TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, May 07, 2008

Kopivosian Tadau Ka'amatan

AMARAN!! ... Gambar ini cuma hiasan, sekadar terasa sinonim dengan tradisi menjelang Pesta Menuai. Blog ini tidak menggalakkan aktiviti lumogop hehe!!. Jika ada aksi mengaramai ti, segala emosi dan perlakuan adalah tanggungawab anda sendiri. Bukan tidak boleh, cuma saya katakan nikmatilah dengan gembira. Selamat menyambut Pesta Ka'amatan di semua peringkat. Sememangnya Pesta Menuai sentiasa menjanjikan pengalaman yang klasik daripada seni muzikalnya dan tarian, pertemuan dengan Yang Berhormat sehinggalah kepada ramah tamah kaum yang pelbagai. Berselang seli dengan senyuman hujung minggu, bertanya khabar di antara jabat tangan yang erat, aksi rokok daun para gundohing, menginggat di bawah pohon rendang sambil asyik menghembus asap menikmati alunan kulintangan, hiruk pikuk di gerai jualan seribu juadah, kemudian antara sedar dan tidak beberapa episod hati anak muda dicengkam gundah gulana lantaran terpanah oleh lambaian ratu pada suatu petang penentuan untuk ditabalkan sebagai Unduk Ngadau Ka'amatan. Ah! senyuman demi senyuman dibahasakan di bibir merah setiapkali para jelitawan tampil anggun mengatur gemalai sambil memantrakan lenggok mengadunkannya dengan keasyikan dalam setiap bahasa tubuh menghias pentas dan mengasak setiap degup jantung seluas arena. Barangkali itu yang membuatkan para juri tidak keruan gerangan siapakah pemenangnya.

Redup dan sejuk bayu gemalai menidurkan bayi di pangkuan sang ibu yang santai sambil berkongsi, mendengar atau mengkisahkan kembali cerita silam dengan para ibu-ibu yang lain atau panorama jari jemari lembut menyekah rambut di dahi sang sumandak, dengan wajah yang merah dicabar mentari, berdiri dalam beberapa kelompok, sekali sekala dihujani siulan pemuda yang tercabar dan gagal menduga emosi juita. Semangkuk gisak diusung oleh seorang anak muda lalu bila ditanya katanya 'pusas ba, untuk kesihatan'. Usah terperanjat jika ada lagu yang berkumandang di tengah padang oleh sang pujangga yang bersendirian tertewas oleh penangan singgarung, terbaring atau terhuyung hayang. Bulan Mei jika tidak mendengar gemersik lagu Tadau Tagazo Do Ka'amatan tidak akan lengkap untuk memujuk emosi kepulangan ke desa. Jangan lupa menyajikan cuti-cuti anda dengan tariang Mongigol. Sekali sekala cubalah tarikan titikan pinakang bersama keluarga atau rakan sekampung atau sesiapapun.

Tradisi pesta ini sebenarnya terlalu mengharukan emosi dan mengusik jiwa anak-anak momogun. Jika anda sudah lama tidak pulang ke desa, pulanglah. Sekali lagi kukatakan, NIKMATILAH dengan syukur di bumi bertuah, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.
Kheeheeei!!! hehe sudah lama tidak mamangkis. Sampaikan salam untuk Bobolian. KOPIVOSIAN TADAU TAGAZO DO KA'AMATAN OM TOUN WAGU

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home