Sembang-Sembang 2005
Setahun berlalu, tragedi menyayat hati yang meragut nyawa 250,000 orang kembali diingati ketika pintu 2005 hampir tertutup rapat. Gerbang 26 Dec 2004, antara kisah yang menyentuh rasa dan trauma yang menjadi mimpi berpanjangan, kita yang melihat peristiwa itu antara hampir 'disergah' atau bernasib baik melihat dari jauh, mengambil waktu berfikir sejenak, berkongsi pilu dan simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa Tsunami. Semoga mereka tetap tabah, bersandar pada Ilahi dan terus memiliki kekuatan untuk percaya bahawa mereka perlu meneruskan kehidupan. - Amen
Entah, sejak membaca berita mengenai 'perkahwinan' sivil seleberiti terkenal Elton John, hati ini terlalu gelisah, marah, dan hilang kata-kata. Mana tidaknya, pengertian perkahwinan yang suci murni, satu anugerah kehidupan yang terlalu luarbiasa, kini menjadi tidak berharga langsung angkara moral segelintir manusia yang memilih membelakangi kejadian sebenar etika manusiawi . Hari Jumaat minggu lepas, saya terbaca berita dalam The Star komen seorang pembaca yang mengelarkan dirinya anonymous mengatakan " perkahwinan mereka (Elton John dan pasangannya juga seorang lelaki!!) tidak salah malah menepati status perkahwinan iaitu bersetuju untuk hidup bersama, berdasarkan cinta sejati dan kasih sayang". Poof!! sekilas lalu dalam fikiran mengharapkan tidak ramai yang berpendapat begini di bumi Malaysia. Orang biasanya akan berkata"Nak peduli apa! Lantaklah. Suka hati dia".... Hmm.. nak kata macam mana lagi. Hanya Tuhan yang tahu kemarahan dan keresahan yang tidak akan selesai dalam jiwa ini. Argghh!! *%&^%*&$#....
Sejak kebelakangan ini, beberapa peristiwa besar telah menggegar meja menteri, editor media, penguatkuasa undang-undang, hakim, peguam dan meragut tumpuan sehingga ke ceruk desa sejauh yang mampu digapai oleh media massa. Antaranya, Isu naked squat, wajarkah cara begitu diguna pakai? Menurut sumber polis, 'ketuk ketampi' adalah satu prosedur bertujuan untuk mengeluarkan objek yang tersembunyi dan merupakan alternatif yang sangat berkesan. Prosedur tetap prosedur, tidak boleh dihentikan dan cara yang berkesan perlu diteruskan. Tetapi apa yang harus diberi perhatian ialah sikap anggota polis terbabit yang merakam insiden tersebut. Rakaman video tersebut untuk tujuan apa? Sikap inilah yang harus disekat.
Mayat pendaki everest menjadi rebutan antara keluarga Koperal M.Moorthy dengan JAWI. Kes begini bukan tidak pernah terjadi sebelum ini tapi kerana M.Moorthy merupakan antara wira everest yang menjadi tumpuan media sebelum ini, menjadi semakin 'sensasi' apabila isu perebutan hak menguburkan mayat sekali lagi menjadi tumpuan media. Haruskah perbalahan seperti ini berlaku? JAWI tuntut hak menguburkan mayat M.Moorthy mengikut cara Islam kerana alasan M.Moorthy syadh memeluk agama Islam, manakala keluarga M.Moorthy pula menuntut mayat dikebumikan oleh ahli keluarga M.Moorthy sendiri. Akhirnya, seperti yang diketahui JAWI mendapat hak mengebumikan mayat M.Moorthy. Persoalannya;
1. Jika M.Moorthy sudah memeluk agama Islam, mengapa JAWI tidak melakukan tindakan untuk memaklumkan keluarga M.Moorthy?
2. Ketika M.Moorthy sakit, adakah JAWI terlibat dalam menjaga makan minum dan segala ubat-ubatan dan kos yang perubatan yang ditanggung oleh M.Moorthy?
3. Adakah ketika M.Moorthy sedang koma, JAWI ada menjenguk untuk allayarham (saya menyebut allayarham sekadar menghormati keputusan mahkamah)?
4. Ketika allayarham sakit tenat, adakah JAWI pergi ke rumah keluarga M.Moorthy untuk memberi bantuan umpamanya majlis bacaan doa memohon kesejahteraan kesihatan pesakit?
5. Sepanjang kegetiran M.Moorthy ketika melawan, bertahan nyawa untuk terus hidup, adakah JAWI bersama dengan pesakit memberi sokongan atau bersusah payah untuk menjaga pesakit?
6. Jika semua di atas JAWI tidak terlibat langsung, justeru, kenapa ketika allayarham menghembus nafas terakhir di bawah jagaan rapi dan sokongan kasih sayang daripada keluarga M.Moorthy, JAWI mencelah untuk menuntut hak mengebumikan mayat M.Moorthy? (JAWI haruslah memiliki tanggungjawab konsisten ketika semasa hidup seseorang sejurus dia memeluk Islam, dalam senang susah, dan bukan setelah berlaku kematian, barulah hak JAWI diperjuangkan sehabis-habisnya dan nilai kekeluargaan mudah diketepikan begitu sahaja!)
TAKZIAH untuk keluarga M.Moorthy. Pesan untuk ibu M.Moorthy 'ketenanganmu dan ketabahanmu, inspirasi yang indah yang akan diam di sanubari generasimu.'
Dunia tanpa perang - Alangkah damainya bumi tanpa ideologi yang percaya hanya peperangan dapat mematikan kebimbangan untuk diperangi... Para peneraju dunia percaya peperangan bukan jalan terbaik, tetapi sebenarnya merupakan hal yang terbaik untuk difikirkan bagi mereka demi untuk kepentingan tertentu dan penyelesaian konflik dasar luar. Semoga mesej keamanan yang mula bersuara nyaring di serata pelusuk bumi mampu memberi impak global dan dapat menghentikan kemusnahan akibat perang. Apabila musuh menampar pipi kirimu, berikan juga pipi kananmu - Siapakah yang mampu untuk melakukan hal yang terbaik seperti ini??
LONG?
Pejabat Pendaftaran Negara kecoh dan menjadi kelam kabut dengan kehadiran orang ramai yang menyerbu kaunter pendaftaran memohon penukaran kad pengenalan lama ke MyKAd berikutan hanya tinggal 3 hari saja lagi masa yang diberikan oleh kerajaan dan akan dikenakan denda jika gagal melakukan selepas tempoh yang diberikan. Maka timbul cakap-cakap tidak puas hati di kalangan orang ramai yang beratur panjang akibat kelambatan petugas kaunter mengendalikan urusan pelanggan. Suratkhabar The Star minggu lepas memetik kenyataan beberapa individu yang mengatakan antara kelemahan yang timbul ialah, petugas kurang cekap, kena tambah kaunter, terpaksa beratur panjang seharian.. Yang lucunya, hal itu terjadi akibat sikap mereka yang mengabaikan arahan dan dijangkiti sindrom 'last minute'. Akhirnya, kenyataan individu terbabit sekadar mengundang senyuman brother Mickey yang sudah memiliki MyKad 2 tahun yang lepas..
Perasaan tidak percaya meresap ke seluruh tubuhku bila aku dikejutkan dengan lonceng tahun baru 2006 yang hanya tinggal sehari lagi. Terasa seperti baru semalam kedengaran laungan Millenium menyambut kehadiran tahun 2000. Dan hari ini mataku terkebil-kebil melihat tarikh yang tertera di depan mata - 30 Disember 2005. Aku bergumam sendirian, berbisik perlahan 'Apa yang telah kubuat terhadap diriku sepanjang waktu itu?'.. Tahun 2006 datang dengan pantas tanpa sempat kuselesaikan apa-apa.. aku gagal bertanya khabar sekian bilakah detik waktu berlalu. Aku gagal menemani ruang yang ada sebelum dan sejurus ia pergi... Cerita tahun baru nanti bagiku sekadar mendampingi hal-hal yang tidak pernah selesai dari tahun yang sudah-sudah. Alangkah payahnya kehidupan dan alangkah bertuahnya aku hidup....
SELAMAT TAHUN BARU KEPADA SEMUA WARGA MASINASIN, KELUARGA JAUH DEKAT DAN PARA SAHABAT.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home