengenai pindaan perlembagaan mengenai institusi Raja-Raja. Pindaan yang dibuat ketika itu, memang benar Tun Mahathir (PM waktu itu) bertanggungjawab. Pindaan itu cuma melibatkan kod etika dan tingkah laku agar institusi Raja-Raja tidak menyalahgunakan kedudukan. Seingat saya, pindaan berkenaan berkaitan dengan kekebalan diraja yang tidak membenarkan sebarang tindak-tanduk raja disabitkan di mahkamah. Raja-Raja dan kaum kerabat mempunyai kekebalan undang-undang sehingga jika ada kesalahan jenayah yang berlaku, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya atau sesiapapun tidak boleh mengambil tindakan undang-undang. Oleh kerana ada kes-kes tertentu melibatkan perlakuan jenayah serius, atas kesedaran bahawa sebarang perbuatan jenayah harus memberikan keadilan kepada mangsa, maka Tun Mahathir memindah perlembagaan yang membolehkan perbuatan jenayah dapat disabitkan, dibicarakan agar tidak berlaku sebarang percanggahan dalam kod etika dan Hukum Islam. Pengubalan itu sendiri bertujuan untuk memelihara KEHORMATAN institusi Diraja daripada dipertikaikan sehingga membawa kepada kejatuhan sebagaimana yang berlaku kepada pemerintahan monarki di Nepal. Ini bukan untuk menghancurkan malah untuk mengukuhkan isntitusi diraja agar sentiasa terpelihara. Dan sehingga kini institusi beraja bertahan memayungi negara. Ampun Tuanku! Patik pacal hina menjunjung ke bawah duli. Mohon belas kasihan, patik mencelah. Dirgahayu Tuanku.

2. Kita tidak lupa Mahathirlah orangnya yang menghancurkan institusi kehakiman dengan pemecatan haram Tun Salleh Abas;
Pemecatan 'haram' Tun Salleh Abbas? Benarkah kerana pemecatan individu inilah yang benar-benar membawa makna kehancuran kepada seluruh institusi kehakiman? Apakah pemecatan itu dilakukan dengan tidak bersebab? YB bercakap mengenai badan kehakiman yang mana YDPA mempunyai kuasa memperkenan lantikan Ketua Hakim Negara, dan pemecatan Tun Salleh Abbas berpunca daripada kurang senang YDPA waktu itu terhadap Tun Salleh Abbas. Adakah YB telah meminta perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia menyentuh semula kes Tun Salleh Abbas dengan melemparkan tuduhan bahawa kes pemecatan tersebut YB kaitkan dengan kehancuran institusi kehakiman yang diketuai oleh Agong sendiri? Kes tersebut melibatkan privasi AGONG KETIKA ITU!!! Tun Salleh Abbas menegur YDPA berkenaan bunyi bising diakibatkan oleh kerja-kerja baikpulih kediaman Agong. Pemecatan sebeginikah yang membawa kepada KEHANCURAN badan kehakiman? Majlis Peguam menyentuh mengenai agama Islam, apakah klasifikasi YB akan kes ini? Bukankah sikap Majlis Peguam ini dengan sendirinya juga memberi kesan kepada kredibiliti badan kehakiman itu sendiri?

3. Kita tidak lupa Mahathirlah orangnya yang mencemar institusi Islam; menghina Nabi, memecat Mufti dan mempertikai hukum Islam;
Saya tidak berniat untuk menyentuh kes ini kerana saya adalah Non-Muslim. Biarlah Anda sesama Islam memikirkan, menghalusi dengan hemah berkaitan statement YB ini.

4. Kita tidak lupa Mahathirlah orangnya menghancurkan kuasa politik Melayu dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya setelah pembangkang menang besar dalam pilihanraya 1999 sehingga menyebabkan tidak ujud lagi kawasan majoriti Melayu mutlak, sebaliknya pengundi bukan Melayu menjadi pengundi penentu;
Apakah tujuan persempadanan semula kawasan pilihanraya? Bukankah ini bersebabkan alasan yang kukuh bahawa HANYA PENGUNDI YANG BERDAFTAR di kawasan tersebut sahaja dibenarkan mengundi. Pengundi yang bukan berdaftar di kawasan berkenaan kena memberikan undi di tempat asal mereka (mereka bukan tidak dibenarkan mengundi pun!!). Bukankah persempadanan semula telah memberi manafaat kepada PR dalam menawan 5 negeri dalam PRU12 baru-baru ini (malah kemenangan PR lebih besar daripada kemenangan pembangkang tahun 1999)? Undi yang diberikan kepada PR bukan ditentukan oleh kuasa politik Melayu. Persepsi rakyat yang berbilang bangsa terhadap perubahan yang akan menentukan siapa yang lebih layak menerajui kerajaan. Bahana yang lebih besar yang sebenarnya LEBIH MEROSAKKAN POLITIK MELAYU atau dalam mana-mana bangsa dunia pun ialah ketamakan, kerakusan, kemewahan, keangkuhan, ketaksuban, fitnah tomahan, pergeseran sesama manusia tanpa noktah. Jika gejala ini dibuat perbandingan, apalah sangat persempadanan semula pilihanraya???

5. Kita tidak lupa Mahathirlah orangnya yang mengajar kita kurang ajar dengan bersikap kurang ajar terhadap YAM Tunku Abdul Rahman;
Jika benarlah persepsi YB akan konsep 'kurang ajar', dan jika itulah yang dikatakan kurang ajar, masihkan saudara beranggapan bahawa YB telah mendapat ilham untuk melakukan pula sikap kurang ajar atas alasan YB telah diajar untuk melakukannya?? Serendah itukah martabat manusia sehingga boleh dijustifikasikan sebagai boleh melakukan kurang ajar dan boleh meneladani kerana orang lain telah melakukannya? Contohnya: (Konteksnya saya ubah sedikit) saya tidak lupa si A lah yang mengajar saya membunuh kerana si A telah melakukan pembunuhan terhadap si B? Serendah begitukah kita sehingga boleh semudah meneladani pula sikap orang lain? Jika demikian di mana kekuatan akal kita? Oh! maksud YB, YB mengaku YB adalah produk kepada sikap kurang ajar, begitu? Dan saya rasa tidak!. Tidaklah pula saya mengiakan kenyataan YB bahawa Tun Mahathir bersikap kurang ajar. Saya ingin tahu apakah sikap kurang ajar sebenarnya yang telah dilakukan terhadap YAM Tunku Abdul Rahman? Berikan sejarah yang berdasarkan fakta, bukan emosi kerana berlainan fahaman politik.

6. Hari ini kita melihat Mahathir bercakap dan berkokok seolah-olah beliau bersih suci dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan; sedangkan tangan beliau kotor berlumuran dengan najis-najis mengotorkan Islam dan bangsa Melayu.
Sekali lagi, sebenarnya hal yang melibatkan dosa pahala, kotor-suci saya sentiasa permudahkan dalam akal saya. Tidak ada sesiapa pun yang TIDAK MELAKUKAN DOSA. Sedangkan YB sendiri tidak akan mengatakan 'saya BERSIH DARI DOSA' dan dengan itu saya berhak mengatakan Tun Mahathir kotor dan berlumuran najis yang mengotorkan Islam dan Melayu'. Saya juga adalah manusia yang lemah di hadapan Tuhan. Saya berhak ditegur. YB BERHAK menegur demi kebaikan jika orang lain melakukan kesilapan. YB TIDAK BERHAK mengambil sikap MENGHAKIMI.

7. Kepada Mahathir saya nasihatkan supaya ..bertaubatlah..gunalah masa tambahan yang diberi ALLAH untuk menambahkan 'amal ibadah..
Ini saranan YB. Pada peringkat ini, saya sentiasa berusaha memusabahakan diri. Nasihat yang YB berikan ini juga sangat berguna untuk saya dan diri YB sendiri. YB lebih memahami konteks nasihat ini dan YB juga tidak dapat lari daripada saranan YB sendiri.

8. Rumah dah nak halau pergi..kubor dok panggil mari-mari..
Hanya ini sahaja yang MAMPU SAYA KATAKAN... AJAL di tangan TUHAN. YB memandang remeh kehidupan yang dianugerahkan ALLAH kepada orang lain.

9. MAHATHIR..PLEASE KEEP QUIET..
Apakah track record YB dalam Malaysia untuk menyuruh seorang negarawan seperti Tun Mahathir supaya menutup mulut daripada memberikan nasihat, kritikan dan idea? YB sendiri tidak terdaya untuk menutup mulut daripada memberikan idea, kritikan dan pendapat terhadap orang lain. Saat ini pun saya sedar bahawa saya sendiri telah memberikan maklumbalas terhadap artikel YB. Maknanya saya, YB, Tun Mahathir atau sesiapapun tidak dapat tidak, akan memberikan reaksi sama ada bentuk kritikan, idea atau pendapat. Atas kapasiti begini, saya tidak boleh mengambil pendekatan untuk meminta YB ... PLEASE KEEP QUITE. YB BERHAK untuk bercakap bagi pihak YB.

Thursday, October 23, 2008

Josef Fritzl: I Was Born To Rape

Mann!! This is scariest as hell!!! I read the news. Shocking! He describes himself as a 'born rapist' and blaming his mother for his behaviour.He needs psychiatrist! Currently, Mr Fritzl faces up to 15 years in prison if he is convicted of raping his daughter. He deserved a life sentence! The case of the 73-year-old Josef Fritzl has stunned all over the world. He kept his his daughter locked in an underground cellar for 24 years. One of his daughter, Elisabeth gave birth to seven children by him. Three other had to grow up in the dungeon. One died shortly after birth.
This case took too long. What are they waiting for? I say HANG the guy. NO! just trow him in jail! .We're dealing with human life here! I feel sorry for the poor kids.

Tuesday, October 21, 2008

Menu Jam 5 pagi..

Seawal jam 2.30am, seorang kawan muncul di muka pintu ofis. Saya sedang leka memerhatikan beberapa tugasan untuk saya selesaikan petang selasa nanti.
"Nasi lemak?" Kawan tersenyum.
"Err... kenyang lagi." sambil tersengih saya menunjukkan perut kembung.
"Tidak apa. Saya belanja." Kawan ni membalas senyuman dengan wajah ikhlas.
Sebentar tadi pinsan-pinsan jemput keluar makan jam 10pm di sebuah kedai masakan steam fish di sekitar Taman Miharja, Cheras. Kenyang lagi.
"Belanja?. Terima kasih." Kataku tertawa kecil sambil menyambut sebungkus nasi lemak. Boleh menggalas perut kemudian nanti, fikirku. Perkara yang sangat sinonim dengan kenangan saya di tanah semenanjung ialah hidangan nasi lemak, yang menjadi satu kemestian oleh masyarakat Melayu ketika hendak bersarapan atau pada waktu rehat kerja petang hari. Saya mula-mula memijak bumi semenanjung, perkara pertama yang saya lalui ialah bagaimana saya hendak menghabiskan nasi lemak. PEDAS! Tapi sedap dan menyelerakan. Makan separuh, terpaksa menyejukkan bibir yang 'kepanasan' dengan hembusan nafas terburu-buru. Jika tidak tahan dengan pedas yang meluap, sekejap hilang sekejap mengganas, terpaksa tekap ke bibir dengan botol mineral sejuk. Legaaaa.. Haha...
Sebab itu, tabiat buruk saya ketika makan nasi lemak ialah menghabiskan secepat mungkin. Lajuuu... Konon-konon boleh skip penangan pedas. Nak jadikan cerita, perut pula yang meragam marahkan mulut yang tidak mengunyah. Adesss!

Generasi Bambarayon Terakhir

Gambar ini saya ambil menggunakan kamera Pentax milik seorang kawan. Klasik melihat aksi mereka mengingatkan saya jauh menerawang ke desa. Suasana begini sudah lama terlepas daripada pandangan saya sekian lama. Para nenek yang tertawa mesra sambil menepuk bahu rakan-rakan veteran yang lain pada suatu majlis keramaian atau sekadar bertukar cerita mengisi waktu senja. Nostalgik melihat kawan-kawan AY meniru gaya para tua-tua kampung dengan dengan aksi tradisi sigup ditempelkan di bibir. Terlupa saya untuk apa sigup itu diletakkan di tepi mulut sedemikian rupa. Apa cerita di sebaliknya? Bagaimana idea tradisi sigup begitu boleh bermula? Tapi saya tidak pernah pun bertanya. Untuk pengetahuan, kawan-kawan AY Klang nie menggunakan buah asam boi(Sabah bilang, amoi) sebagai ganti.. ternyata melucukan, kelihatan seakan-akan. Tiba-tiba rindu pula hendak bercerita dengan nenek-nenek di kampung. (gambar ini diambil semasa AY Klang melakukan lawatan ke Penang Adventish Hospital, Pulau Pinang. Kiri: Chester, Pam, Steve dan Wayne Rubil)

Monday, October 20, 2008

Pelita Menyuluh Matahari

1. Seorang pemimpin yang bijak dalam memacu nama Malaysia melalui idea bernas yang berkelas dunia.
2. Seorang pemimpin yang terkenal dengan kritikan dan membidas ketidakseimbangan ekonomi antarabangsa, blok perdagangan yang menguntungkan negara maju , kerakusan idea kewangan barat dalam mengimplikasikan dollar dan mengambil bahagian dalam spekulasi ekonomi ke atas negara-negara miskin dan sedang membangun serta polisi luar yang tidak mengiktiraf kedaulatan negara lain.
3. Seorang pemimpin yang terkenal dengan idea pembangunan sukan berkelas dunia.
4. Seorang pemimpin yang terkenal dengan idea pembangunan yang menjana kewangan negara
5. Seorang pemimpin yang terkenal tegas, bijak, berpandangan jauh serta cekap dalam mengawal isu-isu dalam negara yang berbilang kaum
6. Seorang pemimpin yang sangat terkenal mempunyai kekuatan minda dan analitikal menangani kemelut dalam negara serta aktif dalam memberikan pandangan berhubung beberapa krisis antarabangsa
7. Seorang pemimpin yang berjaya dalam penjenamaan Malaysia melalui beberapa siri kejayaan daripada menghasilkan kenderaan sehinggalah kepada pengiktirafan institusi pendidikan di mata dunia
8. Seorang pemimpin yang terkenal mempunyi misi dan visi yang jauh melangkau masa, dan wajah kejayaan masa depan pentadbiran Malaysia telah tersergam melalui keindahan Putrajaya.
9. Seorang pemimpin yang berjaya membawa kestabilan politik dan pembangunan infrustruktur negara melalui daya kepimpinannya yang dinamik, progresif dan bertanggungjawab dan dilaksanakan melalui etika kerja yang cekap dan efisien.
10. Dan sehingga kini, masih ada pihak yang boleh bertanya "Siapa dia??"

Wednesday, October 15, 2008

Sketsa Hujan Pagi Rabu

Jam 11.45 pm, Cheras berubah wajah. Bagai sudah dijangka, memandang ke langit gelap, lebih gelap daripada kepekatan malam yang sudah-sudah, langit yang sekian lama sarat terbeban akhirnya pecah terluka dibelah halilintar. Deru angin dan jeritan petir memuntahkan amarahnya bersama terjahan sejuta airmata tidak tertahan menghambat gunda ke muka bumi.
Aku yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja terpaksa mencari ruang berteduh. Mujur sempat membawa diri ke stesen Petronas berdekatan. Semakin lebat, lebat dan lebat. Pepohon bertukar haru biru. Tidak mengerti kenapa arah dahannya berantakan, sibuk tidak menentu. Seakan-akan membenarkan suasana alam yang kacau bilau, limpahan neon yang sebelumnya santai menyuluh jalan, bergelap mengambil bahagian menawar diri meniup samboyan bala tentera kegelapannya membawa sangkakala permusuhan, menambah sejumlah keributan ke seluruh kawasan lokasi tempatku mengusilkan diri, seluas 5 kilometer agaknya , merayap mengasak seluas arena. Terjadilah satu sketsa bagai itu medan para sang penguasa alam siapa dapat memburukkan wajah juita malam pagi rabu, seburuk untuk tatapan mata manusia kerdil. Hasilnya, percaturan alam maya menjadi, mengapungkan berpuluh kenderaan yang tidak tahu-menahu nasibnya akan berkesudahan begitu. Dua, tiga kenderaan teroleng-oleng kebingungan, menjadi mainan ombak kecil yang sudah menelan seluruh ruang jalanraya. Yang lainnya berderet, terhenti. Mati diganyang air. Kenderaan berduyun jauh nun di hujung jalan, yang bernasib baik tidak memperjudikan untung nasibnya sejauh mana keupayaan segagah nama Toyota, Mercedes, BMW, terlepas daripada ujian lasak, dilontar segugusan dilema antara ya dan tidak, merobek egois pemiliknya.
Alunan hon membingit gelojoh, menjadi musik berantai, kedengarannya rosak dan rabak, menjemput emosi menjadi bungkam dan luka parah, sahut-menyahut, bertingkah memperlekehkan kecut perut dua tiga kenderaan di depan mereka. Mujurlah untuk seketika waktu, mereka ini tidak di baris depan, belum tiba masanya, sekejap lagi akan dicabar gigi air yang menyeringai. Satu-persatu terlepas ke seberang sana, dan mereka yang tadinya sedikit rakus dengan kesombongan, bertatih-tatih, menjadi hilang punca disergah air berdansa mengalun memanggil-manggil, agar sudi ke laluan. Sudahnya, mereka tersengih. Sengih yang tak sudah. Angin yang tidak lagi sekasar tadi ternyata menyapu semangat mereka, meragut, membawanya jauh dari kotaraya. Lalu tanpa izin, hatiku membisik 'Mana perginya egomu tadi?'.
Bila alam hampir selesai berseteru, tanpa melengah waktu, aku segera bergegas ke tempat kerja, deru pecut motor pantas menghilangkan diriku ditelan gelap dan gerimis. Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Anehnya, tanpa sebab cakerawala menbuka ruangnya, menghampar permaidani galaksi. Rembulan menjengah bagai tidak apa-apa yang telah berlaku. Kuperhatikan dengan sedikit tanya, bersahaja menyuluh kemilaunya, acuh tak acuh dengan pergeseran di muka bumi sebentar tadi. Santai dengan seri wajahnya. Aku seakan dapat membaca isi hatinya 'Itu bukan urusanku. Biarkan aku sendirian dengan kecantikanku'.
Aku menjadi jengkel. Kerana aku tidak dapat menahan diri untuk berkata "Ya! Engkau terlalu cantik untuk menyudahkan kacau bilau. Tidak mengapa. Kita tidak pernah bermusuhan. Lakukanlah sesuka hatimu. Tebarkan kemilau semaumu." Ketika serinya menyapu wajahku, aku mendepa tanganku menghirup segar maya, sedaya yang mampu, jauh kukumpulkan ke sanubari, bagaikan akulah lelaki terhensem terakhir waktu itu... (Haha... buli saja ba kalau kau mick)
Selesai catatan ini, aku akan kembali dengan rutinku. Selamat malam semua. Tidur la Kuala Lumpur. Rona mekar wajahmu tercalar, keletihan.

Monday, October 13, 2008

Aku: Hari Ini Dalam Catatan

Sebatang pena biru, 5 pucuk surat rasmi, 15 keping cek, resit dan beberapa nota peringatan catatan yang saya lakukan semalam untuk hari ini. Semuanya di atas meja tanpa perhatianku sejak tadi. Kabus kelam dan sedikit gerimis merencatkan beberapa tugasan. titis-titis hujan mengamit gumamku berselang dua tiga rasa yang menerawang dalam diri. Ingatan terbuang jauh menerobos tingkap tersasar entah ke mana. "Hujan." Bisik hatiku perlahan.
Kereta peronda polis memagut pandanganku ke jalanraya. Kusandarkan sahaja seenak-enaknya badanku mencari ruang lebih selesa antara sandar dan posisi kerusi empuk. Dahiku sedikit berpeluh oleh ruang ofis yang tidak mempunyai ruang udara yang baik. Fikiran kosong. Lalu aku cuba mengisinya, mengingat-ingatkan sesuatu.
"Mama.. Rindunya." Itu perkataan pertama seingatku petang semalam ketika adik why membuka webcam laptopnya berkongsi wajah mama. Rupanya mama berada di KK sekarang. Mama tersenyum. Sekali-sekala mendekat ke telinga seperti membisikkan sesuatu kemudian mama berusaha mendekatkan wajahnya ke skrin komputer. Jelas kedut mama. Jelas juga senyuman mama yang tercabar oleh waktu. Hatiku diserang hiba. Air mata sedikit bergenang kutahan sahaja."Mama datang melawat anak-anak di KK. Mengaraun." Itulah paparan yang saya baca di skirn komputer.
Hujan lebat dan dentuman kuat halilintar mematikan seketika ingatan. Wajah alam berubah oleh hiasan yang membasah di setiap inci bumi. Saya mencapai gelas yang tertera logo UEFA EURO 2008 Austria-Switzerland lalu mengisinya dengan air panas untuk mententeramkan badan yang disergah oleh sejuk alam. Menghirup dengan hati-hati, sekali dua dan meletakkan kembali di atas meja. Jari-jemari kananku mengalun perlahan menemani count, entah betul entah tidak sambil menghayati lagu 'Sampai Memutih Rambutku' nyanyian oleh Frank Shombing.
"Bos! Telefon!" Staf keselamatan yang bertugas tidak jauh dari ofis melambai-lambai memanggilku. Berkali-kali sudah saya tegaskan usah merujuk saya dengan panggilan itu. Pada suatu hari lain saya 'bertekak' dengan mereka.
"Lain kali panggil Mike."
"Ok bos!"
"Mike la."
"Sudah biasa la bos."
"Panggil abang saja."
"Susah juga."
Saya menghela nafas dalam-dalam. Orang Nepal perasaan hormat mereka sangat tinggi terhadap kedudukan jawatan. Apa la sangat dengan jawatan yang saya pegang. Cuma skop tugas saya yang menjalankan segala tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh Site Manager tapi jawatan tersebut telah dimansuhkan. Mau tidak mau segala beban terpaksa juga saya pikul. Mungkin pengalaman begini membantu saya dalam prospek pengurusan masa depan.
"Ok la. Kalau begitu panggil saya Mike supervisor"
"Boleh juga. Terima kasih"
Mmm.. akhirnya selesai tugas saya dengan mereka. "Bos! Telefon. Madam panggil". Aduh! sekali lagi.
"Madam, Good evening. Mike here. May i help you?"
"Mike, can you come to my place. I have something important i want to talk with you"
"Errr..?" Saya melihat keping-keping cek yang masih belum saya rekodkan data dalam komputer. Ada beberapa keping cek lagi yang perlu saya catatkan dalam resit pembayaran.
"Are you free to come?"
"Oh! Yes. Sure madam. I'll be there in a minute"
Ahhh... Apa lagi ni. Saya bergegas mengambi note book kecil untuk membuat catatan butiran perbincangan dengan bos. HAH! Yang ni baru boleh panggil BOS!... Permisi...Aku akan menulis lagi di lain waktu tetapi bukan untuk catatan ini. Hehe..
Mohon mengundur diri. Selamat bertugas kawan-kawan, pinsan-pinsan khasnya untuk komuniti masin asin. Jangan kecewakan BOS anda dengan tugasan yang kacau bilau. Till then...

Agrumentasi Fasa Ke Dua

Menyandar lelah pada suatu tengahari bulan oktober
dinihari mengumpul kabus kelam luka oleh halilintar
pada hari yang aku tidak ketemu diriku
aku tidak cuba mencari jejak
kataku 'pergilah sejauh langkah mu'
dan kau hilang waktu renyai mengulit mimpi

Selesai malam mengotakan janjinya mengusir diri
kau kembali dengan pertanyaan
'siapa la aku kau biarkan menelusuri khayalanmu sendirian?
ombak pasang dalam lautan rasamu
bergelora menengelamkan aku
ribut yang kau pikul dalam gundamu
kau tidak pernah pun kisahkan kepadaku
itupun kau masih biarkan aku jauh terdampar
masih adakah ingatanmu kepadaku?'

Kepulanganmu mengusik raga
sangkaku kau cukup gagah untuk beberapa pilihanmu
pergimu pun tanpa pesan
ketika hilangmu membawa diri tanpa restuku
aku juga tidak berteman mengharungi kesukaran tanpa kata-kata doronganmu
aku tenggelam sendirian
dalam terjahan ombak yang kita pikul bersama dahulu
usikan badai yang memukul langkah kita
kau pun tidak pernah mengkisahkan kepadaku
segala rasamu sewaktu aku terbiar
kau memilih sekali lagi melangkah
masih adakah ingatanmu kepadaku?

detik itu kita sekadar membisu
menghela nafas menghantar pandangan seluas langit
pelangi itu mengukir wajahnya di awangan
dan kita memilih sekali lagi menyandar lelah
pada satu hari lain di bulan oktober
pada hari aku tidak ketemu diriku
kau memilih melangkah ke sisiku
untuk sekian masa yang sukar

lalu kataku:
'melangkahlah bersamaku'

Friday, October 03, 2008

Sesuatu Yang Pergi Dalam Sekian Waktu

Aku, seorang lelaki dan sesuatu yang hilang dari hati. Beberapa musim. Aku membiarkan kenangan itu di sini bersama waktu. Hari itu petang yang sejuk pada suatu hari yang terbiar daripada perhatianku. Itu adalah satu hari bilamana aku berjalan keluar dari kehidupanku sendiri. Seakan hilang peduli apakah arah itu salah. Sudah lama kubiarkan sahaja langkah ini pergi tanpa arah, petang itu sinarnya melirih sendu ketika aku hilang dalam gumam perasaan. Namaku tidak pernah disebut lagi sekalipun dalam bait siulan burung desa. Dan aku tidak dilihat lagi oleh mata sekalipun sinar mentari menyuluh rendang pokok yang merona merah di keping-keping daun melantun wajah senja.
Bukan aku tidak tahu semua ini.
Bukan aku tidak mendengar lonceng kristal berdenting di ruang rasa. Bukan aku tidak tahu melemparkan emosi, membebaskan lelahku ke seluas lautan, aku cuma kehilangan sebait puisi nyanyian hati. Dalam genggamanku ada gurindam cuma aku belum mengerti gemersiknya dengan tepat.
Aku ingin mendekat ke sisi, mengintai wajah yang tersembunyi...