TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, December 17, 2008

MB Kedah: Akan Tukar Perdana V6 Jika Ada Kemampuan Kewangan

Saya teringat satu artikel yang menyiarkan tentang beberapa keping potrait yang terpampang di ruang ekslusif Pejabat MAS yang berharga RM3 juta. Menurut jurucakap MAS waktu itu, pembelian potrait berkenaan yang menelan kos berjuta ringgit bertujuan untuk memberikan imej koporat, sesuai dengan kedudukan Syarikat MAS yangbertaraf antarabangsa. Saya percaya ini boleh dikaitkan dengan kedudukan kewangan MAS yang stabil sebelum mengalami prestasi merudum yang memaksa tindakan pengurangan pekerja dilakukan dan memindahkan operasi ke pejabat yang lebih kecil. Pembelian potrait berkenaan dilihat sebagai satu langkah membazir, mungkin terleka dengan jumlah aset tunai yang memenuhi kantung MAS pada waktu itu.
Kali ini, saya agak terpanggil untuk menulis mengenai hasrat beberapa kerajaan negeri yang mahu menukar Perdana V6, produk keluaran kebanggaan negara dan juga kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada kenderaan lain yang lebih branded. Terbaru, kenyataan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu menuruti jejak sama atas alasan 'kalau berkemampuan dari segi kewangan'. Persoalannya ialah apakah bentuk kriteria pengurusan yang boleh dilihat lebih disifatkan mesra rakyat jika kerajaan negeri selesa dengan kestabilan kewangan?
Jika ketika ini Kerajaan Negeri Kedah agak 'terumbang ambing' melihat akaun kewangannya tapi masih boleh mempunyai cita-cita sedemikian rupa, apatah lagi kalau memiliki aset tunai yang banyak! Mungkin Kerajaan Negeri Kedah mempunyai sebab tersendiri terutamanya yang melibatkan kos penyelenggaraan kenderaan tetapi bercita-cita 'besar' sementara dana negeri sekadar cukup-cukup untuk melaksanakan cuma beberapa bahagian daripada projek kemajuan, pada hemat saya seakan melihat ada potensi yang 'rakus' dari segi pengurusan kewangannya. Tukar kenderaan rasmi. Mengubahsuai pejabat menjadi lebih ekslusif. Menambah ruang kediaman rasmi menteri agar lebih selesa. Menteri-menteri boleh membuat perhitungan tuntutan perjalanan tahunan kepada jumlah lebih tinggi dan sudah tentunya dana kewangan negeri mampu membayarnya.
Ketika ekonomi mencengkam negara dan rakyat mengeluh memerlukan perhatian, bagaimanakah idea begini boleh mendapat keutamaan? Wakil rakyat yang dipilih melalui undi berfungsi untuk berkhidmat kepada rakyat atau untuk keselesaan diri sendiri? Mana satukah arah perjuangan politik yang lebih utama?
Berbanggalah kerana Malaysia berpeluang memiliki industri automobilnya tersendiri dan menghasilkan beberapa siri produk kenderaan kebanggaan negara. Di rumah sendiri anda sudah lama menghiaskan halaman dengan jenama BMW atau Mercedes. Tidak mengapa kalau kalau di halaman desa, anda selesa dengan kereta import. Berikan tempat kepada sikap patriotik mencelah imej kerajaan negeri. Tuan-tuan dan puan-puan, ini baru cuma melibatkan kenderaan rasmi kerajaan negeri. Bawalah imej Malaysia. Saranan kepada Syarikat permotoran, perbaiki mutu perkhidmatan anda kerana anda juga bertanggungjawab memberi nama baik kepada kenderaan kebanggaan negara.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home