TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, January 20, 2009

Sekilas Kenangan: Pekan Tandek Terbakar..

Saya tidak ingat tahun bila Pekan Tandek terbakar. Setahu saya, waktu itu saya masih bersekolah di SK. Tandek. Mungkin kejadian kebakaran berlaku sekitar saya berada di tahun 2 atau tahun 4. Maknanya, antara tahun 1982-1984. Sehingga sekarang saya masih ingat kedudukan kedai yang sudah 'terkenal' di kalangan warga desa. Antaranya kedai si Kim Soon, Kedai si Aku (taukeh kelapa), Kedai si Toing termasuk deretan panjang 'stall' kayu milik kalangan peniaga kecil orang kampung daripada pelbagai tempat. Kedudukannya di tepi sungai, penuh dengan juadah yang memang sedap-sedap belaka termasuk jualan sayur-mayur dan hasil tangkapan laut dan air tawar.

Yang saya paling ingat ialah bagaimana taukeh kedai menyimpan wang dengan cara yang agak klasik. Saya selalu memerhatikan bila mama beli garam (waktu itu harga garam masih lagi 10 sen satu bungkus) dan membuat bayaran di kaunter, taukeh kedai akan menarik bekas wang (biasanya tin milo bersaiz besar) yang tergantung di atas kepala, lalu memasukkan wang didalamnya. Jika ada baki, taukeh tersebut menarik satu lagi bekas wang yang dikhaskan untuk duit syiling dan mengembalikan bakinya. Ternganga mulut saya memerhatikan bekas yang penuh dengan wang kertas dan syiling tergantung, 'terapung-apung', sekejap ditarik turun dan pandai naik sendiri bila dilepaskan.

Di sudut lain, para ibu santai melunjur kaki sambil sibuk melayan kunjungan para pembeli, sempat berkongsi cerita suka-duka, gelak ketawa sambil melayan sigup dan menginggat (makan pinang). Kereta pick-up berderet menunggu penumpang yang selesai 'bertamu' hari Isnin. Pelbagai suku kaum berkumpul di Pekan Tandek dan sangat dikenali di seluruh daerah Kota Marudu. Saya suka pergi ke kedai Taukeh Toing kerana kedudukan kedainya yang strategik. Saya masih ingat tangga lebar kedai Toing menjadi tumpuan rehat saya sekejap sebelum berjalan kaki balik ke rumah.

Suatu pagi, seperti biasa saya bertolak dari rumah pergi ke sekolah. Ketika menghampiri Pekan Tandek, dari balik rimbun saya ternampak asap tebal yang tidak begitu pekat lagi warna kelabunya. Terdapat 3-4 kepulan asap naik ke awan. Saya mula mendengar keriuhan orang ramai. Hingar-bingar. Saya sangat terkejut melihat Pekan Tandek 'rata' hilang dari pandangan. Hanya kesan kebakaran yang tinggal. Pemilik kedai kelihatan berkumpul sambil menangis. Orang kampung juga ikut menangis kerana begitu sayangkan Pekan Tandek yang sangat berjasa menyediakan ruang rezeki yang dikongsikan oleh pelbagai kaum yang sepakat dan harmonis. Semua kedai menjadi debu. Sangat ramai orang sibuk menggali, mengorek sesuatu di celah runtuhan. Rupanya mereka mencari duit syiling. Saya ikut 'mengorek' rezeki. Kedai tumpuan saya pastilah milik Taukeh Toing kerana saya tahu kedudukan kaunter dan tempat 'tergantungnya rezeki'. Hehe.. Adalah saya jumpa syiling berbekas hitam lebih kurang 3-4 ringgit dan terus ke sekolah. Waktu rehat wang itulah yang saya gunakan untuk membeli mee goreng 20sen satu bungkus (masa itu saiz bungkusan mee goreng kalau ikut harga sekarang rm1.00). Saya belanja kawan-kawan. Tuan punya kedai runcit sempat marah-marah 'sayang'. Katanya bersihkan dulu duit siling dengan pasir di sungai. Hehe

Selepas itu, saya tidak ingat berapa lama Pekan Tandek menyepi. Saya hanya tau ada dua buah deretan 'stall' kayu yang tidak terbakar di seberang jalan yang menjalankan perniagaan makan dan minum. Tempat itu mengambil alih menjadi kawasan tamu tapi tidak semeriah lagi seperti sebelum itu.

Selepas itu saya berpindah sekolah di SMK ABD Rahim, Kudat dan SM All Saints' Kota Kinabalu. Jarang balik kampung dan tidak lagi tau perkembangan seterusnya. Sekian lama Pekan Tandek suram, entah beberapa tahun kemudian (2-3 tahun), barulah berdirinya sebuah pekan bangunan batu yang seperti yang ada sekarang. Kenangan Pekan Tandek lama tetap melekat dalam ingatan, masih jelas wajah pekan 'koboi' dan keriuhannya dalam minda.

Beberapa waktu kebelakangan ini, terdengar bisik-bisik nakal. Kalau Pekan Tandek tidak terbakar, akan adakah wajah Pekan Tandek seperti sekarang ini? Itu pun seperti kurang meriah rasanya. Alangkah baiknya kalau Pekan Tandek lama itu tetap ada dan ditambah lagi dengan landskap pembangunan sebagai menampung keperluan perniagaan mengikut peredaran masa. Bukankah itu sangat klasik? Boleh pilih ikut rasa. Pekan 'koboi' atau bangunan batu.. Kedua-duanya gabungan dua zaman yang menjadi sejarah pelbagai generasi.

Pekan Tandek sekarang tidak semeriah dulu. Perlu dilakukan sesuatu untuk mengembalikan 'zaman kegemilangannya'.

6 Comments:

Anonymous Anonymous said...

ya la... pekan tandek sangat sunyi sekarang ni... Kali akhir saya berkunjung ke sana iaitu thn lepas... percutian yg panjang d sana... dan bila berkunjung ke pekan tandek terasa begitu sunyi dan tidak bermaya..

11:02 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Surinit..

terima kasih atas kunjungan...

Ya, harus dilakukan sesuatu untuk menceriakan kembali Tandek..

Kan bagus kalau suasananya seperti dulu juga...

5:07 PM  
Blogger Kee Heritage said...

aiya Mike saya rasa ko salah tahun la.. masakan time saya skula rendah pekan tandik tebakar.. masih lagi sa escape pi tamu tu tahun tu.. sampai saya form 2 masih lagi ada sk tandik ooo.. aiya ko kicil dari saya pula ni kan.. aiseh tua pula aku ni...

12:44 AM  
Blogger STAFF SAM said...

Kee Heritage.. Pekan Tandek yg terbakar... sekolah tandek masih ada sampai sekarang.. Pekan Tandek terbakar tahun 1982...

Mungkin saya lagi tua ni.. hehe atau ko senior sya di Sk Tandek...

2:35 AM  
Anonymous Anonymous said...

Ya...saya pun masih ingat kesibukan pekan lama Tandek dekat sungai. Ketika tu macam ramai orang. Paling saya ingat gerai sup arwah Kimin...

6:29 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

anonymous..

terima kasih atas kunjungan..

ya, memang sup arwah kimin sangat terkenal masa tu.. sepa pegi Tandek masa tu, mesti ada singgah juga di sana.. hehe

10:30 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home