TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, August 10, 2008

Hari Pertama - Catatan Rutin Yang Berulang-Ulang

Ahad...

Ahh!.. Satu hari untuk merehatkan diri dari dihujani dilema kerja dan beberapa bahagian daripada fikiranku yang bercelaru. Selalunya saya menghabiskan waktu hujung minggu dengan mimpi yang kisahnya terputus-putus di antara pejam mata sebebas waktu. Anehnya tidak pernah menyatu dalam satu acuan. Jika ada dayaku untuk menyingkirkan keasyikan tidur seorang lelaki, futsal menjadi riadahku sebelum sempat mentari bertanya khabar di ubun kepalaku. Yang baiknya bila bersua dengan teman-teman di gelanggang bola, jelmaan aksi persahabatan membuatkan hati terhibur. Jika berkesempatan, Nasi Ayam Ipoh menyatukan pelbagai cerita rakan-rakan di meja makan pada suatu hari yang tidak kami jangka, satu ruang yang hiruk-pikuk di sekitar daerah Petaling Jaya. Keletihan selalunya membuatkan saya mudah untuk menyambung mimpi baru pada suatu petang yang singkat. Ada waktunya jeritan SMS membangunkan lenaku ketika pekat malam mula menyapu alam tanpa sedarku. Gedung Giant menjadi pertemuan seterusnya di meja hijau sekadar suka-suka. Tengah malam tepat jam 12am, bermulalah tugasku selama 6 jam berkenalan dengan unggas melatah yang tidak pernah pun mengambil tahu akan kehadiranku. Nanyian sama sang cengkerik entah pelusuk mana bagai irama yang sedikit menyiksakan halwa rasa biarpun senandungnya mampu menyingkirkan sunyi gelap pekat yang enak sahaja menjemput pelbagai kenang-kenangan. Sekali sekala bergerak memilih sebebas waktu mengintai petugas-petugas malam memastikan mereka tidak leka dengan tanggungjawab merantai sempadan daripada gempuran tetamu tanpa diundang. Antara waktu terluang, skrin komputer menjadi teman bersuluh lampu neon yang menjengah dari luar jendela berjabat sinar lampu kalimantang yang masih setia menyala di hujung jari pada waktu yang perlu. Saat ini pun masih cuba menyelesaikan satu sketsa nukilan sang lelaki dan malam yang mula khuatir, kedinginan bermandi embun dan bening pagi.
Sebentar lagi aku akan pulang memulakan rutin hari pertamaku seperti selalunya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home