TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, April 19, 2006

Kisah Masa Kecil - Mungkinkah Itu Juga Bigfoot??

Di sebuah kampung kecil tempat komuniti masinasin membesar iaitu Kg. Tingkalanon, jika saya berdiri di tepi sawah yang bersempadan dengan jiran kita Oyingkin, panorama hijau dan bukit-bukau sekitar mempersonakan mata yang memandang apa lagi jika alam baru sahaja selesai disirami hujan. Maka adalah... adalah satu cerita, semasa kecil saya sering dinasihati oleh ayah supaya tidak menyahut lolongan dari hutan. Menurut ayah, 'hantu' itu akan semakin mendekat kalau kita bereaksi dengan bunyinya. Ketika umur waktu itu seingat saya mungkin 13 - 14 tahun, saya sering mendengar bungi 'Kunggg!!' yang kuat dari arah perbukitan. Kuat, jitu dan suara itu bagai menguasai ruang. Ada yang mengatakan itu adalah makhluk berbulu yang dipanggil mawas dan suka mengejar pemburu atau sesiapa sahaja.
Saya pernah 'bermain-bermain' dengan bunyi tersebut. Apabila kedengaran sahaja bunyi 'kunggg' yang kuat sayup-sayup nun di bukit yang menghijau sana, saya menyahutnya dengan bunyi dan nada yang sama. Saya tanpa mengerti apa-apa, dengan semangat 'budak-budak' berdiri lurus mendongak kepala ke langit mengekspresikan keinginan untuk menyambut 'khabar dari hutan' sambil kedudukan badan sedikit membengkok ke belakang diikuti oleh kedua belah tangan saya yang melurus rapat ke pinggang disudahkan dengan kepalan tangan yang kejap dan kuasa kaki yang terasa seperti mencengkam tanah, urusan bersahut-sahutan itu berlangsung berulang kali sehingga tiba-tiba saya merasakan bunyi itu semakin dekat. Apabila memikirkan itu adalah 'hantu', hati saya tiba-tiba diterpa ketakutan yang amat sangat dan berhenti menyahut lolongan. Selepas kejadian itu, saya masih 'berpeluang' mendengar suara lolongan makhluk tersebut beberapa kali tetapi kali ini saya tidak lagi menyambutnya dengan cara yang sama. Saya hanya berdiam diri memerhatikan bulu roma yang naik dan kulit lengan yang 'menggerutu' hasil daripada usaha biologi badan 'meneutralkan' ketakutan. hehe...
Mungkinkah itu Bigfoot? Jikalau tidak, bunyi itu masih misteri bagi saya sehingga kini. Jika katakan benar itu 'barangkali' Bigfoot, alangkah bertuahnya saya kerana kami pernah 'bercerita' sebelum ini. Apa yang terlintas di hati kecil, semoga 'mereka' dibenarkan hidup aman damai dan manusia ada peluang untuk mempelajari 'budaya mereka' dengan cara yang wajar dan tidak menyakitkan mereka...

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home