TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, October 13, 2008

Aku: Hari Ini Dalam Catatan

Sebatang pena biru, 5 pucuk surat rasmi, 15 keping cek, resit dan beberapa nota peringatan catatan yang saya lakukan semalam untuk hari ini. Semuanya di atas meja tanpa perhatianku sejak tadi. Kabus kelam dan sedikit gerimis merencatkan beberapa tugasan. titis-titis hujan mengamit gumamku berselang dua tiga rasa yang menerawang dalam diri. Ingatan terbuang jauh menerobos tingkap tersasar entah ke mana. "Hujan." Bisik hatiku perlahan.
Kereta peronda polis memagut pandanganku ke jalanraya. Kusandarkan sahaja seenak-enaknya badanku mencari ruang lebih selesa antara sandar dan posisi kerusi empuk. Dahiku sedikit berpeluh oleh ruang ofis yang tidak mempunyai ruang udara yang baik. Fikiran kosong. Lalu aku cuba mengisinya, mengingat-ingatkan sesuatu.
"Mama.. Rindunya." Itu perkataan pertama seingatku petang semalam ketika adik why membuka webcam laptopnya berkongsi wajah mama. Rupanya mama berada di KK sekarang. Mama tersenyum. Sekali-sekala mendekat ke telinga seperti membisikkan sesuatu kemudian mama berusaha mendekatkan wajahnya ke skrin komputer. Jelas kedut mama. Jelas juga senyuman mama yang tercabar oleh waktu. Hatiku diserang hiba. Air mata sedikit bergenang kutahan sahaja."Mama datang melawat anak-anak di KK. Mengaraun." Itulah paparan yang saya baca di skirn komputer.
Hujan lebat dan dentuman kuat halilintar mematikan seketika ingatan. Wajah alam berubah oleh hiasan yang membasah di setiap inci bumi. Saya mencapai gelas yang tertera logo UEFA EURO 2008 Austria-Switzerland lalu mengisinya dengan air panas untuk mententeramkan badan yang disergah oleh sejuk alam. Menghirup dengan hati-hati, sekali dua dan meletakkan kembali di atas meja. Jari-jemari kananku mengalun perlahan menemani count, entah betul entah tidak sambil menghayati lagu 'Sampai Memutih Rambutku' nyanyian oleh Frank Shombing.
"Bos! Telefon!" Staf keselamatan yang bertugas tidak jauh dari ofis melambai-lambai memanggilku. Berkali-kali sudah saya tegaskan usah merujuk saya dengan panggilan itu. Pada suatu hari lain saya 'bertekak' dengan mereka.
"Lain kali panggil Mike."
"Ok bos!"
"Mike la."
"Sudah biasa la bos."
"Panggil abang saja."
"Susah juga."
Saya menghela nafas dalam-dalam. Orang Nepal perasaan hormat mereka sangat tinggi terhadap kedudukan jawatan. Apa la sangat dengan jawatan yang saya pegang. Cuma skop tugas saya yang menjalankan segala tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh Site Manager tapi jawatan tersebut telah dimansuhkan. Mau tidak mau segala beban terpaksa juga saya pikul. Mungkin pengalaman begini membantu saya dalam prospek pengurusan masa depan.
"Ok la. Kalau begitu panggil saya Mike supervisor"
"Boleh juga. Terima kasih"
Mmm.. akhirnya selesai tugas saya dengan mereka. "Bos! Telefon. Madam panggil". Aduh! sekali lagi.
"Madam, Good evening. Mike here. May i help you?"
"Mike, can you come to my place. I have something important i want to talk with you"
"Errr..?" Saya melihat keping-keping cek yang masih belum saya rekodkan data dalam komputer. Ada beberapa keping cek lagi yang perlu saya catatkan dalam resit pembayaran.
"Are you free to come?"
"Oh! Yes. Sure madam. I'll be there in a minute"
Ahhh... Apa lagi ni. Saya bergegas mengambi note book kecil untuk membuat catatan butiran perbincangan dengan bos. HAH! Yang ni baru boleh panggil BOS!... Permisi...Aku akan menulis lagi di lain waktu tetapi bukan untuk catatan ini. Hehe..
Mohon mengundur diri. Selamat bertugas kawan-kawan, pinsan-pinsan khasnya untuk komuniti masin asin. Jangan kecewakan BOS anda dengan tugasan yang kacau bilau. Till then...

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home