TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, December 22, 2008

Sekadar Luahan Dari Seorang Lelaki Kerdil

Demonstrasi - Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, demostrasi jalanan menjadi kebiasaan dalam menyuarakan bantahan. Ramai pihak yang terlibat, menjurus kepada perasaan tidak puas hati, perlakuan merusuh, ditahan pihak berkuasa dan sebahagian daripada mereka meringkuk dalam penjara. Yang menyedihkan bila kanak-kanak dan muda remaja terlibat sama dengan para pembantah yang mempunyai agenda keras terhadap beberapa isu berkaitan tanpa ada sesiapa yang membimbing emosi hijau mereka. Apa akan berlaku kepada Malaysia 15-20 tahun akan datang? Kanak-kanak kecil sudah 'dibiasakan' dengan bantahan di atas jalan. Orang dewasa merusuh dan bertelingkah dengan pihak berkuasa, kanak-kanan dan orang muda melihat, belajar dan bertindak sama merusuh. Kerekter muda mereka diasuh, mencambah emosi kebencian tanpa sekatan. Mereka ini membesar dan berkeluarga nanti. Jangan hairan kalau Malaysia melahirkan satu generasi besar yang tidak menguntungkan kesejahteraan dan keamanan. Waktu itu, rusuhan sudah bukan lagi menjadi isu malah menjadi rutin yang merosakkan wajah Malaysia yang harmoni. Ada saluran lebih berhemah, lebih menampakan kesepakatan dan kematangan. Bukan didorong emosi semata-mata. Jika anda sayangkan Malaysia, fikir-fikirkanlah.

ISA - Isu yang paling rumit, panas dan tidak ada orang yang menggemarinya. Disifatkan kejam kerana cara penguatkuasaannya. Tidak popular kerana memisahkan ahli keluarga, ditahan dan disumbatkan ke dalam penjara tanpa hak perundangan, selain layanan yang 'menakutkan' di pusat tahanan. Semua ini mengundang perasaan tidak hormat orang ramai terhadap fungsinya. Ahli politik sendiri dalam kerajaan mahupun pembangkang, mengambil bahagian mencuba sedaya upaya menghilangkan ISA dari peta undang-undang. Dalam sekian banyak tanggapan buruk terhadap ISA, Saya masih melihat relevansinya dalam mengekang perbuatan subversif dan tindak-tanduk ekstrem, cuma perlukan suntikan kemanusiaan di dalam perlaksanaannya. Kesedaran terhadap hak asasi perlu mencelah proses dalam mana-mana bentuk penahanan yang diklasifikasikan di bawah peruntukan akta ISA. Namun saya ingatkan juga kepada semua, anda harus bertanggungjawab juga di dalam setiap tindakan anda. Jika anda melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada ancaman keselamatan orang ramai dan negara, mengekangnya adalah langkah terbaik untuk menghindarkan sebarang potensi penularan sikap yang tidak terkawal. Tidak semua yang tidak digemari itu buruk. Siapa yang pernah makan umbut gabang atau pucuk muda kepayas? Rasa pahit tidak akan membawa kita kepada lebih gemar menjadikan itu rutin makanan. Tapi kepahitan dalam rasa itulah yang memberikan reaksi baik kepada kesihatan badan. ISA tidak wajar dimansuhkan.

Institusi Diraja - Isu ini agak sensitif. Ia menyentuh sensitiviti Raja yang diketuai oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia. Sebagai rakyat, izinkan saya menyentuh mengenai kekebalan Diraja yang kini menjadi polemik politik. Ada seruan yang mahu supaya dikembalikan semula hak dan kekebalan Diraja daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Mereka berpendapat pengubalan undang-undang yang menyentuh hak raja telah menyebabkan institusi Diraja tidak lagi bebas dalam menjalankan fungsinya. Saya mungkin telah melangkau sempadan tetapi ini adalah suara saya. Suara yang mahukan diri saya diperintah dan dinaungi oleh Raja yang bebas daripada salahguna kuasa dan perilaku jenayah. Agama Islam melarang umatnya berlaku zalim. Pengubalan undang-undang yang dilakukan sebelum ini tidak pernah menyentuh mengenai hak kedudukan Raja dalam perlembagaan sebagai Ketua Negara atau Raja bagi negeri masing-masing, atau sebagai Ketua Agama Rasmi Islam di Malaysia mahupun di negeri masing-masing. Pengubalan itu juga tidak menyelongkar hak keistimewaan raja kecuali yang menyentuh tingkahlaku. Jika seseorang Raja melakukan perbuatan jenayah, dengan sendirinya akan merosakkan reputasi dan kedudukannya yang dihormati. Lambat laun rakyat boleh bangkit memberontak dan bakal menamatkan sistem feudal yang menunjangi demokrasi negara berparlimen. Atas sebab inilah pengubalan undang-undang adalah perlu berkenaan kod tatalaku yang melibatkan Raja dan kerabat agar terpelihara, dihormati dan disanjung sepanjang masa agar terus dapat memayungi negara tercinta. Dirgahayu Tuanku!!

Ketuanan Melayu- Barangkali minda kita agak pantas memberi reaksi 'tercabar' bilamana satu-satu kaum bercakap mengenai ketuanan bangsanya kerana konotasi yang mendukung pengertian di sebalik perkataan 'tuan'. Kedua-dua perkara ini, iaitu mahu mengangkat konsep ketuanan dan reaksi tentangan terhadap konteksnya pula tentunya lahir melalui ekspresi yang bersifat didewasakan oleh sejarah bangsa, yang asasnya dibina melalui perjuangan tidak mahu diperhambakan melalui penjajahan. Secara sifat harafiahnya, tidak ada yang mau dipertuankan oleh sesiapa melainkan maju ke depan bersama. Namun, ia menjadi perdebatan sehingga mengguris perasaan dan kesepakatan kaum yang pelbagai. Ada yang menyifatkannya sebagai angkuh, menidakkan peranan kaum lain dalam sejarah kemerdekaan Malaysia. Namun, secara peribadi, saya melihat konsep ketuanan ini dari persepsi sihat. Ketuanan yang tidak bermaksud mempertuankan bangsa lain. Ketuanan yang mahu mengangkat bangsa sendiri menjadi tuan kepada semua aspek disiplin ilmu dan kemajuan teknologi sebagaimana bangsa lain menguasainya dan menjadi maju. Mungkin boleh digantikan dengan satu kenyataan yang lebih mendatangkan keselesaan kepada kaum lain iaitu KEPIMPINAN MELAYU. Yang memimpin di bumi sendiri, berkongsi matlamat dan muafakat bersama kaum lain demi Malaysia.
Isu Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik - Saya sebenarnya agak kritikal dengan isu ini pada waktu ia mula-mula diperkenalkan dahulu atas sebab yang besar iaitu mempertahankan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk mencapai ilmu. Saya berpendapat jika medium pengajarannya dalam modul Bahasa Inggeris, hasil ilmu tetap sama. Tidak mungkin akan berlakunya formula penyelesaian yang ajaib yang dapat membezakan logik 1+1=2 apabila matapelajaran Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris atau tidak ada kesilapan yang akan berlaku dalam dapatan ilmu melalui konteks formula yang sama di atas bila diajar di dalam Bahasa Malaysia. Cuma potensi jangka panjangnya ialah alternatif tambahan kepada subjek Inggeris dalam meningkatkan penguasaan bahasanya yang disifatkan sebagai bahasa global. Mungkin juga fokus utama kerana ada istilah dalam Matematik khususnya dalam matapelajaran Sains yang tidak terdapat dalam Bahasa Melayu kerana kekurangan pakar bahasa yang boleh mengaliterasikan wacana ilmu sekaligus menyukarkan pembelajaran bersifat lebih ilmiah. Sejak akhir-akhir ini ada suara-suara yang mahukan supaya sistem pengajaran Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik ditiadakan. Pada hemat saya, biarpun sistem ini memberikan masalah di peringkat sekolah rendah terutamanya yang melibatkan sekolah luar bandar, namun para ibu bapa dan warga pendidik memberikan reaksi yang baik. Namun, Jika sekiranya hendak dilakukan sebarang perubahan, penangguhan atau pemansuhan, haruslah mengambil kira pandangan ramai kerana sistem ini sudah diaplikasikan sejak sekian lama malah sudah menampakkan kesannya. Jauh di sudut hati, jika bukan kerana pengenalan sistem pengajaran begini dilaksanakan, saya tetap memikirkan bahawa martabat Bahasa Malaysia harus dipertahankan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home