TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, November 12, 2008

N5 Tandek 'Sunyi' Di Dewan Undangan Negeri

Sunyi? Senyap? Tidak ada idea di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN)? Bagaimanakah kawasan N5 Tandek dapat diberikan nafas pembangunan jika wakil rakyat yang dipilih tidak bersuara di peringkat DUN? Saya tidak pasti sejauh manakah kebenarannya bisik-bisik yang mengatakan Adun N5 Tandek tidak proaktif setiap kali DUN bersidang. Jika wakil rakyat tidak ada karisma untuk memperjuangkan kawasan pilihanraya yang dimenanginya, mengapa perlu melibatkan diri dalam politik? Apa sebenarnya yang ada di dalam kerangka pemikirannya ketika mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini? Barangkali jika menang, banyak jalan kemewahan yang boleh dilalui, dijenguk-jenguk. Mungkin terbayang-bayang berapa banyak pintu emas yang boleh dibuka. Atau mungkin bermimpi awal Briefcase sudah dipenuhi dengan kertas-kertas projek dan terasa bahang komisen yang bakal memberatkan kocek.
Jika dalam kempen, ada kesanggupan bersengkang mata, meredah kampung dan bermandikan terik mentari, hujan dan lumpur untuk bertemu rakyat, kebetulan pula di dampingi pemimpin besar mengaum ke ceruk desa, meminta simpati agar diberikan sokongan undi, memberi janji dan mengwar-warkan menifesto yang sedap halwa mendengar, kemudian meraih keseronokan bersorak kemenangan, hasilnya membisu di ruang DUN sekadar memikul rasa bangga digelar Yang Berhormat, berbaloikah sikap 'kecut perut' begini untuk N5 Tandek yang selama ini bersatu memberikan undi? Lebih menyedihkan bila pilihan yang ada sekadar termanggu, membiarkan corong mikrofon membisu tanpa membawa khabar tangisan rakyat? Kaku oleh hawa dingin DUN atau mati akal atau tidak mengerti bagaimana menonjolkan personaliti diri sebagai pejuang rakyat, sekadar mendengar kesungguhan ahli Yang Berhormat dari kawasan pilihanraya yang lain berhujah memperjuangkan nasib rakyat yang dahagakan perhatian dan hak pembangunan, saya tidak tahu. Namun yang jelas, keterampilan politik begini tidak akan membawa N5 Tandek melangkah ke depan akibat kegagalan dalam menafaatkan sepenuhnya program-program pembangunan kerajaan yang telah tersedia. Fikir-fikirkanlah wahai N5 Tandek!
Mau tidak mau N5 Tandek akan berterusan menadah air mata, tangisan derita warga desa yang selalu tidak dihargai, menangisi kesilapan berulang tetapi belum sampai hati untuk mengubah 'sesuatu' kerana ada semacam sentimen yang sudah sebati atau prospek untuk tidak mengkhianati kesetiaan kerana 'kekebalan nilai rasa' yang memandang parti ini parti PBS, kerana parti ini dalam komponen BN. Kerana parti ini parti orang dusun. Kerana parti inilah yang telah diyakini, dipandang oleh peringkat negeri dan persekutuan sebagai rakan yang sah kepada saluran pembangunan dan bantuan kewangan untuk projek-projek desa kerana alasannya parti ini dalam kerajaan yang memerintah. Lagi pun orang kita juga bah!. Ingin saya ingatkan nilai rasa yang menebal seperti ini sudah semakin MENIPIS, menunggu masa dan kini diperhatikan dengan hati luka, terluka dan dilukai (luka lama berguris belum sembuh!) .... Jangan Yang Berhormat Puan Anita Baranting tidak sedar bahawa N5 Tandek sudah terlalu lama bersabar dan kini meniti ke penghujung untuk setia! Adun N5 Tandek, fikir-fikirlah... bahawa kami TIDAK SUKAR untuk membuang kesetiaan jika anda tidak progresif.
Sampai bila Yang Berhormat N5 Tandek menjadikan ini sebagai landasan yang membutakan intergriti dan jati diri, tidak merasa risau ditolak di tempat sendiri kerana sindrom yang bergantung kepada kewujudan sentimen kuat seperti ini.. Bukankah ini satu asas yang baik untuk terus bertahan dan mempertahankan wadah perjuangan politik PBS - 'YANG TABAH UNTUK RAKYAT' yang pada hemat saya cukup menyentuh hati (suatu ketika dulu) dan sesungguhnya saya tidak faham mengapa YB N5 Tandek tidak melihat ini sebagai satu kekuatan politik untuk berdamping dengan rakyat melalui perancangan yang berkarisma, berjalan bersama-sama dengan kepercayaan rakyat melalui idea-idea yang keramat untuk bumi sendiri!
5 tahun tidak lama untuk menghukum. Ada beberapa wajah di kalangan warga desa N5 Tandek yang lebih bersungguh-sungguh malah mempunyai karekter yang lebih agresif, berketerampilan sama ada mereka ini berada di pihak pro kerajaan atau pro pembangkang yang bakal memberikan cabaran. Dengar-dengar khabar, mereka sudah bergerak dalam satu kumpulan gerak kerja bersepadu, menjelajah kampung ke kampung sejurus selepas pilihanraya yang lepas. Semangat mereka ini kental, lebih pragmatik. YB, reaksi mereka responsif terhadap keluhan rakyat dan tentunya kesungguhan beginilah yang mendapat tempat di kalangan rakyat untuk memberikan batu nisan terhadap kesetiaan kepada Parti PBS.
Jika YB N5 Tandek sekadar mahu melihat ada sejarah yang boleh dikenang-kenang, dibangga-banggakan sebagai satu kisah turun-temurun kepada generasi sendiri bahawa anda pernah memiliki rekod menang sebagai calon, tidak mengapa. Tidak ada apa yang N5 Tandek boleh buat. Undi sudah memenangkan anda. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, 5 tahun tidak begitu lama untuk menghukum!

8 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Sekiranya berita ini benar,tidak susah untuk mengalahkan YB ini.Ini bukan sabotaj kepada PBS /BN..tetapi sebagai 1 pengajaran berguna kepada mana2 bakal YB N.5 Tandek.Mulakan tindakan dari sekarang.Tidak payah tunggu sampai DUN kena bubar.Beri penerangan kepada pengundi2 kawasan N.5 Tandek keadaan sebenar.Tubuhkan 1 pasukan khas untuk mengempur.Berkempen dari sekarang.Buat 2 unit pasukan iaitu terdiri dari pasukan pengempur untuk kawasan kampung dan 1 lagi pasukan pengempur melalui saluran internet.

Bagi mereka2 yang tinggal dikawasan kampung tanpa kemudahan internet,perkara ini kena bermula dari sekarang untuk meraih undi mereka.Dalam masa yang sama pengundi2 N.5 Tandek yang tinggal di kawasan bandar,kita raih sokongan mereka melalui internet.Buat 1 blog khas untuk memberi penerangan dan sebarkan blog ini kepada masyarakat Tandek.

Tidak perlu risau dengan cara YB sekarang ini.Kerana dia dipilih oleh pucuk pemimpin dan bukan dari akar umbi.Dia menang cuma disebabkan pengundi2 N.5 Tandek masih percaya yang PBS dapat membela kehidupan mereka.

Anda bukan seorang sahaja yang merungut pasal YB N.5 Tandek ini..di luar sana..ada berpuluh-puluh..ratus-ratus..malah ribuan pengundi yang tidak puas hati dengan YB Anita Baranting.

Kalau kita semua bersatu hati,saya pasti pilihanraya akan datang YB Anita Baranting akan gulung tikar.Dengan 1 syarat..pastikan bakal calon tersebut adalah ANAK WATAN KIMARAGANG yang benar2 berwibawa.

Sudah sampai masanya N.5 Tandek diwakili oleh kaum kimaragang setelah sekian lama kerusi ini telah diwarisi oleh kaum kimaragang sehinggalah SPR mengabungkan kawasan Tandek dan Langkon menjadi 1 kawasan.

Saya berbangga dengan komen saudara,dan sekiranya saudara inginkan kawan untuk menyerang melalui dunia cyber,saya akan bersedia untuk bersama saudara.

9:33 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Anonymous...

Terima kasih kerana berkunjung dan atas komen yg responsif daripada saudara.. saya menghargai keluangan saudara berkongsi sesuatu tentang kegusaran kita mengenai N5 Tandek.

Idea saudara memang sangat baik. Manipulasi teknologi satu cara utk mengumpul kekuatan. Gerak kerja konvensional seperti mengempur kampung ke kampung alternatif sokongan yang tidak kurang pentingnya memainkan peranan besar untuk memberikan episod pengajaran bagi mereka yang mewarisi kedangkalan didalam bertanggungjawab sebagai YB.

Buat masa ini saya tidak lagi memandang sama ada pemimpin kimaragang kita di N5 Tandek dari pihak kerajaan atau pembangkang. Yang terbaik untuk kawasan kita ialah anak jati kimaragang dan dari akar umbi. Ada beberapa anak muda yang berkemampuan untuk mengepalai kebangkitan. Kita berikan sokongan pada mereka. ASALKAN bakal pemimpin kita ini adalah daripada kimaragang root, kriteria itu adalah permulaan yang menyenangkan N5 Tandek. Kebolehan kerja dan berdaya dinamik yang ada pada diri mereka, ini adalah tonik tambahan kita untuk mengangkat calon seperti ini.

Jika ini memerlukan keterlibatan saya dalam dunia cyber untuk mendokong perjuangan pemimpin kita, ruang maya terbuka luas atas nama perjuangan. Saya bencikan persepsi POLITIK yang tidak mesra kepada pembangunan dan kemajuan

sokongan politik saya bukan kerana mereka ini dari Parti PBS atau mana-mana parti. Saya sedang menunggu bila masa kawasan kita dikembalikan kepada kita, pemimpin n5 tandek harus anak jati Kimaragang dan ada beberapa karekter yg telah dikenal pasti dan mereka sudahpun bergerak. Saya tidak kisah jika calon masih daripada PBS atau muka baru dari pembangkang asalkan bukan YB n5 Tandek sekarang... kecuali ada perubahan besar, drastik dalam statisitk kerjanya. Namun sampai bila? hampir setahun, rasanya kita sudah membaca 'kebiasaan politik' yang ada pada YB terdahulu ada juga pada YB sekarang...

Tidak susah. tanpa perlu tunggu lima tahun pun, tidak sukar untuk menghukum... seperti yg saudara katakan... ini email saya. little_mike@mailcity.com. Saya harap dapat mengenali saudara melalui email. Salam perjuangan untuk N5 Tandek

2:21 AM  
Blogger Ajeem said...

This comment has been removed by the author.

5:21 AM  
Blogger Ajeem said...

salam saudara...ingatkan tidak minat berblog.rupa-rupanya 'terlebih minat' sampai ada beberapa blog lagi...hehee...mujur jumpa link melalui blog cikgu androd.

Artikel ni buat saya geram dan macam-macam lagi perasaan yang sewaktu dengannya.saya tidak perlu ulas apa yang orang kampung kawasan saya katakan kepada YB N5 tandek ni.dari kg mangkalu,talantang 1 dan 2,masolog dan beberapa lagi kampung lain.walaupun nun jauh dikedah sekarang tapi perkembangan tanah tumpah darahku tidak boleh dilupakan.

terus-terang saya katakan,bukan setakat YB N5 Tandek ni tapi YB P168 KM juga sudah lama saya berazam untuk berjumpa secara muka ke muka.terlalu banyak agenda rakyat yang perlu disuarakan.kesibukan sebagai mahasiswa tidak mengizinkan saya berbuat demikian mungkin terpaksa tunggu sedikit masa lagi.

cukuplah saya berkongsi serba sedikit mengenai daerah kita disini(perkembangan semasa).selebihnya boleh baca diblog peribadi saya.

pada tahun 1999(saya darjah lima),begitu hangat manifesto BN untuk kawasan kota marudu iaitu semua jalan tidak berturap akan diturap sekiranya BN menang dikawasan tersebut.kebetulan PBS yang masih berpengaruh bergabung semula dengan BN.jadi rakyat begitu teruja untuk memberi sokongan sehingga BN menang besar di KM.saya dan rakan-rakan(walaupun masih budak) tidak ketinggalan untuk memperkatakan hal tersebut.masih kuat diingatan saya pada ketika itu(kempen sedang berjalan),saya katakan kepada rakan karib,"kalau jalan raya dikampung kita semua disimen,saya sanggup kaki ayam saja berbanding pakai selipar jepun ke sekolah".maklumlah jalan asyik berlumpur saja.tetapi apa yang berlaku?semuanya putih mata.

PRU ke-11(2004),sekali lagi manifesto sebegitu(semua jalan raya dikampung2 disimen) begitu hangat sehingga mewujudkan 'suasana fanatik'.rakyat begitu percaya walaupun ditipu hidup-hidup kerana faktor utamanya kononnya PM baru nampak baik dan alim.poooorahhhhh....sampai PRU 12 yang baru berlalu,saya tidak nampak satu pun perubahan.jangankan jalan raya diturap malahan bekalan elektrik pun masih ramai yang tidak menikmatinya.walhal rumah ditepi jalan saja.maklumlah tidka mampu dan mengharap kerajaan akan membantu.tapi malang sejuta kali malang.

PRU 12 mac lalu,sebelum penamaan calon saya dengar khabar cikgu androd akan bertanding tetapi tidak di'approve' oleh kepala PBS.alih-alih puan yang tidak popular pula jadi calon.jadi,kita hanyalah rakyat biasa tidak mempunyai kuasa untuk mengubah apa yang telah berlaku.bagi saya 4-5 tahun terlalu lama.wawasan 2020 tinggal kurang 12 tahun lagi.kalau beginilah gayanya(wakil rakyat tiada kemajuan dalam menjaga dan membangunkan rakyat) jangan harap wawasab tersebut tercapai.

satu hal yang saya minta kepada warga P168 Kota Marudu,beranilah berubah dan pilihlah wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat.Amin!

5:26 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Ajeem...

Terima kasih atas komentar dan kunjungan ke blog ini. mulanya, saya tidak begitu teruja dengan dunia blogger nie. Tapi atas inspirasi yang saya perolehi daripada abang saya, sejak tahun 2004 saya sudah ada blog tapi kemudiannya bertukar ke blog ini yang aktif dari tahun 2005. Sehingga sekarang,di samping kerja, ini perkara kedua aktif saya lakukan semasa kerja dan di luar kerja. :)

Tentang kawasan kita, mmg sudah lama 'dibiarkan' begitu sahaja. Ada peruntukan utk adun kita dan P136 KM, tapi tidak kenampakan hasil yg setimpal. Janji penurapan jalan jika tidak didesak, jangan haraplah ada potensi. Baru ni saja, ada sedikit kerja2 permulaan penurapan. Tidak tahu sejauh mana progressnya. Harap2 pemuda kg kita di sana terus aktif 'mendesak' supaya kerja2 penurapan terus menjadi keutamaan. Sudah beberapa penggal PBS memijak bumi tandek. Rasanya peruntukan untuk tandek selama ini sudah mencecah lebih daripada rm3 juta tapi tidak ada satu pun wajah tandek yang boleh dinilaikan dengan RM3 juta.

Saya juga sangat kecewa dengan pemilihan calon pru12 baru2 ini. Puan anita baranting adalah setiausaha politik kepada Datuk Max kalau tidak silap. Barangkali pemilihan Puan Anita ada sebabnya. Rekod perkhidmatan Datuk Max semuanya jelas diketahui oleh Puan Anita. Jika ada calon lain yg mengambil alih, pasti ada bahagian tugas yg gagal dilaksanakan oleh Datuk Max terdedah.

Puan Anita pasti satu2nya calon yang jika dipilih boleh membuatkan langkah Datuk Max selamat. Kegagalan pengurusan peruntukan pasti terbongkar dan menggugat kedudukan Datuk Max kerana sudah beberapa lama kawasan N5.Tandek sunyi dari pembangunan.

harap pilihanraya akan datang ini calon kta adalah daripada kimaragang root. orang kita sendiri tidak kira apa yg dikatakan oleh kepala PBS(seperti kata ajeem) tentang calon mereka , kita kena bidas dan bangkang sehabis-habisnya. Kita mau calon dari AKAR UMBI!!!

Sebabnya, AKAR UMBI sudah lama berendam dengan kesukaran, penderitaan warga desa yg tidak mendapat perhatian pembangunan. Jika warga desa selama ini tertipu, calon kita juga MESTI dari kalangan yang 'tertipu', agar perjuangannya nanti dalam politik berorientasikan keazaman utk mengubah attitude yang selama ini membelengu YB kita. Malah calon kita harus tahu belajar dari pengalaman2 lepas. calon kita harus tahu apa hakikat perjuangan yang perlu dilakukannya akibat kegeraman mengumpul rungutan bertahun2 hasil oleh sikap YB kita yg tidak pernah berjasa di tempat kita.

3:53 PM  
Anonymous Anonymous said...

Saya sebenarnya sudah lama tidak mengetahui selok belok politik N.5 Tandek sejak kejatuhan zaman kegemilangan PBS dulu.Terus terang saya katakan,dulu time mendiang Datuk Saibul Supu jadi YB Tandek..saya selalu ikut beliau berkempen..boleh dikatakan seluruh kampung kawasan N.5 Tandek saya masuk..saya boleh jumpa semua penduduk2 kampung..dari tanah rata sampai lah ke kawasan pendalaman sejauh kg.minsusurud..kg.molinsau darat..sonsogon suyad..sonsogon mogis..sonsogon paliw..sonsogon magandai.

Kalau ada mesyuarat majlis tertinggi PBS..saya juga berpeluang duduk bersama dengan HUGUAN SIOU....kawasan N.5 Tandek jangan cerita lah..semua pemimpin2 kampung saya kenal..

Tapi itu hanyalah tinggal kenangan..dan sejak kejatuhan PBS saya sudah tidak berminat lagi mengikuti perjalanan parti ini..tambah2 lagi apabila Datuk Max jadi YB...semuanya berubah.Tiba2 dia lantik Anita Baranting jadi PKR Tandek yang sudah diketahui langsung tidak ada fungsi.

PRU12 memang saya ada dengar saudara Androd Sadian dicadangkan sebagai calon PBS N.5 Tandek..tetapi apakan daya kuasa timbalan presiden PBS lebih dari segala-galanya.Datuk Max telah melantik Anita sebagai calon BN di Tandek.Oleh kerana mahu mengambil hati penyokong2 dari kawasan Tandek dan KIMARAGANG.. YB Anita telah melantik PKR dari Tandek iaitu kawan saya sendiri saudara Endrus Anding dari kg.Togudon.

Baru2 ini saya berkesempatan balik kampung dan berjumpa dengan pemimpin2 lama PBS tahun 90-an dan saya ada bertanya pada mereka pasal YB baru N.5 Tandek.mereka cuma mampu tersenyum.Dari riak wajah mereka saya suda baca memang ada yang tidak kena...

Sekiranya ada rancangan untuk berjuang demi maruah bangsa KIMARAGANG..saya dengan berbesar hati rela korbankan segala-galanya.Saya akan kembali di Tandek dan turun padang bersama-sama untuk berjuang..biarpun saya tahu diri saya ini tidak punya apa2 namun setakat yang termampu saya akan berjuang demi bangsa KIMARAGANG.Saya rela mengorbankan hidup senang saya di tempat orang demi N.5 Tandek.

Kita berjuang habis-habisan demi maruah..demi masa depan masyarakat N.5 Tandek.

8:44 PM  
Blogger Ajeem said...

memang ada kewajaran juga YB anita diamanahkan untuk bertanding di DUN N5 Tandek kerana beliau merupakan timbalan ketua PBS bahagian KM.lagipun beliau juga selalu 'matanud' YB DR Max bagi mengukuhkan kedudukan YB DR Max.tetapi kelayakan dalam segala aspek juga harus diambil kira seperti kelayakan akademik,sokongan rakyat, dan sebagainya. rakayat P168 KM dan N5 Tandek menyokong YB Anita bukan kerana dikenali atau kehebatan beliau tetapi atas tiket BN.

lagi satu,siri jelajah ceramah dan pidato umu harus dibuat kerap bagi mendedahkan masyarakat permasalahan isu-isu semasa negara.menurut pemerhatian saya,rakyat KM ni masih ditahap rendah dari segi pengetahuan semasa.kalau yang bertaraf mahasiswa pun malas ambil tahu perkembangan semasa,inikan pula mak cik dan pak cik di bendang dan sawah.

semasa PRU12 maca lalu saya ada sms kepada keluarga dikampung,sms saya ringkas saja: sekiranya BN menang pilihan raya kali ini,minyak akan dinaikkan lagi sebanyak rm 0.30 sen (paling kurang).undilah dengan bijak dan pilihlah calon yang sepatutnya.

maklumat tersebut saya dapat daripada pegawai tinggi kerajaan dan beberapa ornag yang rapat dengan orang politik.saya cuma sampaikan apa yang patut tetapi tindak balas yang saya dapat adalah disebaliknya.saya didakwa berpolitik dan disuruh tutup mulut.kalau macam nilah masyarakat kita,jangan harap ada kemajuan sampai mati.

jadi,saya berharap kesatuan penduduk KM dipupuk dengan sehati dan sejiwa ke arah perubahan.

4:05 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Saudara Illie... Saya masih ingat lagu 'Oluau Talipinggang Di Boos' gara2 meranduk ke kampung2 mendekati rakyat... lagu itu popular.. Itu kisah lama.

Kita perlukan orang kita untuk memimpin kerana orang kita lebih faham akan penderitaan dan sudah 'berlegar' lama di kalangan kita menikmati segala kekurangan prasarana dan insfrustruktur.. pasti ini satu tonik yg baik dalam mengorioentasikan perjuangan politiknya di samping orang iut harus sabar dalam memangani kekuatan KUASA, kekuatan MEMIMPIN dan kekuatan WANG.

Sudara Ajeem,

'kewajaran' yag saya dapati hanyalah kerana Puan Anita itu adalah orang Datuk Max. selalu 'mintanud' Datuk Max bukan satu prospek yang kita boleh katakan inilah orangnya utk memimpin kita, atau inilah orang yang boleh bekerja untuk kita. Ketidakwajaran yang saya rasakan ialah pemilihan yang tidak berteraskan kepada karekter yang boleh memimpin dan BOLEH BERKERJA.

Kalau akhirnya itu org Datuk Max yang diangkat menjadi calon dan BOLEH MEMIMPIN serta BEKERJA, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya.

Pembangunan desa tidak bergantung kepada sejauh mana harga minyak naik kerana itu permasalahan yg ditangani peringkat global... ekonomi dunia akan sentiasa memberikan cabaran, berubah dan menyesak seluruh dunia.

Pembangkang jika memerintah pun, bukan mereka akan dapat menurunkan harga sekalipun mereka dalam menifesto boleh mengurangkan kadar kenaikan. Konsep 'kurang harga' sebenarnya masih pada tahap naik harga tapi tidak sehingga melonjak naik...

Saya cuma rindukan pemimpin kita melakukan jika tidak dapat YANG TERBAIK untuk memajukan bangsa dan kawasan, melakukan apa yang baik untuk Tandek itu satu permulaan yang melegakan. Hanya ini yang ingin saya lihat. jika dapat melakukan yang TERBAIK, syukur jika ini terjadi, sebagai rakyat Tandek, undi saya bertahan bersamanya, menyokong sepanjang masa

5:53 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home