Mubahalah-Sumpah Laknat
Beberapa hari lepas, petang lebih kurang jam 6.30 petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Saiful melakukan sumpah Muhabalah' untuk membuktikan yang dirinya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 yang lalu. Saiful bersumpah dengan Quran di tangan kirinya, menghadap kiblat manakala teks sumpah di tangan kanannya sambil ditemani oleh bapa dan disaksikan oleh puluhan wakil media dan imam masjid serta keluarga Saiful. Saiful kemudiannya membaca teks sumpahnya yang berbunyi:
"Pada hari ini, saya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan nama Allah berikrar dan bersumpah, diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah hingga ke kiamat"
Sumpah Saiful kemudiannya dikritik hebat oleh para pemimpin agama dan ulama, pemimpin parti politik pembangkang termasuk yang terbaru oleh bekas pemimpin Indonesia, Gus Dur. Sebelum ini ramai pihak menggesa agar dilakukan satu sumpah Mubahalah antara Mohd Saiful dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat. Antara yang mencadangkan ialah Mufti Perak yang mahu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz sebagai pengantara majlis sumpah.
Namun sumpah tersebut mendapat reaksi bertentangan daripada ramai pihak. Gus Dur menyifatkan sumpah tersebut tidak mengikut hukum Islam. Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang mempertikaikan sumpah tersebut kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Mufti Perlis pula mengeluarkan kenyataan bahawa pegang Al-Quran semasa bersumpah adalah salah. Manakalah ahli akademik dan beberapa mufti lain berbelah bagi dalam memberikan pandangan sumpah laknat. Ketua Jabatan Pusat Pengajian Islam Antarabangsa, Ahmad Fauzan Yahaya mempertikaikan cara Saiful bersumpah dengan memegang Al-Quran tapi beliau mengakui syariat iaitu bersumpah dengan nama Allah. Pegawai Masjid Negara, Azhar Tuarno mendakwa dari segi konteks Islam, perbuatan itu dilihat bertepatan untuk membersihkan namanya. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata tidak wujud istilah sumpah dalam Islam dengan perbuatan menjunjung Al-Quran tapi memadai dengan menyebut "Wallahi, Wabilahhi, Wata'alahi" sambil menambah sumpah tersebut hendaklah dilakukan di depan kadi di mahkamah bukan imam dan di dalam masjid. Mufti Selangor, Datuk Ahmad Tamyes Abd Wahid berpendapat, sumpah laknat harus dilakukan terlebih dalulu oleh yang tertuduh untuk menyangkal pertuduhan ke atasnya. Di Kuala Terengganu pula, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al-Syiekh ABdul Halim Abdul Khadir menegaskan sumpah seharusnya dibuat setelah mahkamah menemui jalan buntu dalam menyelesaikan kes.
Sementara itu dalam blog Datuk Seri Awar Ibrahim ada mengambil beberapa kenyataan ulama jawi yang dipetik daripada blog Husam Musa untuk menyokong pendirian beliau dalam isu pertuduhan liwat. PEnasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee menyebut tindakan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran bahawa dia diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang dibenarkan mengikut syarak tapi menegaskan sumpah yang dilakukan oleh Saiful bukanlah sumpah Mubahalah sebaliknya sumpah tohmah.
Saya sebagai Non-Muslim semakin keliru dengan perkembangan yang melibatkan kebenaran bersumpah menurut hukum Islam. Jika sebelum ini, sangat ramai pihak menggesakan agar dilakukan satu sumpah laknat, perkembangan terbaru menjadi celaru. Blog ini tidak mempertikaikan kenyataan mana-mana individu berkaitan dengan sumpah tersebut. Yang jelasnya saudara Saiful telah melakukan sumpah laknat setelah terus-menerus didesak. Persoalannya, ketika gesaan oleh mufti, pemimpin agama, ulama, pemimpin politik termasuk mereka yang pakar dalam undang-undang Islam menuntut perlaksanaan sumpah, tiba-tiba timbul polemik agama yang tidak melihatkan kesepakatan. Blog ini ingin bertanya;
1. Saudara Saiful beragama Islam. Individu yang mendesak untuk diadakan sumpah laknat juga beragama Islam. Yang dituduh juga beragama Islam. Yang memberi pendapat tentang kesahihan sumpah juga semestinya beragama Islam. Mengapa sebelum ini para bijak pandai agama tidak mengeluarkan satu garis panduan yang sangat jelas menurut hukum dan Syariat Islam supaya tidak timbul polemik sepertimana yang berlaku sekarang?
2. Setelah sumpah selesai, mengapa disambut dengan reaksi yang pelbagai sehingga tidak mengiktiraf kesahihan sumpah Saiful?. Ia bagai satu permainan 'MENUNGGU ORANG LAIN (BIAR PUN SEAGAMA) MELAKUKAN KESILAPAN'. Ini bukan strategi politik!! Dalam politik siapa buat silap, siapa lemah, siapa yang pentingkan diri sendiri akan merosakkan perjuangan dan tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Dalam konteks agama, sementara anda bertaqwa kepada Allah, kesepakatan dan muzakarah, saling membantu sedaya yang boleh, membimbing cara yang betul dalam proses yang adil, tidak mengira bangsa dan warna kulit harus menyatu dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran dan perjuangan Islam. Ini adalah tuntutan bagi yang beragama Islam.
3. Kenapa para ulama, pemimpin politik dan para pemikir dan ilmuwan Islam tanahair tidak membantu saudara seagama dalam menunjukkan proses yang lurus, yang terbaik dalam mengaplikasikan hukum Islam menyelesaikan isu melalui proses yang diiktiraf hukum dan syariat Islam?
4. Semua orang tahu desakan demi desakan akan membuatkan Saiful bakal melakukan sumpah juga pada suatu hari nanti. Setelah mendesak, dan Saiful kemudian rela hati untuk bersumpah, kenapa menunggu saudara Saiful melakukan 'kesilapan' bersumpah kemudian beliau dikritik tanpa bimbingan sebelum ini? Jika tidak ada usaha memberikan cara terbaik melalui nasihat-nasihat sahih Al-Quran, sepatutnya tidak perlu mereka yang berkaitan mengkritik Saiful. Jika tidak, peranan mereka sekadar dilihat sebagai 'MELIHAT KESILAPAN DAN MUNCUL UNTUK MENGKRITIK'. Sikap begini tidak membantu orang lain seperti saya memahami apakah sebenarnya yang telah disepakati oleh sesama Islam dalam menangani isu moral.
5. Bukankah isu yang melibatkan individu agama Islam harus dimuzakarahkan dengan saksama oleh semua pihak termasuk meminggirkan pergeseran politik, perbezaan pendapat untuk mencari satu jalan penyelesaian yakni dapat menunjukkan muafakat agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam mengaplikasikan keadilan setepatnya menurut Al-Quran?
6. Jika sumpah Saiful dikatakan dilakukan dengan cara yang salah, kenapa menunggu sehingga perkara 'salah' itu berlaku? Kalau sumpah itu tidak berlandaskan syariat Islam, kenapa para pemikir dan ulama Islam tidak cuba melihat ke depan bahawa sesuatu perlu dilakukan agar jangan sampai tergelincir dari landasan Al-Quran? Kalau cara Saiful sumpah memegang Al-Quran itu tidak tepat, kenapa perlu menunggu 'ketidaktepatan' itu berlaku?
7. Ternyata ada nasihat yang mengatakan 'sumpah perlu dilakukan di depan kadi mahkamah' bukan di depan imam dan dalam masjid. Ia sebahagian daripada garis panduan yang boleh membantu proses Saiful melakukan sumpah untuk mengelakkan kontroversi sumpah laknatnya. Proses ini dan beberapa cara lain yang sahih dalam Al-Quran seharusnya dinyatakan secara jelas. Sepatutnya Majlis Ugama Islam berganding bahu dengan para ulama dan ahli bijak pandai yang bertauliah dalam undang-undang Islam campurtangan dalam isu ini dengan maksud menyediakan satu cara menyeluruh mengikut ketetapan Al-Quran untuk menasihati proses perlaksanaan sumpah laknat Saiful supaya dapat menghindarkan daripada perlakuan ketertiban bersumpah yang tidak bercanggah sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam.
Akhir sekali, sesuatu cara yang baik, proses yang baik, maksud yang baik, dan perlaksanaan yang baik bermula dengan AKAL yang baik. Blog ini sangat berharap polemik begini tidak berterusan kerana ini hanya menambahkan kecelaruan dan kekeliruan apa lagi kalau pergeseran dan percanggahan ini berlaku di kalangan para ulama, bijak pandai, pentafsir undang-undang agama dan pemimpin agama. Saya yang melihat dari jauh kes ini agak kurang selesa dengan keributan yang berlaku. Ada yang memetik hadis, ada yang memetik kata-kata ulama, ada yang memetik daripada Al-Quran. Jika Al-Quran itu diwahyukan oleh Allah sendiri kepada umat Islam, kenapa tidak kembali kepada Al-Quran yang sebenar-benarnya? Sesungguh-sungguhnya Allah itu tepat dalam printah dan hukum-Nya.
Blog ini memohon maaf kepada saudara-saudara yang beragama Islam jika ada kenyataan yang menyinggung atau mungkin kerana saya adalah Non-Muslim maka saya tidak selayaknya bercakap tentang isu ini. Niat saya hanyalah mahu melihat agar mereka yang berkenaan mengambil waktu berfikir sekejap bahawa 'pergolakan' yang timbul berkaitan tentang pertuduhan dan hukum sumpah dan kaitannya dengan tuntutan dalam agama telah berlaku disebabkan mereka tidak mengambil pendekatan menghalusi cara dalam konteks isu tersebut dikendalikan. Sekian.
1 Comments:
waduhh...kes sumpah ni menakutkan la...bila la politik malaysia ni akan menjadi stabil...
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home