18A1: Antara Kualiti, Karekter Dan Intelek
Pencapaian cemerlang dalam bidang akademik menjadi kayu ukuran yang mutlak sebagai syarat terbesar untuk mengisi medan penghormatan tanpa batas. Tidak boleh tidak standard yang dijadikan piawaian kredibiliti seseorang atas nama sebuah kejayaan MESTI direalisasikan atas kepingan slip keputusan yang terbaik.
Kesungguhan yang sebenarnya jika tidak berhati-hati, di kelilingi kealpaan komuniti antara keperluan moral, etika, jati diri, pemerolehan intelek dan kerja keras tanpa didikan yang berhemah dan hasrat perkembangan minda tidak seimbang. Ibubapa cenderung untuk mengorientasikan hala tuju anak-anak mereka agar harapan tinggi mereka HARUS DITERJEMAH kepada menghasilkan produk pendidikan pintar. Pelajar yang masih 'muda usia' digerakkan oleh satu permintaan 'keras dan mesti' digalaskan beban ke bahu usia yang mentah.
Mahu tidak mahu, pelajar ini membesar dalam intepretasi salah, memacu cita-cita menghambat kepantasan masa, mengubah kelembutan minda mencantum akal ke dunia ketakutan dan kemahuan dan dimensi mental mereka dipenuhi dengan ilusi masa depan yang mereka hanya faham sebagai satu perintah di hujung 'pedang' semata-mata, bukan satu galakan yang bistari. Pembelajaran seimbang tentu sahaja umum sedia maklum antara penerapan kekuatan sahsia, kuasa rohani, kecekapan mental dan kendiri pelajar yang diperoleh melalui satu kerjasama ilmu mendidik, dididik, pendidik dan pedidikan yang dikecapi melalui akal fikiran yang bijak.
Produk pelajar pintar jika tidak dilentur dengan kaedah berhemah, falsafah pendidikan negara akan mengalami kegagalan, menenggelamkan potensi lain dalam diri pelajar yang mampu mengangkat nilai murni yang menyokong serba-serbi kehidupan.
Jangan sampai mereka terlupa dididik menjadi pelajar waja diri untuk berdepan dengan 'keputusan yang kejam' bukan kerana kita mahu mengingatkan mereka mungkin akan gagal di sebalik keazaman untuk mahu berjaya. Jangan sampai mereka tidak faham untuk menghadapi kenyataan di sebalik keyakinan yang tinggi. Jangan sampai membuatkan mereka lalai bahawa mereka perlu memulakan 'pendakian' lagi setelah melalui klimaks, yang sebenarnya baru sebahagian kecil daripada episod dunia pendidikan dalam usaha mereka mengejar kejayaan. Sebab hal ini mengingatkan saya pada 2 minggu lepas kejadian pelajar cuba membunuh diri terjun dari tingkap kerana terlalu tertekan dan malu tidak mendapat keputusan yang baik...
Apakah yang sebenarnya yang ada di benak pelajar ini sehingga cenderung menganggap cetakan slip keputusan sebagai akhir kepada hidupnya? Tidakkah kita gerun dengan perspektif seperti ini? Fikirkanlah sejenak. Ada kerja yang perlu difikirkan oleh warga pendidik untuk menyekat potensi 'kecil' kekacauan minda ini daripada menjadi penyakit yang merugikan negara.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home