TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, December 28, 2008

Satu Kisah kecil

Merantau di negeri orang memberikan bermacam kisah. Pahit dan manis. Adakalanya sempat geram, seringkali juga menakutkan. Apa lagi kalau berada di Kuala Lumpur, jantung dan nadi Malaysia. Tempat yang tidak perlu anda tercari-cari hiburan atau segala macam jenis kekasaran cara dan tingkahlaku. Jika tidak sabar, boleh saja terjebak dengan seribu macam 'keriangan' atau hiruk-pikuk 'kejahatan'. Godaan datang sendiri menguji rasa. Pilihlah semau mu. Kuala Lumpur tidak pernah gagal memberikan apa sahaja yang anda ingin fikirkan.
Hanya sebuah kisah kecil. Cheras antara lokasi yang sangat padat dengan penduduk dan terkenal dengan jalannya yang hari-hari jam. Taman Bukit Tiara, satu lokasi tempat saya mencari makan. Tempat saya bekerja sejak tahun 2003 hingggalah sekarang. Banyak cabaran yang saya lalui. Berdepan dengan pekerja yang siang harinya berkeringat di tapak pembinaan, malam harinya sebagai gangster. Sangat sukar untuk mengendalikan mereka. Suka ikut kepala sendiri dan mereka boleh membuatkan anda tidak selamat berada di luar, di mana-mana.
Di antara hari-hari yang berlalu, ada beberapa waktu saya terpaksa berdepan dengan beberapa cabaran. Sejak mula saya menjalankan tugas, saya sudah diberikan kisah yang mencabar. Parang atau samurai pernah terhunus tetapi tidak sampai melibas. Sekumpulan besar pekerja yang merusuh kerana gaji mereka tidak dibayar oleh majikan mereka. Atau berdepan dengan pekerja yang mabuk pil khayal. Senjata api sering dijadikan alasan untuk mengugut anda. Kalau saya fikirkan balik, nyawa seperti di hujung jalan. Itu cabaran ketika saya mula-mula bertugas di sini. Mereka tidak begitu memahami 'style' saya bekerja.
Pada suatu petang yang tenang, saya seperti biasa bersiap-siap untuk pulang. Tepat jam 6.00pm, itu rutin saya balik kerja. Seorang penyelia keselamatan tapak pembinaan datang berjumpa saya.
"Mike, ada masa sekejap. Saya minta tolong. Emergency!."
"Ada apa masalah Encik Yusni?
"Masih ada pekerja di lot 15. Mereka tidak mau stop kerja. Gila orang ini. Suka marah-marah"
"Sudah beritahu mereka yang hanya dibenarkan melakukan kerja-kerja sehingga jam 6?"
"Sudah. Tapi mereka degil dan ugut mau pukul kalau ganggu mereka buat kerja."
Saya perhatikan wajahnya agak stress. Ada tanda-tanda kemarahan di wajahnya. Saya berfikir sejenak apa yang perlu saya lakukan dengan pekerja ini. Mencari cara yang sesuai. Saya sudah jangkakan orang seperti ini memang sangat sukar untuk mendengar nasihat malah boleh mendatangkan masalah besar. Saya tahu mereka ini siapa.
"Ok. Saya cuba bercakap dengan mereka."
Lalu saya menghidupkan enjin motorsikal dan pergi ke site berkenaan. Setiba di sana, terdapat lebih kurang 5-6 pekerja masih meneruskan kerja memasang tile. Sedang berjalan, saya memerhatikan mereka. Berfikir. Menganalisis. Apa cara dan bagaimana untuk 'masuk' ke dalam karekter mereka. Kesemuanya berbangsa cina dan wajah mereka adalah wajah yang keras, serius dan ada kesan parut di dahi, di pipi. Susuk tubuh cukup menceritakan mereka ini fit untuk 'aktiviti' gangster. Riak wajah mereka memang mudah dibaca, mereka ini jenis yang kering hati. Di antara mereka, ada seorang yang berbadan tegap, pejal, berbentuk berketul-ketul dan bertattoo, sibuk membuat arahan sambil duduk memerhatikan kerja-kerja anak buahnya. Saya agak dia adalah ketua di kalangan mereka. Saya berfikir kalau saya dapat handle 'kepala' ini, yang lainnya tidak akan mendatangkan masalah. 'Ainaaa.. Buli ka saya nie?" Perasaan tidak selesa mula menyerang dalam diri. Tenang dan fokus! Seakan-akan ada suara memujuk, membisik di dalam hati.
Saya terus berjalan ke arah 'taiko' bertattoo yang mula tidak senang dengan kehadiran saya. Saya tetap tenangkan diri. Dalam hati, saya masih tidak terjumpa cara untuk berkomunikasi yang sesuai untuk orang seperti ini. Think! Think!... Saya terus memaksa otak saya berfikir beberapa idea tetapi tidak juga datang-datang. Silaka!. Mati akal saya buat waktu ini. Taiko tadi sudah mula bangun dari tempat duduknya. Saya tersenyum dan menganggukkan kepala sedikit tanda respect.
'Taiko, apa macam kerja? sudah ok?"
Ini permulaan yang mencabar saya. Entah kalau kata-kata seperti itu disenanginya. Saya terus memandang tepat ke wajahnya. Terpaksa menggunakan psikologi agar saya tidak 'terlalu kecil' di mata mereka. Yang lainnya berhenti kerja dan memerhatikan saya. Saya buat tidak peduli reaksi mereka. Saya perlu 'handle' ketua kumpulan ini, bisik hatiku.
"Lu sapa?"
"Minta maaf. Saya supervisor Bukit Tiara."
"Apa hat? (Apa hal?)"
"Sini punya prosedur kerja sampai jam 5 petang. Boleh sampai jam 6 kalau ada sikit kerja yang mau siap hari ini juga. Sekarang sudah jam 6 petang. Semua orang sudah balik."
"Lu jangan kacau. Saya kerja, saya punya suka hati la"
"Saya minta maaf, saya terpaksa jalankan tugas saya."
"Lu orang pikir lu sapa?. Saya olang cari makan. Lu jangan tabur pasir dalam periuk nasi saya."
"Bukan begitu taiko. Saya tolong lu, lu tolong saya. Lu kerja jam 8 pagi sampai jam 6 petang. Saya tada kacau lu. Lu tada kacau saya. Sekarang sudah jam 6. Sini orang complaint saya tada buat kerja. Harap taiko boleh tolong saya. Taiko tara susah. hari ni tak bleh siap, esok boleh datang lagi. Hari-hari kerja. Saya, kalau kena buang kerja ini jam, esok sudah tada boleh datang kerja lagi. Kesian la saya tada makan"
Saya perlu 'membodohkan' diri. Perlu kawal suara. Perlu kawal jarak. Sementara itu, ekor mata saya tidak lepas dari mengawasi anak-anak buahnya.
"Lu tau saya siapa? Lu ada nampak wa punya gigi? (Sambil menunjukkan giginya yang rongak di depan. Lucu dalam hati. Gangster rongak!) Semalam lain tempat. Srupa ini macam. Gaduh-gaduh. Dia gangster, saya pun gangster ma! Lu orang mesti ingat!. Lu keluar lu punya tempat, wa tembak lu. Lu mau try, mari tengok!"
Saya kira orang ini memang sanggup bergaduh. Saya tidak menyangka ugutan sejauh ini melibatkan senjata dan nyawa. Saya teringat pesan bapa 'Jangan berlagak. Pandai-pandai ambil hati dan mesti masuk dan kena caranya bercakap. Biarlah orang pandang macam 'buduh-buduh'... Saya menghalusi pesan ini, saya tetapkan perhatian ke wajahnya dengan tenang sambil mengerah otak mencari cara untuk membuatkan dia agar tidak punya upaya untuk meneruskan kemarahannya. Orang marah jika diberikan reaksi yang sama, saya memang tau inilah yang sangat digemari oleh mereka. Dalam hati saya mula berfikir bagaimana untuk mematikan gelora emosi mereka yang mula memuncak.
"Taiko, daripada.... saya jalankan tugas saya. Tidak juga saya suka mau kacau taiko punya kerja. Kalau taiko sudah bilang mau tembak saya, apa boleh buat la. Saya mati awal. Tapi kalau taiko tidak juga tembak saya, saya betul-betul terima kasih sama taiko. Bukan saya tidak mati. Saya mati juga.... tapi ada lambat sikit"
Taiko ini terdiam. Mencari punca agaknya di mana bahagian kata-kata saya yang boleh 'memarakkan' kemarahannya. Lama terdiam. Barangkali gagal untuk meneruskan emosinya. Dalam hati, saya mengharapkan saya berjaya 'mematikan' naluri egonya.
Sebentar kemudian dalam dialek hokkien dia bercakap sesuatu kepada anak buahnya. Saya perhatikan mereka mula mengemaskan barang. Hati saya mula 'tersenyum' lega. Taiko ini rupanya memberikan arahan kepada anak buahnya supaya menghentikan kerja mereka. Dan mereka pun balik.
Esoknya, dengan nada girang lelaki yang bertattoo itu mengangkat tangan sambil tersenyum "Taiko, jangan susah. Jam 6 habis kerja!". Saya membalas dengan salute spring. Hehe... Selepas itu kami jadi kawan. Tengahari kalau saya tidak sempat memenuhi undangan mereka keluar makan, mereka belikan saya bekal untuk makan tengahari. 'Mereka ini sebenarnya baik juga orangnya' bisik hati saya.
Ada sapaan lembut di bahu saya. Rupanya Encik Yusni. "Awak dah buat apa dengan mereka?. Semalam bukan main garang. "
Saya hanya memandang wajahnya, sambil mengangkat bahu perlahan. Sekadar kenyit mata, menepuk bahunya perlahan dan berlalu membiarkan dia dalam keadaan sedikit hairan dan termanggu, meneruskan rutin saya. Senyuman saya pagi itu mengakhiri kisah ini. Perlahan-lahan saya mengimbas kembali, saya teringat akan kata-kata "Lawanlah kekerasan dengan perasaan hormat dan dengan nada yang lembut"

3 Comments:

Blogger erisya nor said...

little mike....lose a battle but win the war! ya..api harus dilawan dengan air :)

1:21 PM  
Blogger Lt Kdr (M) Musli Bin Jaffar said...

Klu betul lah cerita mu ni LM patut ditabik la sifat mu ni.. Bukan memuji, tapi ini lah hakikatnya, bila kita baik orang akan baik pada kita.. Kalau saya teliti tulisan2 kau pun sudah cukup untuk mengambarkan bhw ko ni orang bukan calang2.. Betul cakap si Erisya tu, api kena di lawan dengan air barulah api boleh padam..

Psl tu saya lebih aktif memblog berbanding friendster, tagged dan lain2 social network tu.., melalui pembacaan saya, byk blog kenalan2 yang senior2 dari saya, pengalaman dan ilmu mcm LM ni patut di ambil ikhtibar terutama untuk menempuh hidup sehari-hari..

Tahniah LM atas cara berhikmah mu itu.. Buli jadi filem bah tu..

11:41 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Erisya.. terima kasih atas kunjungan.

mmg betul 'kalah dalam pertarungan tetapi memenangi persaingan" -

Mujur tidak ada pertarungan dalam erti kata sebenar. Jika tidak, saya kena cari lagi cara supaya tidak berlaku pertelingkahan kerana saya tidak gemar bertelingkah dan tidak pandai bertelingkah. Saya ni penakut orangnya. Saya terpaksa bergantung kepada ehsan orang itu supaya tidak melakukan apa2 yang menyakitkan. Mujur la, kata-kata 'api dilawan dengan air' menenangkan keadaan. Saya bernasib baik waktu itu.

Tuan,

terima kasih tuan. Yang boleh saya katakan, mujur sahaja orang ini tidak terlalu keras sikapnya. Sekali lagi saya katakan, saya memang benar2 bernasib baik.

Saya menulis mengenai kisah ini tidak bermaksud 'berbangga diri'. Tulisan ini mengingatkan saya betapa leganya saya melepasi cabaran2 seperti itu. Betapa saya bersyukur, dalam keadaan yang serba tidak tentu, saya masih dapat mengelak diri daripada kena 'belasah'. Kalau tidak, mmg habis la ba juga saya...

mujur la. BERNASIB BAIK di rantau orang

4:35 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home