TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, December 30, 2008

Jerat Peraih Kad Kredit

Mereka ada di mana-mana. Di tepi jalan, di luar bank, di stesen minyak, di gerai-gerai makan, dalam gedung jualan atau yang berselerak tanpa lokasi tetap. Mereka ini berpakaian sangat kemas. Berketerampilan, petah bercakap dan pandai memujuk. Lelaki atau perempuan, tidak kisah mereka siapa tetapi raut wajah mereka cukup meyakinkan. Penampilan eksekutif la katakan.
Saya tidak pernah memiliki kad kredit. Saya juga tidak pernah memasang niat untuk memilikinya. Kad kredit bukan tidak baik. Cuma jika tidak dikawal penggunaannya akan mendatangkan kesan yang besar. Isu saya di sini ialah bukan kad kredit tersebut tetapi bagaimana manisnya kata-kata para peraih, memujuk anak-anak muda atau yang berkeluarga tentang pakej-pakej jika memiliki kad kredit. Saban waktu, mereka tidak jemu-jemu mengejar orang ke sana-sini dan dengan pantas memberikan penerangan akan kebaikan kad kredit tanpa mengambil tahu sama ada kita sedang sibuk atas urusan harian atau tidak.
Seperti biasa, para peraih ini 'mengganggu' saya sejurus keluar dari pasaraya Giant di Leisure Mall. Bukan sekali dua tetapi sudah berkali-kali sebelum ini.
"Encik ada kad kredit?"
Saya geleng-geleng kepala.
"Encik boleh memohon kad kredit dengan kami. Sangat mudah. Ambil masa beberapa minit sahaja dan terus mendapat kelulusan."
Saya senyum sahaja dan tunjukkan reaksi tidak berminat.
"Ok. Kami beri anda wang. Percuma! Siapa orang yang beri wang suka-suka bukan. Ambil peluang ini."
"Tidak mengapa. Tidak berminat." Kali ini saya bersuara kerana tidak senang dikejar sehingga menghampiri tangga lift.
"Saya tawarkan RM200. Percuma. Macam mana?
"No. Thanks."
"Rm300? Bukan senang dapat wang begini mudah."
"Saya tidak minat kad kredit."
Orang ini mula tidak senang hati melihat saya langsung tidak memberi 'muka'. Saya kemudiannya dikelilingi oleh beberapa peraih wanita selepas itu. Memujuk dengan senyuman manis.
"Ini tawaran terakhir. Rm500? Come on la. Awak tak mau wang?"
"Thank you." saya meninggalkan ruang beli belah tanpa mempedulikan 'rungutan' mereka selepas itu. Sempat saya mendengar mereka berkata "Kasi wang free pun tak mau ka?" dengan nada yang tidak puas hati. Yang saya rasa pelik ialah kenapa mereka terlalu memaksa orang supaya mendapatkan kad kredit?
Tidak hairan la, dengan pujukan yang 'efisien' seperti ini pasti mudah membuatkan kita termakan pujukan. Kalau berkemampuan, boleh la memilikinya. Tujuan kad kredit pun untuk memberikan keselesaan kepada pengguna tanpa perlu membawa wang banyak yang berisiko dari segi keselamatan diri jika dijadikan sasaran oleh orang yang berniat buruk. Apapun, sebelum kita membuat keputusan, fikir-fikirkan dahulu. Kemudian hari akan mendatangkan kesan yang memakan diri kita sendiri jika tiada had kawalan penggunaannya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home