Nyawa Harus Hidup
Jumaat petang minggu lepas, berakhir episod seorang pemimpin yang pernah berkuasa secara total ke atas pentadbiran Iraq. Secara peribadi, saya tidak pernah bersetuju dengan kekejaman yang pernah dilakukannya semasa zaman pemerintahan beliau.
Saya tidak pernah lupa ketika beliau mula-mula memegang tampuk kuasa, dalam satu perhimpunan yang disiarkan di kaca tv, beliau mengumumkan satu-persatu nama-nama yang disyaki mengkhianati beliau untuk dibawa keluar dan dibunuh. Tidak cukup dengan itu, beliau menubuhkan satu kumpulan rahsia untuk terus memburu saki-baki penentang beliau. Perang Teluk juga mengingatkan saya akan kekerasan hati beliau dan antara prosedur luar negara yang tidak dapat juga saya persetujui.
Kejatuhan pemerintahan Saddam ke tangan pihak barat yang ditunjangi oleh AS dan Britain menjadikan beliau sekadar individu yang diburu oleh kematian. Video klip yang tersebar luas di internet ketika hukuman gantung dijalankan ke atas Saddam membuatkan jantung global berdebar kencang. Siaran secara terbuka menyaksikan anugerah nyawa boleh diambil begitu sahaja. Kecaman demi kecaman menguasai media dan udara tetapi tidak mendapat perhatian daripada pemimpin negara yang mengalami pengalaman dasar luar dan kepentingan peribadi di Asia Barat yang dicengkam trauma oleh karenah Saddam.
Tidak ada sesiapa yang berhak ke atas anugerah nyawa termasuk diri sendiri. Kelemahan manusia ialah tidak mahu mengerti yang hak yang paling teratas ke atas nyawa ialah menjaga pemberian ilahi. Kita sekadar menumpang nafas dan dibenarkan hidup. Sebarang hukuman yang melibatkan insiden 'memisahkan nyawa dari badan' adalah tragis. Memadailah dengan hukuman seumur hidup atau sepanjang hayat.
Tidak kira rakan atau musuh, kesedaran memiliki nyawa itu harus menjadi pemisah dalam setiap pertimbangan dan emosi.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home