TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, June 30, 2008

Benarkah Keselamatan Anwar Tergugat?

Saya tidak mau bercakap tentang kes terbaru Anwar. Biarlah kecekapan Polis Malaysia mengendalikan apa yang disifatkan blog ini sebagai sesuatu yang mengejutkan. Tidak dinafikan apa sahaja yang berkaitan dengan Dato Seri Anwar bagaikan magnet di setiap ruangan akhbar tempatan dan luar negara. Saya masih percaya dengan prinsip 'sesorang itu tidak melakukan kesalahan selagi tidak dibuktikan bersalah'. Kes ini sedang disiasat dan kurang bijak rasanya jika blog ini mencelah dengan analisis persepsi semata-mata. Laporan polis telah dibuat oleh individu berkenaan dan blog ini menyanjung tinggi ketelusan undang-undang untuk meletakkan kes ini pada landasan yang betul, sesuai menurut prinsip perundangan.
Saya sebagai rakyat Malaysia berasa terpanggil untuk menulis berhubung tahap keselamatan di negara tercinta ini dipertikaikan. Blog ini tertanya-tanya juga bila Anwar membuat kenyataan dia melihat situasi di Malaysia sudah tidak selamat lagi baginya dengan mendakwa beliau menerima 'ugutan bunuh' dan turut mempersoalkan sistem kehakiman dan perundangan di Malaysia tidak menjamin keselamatan yang mampu melindungi seorang tokoh politik sepertinya. Blog ini ingin melontarkan beberapa persoalan;
1. Beliau mendakwa menerima 'ugutan bunuh' seminggu yang lepas. Sidang akhbar semalam oleh PKR menjelaskan Anwar telah ke Pejabat Duta Turki untuk mendapatkan perlindungan politik selepas menerima ugutan tersebut. Jika benar atas sebab demikian, Anwar sepatutnya berbuat demikian (entah perlukah Anwar bertindak seperti ini dalam negara sendiri?) seminggu yang lepas lagi dan membuat laporan polis mengenainya. Saya tidak pernah terbaca dalam mana-mana media atau pemimpin PKR mendedahkan kes ugutan bunuh tersebut, bagaimana secara tiba-tiba boleh timbul dakwaan tersebut dan didedahkan selepas salah seorang pembantunya membuat laporan polis atas salahlaku sebagaimana yang dilaporkan baru-baru ini?
2. Sebagai seorang anak Malaysia yang mempunyai hak dari segi perundangan, bagaimana Anwar boleh terlepas satu peluang terbaik dalam tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara untuk membantu pihak polis membuat tugasnya dalam usaha menangkap orang yang membuat ugutan bunuh dengan menyertakan secara terperinci bukti bila ugutan bunuh diterima, sekian masa, kandungan ugutan? Dalam kes pemanggil hantu atau SMS tidak dikenali sebelum ini, Polis Malaysia terbukti cekap dalam usaha memburu dalang di sebalik 'perbuatan misteri'.
3. Ketika Anwar bimbang akan keselamatan dirinya dan mencari perlindungan di Kedutaan Turki, isteri dan anak-anak beliau berada di mana-mana, bebas melakukan sebarang pergerakan dan urusan tanpa sebarang masalah. Bagaimana seorang ketua keluarga berasa bimbang akan tahap keselamatan keluarganya, meninggalkan keluarga dan bersembunyi , sementara isteri mengambil tempat membuat kenyataan dengan senyuman manis seorang ibu di hadapan media mempertahankan suaminya daripada apa yang disifatkan olehnya sebagai 'serangan politik' pihak kerajaan? Bagaimana isteri beliau tidak merasa tergugat di tempat awam?
4. Bagaimana Anwar sangat bertegas mahukan beliau, isteri dan anak-anak diberi perlindungan keselamatan terbaik sedangkan Anwar membuat statement tersebut dari tempat 'persembunyian' Isteri dan anak-anaknya berada di mana ketika itu?
Anwar terkenal sebagai pejuang yang berani. Seorang pejuang bermaruah tidak sepatutnya 'menyalak' bagaikan salakan misteri entah datang dari persembunyian mana. Saya pernah kagum dengan keberanian, ketegasan juga gaya ucapan inpromtu dan retorik setiap kali beliau berpidato. Beliau antara pemimpin yang saya pernah lihat sebagai pemimpin yang mampu meneruskan kesinambungan masa depan Malaysia.
Saya mengharapkan kredibiliti beliau mampu melonjakkan karisma, tampil berani, tanpa perlu menyalahkan sesiapa dan sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang bernas, cekap dan pintar dalam melontarkan buah fikiran mampu menggunakan kelebihan dalam mengakses kesaksamaan perundangan melindungi hak asasinya sebagai warganegara. Beliau tidak perlu menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia sebagai 'kambing hitam' dalam usaha beliau untuk menggelakkan diri daripada beberapa isu yang berbangkit. Berdasarkan apa yang dilalui oleh Anwar dan bagaimana Malaysia memberi ruang tanpa prasangka kepada setiap pergerakan politik Datuk Seri Wan Azizah sehingga kini, ternyata dakwaan Malaysia tidak selamat sebenarnya tidak berasas.
Blog ini secara peribadi sangat yakin dengan kemampuan Malaysia dan undang-undangnya dalam mengendalikan pelbagai isu dan keselamatan dalam negeri.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home