TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, March 21, 2006

Senyuman - dunia mental yang positif VERSUS misteri psikologi

Satu daripada hakikat emosi yang melantunkan ekspresi jiwa, bergantung kepada maksud di sebalik kemahuan untuk senyum. Biasanya, mental yang halus, bersih, jujur dan positif merupakan interaksi kuasa yang luarbiasa yang merangsang mood untuk tersenyum atau ingin memberikan senyuman. Dengan sendirinya kemahuan untuk tersenyum atau menghadiahkan senyuman dapat difahami apabila dipacu oleh situasi kehendak untuk apakah kita tersenyum.
Misteri secara biologisnya pula menjalar memintal perhatian di antara hubung kait di antara senyuman dengan ekspresi wajah yang di perantara oleh saraf dan pekerjaan otak. Wajah yang bengis bila marah. Wajah yang murung bila bersedih. Wajah yang relaks bila menikmati panorama fauna. Wajah yang ketakutan apabila bersalah. Wajah yang terperanjat apabila disergah. Wajah yang dungu ketika ditinggalkan kekasih. Di antara sekian banyak ekspresi emosi ini, anehnya, masih juga mampu 'dibahasakan' melalui senyuman.... Kemampuan pelbagai emosi menjengahkan diri melalui senyuman menyeret tatapan yang mengundang misteri dari sudut psikologinya. Marah tetapi melontarkan senyuman... Masih tersenyum walaupun dalam ketakutan. Tersenyum di kala kedukaan.. Tersenyum di sebalik perasaan malu.. Kecewa tapi tersenyum. Reaksi sinis tapi tersenyum. 'Senyum sorang-sorang' tanpa sebab? :) Atau klasifikasi senyum manis, senyum simpul, senyum korporat, senyum seleberiti.. Atau bagaimanakah senyum boleh terjadi ketika 'berwajah masam' yang kemudiannya dipanggil sebagai 'senyum masam'?
Keajaiban dan keberadaan 'senyum' ini kemudiannya mengalir, berterusan dan bersilat makna pula di gelangang personifikasi, umpamanya kota yang tersenyum, alam yang tersenyum, cahaya yang tersenyum di beranda, senyum pertiwi dan sebagainya. Sehinggakan pada satu tahap, kemurnian senyuman itu mencapai kelas 'dewa-dewi'. Senyum yang memberikan nafas kepada kematian. Senyum yang memberikan kesembuhan. Senyum yang 'membunuh' konflik. Atau minda pujangga yang memilih untuk berkata 'Senyum ibu adalah senyum yang menghantar ke syurga'. Hakikatnya kehadiran perkataan senyum itu sendiri wujud di 'segenap tempat yang ada'....

Apapun yang diperkatakan tentang senyuman, keberadaannya adalah satu SENJATA untuk memulakan apa sahaja. Untuk dipercayai dan mahu mempercayai, untuk menyayangi dan disayangi, untuk satu kejayaan atau berusaha untuk berjaya. Atau dalam proses untuk membangunkan usaha pengendalian diri. Umpamanya menunjukkan ketabahan, kekuatan, semangat, kemahuan dan apa sahaja dikala berjuang memenangkan jiwa dan minda yang sarat dengan derita, keluh kesah dan penat lelah.

Kita sebenarnya bukan mahukan misteri yang sekadar menambahkan lagi 'ketidaktahuan' fenomena senyum, walaupun kita tidak menolak 'harus ada misteri' untuk menjadikan hidup ini penuh dengan pencarian jiwa berwarna-warni. Kita perlukan senyuman kerana senyum itu satu DIDIKAN.

Oleh itu, dengan ikhlas, walau santai begitu sahaja....

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home