TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, November 30, 2008

Rejimen (AW) 515 Ampang Dalam Kenangan

Pertama kali saya menyertai askar wataniah pada tahun 2001. Waktu itu ada pengambilan pelatih rekrut siri 4 2001 di Rejimen 515 Kem Ampang (AW). Saya tidak menyertai PALAPES kerana waktu itu pensyarah saya YM Lt. Raja Ibrahim yang juga merupakan Pengetua kolej tidak 'sebulu' dengan para pegawai PALAPES UPM. Atas dorongan YM Pengetua, saya menjinakkan diri dengan dunia tentera.
Semasa kursus banyak pengalaman yang saya lalui. Setiap hari seawal jam 5 pagi, kami (platoon 2) bersama 3 lagi platoon lain melakukan larian sepanjang 2km dan melakukan lebih kurang 5-10 variasi fitness yang sangat memeritkan. Muntah hijau kuning menamatkan sesi latihan fizikal. Latihan kawad kaki yang bermula daripada jam 8am berakhir jam 3pm. Panas terik dan bahang aspal padang kawad tidak payah cakap la. Rutin yang paling menyeksakan ialah tekan tubi sebanyak 100 kali setiap pagi dan petang. Setiap kali makan, beban keperitan sakit yang ditanggung bahu menyebabkan terpaksa menggunakan mulut untuk mengambil makanan atau menyua mulut ke tangan yang tidak dapat digerakkan. Bayangkanlah masa hendak memakai baju. Rakan-rakan tidak dapat bantu. Sepanjang berada di kem, kami diajar cara menggunakan pelbagai jenis senjata seperti M16, Stayer, LMG. Kami juga melakukan latihan menembak di lapang sasar di Kem Sungai Besi dan mempelajari teknik menembak waktu malam, menembak jarak 150 meter, 100 meter dan 50 meter. Yang menariknya ialah sesi menghabiskan peluru hidup yang tidak habis digunakan semasa latihan. Pertandingan menembak piring berlangsung di antara penembak handalan dari kalangan pelatih, jurulatih dan pegawai. Saya berpeluang untuk mengikuti pertandingan tetapi dikalahkan oleh penembak tepat Rejimen 515 haha...
Di akhir latihan semasa melakukan passing-out di hutan simpan Ulu Yam Selangor, kami mempraktikan latihan serangan ke atas kem musuh melalui beberapa taktik yang telah diajar. Ingin saya selitkan satu cerita 'lucu'. Ini adalah pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan. Pada suatu pagi selesai menamatkan latihan taktikal hutan pada hari terakhir, platoon kami diarah untuk berbaris dalam satu barisan panjang. Jurulatih mengambil bekas lalu memasukkan air dan mengeluarkan beberapa kotak ubat gigi, diperah sebanyak mungkin dan dikacau sehingga membuih. Jurulatih tersebut mengambil sebatang berus gigi dan mulai memberus gigi. Selesai memberus gigi, jurulatih meletakkan berus gigi ke dalam bekas dan memberikan kepada orang pertama sekali. "Kamu semua berkongsi satu berus gigi dan satu bekas colgate. Saya mahu semua melakukannya dan berus gigi ini kamu boleh cuci hanya di dalam bekas ini, BUAT!! sehingga kepada orang yang terakhir" Itu arahan yang membuatkan pelatih wanita menjerit-jerit. Orang yang pertama sekali tersenyum. Bayangkan la seorang demi seorang menggunakan berus gigi yang sama. Dalam satu platoon ada 33 orang. Kedudukan saya berada di nombor 22 menyebabkan tekak saya meloya. Haha... Berus gigi kena cuci dalam bekas itu juga membuatkan bekas itu semakin berbuih. Tiba giliran saya, saya muntah sekejap. Tapi terpaksa memberus gigi dengan linangan air mata yang menahan rasa loya. Akhirnya berjaya juga melepasi 'sesi paling sengsara' dan kami semua menerjunkan diri ke dalam sungai untuk 'membuang' semua kesan rasa colgate. Haha... Moralnya menurut jurulatih, supaya platoon mempunyai ketahanan mental dalam satu pasukan dan berkongsi semua kepayahan, keperitan, pengalaman untuk menyatukan semangat berpasukan.
Selesai kursus, saya mengikuti beberapa lagi latihan mingguan dan tahunan. Antara latihannya ialah jalan lasak meredah hutan tebal, latihan serang kemah musuh, latihan mempertahankan markas daripada serangan musuh dan survival 3 hari tanpa dibekalkan apa-apapun kecuali 3 batang macis dan sebilah pisau. Hajat saya untuk mengikuti latihan payung terjun tidak kesampaian. Saya terganggu sebenarnya oleh satu sketsa semasa tidur lena seminggu sebelum latihan. Semuanya bermula apabila saya didatangi mimpi seorang tua memegang saya yang hendak melangkah kaki ke gigi sungai, menghalang agar jangan turun ke sungai yang jernih dan cetek. Orang tua itu menyuruh saya supaya memperhatikan air sungai dengan hati-hati dan alangkah terkejutnya saya bila mendapati terdapat beratus-ratus bambu runcing terpacak. Mungkin sekadar mimpi tapi keesokan harinya saya menarik diri daripada latihan payung terjun.
Pada tahun 2003, saya menyertai platoon Bazooka. Orang yang bertanggungjawab untuk membawa Bazooka ialah saya. Kedudukan saya dalam platoon ialah satu posisi yang sangat terdedah dengan serangan awal musuh. Tugas utama saya ialah memusnahkan lokasi senjata berat musuh. Mujurlah Malaysia tidak seperti negara-negara lain yang saban hari terjadi peperangan. Arahan yang saya terima kali 'terakhir' saya memijak kaki di kem Ampang ialah "Anda semua adalan benteng pertama negara untuk Kuala Lumpur sekiranya Malaysia diserang musuh".
Mungkin satu hari nanti saya akan berada di barisan depan untuk Malaysia. GEMPUR WIRA!!! Apapun, semoga Malaysia terus aman dan makmur. Yang paling sukar apabila tugas ini melibatkan nyawa dan darah.

3 Comments:

Blogger UNGU said...

Mick, macam saya tengah tengo filem pula. teruskan cerita ini..best pula

11:03 AM  
Anonymous Anonymous said...

yuk!...cerita part berus gigi dn colgate tu ba..eeeii..nda sanggup mbayangkannya..mati hidup semula pun tetap saya nda mau cuba...haha...very interesting experience huh..

5:16 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

ungu.. saya akan menulis beberapa lagi cerita menarik dan seram untuk paparan entri seterusnya sepanjang penglibatan saya dalam tentera.... ada yg tidak masuk akal pun dan ada yg pelik berlaku dengan diri saya waktu itu...

mimie- iya, part colgate itu saya tidak dapat lupa sampai sekarang.. ada banyak lagi cerita mcm tu tapi nanti saya akan ceritakan satu persatu... pengalaman yg baik juga saya kira...

12:21 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home