TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, November 19, 2007

Year Six Pupil Found Hanged - Akhbar The Star 19 Nov.

Saya pernah menulis dahulu bertajuk "18A1: Antara Kualiti, Karekter Dan Intelek, 26 Mac 2007 - lihat di archives", tentang kebimbangan saya terhadap mentaliti 'kejayaan itu satu PENCAPAIAN YANG MUTLAK' bukan kerana menentangnya sebagai satu bentuk impian tapi kerana ia digarap dalam acuan yang ekstrem.
Saya membaca artikel The Star hari ini yang melaporkan seorang budak mati menggantungkan diri kerana terlalu kecewa dikejutkan dengan keputusan 4B 2C 1D dalam peperiksaan UPSR. Menurut laporan, murid tersebut yakin untuk mencapai keputusan sekurang-kurangnya 4A1.
Bulan Mac lepas saya menulis tentang seorang pelajar yang cuba membunuh diri terjun dari tingkap kerana dihantui oleh perasaan terbeban dan malu tidak mendapat keputusan yang baik. Di bawah antara beberapa sedutan dari artikel saya;
"Pencapaian cemerlang dalam bidang akademik menjadi kayu ukuran yang mutlak sebagai syarat terbesar untuk mengisi medan penghormatan tanpa batas. Tidak boleh tidak standard yang dijadikan piawaian kredibiliti seseorang atas nama sebuah kejayaan MESTI direalisasikan atas kepingan slip keputusan yang terbaik"
"Ibubapa dan guru ada kecenderungan untuk mengorientasikan hala tuju murid agar harapan terlalu tinggi mereka HARUS DITERJEMAH kepada menghasilkan produk pendidikan pintar. Pelajar yang masih 'muda usia' digerakkan oleh satu permintaan 'KERAS dan MESTI' digalaskan beban ke bahu usia yang mentah."

"Mahu tidak mahu, pelajar ini membesar dengan hasrat yang betul sambil dibauri oleh beberapa intepretasi salah, memacu cita-cita menghambat kepantasan masa, mengubah kelembutan minda mencantum akal ke dunia ketakutan dan kemahuan dan dimensi mental mereka dipenuhi dengan ilusi masa depan yang mereka hanya faham sebagai satu perintah di hujung 'pedang' semata-mata, bukan satu galakan yang bistari."
"Jangan sampai mereka terlupa dididik menjadi pelajar waja diri untuk berdepan dengan 'keputusan yang kejam' bukan kerana kita mahu mengingatkan mereka mungkin akan gagal di sebalik keazaman untuk mahu berjaya. Jangan sampai mereka tidak faham untuk menghadapi kenyataan di sebalik keyakinan yang tinggi."
"Apakah yang sebenarnya yang ada di benak pelajar ini sehingga cenderung menganggap cetakan slip keputusan sebagai akhir kepada hidupnya? Tidakkah kita gerun dengan perspektif seperti ini? Fikirkanlah sejenak. Ada kerja yang perlu difikirkan oleh warga pendidik untuk menyekat potensi 'kecil' kekacauan minda ini daripada menjadi penyakit yang merugikan negara."
Mungkin kes seperti ini hanyalah sekeping nota kecil di meja seorang guru sekadar sebuah catatan 'untuk diketahui' sahaja atau cuma diklasifikasikan sebagai kes terpinggir oleh kementerian pendidikan dan direkodkan sebagai 0.01 peratus anggaran kemungkinan kejadian berlaku/berulang. Tapi biarlah saya ingin tekankan dengan penuh kebimbangan ada satu nyawa yang begitu berharga hilang dari impian dan visi falsafah pendidikan.
Saya tidak tahu apakah bentuk garapan yang sesuai dalam mendidik masa depan murid melewati budaya minda yang sihat, berhemah dan bistari. Pendidikan negara sudah menggariskan panduan terbaik dalam merealilasisakan produk pelajar pintar seperti di bawah
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"
Falsafahnya sudah cukup kelihatan 'anggun'. Tapi ada kebimbangan saya dari segi mengadaptasikan dalam cara dan pengisian hasrat yang ekstrem ketika proses mendidik. Sekali lagi saya ingin katakan sepatutnya ada pihak yang perlu merasa risau dengan fenomena kecil ini dan perlu melakukan bedah siasat agar jangan ada 1 nyawa lagi yang hilang.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home