TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, August 14, 2008

Jimat Cermat...

Pada suatu hari bapa bercerita tentang nenek berkaitan dengan berjimat cermat. Cerita ini sudah berusia lebih kurang 20 tahun dari bapa bercerita dan masih saya simpan dalam ingatan. Bapa memulakan cerita tentang nenek yang menetap di Parong, Kota Marudu. Nenek ini antara insan yang paling saya sayang dan sangat baik serta sangat saya hormati. Kata-kata nenek tidak pernah saya bangkang dan saya tidak pernah tersinggung apa sahaja butir bicara nenek. Tidak pernah jemu memberi kata-kata nasihat. Setiap teguran saya tidak membalas sama ada untuk mengulas atau bertanyakan kembali dengan persoalan, kecuali 'ya' dan anggukan. Itulah persona nenek.
Kata bapa, pernah suatu ketika dulu nenek mendidik cara untuk berjimat cermat. Selalunya nenek ini menyalurkan didikan melalui cara hidupnya. Jikalau mendapat beberapa ekor ikan rongou atau ikan koruk (ikan air tawar), biasanya ikan rongou la, nenek hanya merebus. Bila waktu makan, nenek memanaskan sup. Cara masakan nenek sangat mudah, letak ikan dalam periuk dan masukkan air tanpa apa-apa campuran lain. Ketika hendak menghadap hidangan, nenek keluarkan seekor dan mencubit sedikit daging lalu diletakkan di tepi pinggan dan memasukkan kembali ikan tersebut ke dalam periuk. Nenek hanya lebihkan kuah dalam gaulan nasi putih. Nenek makan dan mengambil sedikit dari cubitan daging tadi. Selebihnya menghirup kuah sebagai perasa. Itulah yang jadi lauk sehingga kenyang. Rutin makan begini berterusan setiap hari. Kalau zaman sekarang, kelihatan tidak masuk akal kan??
Satu ekor boleh bertahan sampai 3-4 hari. Bapa cakap, oleh kerana rebusan berulang sehingga seminggu dua, tulang ikan menjadi sangat lembut. Jadi tidak ada sisa ikan yang terbuang, semuanya habis dimakan. Jika habis sup, masukkan air dan panaskan sehingga mendidih. Menurut bapa, untuk menghabiskan ikan, kena 4-5 kali masukkan air dan sentiasa panaskan setiap hari supaya tidak bebangas (basi). Kalau sekarang ni, boleh bertahan ka makan begitu sahaja untuk satu, dua minggu?? Bagi yang pernah melalui pengalaman seperti ini, melakukan rutin makan seperti itu agaknya tidak sukar. Pengalaman dan kesukaran hidup menjadikan resepi makanan sedemikian rupa tidak pernah mengundang alasan malah kita menjadi lebih tabah untuk semua peristiwa yang klasik begini. Prospek untuk mengulangi agak sukar di kota. Ya la, sistem parit dan sungai kota, pinggir kota tidak dapat menyamakan kepercayaan kita menghanduk ikan sebagaimana semaunya di desa. Lagi pun mana nak cari ikan rongou, sepat atau ikan koruk di ceruk kota? Kena la juga menjenguk pasaraya TESCO, GIANT atau EKONSAVE. Itupun kalau ada tauke yang jual. Jika tidak, kena la juga melirih pandang ikan kembung, bawal, siakap. Sudahnya, menggeleng kepala melihat tanda harga.
Di Kuala Lumpur, kehidupan dalam serba-serbi sangat demand. Mau tidak mau kita terpaksa menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berbelanja, bukan kerana apa orang lain beli kita nak beli juga. Cukup la untuk apa yang kita perlu sahaja pun terlibat juga dalam kos pasaran yang melambung. Menyedihkan, sekalipun berusaha untuk sederhana dalam semua cara, kemahuan, keinginan dan kesukaan rasa, masih melibatkan kos yang tinggi yang sebenarnya sudah mampu menanggung keperluan ruang dapur di desa. Hakikatnya, mereka yang kaya raya pun boleh mengambil ruang untuk mengelabah dan mengeluh dengan kenaikan kos dalam semua aspek. Itu baru orang berduit yang melahirkan kegusaran!!
Terpaksalah.... Mana yang boleh jimat, usahakan. Simpanan bulanan pun tidak seberapa dek kos bayaran dan sara hidup. Sejak kebelakangan ini, selalunya saya lebih banyak berada di tempat kerja semata-mata melupakan rayuan dalam perut. Kerap juga saya tidur di tempat kerja di luar waktu siang hari (selepas jam 6pm) sementara menyambung tugasan malam nanti (jam 12am) sebab ini memudahkan saya degil terhadap perut sendiri. Banyakkan minum air (yang dimasak) dan sekali makan tengahari cukup untuk tidak merasa lapar dan menghindarkan lebihan asid yang memeritkan. Malamnya, perut saya tidak banyak karenah. Layan dengan gardenia 2-3 potong senyap la muzik dalam perut. Paginya, jam 6.30am lepas mandi, langsung terlena begitu sahaja sehingga jam 1.30pm.Mudah-mudahan, dapatlah saya mengurangkan lebihan yang tidak diperlukan di keliling badan. haha... Sebenarnya seronok juga begini. Orang kampung bah. Yang susah tidak pernah terlalu sukar...

3 Comments:

Blogger everjoy said...

aduhhh..cerita tentang nenek tu sangat menyentuh hati...mengingatkan saya dengan nenek yang dah lama meninggalkan saya...

4:40 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

ya..
saya pasti jovita juga punya kenangan klasik terbaik bersama nenek. Ingatan kepada nenek banyak membantu kita dalam mengatur hidup.

Heran juga kan.. aura dan pesona nenek-nenek kita dulu sangat kuat sehingga dalam mana-mana keluarga pun jarang ada persengketaan dengan nenek. Kata-kata nenek bagai satu undang-undang lisan yang sangat mudah dipatuhi oleh anak dan cucu-cicit (bagi sesiapa yang sempat ada di sisi nenek).

5:37 PM  
Blogger UNGU said...

Hi mike..
lawa o tu gambar ikan..err lawa dan sedap dimakan..nyam..nyam

kisah lalu kita adalah cermin paling jujur bercerita tentang siapa kita..percayalah!

6:10 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home