TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, October 26, 2008

TPM: Perlu Digubal Berasaskan Jangkaan Yang Mendapat Sokongan Popular

Saya ingin memetik kenyataan TPM dalam artikel yang disiarkan oleh Utusan Malasyia berkenaan kebebasan awam (di bawah tajuk besar: Unsur DEB dihapus beransur). Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kini masyarakat menjadi semakin canggih dan prihatin terhadap kebebasan sivil, tentang kematangan demokrasi dan "kami perlu menangani perkara itu."

..."Contohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ia merupakan undang-undang pencegahan dalam usaha memerangi keganasan, mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku, tidak kira sama ada ia dalam bentuk keganasan, pergaduhan kaum atau seumpamanya," kata beliau

"Kesimpulannya, apa jua undang-undang yang diamalkan di negara ini, ia perlu digubal berasaskan jangkaan bahawa ia akan mendapat sokongan popular, jika tidak, ia tidak akan memberi makna," kata Najib....
Saya melihat daripada sudut kekuatan sistem perundangan yang 'tidak digemari' dalam mendidik kemantapan bermasyarakat, mengawal adab dan tatasusila. Kemampuan dari segi definisi menjalankan fungsi kuasa inilah yang juga dapat menangani trend pemikiran semasa yang cenderung mengaplikasikan 'kesedaran' hak kebebasan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang dilihat mahu mengangkat konsep kebebasan bersuara 'tanpa had dan kekangan', atas alasan yang menggunapakai 'kebebasan bersuara secara aman', 'kebebasan berhimpun secara aman', 'kebebasan hak asasi dalam membuat bantahan secara aman' dan sebagainya yang boleh disudahkan dengan takrif 'aman'. Sekilas pandang, 'aman' dengan mudahnya dapat menangkap perspektif, satu kerangka menifestasi yang boleh sahaja memberikan kredibiliti dari segi penghayatan konteksnya. Dengan sendirinya dapat memberikan semacam dimensi yang berkonotasikan penolakan terhadap kelakuan subversif, konfrontasi atau kacau bilau emosi.
Percaya atau tidak, setuju atau tidak, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan berarak untuk membantah, jika tidak dididik oleh sistem yang betul dengan sendirinya akan menjemput emosi tidak terkawal yang akhirnya melupakan tujuan asal, sama ada diakibatkan oleh propaganda, aplikasi intelektual yang tidak searah, tidak puas hati, pergeseran ideologi dan fahaman politik atau yang melibatkan isu perkauman. Bijak pandai dapat melahirkan pengalaman melalui kata-kata 'api kecil itu kawan, bila besar menjadi lawan'. Di dalam setiap karekter, kita tidak akan dapat membaca potensi dan tahap reaksi ketika yang mempimpin 'terlupa ketika teruja' dan yang dipimpin 'teruja dan terlupa'. Ia belum lagi pada peringkat bertelingkah pula dengan pihak bertentangan. Bila pihak berkuasa mengambil bahagian menjalankan tugas di bawah peruntukan kuasa undang-undang yang 'tidak digemari', bayangkan sahaja di mana tahap kawalan diri bila kecelaruan emosi semakin bertambah kacau.
Sejak akhir-akhir ini, isu ISA menjadi medan agrumentasi politik yang membawa kepada gesaan agar perubahan dilakukan termasuk idea yang mahu akta tersebut memansuhkannya. Ia bertitik tolak daripada ciri-ciri dalam perlaksanaan kuasanya yang boleh menahan individu pada bila-bila masa, mengikut keperluan, menahan tanpa perlu dibicarakan. Satu-satunya akta yang sangat tidak popular, kejam dan sudah tentulah telah diklasifikasikan sebagai ancaman kepada hak asasi, yang dianggap sebagai satu bentuk penafian dalam mendapatkan proses keadilan.
Terdapat beberapa isu yang bermain di dalam benak jika pengubalan undang-undang semata-mata berasaskan kepada 'dapat menjelmakan' populariti untuk memenangi hasrat dan desakan pelbagai pihak. Saya mempunyai kebimbangan jika kriteria ini yang diambil kira. Saya percaya, rata-rata rakyat Malaysia dengan mudah mengambil pendirian mendesak kerajaan mengambil langkah 'popular' agar meletakkan batu nisan kepada beberapa akta yang tidak digemari terutamanya ISA. Saya tidak mengatakan bahawa statement Datuk Najib bersangkut-paut dengan ISA. Namun, kenyataan beliau seakan-akan membuka pilihan kepada pihak tertentu memanipulasikan sepenuhnya kenyataan ini. Saya perlu mengingatkan bahawa jika ada undang-undang yang digubal (apa lagi jika bercakap mengenai idea pemansuhan) ISA tidak perlukan apa-apa 'jangkaan' kerana pilihan popular ialah HAPUSKAN ISA!. Sejauh mana kematangan kerajaan dalam menangani idea popular ini.
Jika pengubalan satu-satu akta berpaksikan ia idea yang popular, kerajaan yang memerintah dengan sendiri meletakkan situasi mereka di persimpangan dilema. Keputusan terpaksa diambil terhadap langkah pengubalan yang sememangnya mendatangkan sokongan dan sebarang langkah lanjutan akan menentukan sama ada kerajaan akan popular atau ditolak (kerana tidak dapat memenuhi kehendak ramai yang memberi sokongan padu) dan sudah tentunya menghadapi risiko akan dihujani oleh kemarahan rakyat jika gagal dalam mengimplementasikannya. Sekiranya kerajaan berpendapat 'ia perlu digubal berasaskan jangkaan bahawa ia akan mendapat sokongan popular' dijadikan sebagai satu platform, usah terkejut jika rakyat bangkit memberikan reaksi penolakan yang luarbiasa terhadap beberapa akta yang tidak digemari. Dan jika ini berlaku, sistem perundangan di Malaysia kehilangan cengkaman kukuh untuk mengekang tindak-tanduk ekstrem atau sebarang perbuatan subersif yang membahayakan negara.
Saya mempunyai harapan yang baik mengenai kenyataan Datuk Seri Najib yang menyebut "kami perlu menangani perkara itu." Semoga barisan kabinet akan datang dapat menghalusi setiap tindakan masa depan berkenaan sebarang langkah membabitkan pengubalan undang-undang demi mempastikan hayat negara tidak tercalar oleh kerakusan. Usah perjudikan demokrasi yang bernafaskan budaya mengikut acuan Malaysia semata-mata kerana jangkaan bahawa ia mendapat sokongan popular untuk pengubalan sekian akta yang banyak memberikan nyawa kepada keamanan sejagat dalam negara.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home