TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, July 20, 2008

Surat Terbuka Untuk DSAI

Salam DSAI dan penyokong2 PKR...
Apa khabar Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan sekeluarga? Semoga sihat-sihat hendaknya dalam kesibukan urusan hidup seharian. Saya mengambil kesempatan untuk menulis sedikit mengenai senario politik terkini melibatkan DSAI. Dulu saya pernah melihat DSAI sebagai pemimpin yang berkaliber untuk mengambil teraju kepimpinan UMNO dan kerajaan BN. Namun selepas insiden 1998, keperibadian DSAI langsung berbeza.

Sekalipun DSAI seorang yang ada karekter dan karisma tapi saya tidak pernah melihat DSAI sebagai berkemampuan membawa Malaysia dalam konteks perpaduan dan hala tuju masa depan Malaysia. Mungkin beliau masih boleh dilihat sebagai pemimpin tetapi daya kepimpinan beliau terdorong oleh sikap tergesa-gesa dalam cita-cita politik, tidak menentu dalam tindak tanduk, seorang political strategies yang lemah, tidak konsisten dalam menghadapi kemelut peribadi yang dikaitkan dengannya. Sayang sekali karismanya sering terbabas mengundang persoalan demi persoalan. Seorang yang BENAR mempunyai konsistensi mempertahankan dirinya. Dari segi ini Anwar sememangnya memenuhi kriteria dalam mempertahankan dirinya. Tapi dari aspek MEMBUKTIKAN kebenaran yang dapat membantu DSAI sendiri, yang membolehkan nama DSAI bersih dari apa yang disifatkan DSAI sebagai satu lagi ulangan kronologi yg cuba menjatuhkan karier politik dan nama baiknya, ternyata DSAI menjebakkan usahanya ke lembah kegagalan yang dengan sendirinya saya boleh fahami sebagai satu peluang besar DSAI membersihkan dirinya dari tomahan.

Mengenai kes liwat yang dikaitkan dengan DSAI, beliau sebenarnya telah mendapat layanan yang sepatutnya dinikmati juga oleh sesiapa yang dipertuduhkan dan adalah tidak adil kes ini memberi ruang yang berlebihan kepada DSAI seolah-olah hanya DSAI yg mendapat hak eksklusif semata-mata kerana beliau antara nama besar politik... Terlalu banyak usaha yang bertolak ansur terhadap DSAI sebenarnya. Jika saya rakyat biasa dipertuduhkan sedemikian rupa, tidak mungkin saya akan dapat 'pengiktirafan layanan proses' seperti ini. Jadi dengan ruang besar seperti ini, DSAI sepatutnya sudah melihat ini juga salah satu daripada cara terbaik menggunakan kesempatan sepenuhnya membuktikan KEBENARAN melalui layanan yang saya sifatkan 'memberi muka' kepada DSAI...

Tentang sampel DNA, DSAI sangat paranoid terhadap orang lain. Sangat berprasangka yang keterlaluan sehingga apa sahaja proses yang mudah menjadi sukar. Bukan sahaja sukar, malah DSAI memberatkan proses pembuktian kebenaran dengan lontaran statement yang tidak releven dan berserabut. DSAI sepatutnya merancang dengan saksama, dengan adil, satu persatu dari segi tingkat prioriti konflik-konflik yang dihadapinya. Mencampuradukkan kes terdahulu dan kes terkini dan ditambah dengan acuan andaian demi andaian yang berdasarkan syak wasangka menjadikan situasi semakin bercelaru. Prioriti TERBESAR sepatutnya DSAI lakukan ialah membuktikan KEBENARAN bagi pihak yang mendakwa dirinya BENAR. Sesudah mengesahkan KEMENANGAN di pihak yang benar, lakukan usaha seterusnya apa yang disifatkan DSAI sebagi ketidakadilan dalam kes-kes lain dan rancangkan usaha untuk mendapatkan proses keadilan. Kepekaan seperti ini harus ada dalam diri DSAI sebagai seorang pemimpin yang bijaksana.

Saya secara jujurnya bukan penyokong DSAI, namun saya masih mengharapkan DSAI dapat membuktikan segala tomahan terhadapnya adalah satu kesilapan. Dengan itu DSAI ada kesinambungan perjuangan agenda politiknya yang memberikan manafaat kepada institusi politik Malaysia.

Ini adalah surat terbuka ikhlas daripada saya, kerana sekalipun DSAI gagal dalam mendapatkan sokongan orang biasa seperti saya melalui kertas undi, saya masih melihat DSAI relevan dalam mempastikan kerajaan sekarang tidak terlena dalam tindak-tanduk politik mereka.. Jika DSAI dan penyokong PKR bertanyakan kepada saya di pihak mana, saya adalah warganegara yang memihak kepada Malaysia yang cintakan perpaduan, aman dan harmonis, ada muafakat sekalipun mempunyai ideologi politik berbeza, mempunyai perjuangan politik yang berlandaskan pengiktirafan terhadap keluhuran undang-undang dalam proses hak dan kesaksamaan, sentiasa mendekati keluhan dan kesengsaraan rakyat serta menghias landskap ekonomi dan pembangunan negara dengan idea yang berwawasan dan berhemah. Jika ada pemimpin yang berusaha mendekati elemen-elemen ini, pemimpin seperti inilah yang akan mendapat undi dalam proses demokrasi pilihanraya.
Sekian...
jalimik.s.p.sambion
N.5 Tandek, Kota Marudu, Sabah

9 Comments:

Blogger Jovita said...

waduhh...menakutkan la politik malaysia skrng kan..

11:20 PM  
Anonymous celik skit said...

brader,

buat kajian dulu sebelum komen pasal DSAI....semua yg lu tulis tu dangkal belaka.....lu terlalu banyak baca media perdana....bacalah juga media alternatif brader....media perdana banyak buat fikiran kita jumud....buka minda sikit brader....lu baik kaji najib punye cerita dengan altantuya lagi best....

11:33 PM  
Blogger Little Mike said...

Saudara celik skit,

trima kasi sebab memberi komen berkaitan artikel yang saya tulis tentang DSAI.

Kalau benar Datuk Najib ada kes berkaitan Altanthuya, blog ini juga sedia membuka ruang untuk berbicara mengenainya. Namun kes penarikan akuan bersumpah Balasubramaniam dengan sendirinya menyebabkan kes itu hilang kredibiliti. Fokus tulisan saya bukan mengenai pertuduhan yang dikaitkan dengan anwar. Tapi bagaimana DSAI memberi reaksi terhadap pertuduhan yang dibuat terhadapnya. Maknanya, saya tidak persoalkan atau mengandaikan apakah anwar telah lakukan liwat... itu kes polis. Saya tidak berhak untuk campur tangan mendahului siasatan polis

Saya menulis bukan berdasarkan pro kepada kerajaan. Saya tidak berminat dengan polemik kerajaan sekarang. Saya juga tidak bersetuju dengan tindak-tanduk politik Anwar. Saya hanya la warganegara yang tidak mahu melibatkan diri dengan kekalutan yang menjebakkan dua parti politik yakni PKR dan BN.

untuk pengetahuan saudara, saya tidak membaca berita harian mahupun utusan melayu. Saya membaca akhbar The Star yang memberi peluang seimbang dalam liputan berita semasa. Saya membaca juga akhbar terbitan parti keadilan, alternatif. SSaya membaca akhbar sinar.. ternyata bacaan akhbar saya jika diikut nisbah ialah 2:1. Maknanya akhbar saya baca banyak menulis artikel mengenai pihak pembangkang adalah 2 dan 1 akhbar yang memberi ruang kepada kerajaan dan pembangkang iaitu the star. Penulisan saya berdasarkan pengamatan semasa dan rekod sejarah lalu.

Penulisan saya tidak berpaksikan media perdana. Pemerhatian saya yang membantu dalam penulisan artikel saya.

sekali lagi terima kasih atas komen saudara.

1:35 AM  
Anonymous Anonymous said...

Saudara tulis, "saya adalah warganegara yang memihak kepada Malaysia yang cintakan perpaduan, aman dan harmonis, ada muafakat sekalipun mempunyai ideologi politik berbeza, mempunyai perjuangan politik yang berlandaskan pengiktirafan terhadap keluhuran undang-undang dalam proses hak dan kesaksamaan, sentiasa mendekati keluhan dan kesengsaraan rakyat serta menghias landskap ekonomi dan pembangunan negara dengan idea yang berwawasan dan berhemah. Jika ada pemimpin yang berusaha mendekati elemen-elemen ini, pemimpin seperti inilah yang akan mendapat undi dalam proses demokrasi pilihanraya"

Saudara bermimpi? Jika tidak, anda sangka anda seorang sahaja mengimpikan begitu. Too idealistik. Semua orang boleh bercakap dunia utopia. Dunia ideal. Tapi cakap saja tak guna.

Apa pilihan saudara? Nak tak nak sebagai rakyat, anda juga adalah sebahagian daripada keadaan sekarang. Its either you in or you out. Ini bukannya masa berpeluk tubuh?

Saya puji cara penulisan awak yg teratur, tapi sayang isinya tiada. Nak becakap pasal Anwar terlalu paronid? Bayangkan kalau awak adalah Anwar Ibrahim. Fikirkan apa yang awak telah lalui.

Rekod DNA dulu dah ada, kenapa nak live DNA sample? Dan awak macam burung kakaktua yag mengulang kata2Pak Lah, Khairy, Syed Hamid etc, etc Sebab AI tak mahu serah DNA awak kata AI paranoid. Paklah telah memalukan negara kerana bercakap pasal DNA baru dan lama yg menunjukkan kebodohannya.
Pergi kat google, taip DNA.

AI telah membuat laporan balas. Itukah yg dikatakan AI berdolak dalih?

Ingatkah kisah tilam yang tersohor itu? Kenapa akhirnya tilam itu ditolak sebagai bukti walaupun DNA AI dikatakan ada ditilam itu? Bacalah, itu la baca tak habis.
AI memang patut rasa sangsi.

AI medapat layanan istimewa? Betul tu, tumbukan ke mata dan sepak terajang. Citer lama tak bekait? Anda ingat Rahim Noor saja berada di situ?

Ooh, rupanya di tahun 1998 anda mungkin masih blur2 dan baru skrg baru membuka mata.

Paper Star? Tahukah anda siapa pemegang syer utama? Cari sendiri. Belajar2 lah buat research.



Maaf becakap, tapi nampak sgt anda tidak membaca meluas daripada penulisan post ini. Disebabkan itu saya tak berminat nak baca pos-pos anda sebelum ini.

Anda mungkin hanya jumping to the bandwagon, bila org sibuk bercakap pasal AI anda pun sibuk bercakap. Baru baca Star dan Sinar dan macam tahu sgt. Jangan lupa anda menulis di internet bukannya bersembang kedai kopi.

Last sekali, baca2 banyak lagi dan pemikiran kena analitikal. Baca2 byk2 tapi otak tak pandai analisa tak guna jugak.

4:22 AM  
Blogger Little Mike said...

anonymous,

Terima kasih atas respond yang baik.

tidak dinafikan, saya juga sebahagian daripada situasi sekarang. Apa pilihan yang saya ada? Biar la saya katakan ada cara lain, satu ruang yg tidak perlu tindak-tanduk ekstrem.

Jika saya secara diam2 memberikan sokongan saya kepada DSAI, saya tidak perlukan ruang jalanan untuk mengesahkan perjuangan saya.

saya tidak perlukan apa orang lain katakan. Jika Pak lah, Najib, Khairy bercakap perkara yang sama, mereka bercakap atas kapasiti mereka. Jika akhirnya kesimpulan saudara bahawa saya mengulangi apa yg mereka ini katakan, ini senario yang sesiapapun akan bercakap mengenainya dan menjadi isu berantai ke pelusuk mana pun.

Fokus saya ialah layannan terhadap Anwar mengenai pertuduhan terbaru beliau sehinggakan Datuk Najib menyeru supaya kes anwar dikendalikan dengan sopan dan atas dasar menghormati. Beliau diberi 24jam lagi (23jam jika diikutkan jumlah jam sehingga penahanan) selepas tempoh tamat ditetapkan untuk menghadirkan ke balai memberi keterangan. memberi ruang kepada Pakar yang dipersetujui anwar untuk kes DNA. Semata-mata memudahkan prosedur. Saudara mengaitkan kes lama mengaitkan kes lama?. Atas usaha yang dilakukan Anwar, Kes itu dibuka kembali dan disiasat. saudara banyak membaca maka hasil siasatan pasti saudara tahu.

Soal DNA, kalau Pak LAh kata DNA lama tak guna, nak yang baru juga, jika saudara menganggap itu kebodohan, saudara lebih tau maksud ke arah siapakah percakapan saudara. jika saya diminta polis serahkan DNA, saya akan serahkan. Jika saya didapati bersalah, hukuman harus dijatuhkan. Dan jika saya tidak bersalah, apa cara sekalipun untuk membuktikan kebenaran, saya usahakan malah mengesyorkan jika ada lagi cara lain yang tertulis dalam sejarah perubatan, tradisional termasuk kaedah keagamaan..

Saya tidak mempertikaikan tulisan saudara kerana tulisan anda sendiri mengulangi apa DSAI katakan, APa Azmin ali katakan... Peguamnya Sivarasa juga saban hari mengulanginya.. Jika anda tidak responsif, tentu anda juga tidak mengulanginya juga.

pemegang utama syer paper The star? perlukah saya tahu siapa mereka jika saya membaca the star, Alternatif atau sinar, Harakah atau sebagainya? jika maksud saya ialah cuma SEKADAR mengimbangi pembacaan suratkhabar nasional dan pembangkang, perlukah pembacaan saya berlandaskan identiti orang belakang suratkhabar tersebut?

akhirnya, jika apa yang saya katakan ini sekadar sembang kopi, maka tidak la saya menulisnya di sini. Ini reaksi saya terhadap apa sahaja. Saya tidak berminat blog ini sepenuhnya menulis tentang DSAI. Jika saudara kurang selesa dengan penulisan saya mengenai DSAI, langkah kita tidak sama. Saya faham kenapa anda PERLU memberikan responsif seperti ini.

8:23 PM  
Anonymous Anonymous said...

Bro.. selamat pagi, selamat petang dan mungkin juga selamat malam. gua tidaklah sepandai Bro, gua adalah mangkuk jalanan je.
Gua cuma nak bagi lu tip sikit je pasal yang lu sedang cuba perkatakan. Gua malas nak fikir banyak2 tapi gua minat lu punya blog yang sempoi ni, Gua mau lu respek sket dengan hasil luahan (4:22am) ni, gua tahu dia cakap yang benar bro.
Lu mesti tahu siapa penulis akhbar yang lu baca bro, baru lu sedar hakikat yang penulis tadi maksudkan, kita tinggal dalam satu kelompok masyarakat yang inginkan keamanan dan keadilan bro, banyak benda yang mereka tapis bro, gua keja d sebuah media percetakan bro... tapi itu suatu masa dulu.
gua tak tahan gua pun berhenti bro, pernah dulu kes ini wartawan hantar benda yang benar sebab wartawan ada pada ketika itu tapi kami d ingatkan supaya kami ubah jadi benda yang sadis sket sebab kalau tak syer syarikat kami akan d tarik bro.lu kalau nak jadi mata yang sempurna lu kena kerja lagi banyak bro.
Jom Kita Membaca beramai2. thank's kepada 4:22am kerana memberi gua inspirasi baru. "gua caya sama lu"

9:15 PM  
Blogger Little Mike said...

to another anonymous..

terima kasih atas reaksi saudara. Terima kasih sekali lagi juga atas kata-kata yang baik terhadap blog saya. Tentu sekali ini akan menjadi sebahagian daripada sumber inspirasi saya sebagai blogger.

Saudara,

Anda bukan mangkuk jalanan atau apa-apa kriteria dangkal yang berkonotasikan sesuatu yang buruk atau jelik. Saya tidak ada kesanggupan untuk meletakkan saudara sejauh itu malah saya sesungguhnya TIDAK SUDI untuk mengerjakan akal saya mengaplikasikan anggapan sebegitu terhadap sesiapa sahaja. Bro dan juga rakan-rakan dalam ruangan komen ini adalah orang yang hebat dan kalian punya nilai dan keperibadian untuk dihormati sepanjang masa sekalipun kita tidak pernah berselisih bahu.

Saya memahami situasi yang terkandung dalam tulisan komen anda. Saya pernah menjadi sebahagian daripada dunia kewartawanan tetapi bukan sebagai pengamal media, cuma pernah diajar akan selok belok etika dan prinsip kewartawanan dalam pembelajaran suatu ketika dulu. Dan kenyataan saudara tentang campurtangan orang atasan terhadap artikel yang dapat memenuhi kehendak mereka, saya tidak nafikan akan kewujudan begitu yang saya sendiri menyifatkan sebagai telah melukai etika penulisan kewartawanan. Saudara telah melalui pengalaman seperti itu. jika yang demikian, saya juga percaya wartawan dalam mana-mana akhbar tidak kira pro kerajaan atau pembangkang, perlu dan ada masanya HARUS mengikuti spesifikasi yang menyenangkan pihak atasan dalam penyiaran artikel yang bersangkut paut dengan dasar atau isu nasional.

Jika dari segi sangkut paut pembacan akhbar dan aspek harus tahu siapa orang belakang akhbar, saya juga boleh katakan wartawan akhbar pembangkang juga berdepan dengan situasi yang sama seperti wartawan akhbar nasional. Saya percaya sensitiviti artikel mereka juga harus selari dengan kehendak orang atasan yang berpihak kepada pembangkang apa lagi kalau akhbar tersebut terbitan yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangkang.

Situasi begini tidak boleh tidak sentiasa ada dalam pihak yang saling bertentangan dalam konteks menulis untuk siapa dan kepada siapa kerana ia melibatkan sejauh mana anda berjaya dalam memacu propaganda. Mereka menulis untuk siapa? Tulisan mereka mengembirakan siapa? Artikel mereka untuk memenuhi kehendak siapa? Sudah tentu ia sinonim dengan kerangka dasar dan motif penulisan dan pengisian artikel sama ada mereka di pihak yang pro kerajaan atau pembangkang.

Yang menyedihkan ialah kecenderungan penulisan yang telah membataskan etika dan prinsip penulisan kewartawanan itu sendiri dalam tanggungjawab sosial mereka. Etika kewartawan meminta wartawan melaporkan secara adil dan telus berdasarkan fakta bukan sentimen. Dari segi konteks ini, dunia penulisan artikel untuk siaran akhbar bagai terbabas dari landasan. Secara jujurnya kritikan saya ini menjurus kepada sebilangan pengamal media yang mengaku mereka wartawan.

Kapasiti saya hanyalah sebagai pembaca semata-mata. Tidak semua yang saya baca itu saya terima bulat-bulat. Saya bukanlah pembaca yang taksub untuk mana-mana akhbar tempatan.

3:36 AM  
Anonymous Anonymous said...

hai... saudara Mike, gua suka ngan pembentangan lu ar bro.Gua amat tertarik dgn penggunaan bahasa lu yg sgt up to date. Gua suka nak dengar kalau lu menceritakan apa cerita penyanyi Marsha Milan Lando dan yg lain2 bro? gua amat meminati Stacy juga. Lu carila bahan sket utk dmuatkan dlm blog lu ni bro. Gua caya sama lu beb. Gua hari2 masuk dalam lu punya blog tapi kurang input lagi ar. thanks

7:03 PM  
Blogger Little Mike said...

thanks Anonymous... pendapat saudara sangat dialu-alukan dan saya akan cuba menulis seluas skop yang saya mampu. Saya sendiri juga melihat blog ini sangat kekurangan input. Thanks sebab menjenguk blog saya. Kalau ada idea lain, sila kemukakan untuk saya fikir-fikirkan. Saya ni bukan juga blogger yang kreatif. Saya blogger baru belajar.

Gua caya sama lu juga brader... Tentang stacy, saya ada menulis sedikit mengenainya pada artikel lepas. Apapun perkembangan terbaru mengenai dua personaliti ini saya akan cuba paparkan.

terima kasih... sila datang lagi :)

4:32 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home