Bicara BOLA
Kemelut FAM yang memualkan
Jose Mourinho - Chelsea
---------------
Bertalan Bicskei - Malaysia
Kedua-duanya adalah jurulatih yang memiliki pengalaman luas dalam arena bolasepak antarabangsa. Ketika ini, seluruh dunia mengkagumi apa yang telah dilakukan oleh Jose Mourinho terhadap kelab Chelsea. Intipati kejayaan Mourinho ialah tahap kemampuan pemain yang mencukupi untuk menggalas standard taktikal yang disediakan. Nasib berbeza dialami oleh Bertalan ketika mengendalikan pasukan kebangsaan Malaysia. Terkini, Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamatkan tugas beliau selaku jurulatih kebangsaan ekoran persembahan buruk pasukan bolasepak Malaysia Bawah 23-Tahun. Bertalan Bisckei kini diberikan peranan baru iaitu merangka program pembangunan sukan bolasepak Malaysia jangka panjang. Persoalannya, benarkah sumbangan Bisckei sebagai jurulatih kebangsaan Malaysia yang baru sahaja berusia 18 bulan adalah sesuatu yang disifatkan terlalu mengecewakan? Alasan FAM ialah Bisckei tidak mampu lagi menjalankan tugas sebagai jurulatih. Hanya satu perkara yang tidak dilakukan oleh Bertalan iaitu mempertahankan diri sebagaimana yang dilakukan oleh jurulatih England, Sven Goran Ericksson.
Secara jujurnya, pemain kebangsaan kitalah yang sebenarnya tidak mampu melakukan tugas dan arahan jurulatih. Tahap kemampuan pemain kebangsaan tidak dapat menyerap standard kejurulatihan yang disediakan oleh Bertalan. Kekurangan skil, tahap stamina sekadar mampu berlari kosong, kurang kreatif adalah masalah utama para pemain kebangsaan kita. Lihat sahaja ketika aksi Piala Tiger yang membabitkan pasukan negara dengan pasukan Indonesia yang berkesudahan pasukan kita tumpas dengan jaringan 4-1. Aksi para pemain ketika melorong bola kepada rakan kelihatan seperti seolah-olah "Alamak! kawan bagi bola la. Gawat ni!!.. hantar balik bola cepat-cepat, mamat indon ni dah mai la pulak". Maka tidak hairanlah kalau bola hantaran singgah ke kaki lawan atau bergolek ke ruang kosong yang menyusahkan rakan lain. Bila lawan membawa bola, para pemain kita tidak dapat sembunyikan kegopohan dalam mengawal situasi dan bahasa tubuh pemain kita seolah-olah berkata "Ahh... sudah!! dia bawa bola mai posisi aku pula". Maka berlakulah aksi tackle yang tidak berdisiplin. Pemain kita sememangnya tidak memiliki skil atau kemahiran individual yang cukup untuk bersaing di peringkat antarabangsa. FAM harus menyalahkan diri sendiri. Bertalan Bisckei tidak harus diperlakukan sedemikian.
Ketika FAM pening melihat statistik persembahan bolasepak kebangsaan, penulis berpendapat perkara yang paling asas dan sangat penting dalam usaha membangunkan bolasepak ialah memiliki padang bola yang 'sempurna'. Keduanya, mengeksport pemain muda berpotensi ke seantero dunia jika bukanpun bermain mewakili kelab tersebut tetapi sekurang-kurangnya beroleh peluang menjalani latihan secara profesional dengan kelab terbabit. Dan yang ke tiga, para pemain harus memiliki inisiatif tambahan memajukan skil selain waktu latihan bersama jurulatih. Semoga suatu hari nanti, Malaysia akan muncul lagi mewarnai persada bolasepak antarabangsa sebagaimana zaman Allayarham Mokthar Dahari & Co dahulu.
Bilakah sejarah Olimpik Moscow berulang?
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home