TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, June 25, 2008

SAPP: Lapan Usul Dan Undi Tidak Percaya

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengakui menerima surat tawaran jawatan Senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA). Datuk Yong berkata beliau menerima tawaran itu melalui 'surat rahsia' daripada Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada 17 Jun lalu tapi kemudiannya menolak tawaran tersebut.
Dalam sidang akhbar ketika mengumumkan SAPP hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, beliau dengan nada tegas mengemukakan lapan usul yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Persekutuan iaitu;

* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.

* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.

* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.

* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.

* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.

* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.

* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.

* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.
Blog ini secara peribadi sangat bersetuju dan berkongsi idea dengan Datuk Yong Teck Lee dan menyifatkan lapan usul di atas sebagai satu menifestasi yang baik hasil daripada reaksi rakyat Sabah yang mahukan kerajaan Persekutuan memberikan perhatian serius terhadap isu yang sudah disuarakan sejak sekian lama. Seperti yang telah diketahui, Sabah merupakan antara negeri yang sangat kaya dengan sumber asli tapi malangnya di sebalik anugerah Ilahi ini, Sabah masih negara kedua mundur antara negeri-negeri di Malaysia dari segi kemudahan jalan perhubungan dan infrustruktur. Tidak hairanlah isu ini telah disuarakan oleh Datuk Yong yang menggambarkan ketidakselesaan rakyat Sabah terhadap layanan Kuala Lumpur.
Datuk Anifah MP Kimanis, berkongsi perjuangan yang sama dengan Datuk Yong dan berpendapat antara sebab kenapa Sabah masih terkebelakang dari segi aspek kemajuan ialah MP Sabah sebelum ini 'gagal' menggambarkan ketegasan dalam melancarkan suara-suara pembangunan secara kritikal. Datuk Anifah menyifatkan senario begitu disebabkan kerana MP Sabah tidak begitu 'keras kepala' dan terlalu menunjukkan kesetiaan atau pasif.
Persoalannya, kenapa Sabah yang begitu berdiri teguh dan menjadi antara tulang belakang kejayaan BN dalam beberapa siri pilihanraya disifatkan pula sebagai 'terlalu degil' bila menyuarakan realiti? Kenapakah BN mempersoalkan kredebiliti seseorang disebabkan apa yang diperjuangkan olehnya?. Lebih menyedihkan sehingga pada satu tahap perjuangan rakyat Sabah diklasifikasikan sebagai 'KERAS KEPALA dan DEGIL'?. Dato Seri Abdullah menyifatkan usaha Datuk Yong melalui 8 usul sebagai 'mempunyai kepentingan peribadi, degil dan tamak'.

Mungkin blog ini masih boleh menyifatkan undi tidak percaya sebagai tidak berlandaskan muafakat politik tetapi adakah lapan usul yang disuarakan oleh SAPP ini merupakan satu suara yang salah? Dimanakah pengertian MUAFAKAT jika idea yang memenifestasikan konteks pembangunan dan hak rakyat Sabah tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan Persekutuan? Apakah muafakat bagi BN ialah kesetiaan politik yag melulu? Jika rakyat Sabah berlembut dalam soal perjuangan dan hak maka kerajaan Persekutuan dengan senang hati menyifatkan inilah negeri contoh kerajaan yang baik tapi kekayaan di bumi Sabah terus-menerus dinikmati oleh Kuala Lumpur.

Kerajaan Persekutuan perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan terhadap setiap perjuangan rakyat Sabah kerana persepsi yang boleh menimbulkan ketidakselesaan politik dan minda rakyat sabah akan sekadar mengangkat Datuk Yong Teck Lee sebagai pejuang sejati di kalangan rakyat Sabah yang sudah bosan dengan karenah kerajaan Persekutuan.
Kemenangan BN dibalas dengan ketidaktentuan dan kecelaruan ekonomi nasional. Bila harga barang makanan naik, harga minyak naik, kos pengangkutan naik, kos sara hidup naik, yuran sekolah naik, mungkin rakyat masih boleh berkongsi keperitan sementara memendam perasaan inikah yang patut rakyat miskin lalui. Tapi bilamana pada suatu malam para bapa dan ibu mula menitiskan air mata kerana tidak tau apa lagi yang hendak dihidangkan di atas meja untuk makanan anak-anak, akan ada kebangkitan yang ingin tahu kenapa mereka menderita sedemikian rupa!!
Berwaspadalah kerana Sabah masih terkenal berani dalam melakukan kejutan politik.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home