TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, November 30, 2008

Rejimen (AW) 515 Ampang Dalam Kenangan

Pertama kali saya menyertai askar wataniah pada tahun 2001. Waktu itu ada pengambilan pelatih rekrut siri 4 2001 di Rejimen 515 Kem Ampang (AW). Saya tidak menyertai PALAPES kerana waktu itu pensyarah saya YM Lt. Raja Ibrahim yang juga merupakan Pengetua kolej tidak 'sebulu' dengan para pegawai PALAPES UPM. Atas dorongan YM Pengetua, saya menjinakkan diri dengan dunia tentera.
Semasa kursus banyak pengalaman yang saya lalui. Setiap hari seawal jam 5 pagi, kami (platoon 2) bersama 3 lagi platoon lain melakukan larian sepanjang 2km dan melakukan lebih kurang 5-10 variasi fitness yang sangat memeritkan. Muntah hijau kuning menamatkan sesi latihan fizikal. Latihan kawad kaki yang bermula daripada jam 8am berakhir jam 3pm. Panas terik dan bahang aspal padang kawad tidak payah cakap la. Rutin yang paling menyeksakan ialah tekan tubi sebanyak 100 kali setiap pagi dan petang. Setiap kali makan, beban keperitan sakit yang ditanggung bahu menyebabkan terpaksa menggunakan mulut untuk mengambil makanan atau menyua mulut ke tangan yang tidak dapat digerakkan. Bayangkanlah masa hendak memakai baju. Rakan-rakan tidak dapat bantu. Sepanjang berada di kem, kami diajar cara menggunakan pelbagai jenis senjata seperti M16, Stayer, LMG. Kami juga melakukan latihan menembak di lapang sasar di Kem Sungai Besi dan mempelajari teknik menembak waktu malam, menembak jarak 150 meter, 100 meter dan 50 meter. Yang menariknya ialah sesi menghabiskan peluru hidup yang tidak habis digunakan semasa latihan. Pertandingan menembak piring berlangsung di antara penembak handalan dari kalangan pelatih, jurulatih dan pegawai. Saya berpeluang untuk mengikuti pertandingan tetapi dikalahkan oleh penembak tepat Rejimen 515 haha...
Di akhir latihan semasa melakukan passing-out di hutan simpan Ulu Yam Selangor, kami mempraktikan latihan serangan ke atas kem musuh melalui beberapa taktik yang telah diajar. Ingin saya selitkan satu cerita 'lucu'. Ini adalah pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan. Pada suatu pagi selesai menamatkan latihan taktikal hutan pada hari terakhir, platoon kami diarah untuk berbaris dalam satu barisan panjang. Jurulatih mengambil bekas lalu memasukkan air dan mengeluarkan beberapa kotak ubat gigi, diperah sebanyak mungkin dan dikacau sehingga membuih. Jurulatih tersebut mengambil sebatang berus gigi dan mulai memberus gigi. Selesai memberus gigi, jurulatih meletakkan berus gigi ke dalam bekas dan memberikan kepada orang pertama sekali. "Kamu semua berkongsi satu berus gigi dan satu bekas colgate. Saya mahu semua melakukannya dan berus gigi ini kamu boleh cuci hanya di dalam bekas ini, BUAT!! sehingga kepada orang yang terakhir" Itu arahan yang membuatkan pelatih wanita menjerit-jerit. Orang yang pertama sekali tersenyum. Bayangkan la seorang demi seorang menggunakan berus gigi yang sama. Dalam satu platoon ada 33 orang. Kedudukan saya berada di nombor 22 menyebabkan tekak saya meloya. Haha... Berus gigi kena cuci dalam bekas itu juga membuatkan bekas itu semakin berbuih. Tiba giliran saya, saya muntah sekejap. Tapi terpaksa memberus gigi dengan linangan air mata yang menahan rasa loya. Akhirnya berjaya juga melepasi 'sesi paling sengsara' dan kami semua menerjunkan diri ke dalam sungai untuk 'membuang' semua kesan rasa colgate. Haha... Moralnya menurut jurulatih, supaya platoon mempunyai ketahanan mental dalam satu pasukan dan berkongsi semua kepayahan, keperitan, pengalaman untuk menyatukan semangat berpasukan.
Selesai kursus, saya mengikuti beberapa lagi latihan mingguan dan tahunan. Antara latihannya ialah jalan lasak meredah hutan tebal, latihan serang kemah musuh, latihan mempertahankan markas daripada serangan musuh dan survival 3 hari tanpa dibekalkan apa-apapun kecuali 3 batang macis dan sebilah pisau. Hajat saya untuk mengikuti latihan payung terjun tidak kesampaian. Saya terganggu sebenarnya oleh satu sketsa semasa tidur lena seminggu sebelum latihan. Semuanya bermula apabila saya didatangi mimpi seorang tua memegang saya yang hendak melangkah kaki ke gigi sungai, menghalang agar jangan turun ke sungai yang jernih dan cetek. Orang tua itu menyuruh saya supaya memperhatikan air sungai dengan hati-hati dan alangkah terkejutnya saya bila mendapati terdapat beratus-ratus bambu runcing terpacak. Mungkin sekadar mimpi tapi keesokan harinya saya menarik diri daripada latihan payung terjun.
Pada tahun 2003, saya menyertai platoon Bazooka. Orang yang bertanggungjawab untuk membawa Bazooka ialah saya. Kedudukan saya dalam platoon ialah satu posisi yang sangat terdedah dengan serangan awal musuh. Tugas utama saya ialah memusnahkan lokasi senjata berat musuh. Mujurlah Malaysia tidak seperti negara-negara lain yang saban hari terjadi peperangan. Arahan yang saya terima kali 'terakhir' saya memijak kaki di kem Ampang ialah "Anda semua adalan benteng pertama negara untuk Kuala Lumpur sekiranya Malaysia diserang musuh".
Mungkin satu hari nanti saya akan berada di barisan depan untuk Malaysia. GEMPUR WIRA!!! Apapun, semoga Malaysia terus aman dan makmur. Yang paling sukar apabila tugas ini melibatkan nyawa dan darah.

Friday, November 28, 2008

Ingin Tahu Siapa Ahli Politik Tersebut?

Politik memberikan kita pelbagai kisah dan ragam. Politik hari ini seolah-olah tidak lagi memberi tempat kepada pengertian berpolitik itu bercakap dan berkerja ke arah kebaikan. Sejak kebelakangan ini Malaysia kepanasan oleh kerakusan individu menjebak perjuangan ke gaungpolitik wang.

Sidang parlimen pula dikecohkan oleh sikap perbalahan ahli politik yang berperangai 'kebudak-budakan' dalam membahas isu. Saling membidas antara satu sama lain dengan kata-kata di luar norma. Menggelar sesama mereka dengan gelaran 'hodoh' yang tidak mencerminkan kematangan tingkahlaku. Ketidakcekapan dalam mengendalikan emosi disebabkan hanya dorongan perbezaan politik menyebabkan isu rakyat tidak dapat dibincangkan secara berhemah, terkandas oleh hingar-bingar yang remeh-temeh.

Politik jalanan pula yang sentiasa cuba memanipulasi faktor boleh dikaitkan dengan keamanan tetapi sentiasa berakhir dengan konflik dengan pihak berkuasa. Usah menjadikan Malaysia seperti apa yang berlaku di Thailand. Akhirnya jumlah yang ramai menjadi tidak terkawal. Mana-mana negara di dunia ini sekalipun akan menghadapi masalah untuk menangani emosi yang tercetus dalam kumpulan yang melibatkan ratusan atau ribuan pendemonstrasi. Bayangkan dalam masa 24 jam pendemonstrasi mengambil tempat di sekitar Bangkok SAHAJA, negara Thai kerugian RM5 juta tidak termasuk kos kerugian akibat pentadbiran yang langsung tergendala di terminal lapangan antarabangsa Thailang. Kita tidak mahu ini terjadi di Malaysia. Para pelabur tidak lagi melihat adanya jaminan keselamatan untuk 'bergelandangan' ke ruang urusniaga.

Banyak kes-kes lain yang makin mencelarukan arah persepsi politik seperti saman-menyaman, permusuhan peribadi, pertelagahan pendapat tanpa dihalusi melalui kesepakatan meminggirkan isu utama seperti keperluan rakyat dan tekanan ekonomi yang merudum.

Terbaru isu yang tersiar dalam akhbar The Star hari ini yang menyebut ada seorang ahli politik yang 'mahu bersikap baik' cuba mengatasi undang-undang dengan mencampuri tugas-tugas penguatkuasaan antaranya yang melibatkan saman. Dalam artikel tersebut Tan Sri Musa mendedahkan bahawa ahli politik berkenaan menyerahkan kepadanya sejumlah 100 saman dan meminta saman tersebut dimansuhkan kerana pesalah trafik tidak mampu membayarnya. Difahamkan kesemua pesalah trafik adalah datang daripada tempat yang mana ahli politik tersebut merupakan adun kawasan berkenaan. Ahli politik yang sama ini jugalah yang memberitahu kepada pihak berkuasa supaya tidak menyaman penungang motorsikal yang tidak memakai topi kaledar di kawasan kampung. Jika undang-undang tidak lagi mendapat tempat untuk mendidik masyarakat, bagaimana expectation kita kepada generasi seterusnya? Sejauh manakah usaha kita untuk mengelakkan kerugian nyawa yang boleh menyumbang kepada kesinambungan hayat generasi masa depan khususnya dan Malaysia amnya.

Ada yang berpendapat, itu cuma kawasan kampung. Satu kawasan terpinggir yang tidak sibuk dengan kenderaan lalu-lalang dan sudah tentunya ada tendency untuk mempunyai tanggapan potensi kemalangan diklasifikasikan kurang berisiko. Satu nyawa hilang jika itu dijadikan konteks ia cuma 'angka kecil peratusan kemalangan', ingin saya ingatkan itu tetap satu NYAWA YANG SANGAT BERHARGA. Dimanakah kesilapannya jika niat pihak berkuasa mendidik masyarakat ke arah kebaikan? Melaksanakan tanggungjawab murni itu adalah satu berkat yang tentunya menghasilkan masyarakat yang berbudaya SIHAT. Jika isu kecil berkaitan helmet ini sahaja dikompromikan dan berupaya untuk memisahkan pesalahnya daripada 'teguran' penguatkuasaan, usah mengharapkan generasi muda masa depan mempunyai penghormatan tinggi terhadap sistem undang-undang yang melibatkan isu lebih parah umpamanya penyakit kecelaruan mental dan pemupukan kendiri yang tersasar jati dirinya di atas jalanraya. Ini tidak termasuk soal menangani kebejatan dan keterpesongan moral muda-mudi.

Tahniah Tan Sri kerana berani dengan prinsip tugas dan tanggungjawab. Ingin rasanya untuk mengetahui siapakah gerangan ahli politik yang 'baik' itu...

".... kerana perintah itu pelita dan ajaran itu cahaya dan teguran yang mendidik itu jalan kehidupan...."
-Raja Sulaiman

Wednesday, November 26, 2008

Jalanraya N5 Tandek Perlukan Perhatian Segera!

Berita Perdana TV3 semalam melaporkan sejumlah RM500 juta telah diluluskan untuk kegunaan menaiktaraf dan membaikpulih jalanraya di Sabah dan Sarawak. Jika peruntukan tersebut mengikut saiz keluasan dua negeri, Sabah mungkin boleh memperolehi lebih kurang RM150-RM200juta. Saya tidak pasti kalau peruntukan tersebut memperuntukkan jumlah yang sama untuk kedua-dua buah negeri.

Harapan anak desa Tandek tentulah ingin melihat N5.Tandek menjadi sebahagian daripada 'durian runtuh' yang sekaligus dapat mengubah secara drastik sistem jalanraya. Ini sangat penting untuk mempastikan rakyat dapat menikmati keselesaan menggunakan jalan di samping manafaatnya mengembang maju sosio budaya dan ekonomi masyarakat desa. Yang Berhormat Anita Baranting, N5. Tandek ada permintaan (SEDAR la bahawa permintaan ini sudah berulang-ulang);

1. Ambil langkah proaktif, ubah wajah Tandek

2. Guna undi rakyat dan bersuaralah di DUN, jadikan sebahagian daripada peruntukan ini menyuntik nafas kemajuan di kawasan Tandek

3. Jalankan fungsi sebagai Yang Berhormat- berkerjalah untuk rakyat khususnya di N5. Tandek

4. Gunakan sepenuhnya bahagian peruntukan ini dengan idea yang bernas serta niat yang jelas dan jujur

5. Berikan perhatian pembangunan infrustruktur yang adil untuk semua desa di seluruh kawasan N5.Tandek

Dan harap YB dapat fikir-fikirkan;

1. Ke mana arah peruntukan untuk adun N5. Tandek rm400k untuk penggal ini?

2. Jumlahkan keseluruhan peruntukan yang ada sebelum ini dan YB lihat la di mana nilainya wajah N5. Tandek sekarang yang boleh disamakan dengan jumlah peruntukan tersebut?

3. PBS melaungkan menifesto memperjuangkan kemajuan, dimanakah yang dapat YB beritahu kepada kami bahawa ada yang boleh DIKATAKAN 'itu' atau 'ini' adalah hasil menifestasi perjuangan PBS untuk kami amat-amati?

4. Sudah berapa penggal PBS memijak kaki di kawasan Tandek? Hampir 24 tahun! Lebih kurang 5 penggal. Mengapa warga desa belum juga terhenti tangisan mereka? Mengapa warga desa yang terlalu keletihan menderita TAPI TIDAK berhenti-henti BERTANYA tentang hak pembangunan dan kemajuan? 24 tahun YB..... 24 tahun pertanyaan kami tidak berubah. Baiki dan turap jalan utama dan jalan yang boleh menghubungi desa terpinggir, bekalan elektrik diperlukan untuk memberikan cahaya dari desa ke desa, menyuntik pertanian melalui teknik dan teknologi moden, menaiktaraf sekolah-sekolah luar bandar, program belia berteraskan modal insan, bantuan pendidikan untuk keluarga miskin serta pusat pengembangan ilmu seperti perpustakaan.

Saya tidak tahu sejauh mana cekapnya langkah YB Anita Baranting memberikan reaksi yang responsif untuk N5. Tandek terhadap rangsangan peruntukan besar seperti ini? YB, jumlah peruntukan dan beberapa tambahan peruntukan lain pasti menerbitkan pelbagai reaksi rasa dan menggugat 'kestabilan emosi'. Warga desa mengharapkan reaksi yang betul arahnya.

Burger King... Badan Pun Ikut King!!

Haaa.. (menghela nafas panjang-panjang. Mau menggeleng-geleng kepala tapi burger dalam otak menyergah membuatkan saya tersenyum.). Jarum timbangan melurus ke angka 92kg. Naik lagi berat badan!. Tidak adakah yang bila makan ni tidak effect berat badan? Haha.. Mengarut betul soalan ni. Bernafsu sangat la tu makan. Awal tahun ni ada la sekejap mengamalkan diet. Dalam sebulan berjaya mengurangkan berat badan ke 86kg. Berat badan yang ideal 80 - 85kg. Tapi mama bilang saya kelihatan kurus waktu berat badan saya pernah mencecah ke 80kg. Malam tu juga mama buat Nestum sebab tidak tahan tengok body yang menurun drastik. Hahaha... Bangun pagi pun sudah kena sedia Nestum. Adeh! Tak sesuai ka kelihatan 'kecil sedikit' daripada biasa? Lucu juga mengingatkan mungkinkah minuman Nestum tu boleh dengan sekelip mata mengubah 'panorama' yang tidak biasa pada pandangan mama. Bapa pun tanya "Cukup makan ka?". Ada riak risau di muka bapa. Kesian pula rasanya, percubaan diet saya mengundang kebimbangan. Saya dapat membaca benak mereka ada pelbagai persoalan melihat saya yang jauh di rantau orang.

Sekarang ni saya senyum semacam ja. Sudah lama tidak jogging di Taman Tasik Permaisuri, Cheras. Ditambah dengan minat makan burger, lagi la kannn. Kalau saya ada kesempatan balik semasa Krismas nanti, saya cuba la juga turunkan beberapa kg. Sekurang-kurangnya 4-5kg. Dalam keadaan berat badan saya sekarang ni pasti akan mengundang pelbagai nasihat. "Selalu check tekanan darah'.... 'Jaga kesihatan'... 'Jangan tambah berat badan'... 'Kawal pemakanan'... 'Jangan ikut nafsu'... macam-macam la lagi yang perlu saya catatkan dalam nota ingatan.. Nak mengekang makan ni yang buat perut saya aktif melempias enzim yang tidak diundang dan... dan... saya tiba-tiba entah macam mana boleh 'tidak sedar' bila pula masanya saya buat pembayaran untuk sebungkus burger tengah-tengah malam nie. Tu tak termasuk MACAM nak order lagi tu.. Hehe. Heran jugakan? (Kes heran diri sendiri la nie. Sengaja). Sedap baa.. hehe

Thursday, November 20, 2008

Ragam Kota...

Ramai yang merasa lega dengan pengumuman harga minyak baru yang mencatat angka penurunan kembali ke paras RM2.00 per liter. Selepas ini harap para peniaga bolehlah menurunkan harga barang dan makanan. Baru-baru ini saya ke kedai mamak untuk menapau nasi berlaukkan seketul daging ayam goreng dan sayur. Bila saya tanya berapa RM5.00!!! Kotigog juga la.. Saya tanya kenapa mahal sangat? Mamak kaunter tu cakap "Lain worang saya kira RM5.80 sen. Awak regular customer ada sikit kurang la..". Adess... Beli sajalah. Bising-bising sudah hati saya tidak mau lagi datang itu kadai.
Saya kurang faham sikit la orang meniaga ni. Besok umum harga minyak naik, terus ja inda tentu arah, melatah kasi naik harga. Melambung-lambung lagi tu. Bila harga minyak turun, yang paling susah pula peniaga mo buat ialah kasi turun harga.

Wednesday, November 19, 2008

DragonFly...

Waktu kecil-kecil dahulu, ada satu teka-teki 'bodoh' kami sesama adik-beradik yang berbunyi begini 'Dari jauh macam helikopter, sudah dekat bukan pula..." Hahaha... Naif betul bunyi teka-teki ni. Lupa pula nama menatang ni (sebutan di kampung apa aa?) kecuali urang putih bilang Dragonfly la. Another good shot.. Ni gambar adik saya Nuar yang ambil menggunakan camera digital Canon Power Shot IS tapi agak tidak bernasib baik angle/posisi menatang ni landing tidak mampu memberi ruang untuk mendapatkan cahaya yang lebih baik. Kebetulan ternampak semasa saya dan Nuar merayau-rayau di sawah padi menguji daya kreatif mengambil gambar. Hanya gambar 'meniti horizon' yang saya postkan sebelum ini, itu sahaja yang 'baik' yang berjaya saya ambil. Nanti dalam bulan 12 ini, kalau ada kesempatan balik kampung lagi, pasti seronok untuk sekali lagi memulakan lebih banyak siri 'merayau-rayau' menguji teknik menangkap gambar.

Tuesday, November 18, 2008

Makna Kehidupan Di Balik Horizon

Gambar ini saya ambil ketika saya berkesempatan balik ke kampung beberapa bulan lepas. Ia memberikan sejuta macam rasa. Segala-galanya bermula di sini, sebahagiannya adalah saya dan catatan beberapa nota melangkau masa. Yang mana satu gambar sebenar rumah jika meniti garis horizon? Mudah dikesan kalau diperhatikan sebenarnya ada objek yang hilang hehe.. Kawasan di sekitar, cerita banjirnya baru selesai. Sisa-sisa banjir yang ada saya ambil kesempatan untuk merakamkannya dari satu sudut yang hasilnya membuatkan saya tersenyum sendirian... Garis horizonnya menakjubkan dan menggamit kenangan.

Sunday, November 16, 2008

Ingin Tahu...

Saya percaya N5. Tandek dalam setiap penggal ada peruntukan yang diluluskan untuk adun di samping beberapa inisiatif tambahan untuk menyuntik keupayaan dalam menjana kemajuan kawasan. Sejauh mana peruntukan tersebut telah DIGUNAKAN? Sejauh mana perancangan berdasarkan peruntukan sedia ada telah DILAKSANAkAN? Apakah sejumlah peruntukan tersebut hak manafaatnya benar-benar DINIKMATI sepenuhnya oleh rakyat N5.Tandek?
Persoalan terbesar ialah apakah PENGAUDITAN telah dilakukan untuk memastikan bahawa fokus peruntukan tersebut benar-benar telah memenuhi objektifnya sebagaimana yang telah diamanahkan serta memantau cara penggunaan dan pengurusan wang agar tiada unsur penyelewengan? Apakah perlaksanaannya setimpal dengan peruntukan yang telah disediakan?

Wednesday, November 12, 2008

N5 Tandek 'Sunyi' Di Dewan Undangan Negeri

Sunyi? Senyap? Tidak ada idea di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN)? Bagaimanakah kawasan N5 Tandek dapat diberikan nafas pembangunan jika wakil rakyat yang dipilih tidak bersuara di peringkat DUN? Saya tidak pasti sejauh manakah kebenarannya bisik-bisik yang mengatakan Adun N5 Tandek tidak proaktif setiap kali DUN bersidang. Jika wakil rakyat tidak ada karisma untuk memperjuangkan kawasan pilihanraya yang dimenanginya, mengapa perlu melibatkan diri dalam politik? Apa sebenarnya yang ada di dalam kerangka pemikirannya ketika mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini? Barangkali jika menang, banyak jalan kemewahan yang boleh dilalui, dijenguk-jenguk. Mungkin terbayang-bayang berapa banyak pintu emas yang boleh dibuka. Atau mungkin bermimpi awal Briefcase sudah dipenuhi dengan kertas-kertas projek dan terasa bahang komisen yang bakal memberatkan kocek.
Jika dalam kempen, ada kesanggupan bersengkang mata, meredah kampung dan bermandikan terik mentari, hujan dan lumpur untuk bertemu rakyat, kebetulan pula di dampingi pemimpin besar mengaum ke ceruk desa, meminta simpati agar diberikan sokongan undi, memberi janji dan mengwar-warkan menifesto yang sedap halwa mendengar, kemudian meraih keseronokan bersorak kemenangan, hasilnya membisu di ruang DUN sekadar memikul rasa bangga digelar Yang Berhormat, berbaloikah sikap 'kecut perut' begini untuk N5 Tandek yang selama ini bersatu memberikan undi? Lebih menyedihkan bila pilihan yang ada sekadar termanggu, membiarkan corong mikrofon membisu tanpa membawa khabar tangisan rakyat? Kaku oleh hawa dingin DUN atau mati akal atau tidak mengerti bagaimana menonjolkan personaliti diri sebagai pejuang rakyat, sekadar mendengar kesungguhan ahli Yang Berhormat dari kawasan pilihanraya yang lain berhujah memperjuangkan nasib rakyat yang dahagakan perhatian dan hak pembangunan, saya tidak tahu. Namun yang jelas, keterampilan politik begini tidak akan membawa N5 Tandek melangkah ke depan akibat kegagalan dalam menafaatkan sepenuhnya program-program pembangunan kerajaan yang telah tersedia. Fikir-fikirkanlah wahai N5 Tandek!
Mau tidak mau N5 Tandek akan berterusan menadah air mata, tangisan derita warga desa yang selalu tidak dihargai, menangisi kesilapan berulang tetapi belum sampai hati untuk mengubah 'sesuatu' kerana ada semacam sentimen yang sudah sebati atau prospek untuk tidak mengkhianati kesetiaan kerana 'kekebalan nilai rasa' yang memandang parti ini parti PBS, kerana parti ini dalam komponen BN. Kerana parti ini parti orang dusun. Kerana parti inilah yang telah diyakini, dipandang oleh peringkat negeri dan persekutuan sebagai rakan yang sah kepada saluran pembangunan dan bantuan kewangan untuk projek-projek desa kerana alasannya parti ini dalam kerajaan yang memerintah. Lagi pun orang kita juga bah!. Ingin saya ingatkan nilai rasa yang menebal seperti ini sudah semakin MENIPIS, menunggu masa dan kini diperhatikan dengan hati luka, terluka dan dilukai (luka lama berguris belum sembuh!) .... Jangan Yang Berhormat Puan Anita Baranting tidak sedar bahawa N5 Tandek sudah terlalu lama bersabar dan kini meniti ke penghujung untuk setia! Adun N5 Tandek, fikir-fikirlah... bahawa kami TIDAK SUKAR untuk membuang kesetiaan jika anda tidak progresif.
Sampai bila Yang Berhormat N5 Tandek menjadikan ini sebagai landasan yang membutakan intergriti dan jati diri, tidak merasa risau ditolak di tempat sendiri kerana sindrom yang bergantung kepada kewujudan sentimen kuat seperti ini.. Bukankah ini satu asas yang baik untuk terus bertahan dan mempertahankan wadah perjuangan politik PBS - 'YANG TABAH UNTUK RAKYAT' yang pada hemat saya cukup menyentuh hati (suatu ketika dulu) dan sesungguhnya saya tidak faham mengapa YB N5 Tandek tidak melihat ini sebagai satu kekuatan politik untuk berdamping dengan rakyat melalui perancangan yang berkarisma, berjalan bersama-sama dengan kepercayaan rakyat melalui idea-idea yang keramat untuk bumi sendiri!
5 tahun tidak lama untuk menghukum. Ada beberapa wajah di kalangan warga desa N5 Tandek yang lebih bersungguh-sungguh malah mempunyai karekter yang lebih agresif, berketerampilan sama ada mereka ini berada di pihak pro kerajaan atau pro pembangkang yang bakal memberikan cabaran. Dengar-dengar khabar, mereka sudah bergerak dalam satu kumpulan gerak kerja bersepadu, menjelajah kampung ke kampung sejurus selepas pilihanraya yang lepas. Semangat mereka ini kental, lebih pragmatik. YB, reaksi mereka responsif terhadap keluhan rakyat dan tentunya kesungguhan beginilah yang mendapat tempat di kalangan rakyat untuk memberikan batu nisan terhadap kesetiaan kepada Parti PBS.
Jika YB N5 Tandek sekadar mahu melihat ada sejarah yang boleh dikenang-kenang, dibangga-banggakan sebagai satu kisah turun-temurun kepada generasi sendiri bahawa anda pernah memiliki rekod menang sebagai calon, tidak mengapa. Tidak ada apa yang N5 Tandek boleh buat. Undi sudah memenangkan anda. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, 5 tahun tidak begitu lama untuk menghukum!

Happy Birthday Bro. Jack

Maaf kerana catatan ini terlalu ringkas untuk mengucapkan selamat hari lahir buat seorang abang yang banyak menyemaikan semangat dan membantu pada waktu kami, adik-adikmu memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk dorongan nasihat dan material. Semoga apa sahaja yang diusahakan akan sentiasa memberikan hasil terbaik. Kami sekalian komuniti masin-asin mendoakan kesejahteraan hidup dan segala yang terbaik dalam keluarga Jack. Kami sangat berbangga memiliki seorang abang seperti Jack dan pastinya anak-anak kesayangan Jack, Adrian dan Adriyson bersama isteri sentiasa memberikan inspirasi dan penyeri di sisi Jack dan sekaligus menjadi sinar dalam satu keluarga besar yang selalu berkampung di ruang tamu nun di desa sana. Tuhan memberkati...

Tuesday, November 11, 2008

Khabar Dari Kampung

Ayah, Ibu... Saujana padi yang menghijau ini adalah lambang segala kegigihan dan semangatmu waktu usia mengasak kudrat. Tenaga yang kumiliki belum tentu dapat memberikan pemandangan sawah padi secantik begini. Maaf kerana anak mu yang merantau jauh ini tidak berkesempatan untuk menjadi sebahagian daripada usaha yang menakjubkan ini. Ibu sering katakan "Mick, ini tangan Tuhan yang membantu". Iya, ini kata-kata yang tidak akan kulupakan. Dulu, bersama-sama dengan adik, kakak dan abang sering berkesempatan selalu bersama-sama ayah dan ibu menyekah peluh di bendang menghabiskan kerja terakhir sebelum senja ditelan malam. Kini, telah 10 tahun sawah hanya ditemani keringat ibu dan ayah namun terus memberikan hasil yang baik. Betapa sisa tenaga dan usahamu menerbitkan ketakjuban tanpa anak-anak di sisimu.
Tuhan, Engkau lebih mengerti segala keperluan kesihatan ibu dan bapa. Dalam doa kami anak-anak, di hujung jari-jemari-Mu la tempat kami bergantung harap dan kasihan agar kedua-dua mereka sejahtera dalam perhatian-Mu.

Monday, November 10, 2008

Sembang Ex Gratia

1. Selepas mengetahui nilai ex gratia RM10.6 juta diberikan kepada 6 bekas hakim berkenaan, hanya ini yg saya dapat ekspresikan.. WOW!! Unexpected!! .. yang kaya bertambah kaya. Rakyat yang bersusah payah membayar cukai merana dan bertambah sengsara oleh keadaan kos hidup yang menghimpit. Tanpa ex-gratia inipun kemewahan hidup bekas hakim2 berkenaan sudah lebih daripada cukup utk mengatur segala keperluan mereka dan tidak mungkin mereka mempunyai masa memberitahu kepada diri mereka sendiri apakah erti kesukaran ketika dilimpahi harta kekayaan. Apakah mereka berpeluang mengeluh kerana dibebani masalah kewangan yang kritikal menanggung makan minum, pakaian, wang persekolahan anak2 sebagaimana yang difahami, ditangisi oleh rakyat miskin?

2. Kemudian saya tertanya-tanya mengapa ex-gratia diberikan sedangkan mereka ini menikmati pencen sejak 20 tahun yg lalu? Pencen sahaja menyamai gaji eksekutif. Ketika sebahagian besar rakyat berusaha kais pagi makan pagi, kais petang makan petang malah kais pagi dan kais petang tapi makan untuk esok harinya, bekas hakim ini masih boleh makan angin ke luar negara, memancing dengan bot mewah atau memperbaiki pukulan golf...

3. Kenapa perlu bayar ex-gratia ketika kerajaan mengatakan mereka ini sebenarnya bukan dipecat atau digantung perkhidmatan mereka? Apa yang releven sebenarnya pembayaran tersebut dibuat? Sekadar untuk mengambil/menjaga hati pihak terbabit dengan menggunakan wang rakyat yang sepatutnya manafaat tersebut lebih besar boleh dinikmati oleh golongan yg lebih memerlukan?

4. Tun Salleh Abas (tersiar dalam tv3) semasa satu majlis 'memohon maaf' yang diorganisasikan oleh bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim kepada hakim yg dipecat ada mengatakan 'permohonan maaf sudah memadai dan hati cukup lega dan akhirnya dapat membersihkan nama setelah menangungnya selama 20 tahun".. Kalau permohonan maaf sudah memadai, mengapa perlu membazir?

5. Jika diteliti, pampasan ini memberi impak yang negatif terhadap cara pengurusan wang oleh kerajaan. Saudara-saudara sekalian fikirkan la, ex-gratia melibatkan sejumlah wang yang begitu besar. INI BARU SOAL BERCAKAP TENTANG MENJAGA HATI PIHAK TERTENTU. Nak jaga hati orang ni.. dah membazir rm10.6 juta. Kalau dari segi inipun boleh melibatkan wang yang banyak, tidak perlu la bercakap soal korupsi. Memang lagi la...
6. RM10.6 juta jika dibuat pelaburan untuk generate wang pasti memberikan manafaat kepada Malaysia. Jika tidak pun, untuk menaiktaraf hospital, membantu memberikan prasarana kepada rumah-rumah kebajikan, menaiktaraf jalan kampung atau membaikpulih sekolah-sekolah di pendalaman dan sebagainya. Kerajaan nak ajar rakyat, menyeru supaya berjimat cermat tapi tindakan ex gratia tidak sensitif terhadap perasaan rakyat. Jika wang ini disuntik untuk pembangunan rakyat miskin, tidakkah lebih melegakan bila ramai keluarga miskin yang dapat diselamatkan
7. Dalam konteks 'memulihkan kredibiliti badan kehakiman', tribunal diraja atau suruhanjaya siasatan bebas lebih sesuai untuk melihat apakah benar pemecatan hakim ini menyalahi peraturan. Ex gratia? Inikah yang dapat mengembalikan fungsi kepada badan kehakiman?
8. Jika wang kerajaan terlalu banyak sehingga tidak tahu ke mana harus wang tersebut digunakan, pergilah kepada pakar atau orang yang lebih berpengalaman, terbukti arif dalam mengurus negara dan mintalah nasihat. Usah mengikut akal sendiri kelak nanti rakyat akan memberikan nasihat dan pengajaran yang lebih pedas dalam pilihanraya akan datang

Sunday, November 09, 2008

Obama Mania

Saya tidak dapat berhenti menulis setakat ini sahaja mengenai Obama yang memberi impak terbesar dalam sejarah kempen Rumah Putih khususnya dan ombak Obama meriak menyapu seluas bumi.
Saya sangat tersentuh, semacam memberikan keharuan yang menyesak dalam sanubari bagaimana dunia melihat seorang lelaki seperti Obama...
Di satu sudut di bumi Amerika di sebuah bangunan Lincoln Memorial mereka bersatu memberikan sokongan kepada presiden Obama dengan statement - Congratulation President Obama - Change Won't be Easy but... TOGHETER, AS ONE WORLD, YES WE CAN!
Di kawasan Asia Barat, kawasan yang sudah lama sinonim dengan perasaan kebencian terhadap Amerika, seorang lelaki yang memiliki sebuah salun kecil di Kaherah mengatakan beliau sangat lega dengan kemenangan Barack Obama. "Melihat Obama seperti melihat diri sendiri - memiliki wajah seperti kita, salah seorang daripada kita dan memerintah dunia. Obama, dengan anda semoga akan menamatkan kekecewaan kami dan biarlah kami merasa selamat dengan anda"" Demikianlah bagaimana rapatnya penerimaan mereka terhadap Obama dalam emosi mereka yang selama ini keras membeku terhadap apa sahaja perkara yang boleh dikaitkan dengan Amerika.
Seorang aktivis dari Mesir yang kerap menjadikan Amerika sebagai sasaran kritikan, beliau berkata " Saya menitiskan air mata apabila mengetahui Obama menang kerana ia memberikan kepada saya satu harapan baru bahawa orang yang baik akan menang, yang mana dalam dunia ini orang baik jarang menang"
Jika rantau ini yang telah bergolak zaman berzaman, dikeraskan hati mereka dengan permusuhan dan hilang hormat akibat penindasan kuasa dan kerakusan mampu memberikan ruang kepada kata-kata terbaik seperti ini, ia harus juga dapat memberikan satu dimensi selangkah ke depan bahawa sebenarnya bumi ini sentiasa ada ruang untuk satu masa yang aman dan sentosa jika masyarakat lebih sedar akan keperluan untuk saling hormat-menghormati dan saling mengasihi sesama.
Kemenangan Obama membuka pintu hati perbezaan dan semoga pentabiran beliau akan membawa keada keadaan lebih bertambah baik dalam erti kata permuafakatan atas dasar rasa hormat di antara bangsa-bangsa dan seluruh kerajaan.
"Jika musuh menampar pipi kirimu, berikan juga pipi kananmu" - siapa dapat membalas kejahatan dengan kebaikan, siapa yang dapat bersabar dengan kemarahan, siapa yang dapat menangani kekerasan hati dengan kelemahlembutan, siapa yang dapat menyuluh lidahnya daripada kata-kata pedas, siapa yang dapat memberikan akal budi terhadap langkahnya......... ia memelihara dirinya daripada KESUKARAN.

Friday, November 07, 2008

YES WE CAN! - Barack Obama

Tahniah Barack Obama! - Beliau mengukir kisah yang luarbiasa sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Sejarah mencatatkan Senator ini sebagai orang berkulit hitam pertama memegang tampuk kuasa yang didominasikan oleh kulit putih dan harapan besar kini benar-benar digantungkan kepadanya. Kejayaan beliau diraihkan oleh seluruh dunia. Rakyat AS merasai perubahan besar dan sama sekali meminggirkan persepsi perbezaan kulit yang menebal di kalangan White man. Belum pernah dalam mana-mana sejarah pemimpin AS yang menang diraihkan sedemikan rupa. Jika anda memerhatikan wajah Barack Obama, anda pasti akan dapat memahami mengapa beliau begitu disenangi ramai. Terkenal dengan slogan kempen Rumah Putih - YES WE CAN!, ungkapan ini menular ke Benua Eropah dan jeritan slogan ini menjelajah ke Asia merentasi bangsa-bangsa. Kemenangan beliau disambut dengan pujian melambung para pemimpin dunia.
Cabaran besar menanti beliau. Dunia memerhatikan apakah idea yang akan keluar dari benaknya sejurus mengambil alih kerusi presiden. Beliau mewarisi masa depan Amerika Syarikat yang tidak menentu tinggalan oleh dasar pemerintahan Georgh Bush JR yang kurang cekap. Keadaan ekonomi dunia yang menjunam memerlukan kejelasan analitikal minda dan fikiran yang dapat mengjangkakan arah yang tepat dalam menangani pelbagai kemelut dalam negara dan antarabangsa. Hala tuju dan kerangka dasar luar yang bagaimanakah diamalkan olehnya berkaitan dengan dasar luar negara terhadap Liga Arab dan Dunia Timur khususnya mengenai konsep ciptaan barat yang trauma dan menjadi bangsa paranoid akibat perkataan ini - TERRORISM. Daripada isu Palestin sehinggalah kepada menyelami rayuan masyarakat AS agar dikembalikan anak-anak mereka yang jauh 'berkelana' di bumi Iraq sekaligus ke arah memberikan impak pembebasan dan mencuci calar-calar penjajahan - tangan-tangan para ibu dan bapa pejuang AS menyatu rapi tersusun tertib dalam satu doa dan pengharapan besar mahu melihat anak mereka di muka pintu. Rakyat yang tertindas oleh kerakusan dasar luar AS juga menadah tangan mahu dikembalikan bumi asal mereka. Lebih besar lagi, seluruh dunia mahu melihat sejarah pertumpahan darah yang menguris kedaulatan negara-negara lain tidak berulang lagi. Barack Obama.. ANDA MAMPU! dan ANDA BOLEH!
Selamat Maju Jaya PRESIDEN OBAMA!

Thursday, November 06, 2008

Self Potrait

Jika aku memilih untuk bersengketa dengan diriku sendiri, siapakah yang akan menang?

Monday, November 03, 2008

Gelora

Pagi ini aku bangun, pesan yang kuterima seusai lenaku bagai menjauhkan aku dari satu makna mimpi yang belum selesai. Baru saja langkah ini hendak menusuri titian rasa, bakal jejakku bersambut kabus yang menutupi jurang, sekadar kulewati perlahan, diintai percikan dan suara air yang mendesah nun jauh ke bawah, sayup-sayup diasak jeram bebatuan. Gerakku bertatih-tatih melewati satu ruang antara degup jantung dan rumpun emosi yang merimbun di dasar sanubari, diasak lumut licin membasah ke telapak kaki, bila-bila masa menghumbanku ke curam ternganga. Aku bukan tidak pernah gagal mengentarinya...
Pesan mimpi pagi ini membungkam jiwaku.. Ada semacam pergumulan yang memberikan tentangan ketika aku cuba untuk mengerti diriku sendiri. Jiwaku pagi ini, pesan itu menusuk perlahan, menguji semua kata-kata yang tidak terbatas di medan hati.
Dan aku sekali lagi, perlu bersabar membina keyakinan untuk sekian banyak pesan yang kusimpan.

Saturday, November 01, 2008

Ghaiter Vocal Band: Yes I Know... (Att: Ms. Mimie)


Lagu ini nyanyian oleh Ghaiter Vocal Band. Empat orang anggota kumpulan yang 'menyempurnakan' persembahan lagu Yes I Know melalui suara yang harmonis. Tadinya sempat YM dengan Ms. Mimie dan saling bertukar-tukar beberapa buah lagu. Video Clip ini gagal dipindahkan melalui YM disebabkan mungkin failnya yang terlalu besar. Inisiatif melalui blog ini akhirnya berjaya juga saya upload lagu ini untuk Ms. Mimie. Selamat mendengar. Lagu ini juga ditujukan kepada semua AY Klang Church.