TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, December 01, 2008

Platoon 2 Rejimen 515 (AW): Siapakah yang ke-'32'?

Kami dipanggil untuk melakukan satu latihan hujung minggu iaitu berjalan meredah hutan melalui 3 check point sejauh lebih kurang 100km atau mungkin lebih kerana ia memakan masa 2 hari 1 malam. Setiap platoon diberikan peta dan kompas. Kehadiran dalam platoon 2 ada 32 anggota tidak termasuk pegawai dan staf yang berpangkat. Kekuatan dalam pasukan boleh dibahagikan kepada 1x Leftenan, 1x Pegawai Warran 1, 1x Sarjan, 2x Koporal, 4x Lans Koporal dan 26 anggota. Setiap kami dibekalkan rifel M16, bekas air dan sebuah bag yang mengisi beberapa barang keperluan seperti mes tin, ponco, blanket dan paket makanan dalam bentuk bungkusan dan tin.
Operasi bermula lebih kurang jam 10 pagi meredah hutan di daerah Selangor kalau tidak silap. Formasi pasukan yang digunakan ialah berjalan dalam dua barisan. Perjalanan pada mulanya tidak menghadapi sebarang masalah. Meredah beberapa kampung, sungai dan bukit-bukau berhutan tebal, jeram berbatuan, menyusur denai dan jalan desa. Sebahagian daripada kami berlagak seperti Rambo. Kepala diikat dengan kain, memakai kaca mata hitam dengan wajah yang dihias menggunakan 'camouflage' (entah betul entah tidak ejaan ni) dengan pelbagai corak. Saya menghias wajah saya dengan warna hijau gelap dan tiga calit warna hitam di kedua belah pipi.
Hari semakin gelap dan kami diarah untuk meneruskan perjalanan. Sudah lebih kurang 10jam berjalan tanpa henti. Kali ini dalam keadaan gelap kami melalui hutan tebal dan formasi pasukan berubah kepada satu barisan panjang kerana laluan yang sempit. Saya adalah orang yang paling belakang sekali. Ada kalanya saya memotong 2 rakan di depan kerana mereka berjalan sedikit lambat. Lebih kurang jam 11 malam, Sarjan melakukan pemeriksaan kumpulan untuk mempastikan anggota cukup. Sebelum itu, Sarjan ada bercakap dengan saya dan mengatakan "Kenapa kamu berada di belakang? Bukankah awak berada di depan tadi?" Sebentar kemudian ada rakan yang mengatakan saya berada di tengah-tengah kumpulan. Saya katakan sejak formasi berubah menjadi satu barisan, saya tidak pernah beralih arah ke depan atau ke tengah-tengah. Kemudian Sarjan meminta anggota barisan depan menyebut nombor 1 diikuti oleh yang lainnya untuk mempastikan jumlah anggota .... 2,3,4,5,6... Malam itu sangat pekat sehingga kami tidak boleh melihat wajah sesama sendiri dalam jarak dekat. Kiraan nombor membelah sunyi malam. Tiba giliran saya menyebut angka 30. Ada dua rakan di belakang menyelesaikan kiraan 31 dan 32. Dengan tidak semena-mena ada suara menyambut dari belakang mengulangi angka terakhir... 32! Kami semua kehairanan. Sarjan menenangkan kami terutamanya pranita. Ada suara kedengaran mulai menangis. Kiraan dibuat sekali lagi dan apabila selesai sahaja kiraan yang ke-32, sekali lagi suara menyampuk garau mengulangi angka terakhir kiraan kami tadi... 32!! . Kemudian Sarjan melaungkan azan dan bacaan yasin. Kiraan semula dibuat dan kali ini berhenti ke kiraan 32, keadaan menjadi sunyi-senyap dan kami tidak lagi mendengar suara garau itu. Dan kami pun meneruskan perjalanan.
Jam 2 pagi, keletihan yang amat sangat dirasakan akibat beban senjata dan beg merobek semangat platoon. Di depan anggota pranita bergerak sangat lambat. Kami berjalan sambil mata terkatup kerana tidak dapat menahan rasa letih dan mengantuk. Jam 3 pagi, Sarjan kemudiannya mengarahkan kami berehat. Dengan pantas sahaja kami rebah dan terus terlelap. Lebih kurang 1 jam terlelap, Sarjan mengarahkan kami bangun dan meneruskan perjalanan meredah bukit-bukau, hutan tebal tanpa cahaya bulan. Sarjan menyedari platoon sudah tersasar dari laluan sebenar. Pembaca peta sudah kehilangan arah. kami memintas peta laluan asal yang sepatutnya kami lalui untuk ke check point pertama dan mengambil laluan jalanraya yang memesong jauh untuk sampai ke tempat titik pertemuan. Jam sudah menunjukkan 4 pagi. Pergerakan platoon semakin perlahan. Pranita sudah ada yang mulai terjatuh. Rakan-rakan lain sudah tidak mampu melakukan apa-apa. Lalu saya bergegas ke hadapan dan membantu pranita mengangkat senjata mereka. Pada mulanya hanya 3 senjata yang saya pikul termasuk rifel saya sendiri. 3 anggota pranita lainnya meminta bantuan saya mengusung senjata mereka. Ada 6 senjata yang saya terpaksa pikul (7 termasuk rifel sendiri) dan 3 beg. Saya kuatkan semangat. tidak cukup dengan itu, 2-3 anggota pranita terpaksa memaut tangan mereka ke beg menambah beban berat kerana sudah tidak ada daya untuk mendaki. Untuk sampai ke destinasi seingat saya memerlukan 15km lagi. Saya terpaksa mengheret mereka bergerak mendaki jalanraya yang sedikit mencuram mengikuti lereng bukit. Saya tidak tahu dari mana datangnya semangat itu. Pada suatu ketika saya disapa oleh jurulatih "Badan kamu mengeluarkan asap".. hehe. Mungkin disebabkan saya yang bermandi peluh dalam keadaan cuaca yang sejuk dan berembun. Akhirnya platoon 2 berjaya sampai ke check point yang pertama. Kami tidak sempat menjamah makanan terus pengsan di ruang markas. Yang peliknya, ada pranita yang tertidur sambil menangis.
Seorang pegawai berpangkat Kapten membangunkan saya dan memberikan beberapa keping roti. Saya bingkas bangun dan memberikan tabik hormat dan mengucapkan terima kasih. Pegawai itu membisik kepada saya "Awak asal mana?". "Sabah, tuan" ringkas sahaja saya menjawab. "Orang sabah ni saya dengar ada ilmu". Saya tersenyum kecil... Saya tidak faham mengapa Tuan itu mengambil waktu bertanya akan cerita-cerita ilmu orang Sabah tapi saya cuma katakan saya tidak begitu pasti.
Operasi jalan lasak berakhir jam 4 petang di sebuah kampung. Di sana kami menunggu trak datang untuk mengangkut kami pulang. Setiba di kem, banyak cerita yang timbul mengatakan saya ni 'menakutkan' orangnya hehe... Mereka sangat pelik bagaimana saya boleh berpindah-randa dalam posisi sekejap di depan, tengah dan kemudiannya berada belakang dalam formasi satu barisan mengeledah hutan. Mereka juga tidak percaya dalam keletihan yang menyerang platoon 2, saya masih mampu menggalas sejumlah 7 laras senjata dan 3 beg dan memaut tangan beberapa anggota lain untuk menghabiskan 15km terakhir. Saya cuma rasa waktu itu stamina dan semangat sedikit sebanyak membantu saya untuk meneruskan perjalanan. Saya mencabar diri saya sejauh mana saya boleh melepasi situasi yang mencabar begitu. Saya gagahkan diri dan berkata dalam hati "Jangan berhenti! Berjalan terus! JALAN!! JALAN!!! Tunjukkan kepada saya siapa diri kamu. Ini belum lagi berdepan dengan musuh. Baru penat sahaja. Jangan KALAH!!!" Inilah yang saya kerap ulangi dalam benak sehingga tiba di check point 1.
Sehingga sekarang saya masih memikirkan siapa gerangannya 'anggota' platoon yang mengulangi kiraan ke 32 yang suka 'berpindah randa' dalam pasukan dan yang sangat peliknya 'orang' itu menyerupai wajah saya untuk mengelirukan pasukan. Ada siapa boleh bagitau??

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home