TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, July 24, 2008

16 September: Antara Sejarah Sabah Dan 'Pembentukan' Kerajaan PR

Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara, menyertai negeri-negeri di tanah semananjung bersama-sama dengan Sarawak dan Singapura bersatu membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Pada tahun 1970, Sabah merupakan negeri kedua terkaya di Malaysia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar. Walaupun memiliki kekayaan sumber asli, Sabah masih antara negeri yang termiskin dengan pendapatan purata paling rendah di Malaysia dan pada masa yang sama kos sara hidupnya yang lebih tinggi daripada semananjung Malaysia. Antara penyebab masalah ialah pengagihan kekayaan yang tidak saksama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah. 95% daripada pendapatan Negeri Sabah menjadi milik Persekutuan dan hanya 5% untuk keperluan Sabah. Berdasarkan senario ini tidak hairan ada suara-suara di kalangan pemimpin Sabah yang tidak selesa dengan layanan yang diterima. Sabah sebelum ini mempunyai rekod bertindak keluar daripada Barisan Nasional atas sebab yang sama dan tambahan isu-isu lain. Terbaru usul SAPP mengulangi perkara yang sama (antara sebahagian daripadanya ialah royalti minyak dan pengagihan kekayaan) yang dikritik hebat oleh pemimpin kerajaan dan di kalangan pemimpin BN Sabah sendiri (sekalipun pada dasarnya bersetuju dengan usul tersebut kecuali undi tidak percaya).
Polemik politik ini membuka satu lagi ruang untuk pihak pembangkang mempergunakan kesempatan atas pergeseran tersebut menjadi titik tolak kepada penyuburan idea pembentukan kerajaan PR bersamaan tarikh Sabah setuju bergabung dengan Malaysia. DSAI mempunyai sebab memilih tarikh ini. Bagi seluruh rakyat sabah, ada sesuatu yang memberi nilai kepada harga kewarganegaraan mereka iaitu harapan melihat Sabah mendapat perhatian pembangunan yang wajar dan bantuan teknologi yang dapat mengusahakan kekayaan hasil bumi Sabah untuk menjana ekonominya melalui persefahaman dengan Persekutuan. DSAI menyedari Sabah dilukai oleh perjanjian yang tidak saksama. Saya percaya pemimpin tertinggi PKR telah melakukan beberapa usaha termasuk pertemuan demi pertemuan dengan beberapa MP sabah untuk menjelaskan dasar dan polisi kerajaan yang bakal dibentuk termasuk mempersetujui tuntutan yang diperjuangkan oleh pemimpin Sabah sejak sekian lama.
Kompas perjuangan pemimpin De Facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas terarah ke Sabah yang dilihat mempunyai prospek politik yang berpotensi tinggi merealisasikan pembentukan kerajaan baru berdasarkan kemelut tuntutan Sabah yang tidak digemari Persekutuan, menjadi penanda formula pemangkin kepada hala tuju politik PR. DSAI sedar jika MP Sabah berjaya dipujuk untuk menyertai gagasan beliau, itu satu cara yang sudah mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baru. Pada masa yang sama kesempatan digunakan sepenuhnya oleh DSAI untuk terus-menerus meyakinkan Sabah bahawa Sabah akan mendapat kembali hak kekayaan sumber asli dan royalti minyak termasuk mengendalikan isu-isu PATI dan kemiskinan tegar. Kesediaan DSAI dalam isu ini sebenarnya semakin hampir mengetuk pintu hati rakyat Sabah yang masih berbelah bagi dalam membuat keputusan besar berkaitan masa depan Sabah.
Pada masa yang sama, kerajaan BN kini terasa bahang berikutan usaha PKR yang selari dengan kehendak tuntutan termasuk reaksi Sabah yang tidak tunduk dengan tekanan Persekutuan. Kerajaan BN memulakan langkah pertama mereka dengan janji melakukan operasi besar-besaran membenteras PATI bermula bulan Ogos. Jika isu royalti minyak dan pengagihan kekayaan Sabah dipandang sebelah mata oleh Persekutuan, ini menyukarkan usaha BN menyekat potensi gagasan Pakatan Rakyat memanipulasi isu yang bakal mengubah sama sekali senario politik nasional.
Kini pemimpin Sabah dan seluruh rakyat di Negeri Di Bawah Bayu menggenggam sebatang anak kunci yang menjadi penentu kepada corak dan landskap politik masa depan Negeri Sabah. Untuk beberapa sebab yang terbesar, BN masih berkemampuan melaksanakan segala perancangan melalui pakej suntikan ekonomi, kuasa merancang pembangunan melalui RMK9 dan DEB. Dari sudut lain, jika kerajaan BN gagal memberikan kerjasama dalam soal membabitkan hak Sabah, PKR/PR dianggap beberapa alternatif sekalipun DSAI belum terbukti kemampuannya dalam dasar dan polisi perancangan pembangunan dan ekonomi.
Cara lain ialah melalui peti undi dengan mengangkat pejuang masa depan Sabah memimpin negerinya sendiri di luar daripada BN dan tanpa ada kaitan dengan mana-mana pertubuhan politik pembangkang. Asas jati diri perjuangan negeri Sabah kukuh dan tidak perlukan PKR, PAS atau DAP untuk mengangkat maruah Negeri Sabah. Parti Bersatu Sabah pernah berdemonstrasi menjadi pembangkang tanpa apa-apa pakatan lain. Waktu itu PKR belum wujud. Hanya ada PAS, DAP dan PRM.
Rekod DSAI sebagai Menteri Kewangan sebelum ini yang lebih cenderung berkompromi dengan cara pengurusan kewangan versi Barat dan bersekongkol dengan tindak-tanduk Bank Dunia menerbitkan kegusaran akan cara beliau mengendalikan ekonomi negara masa depan. Sehingga kini hubungan rapat DSAI dengan pemimpin Barat termasuk sokongan antarabangsa yang diterima beliau boleh menjadi indeks kepada bentuk acuan yang mendasari corak kepimpinan DSAI masa depan. Karekter Anwar penuh dengan risiko sekalipun beliau tidak gagal bercakap tentang isu tuntutan Sabah.
Ada yang mengatakan, beri peluang DSAI memerintah dan barulah penilaian dibuat atau rayuan dalam memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan sekarang untuk kesinambungan dasar sedia ada. Gesaan seperti ini tidak pernah tidak dibenarkan. Siapa berjuang untuk siapa, lakukan hak anda.

1 Comments:

Blogger RumbiaMasolog said...

Kita (Sabahan) sebenarnya tidak pernah dihargai sebelum ini. Seperti rakyat kelas kedua di negara sendiri. Mungkin orang semenanjung tidak sedar tapi itu la layanan mereka pada kita pada hari pertama kita menjejak kaki di bumi melayu ini. Orang melayu sentiasa menganggap diri mereka lebih tinggi martabat dan kedudukan mereka. Apa yang mereka tidak tahu sebahagian kemajuan yang mereka rasai ketika ini adalah hasil bumi borneo. Sehingga la pada ketika ini apabila berlaku ketidak seimbangan kekuatan dalam parti UMNO atau lebih tepat lagi BN barulah mereka merasakan kehadiran Sabah dalam Malaysia. Oleh itu tututan yang diminta oleh rakyat Sabah sebenarnya tidak la seberapa berbanding dengan layanan kelas kedua yang diberikan selama lebih 40 tahan ini.

8:03 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home