TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, December 02, 2009

Antara Pijak Gambar, Doa Bala, Bakar Gambar dan Chin Peng

Ini bukan budaya kita. Apapun perbezaan pendapat dan platform politik dan ketidakseragaman karekter minda, usah mempertaruhkan sesuatu yang tidak memberikan gambaran baik untuk diwarisi generasi politik masa depan.

Pijak gambar dan bakar gambar, satu tindakan yang tidak mengaplikasikan kematangan. Apa lagi kapasiti anda dilihat sebagai pemimpin. Budaya pijak gambar biasa dilihat di sesebuah tempat yang 'terdidik' keras oleh sistem masyarakatnya yang penuh kacau bilau, pemberontakan dan tentangan bersifat kepuakan, puluhan tahun membentuk, mendasari karekter pembentukan negara. Malaysia, sebuah negara dimatangkan oleh dayaharmoni intelek dan upayaminda yang tidak bersekongkol dengan racaukukubesi. Mengapa mengundurkan akal ketika negara kini tahu membicarakan kedewasaan di dalam sistem demokrasinya? Perbezaan aplikasi politik bukan memberikan ruang mewacanakan kepimpinan seperti ini. Kenapa tidak sahaja jadikan polemik ini mudah? Seperti anda mencengkam rakyat dengan kematangan kepimpinan dan kerja dan selebihnya biar rakyat tentukan siapa lebih layak hilang daripada 'gambar' dalam barisan kerja parti.

Doa yang sebaik-baik doa ialah tunduk syukur kepada Tuhan. Munajat puji-pujian. Memanjatkan kesejahteraan. Menginginkan kebaikan. Mengangkat harapan yang menyembuhkan. Menangisi kesalahan dan menganjurkan keinsafan. Selebihnya kita hanya makhluk yang memerlukan pedoman dan inspirasi di dalam setiap tatalaku dan ketika mengupayakan akal di dalam sebarang tindaktanduk, cara dan memutuskan langkah ini bertunjangkan kebistarian.

Chin Peng dan Komunismanya yang menabur darah dalam sejarah yang menyatukan negara Malaysia. Sekilas hukum kasih, pengisiannya memperbolehkan extremist ini layak untuk diberikan peluang kedua. Diperbolehkan untuk kembali ke Malaysia. TAPI..... mana agamapun, menganjurkan supaya hukum dunia harus juga diberi tempat- 'hormatilah pemerintahmu'. Iaitu hukum atau dasar yang membolehkan keadilan ditegakkan. Chin Peng jika mahu kembali pulang, haruslah dibicarakan atas kesalahan jenayah perang yang dilakukannya. Dan jika hukuman dijatuhkan setelah melalui hak penghakiman dan mengambil kira kesan yang ditanggung oleh sejarah hayat negara dan mangsa kekejaman, Chin Peng harus dikenakan tahanan dalam jarak takrif pihak berkuasa atas faktor usianya. Memadai untuknya mencium bau tanah kelahirannya sendiri. Namun... derita mangsa dan betapa sukarnya sejarah negara Malaysia dilakar seperti hari ini, sebarang keputusan kerajaan perlulah dihormati. Larangan untuk tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, satu langkah wajar yang memberi kredit kepada pengorbanan pasukan keselamatan, nasionalis dan termasuk puluhan ribu rakyat yang tidak sepatutnya hilang nyawa oleh idea dan propaganda komunisma.

Tabik hormat untuk pasukan keselamatan dan simpati mendalam kepada mangsa kekejaman komunis. Dalam darah warganegaraku, bendera Malaysia kukibarkan gagah dan megah. Dirgahayu Tuanku!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home