TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, April 29, 2007

Pelaburan Internet?


Kelmarin saya terbaca artikal beberapa akhbar tanah air yang menyentuh tentang isu pelaburan di internet yang mewar-warkan pelabur mula kepeningan kepala angkara ditipu oleh syarikat pelaburan terbabit. Antara lainnya artikel itu menyebut pihak berkuasa telah menyekat laman web tersebut daripada terus diakses oleh orang ramai bagi mengelakkan berlakunya penipuan. Saya ingin memetik beberapa daripada tulisan artikel tersebut;
"....... Dua bulan yang lalu, impian sebahagian penduduk kampung Bukit Kapar di sini, mahu menjadi kaya sekelip mata sehingga di kalangan mereka sudah mula goyang kaki kerana yakin pelaburan mereka melalui skim internet membuahkan hasil. Bagaimanapun impian tersebut kini ibarat 'pungguk rindukan bulan' apabila beberapa laman web skim pelaburan itu telah ditutup oleh pihak berkuasa...."
Setakat ini, maklumat yang diterima skim pelaburan internet laman web terbabit tidak dapat diakses bukan kerana pengendalinya cabut lari, cuma aksesnya sahaja dihalang dan laman web tersebut masih boleh dilayari jika pelanggannya mengakses di luar jaring Malaysia.

Saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana pelaburan internet sekalipun dipelawa oleh beberapa rakan. Saya lebih suka memilih menyimpan wang dalam SSP (Sijil Simpanan Premium). Cuma apa yang ingin saya sentuh ialah wajarkah pada waktu ini kita mengatakan para pelabur internet ditipu syarikat yang menawarkan perkhidmatan sedemikian sedangkan pada hakikatnya laman web berkaitan sekadar disekat oleh pihak berkuasa tempatan daripada terus diakses oleh orang ramai atas alasan bertentangan ajaran Islam.

Persoalannya, adakah sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa yang menyebabkan para pelabur maya tidak dapat mengakseskan laman web tersebut dan kesan sekatan menyebabkan mereka kehilangan wang pelaburan, mengesahkan bahawa laman web itu telah melakukan penipuan? Tujuan sekatan dan jika perlu dihebohkan di akhbar harus dengan persepsi yang betul. Pendekatan sekatan harus berlandaskan niat laman web itu benar-benar menipu dan dibuktikan menipu. Jika sekadar disekat belum tentu itu satu penegasan penipuan. Oleh itu lebih mudah menulis yang boleh menggambarkan maksud "web itu disekat kerana hasil keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan bertentangan dengan ajaran agama'. Saya tidak nafikan itu tetap satu bentuk penipuan tetapi penipuan yang saya anggap dari segi moral, aqidah dan kredibiliti untung yang boleh dipersoal dari segi agama (bukan penipuan yang pengendali web pelaburan mendapat untung, kemudian ditutup dan pelabur ditinggalkan)

Di mana kesukaran pihak berkuasa sebenarnya menggunakan kuasa untuk menjalankan fatwa ulama yang mengatakan pelaburan internet itu haram.... daripada menghebohkan dan kemudian mengenakan sekatan terhadap laman web terbabit kerana pada hemat mereka melakukan penipuan (bukankah lebih baik memberikan penekanan yang mudah -itu HARAM!) Tidak sukar mengenakan sekatan sebenarnya, TIDAK SALAH mengenakan sekatan dan gunapakai pendedahan berterus terang, berani menyatakan secara terbuka di dada media massa bahawa itu hasrat kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf pelaburan sedemikian disebabkan pelaburan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam (berunsurkan riba) daripada mengambil jalan pintas menuding pelabur maya menjadi mangsa penipuan. Saya percaya perlaksanaan sekatan ini melalui 'attitude' yang merefleksikan cara, sebenarnya tidak mengundang sebarang masalah orang ramai menghalang hasrat mereka daripada terlibat dalam bentuk pelaburan sedemikian. Melainkan tiada campurtangan pihak berkuasa, jika benar laman web pelaburan itu sendiri menjalankan aktiviti yang disahkan penipuan atau amalan pelaburan yang boleh menyentuh sensitiviti agama, maka wajarlah serangan balas daripada autoriti yang bertanggungjawab di Malaysia dilancarkan, mengistiharkan perang terhadap web pelaburan terbabit.
Lakukanlah sesuatu cara dengan lebih berhemah dan blog ini tanpa berbelahbagi menyatakan sokongan sebarang perlaksanaan kerajaan Malaysia dan mengharapkan ada langkah-langkah daripada kerajaan menyenaraikan mana-mana laman web pelaburan yang tidak diiktiraf di samping menyediakan info inisiatif pelaburan demostik sebagai cara sokongan kerajaan terhadap revolusi pelaburan yang semakin menyemarak di bumi Malaysia. Kerajaan Malaysia harus melakukan sesuatu, mengambil peluang atas kegairahan anak-anak bangsa yang semakin ramai yang celik pelaburan. Usah menunggu sehingga membuang waktu menjemput atau dijemput sidang akhbar hanya semata-mata berulang kali menasihati dan mengingatkan masyarakat zaman berzaman bahawa mereka ini menjadi mangsa penipuan.
Kawan-kawan, bolehlah melakukan sesuatu yang lebih baik dalam perancangan kewangan di saluran yang tidak merisikokan wang (dengan maksud risiko yang tidak perlu). Ada banyak risiko lain yang boleh diuji yang boleh kita 'hulur'kan wang dan menukarkannya menjadi 'kuasa' yang menguntungkan.
Ada pepatah mengatakah 'The man who will take the risk can change the world'... Fikirkan apakah bentuk risiko yang dimaksudkan itu, yang boleh mengubah dunia dan menjadikan anda World Wise Man, jika tidak pun wise man sudah memadai..
Tulisan ini tidak bermaksud menyinggung para sahabat, sekadar keinginan saya untuk menulis dan anggaplah ini sebagai pesan seorang teman baik kepada teman baik.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home