TINGKALANON - TANDEK - MORION

Friday, November 28, 2008

Ingin Tahu Siapa Ahli Politik Tersebut?

Politik memberikan kita pelbagai kisah dan ragam. Politik hari ini seolah-olah tidak lagi memberi tempat kepada pengertian berpolitik itu bercakap dan berkerja ke arah kebaikan. Sejak kebelakangan ini Malaysia kepanasan oleh kerakusan individu menjebak perjuangan ke gaungpolitik wang.

Sidang parlimen pula dikecohkan oleh sikap perbalahan ahli politik yang berperangai 'kebudak-budakan' dalam membahas isu. Saling membidas antara satu sama lain dengan kata-kata di luar norma. Menggelar sesama mereka dengan gelaran 'hodoh' yang tidak mencerminkan kematangan tingkahlaku. Ketidakcekapan dalam mengendalikan emosi disebabkan hanya dorongan perbezaan politik menyebabkan isu rakyat tidak dapat dibincangkan secara berhemah, terkandas oleh hingar-bingar yang remeh-temeh.

Politik jalanan pula yang sentiasa cuba memanipulasi faktor boleh dikaitkan dengan keamanan tetapi sentiasa berakhir dengan konflik dengan pihak berkuasa. Usah menjadikan Malaysia seperti apa yang berlaku di Thailand. Akhirnya jumlah yang ramai menjadi tidak terkawal. Mana-mana negara di dunia ini sekalipun akan menghadapi masalah untuk menangani emosi yang tercetus dalam kumpulan yang melibatkan ratusan atau ribuan pendemonstrasi. Bayangkan dalam masa 24 jam pendemonstrasi mengambil tempat di sekitar Bangkok SAHAJA, negara Thai kerugian RM5 juta tidak termasuk kos kerugian akibat pentadbiran yang langsung tergendala di terminal lapangan antarabangsa Thailang. Kita tidak mahu ini terjadi di Malaysia. Para pelabur tidak lagi melihat adanya jaminan keselamatan untuk 'bergelandangan' ke ruang urusniaga.

Banyak kes-kes lain yang makin mencelarukan arah persepsi politik seperti saman-menyaman, permusuhan peribadi, pertelagahan pendapat tanpa dihalusi melalui kesepakatan meminggirkan isu utama seperti keperluan rakyat dan tekanan ekonomi yang merudum.

Terbaru isu yang tersiar dalam akhbar The Star hari ini yang menyebut ada seorang ahli politik yang 'mahu bersikap baik' cuba mengatasi undang-undang dengan mencampuri tugas-tugas penguatkuasaan antaranya yang melibatkan saman. Dalam artikel tersebut Tan Sri Musa mendedahkan bahawa ahli politik berkenaan menyerahkan kepadanya sejumlah 100 saman dan meminta saman tersebut dimansuhkan kerana pesalah trafik tidak mampu membayarnya. Difahamkan kesemua pesalah trafik adalah datang daripada tempat yang mana ahli politik tersebut merupakan adun kawasan berkenaan. Ahli politik yang sama ini jugalah yang memberitahu kepada pihak berkuasa supaya tidak menyaman penungang motorsikal yang tidak memakai topi kaledar di kawasan kampung. Jika undang-undang tidak lagi mendapat tempat untuk mendidik masyarakat, bagaimana expectation kita kepada generasi seterusnya? Sejauh manakah usaha kita untuk mengelakkan kerugian nyawa yang boleh menyumbang kepada kesinambungan hayat generasi masa depan khususnya dan Malaysia amnya.

Ada yang berpendapat, itu cuma kawasan kampung. Satu kawasan terpinggir yang tidak sibuk dengan kenderaan lalu-lalang dan sudah tentunya ada tendency untuk mempunyai tanggapan potensi kemalangan diklasifikasikan kurang berisiko. Satu nyawa hilang jika itu dijadikan konteks ia cuma 'angka kecil peratusan kemalangan', ingin saya ingatkan itu tetap satu NYAWA YANG SANGAT BERHARGA. Dimanakah kesilapannya jika niat pihak berkuasa mendidik masyarakat ke arah kebaikan? Melaksanakan tanggungjawab murni itu adalah satu berkat yang tentunya menghasilkan masyarakat yang berbudaya SIHAT. Jika isu kecil berkaitan helmet ini sahaja dikompromikan dan berupaya untuk memisahkan pesalahnya daripada 'teguran' penguatkuasaan, usah mengharapkan generasi muda masa depan mempunyai penghormatan tinggi terhadap sistem undang-undang yang melibatkan isu lebih parah umpamanya penyakit kecelaruan mental dan pemupukan kendiri yang tersasar jati dirinya di atas jalanraya. Ini tidak termasuk soal menangani kebejatan dan keterpesongan moral muda-mudi.

Tahniah Tan Sri kerana berani dengan prinsip tugas dan tanggungjawab. Ingin rasanya untuk mengetahui siapakah gerangan ahli politik yang 'baik' itu...

".... kerana perintah itu pelita dan ajaran itu cahaya dan teguran yang mendidik itu jalan kehidupan...."
-Raja Sulaiman

2 Comments:

Blogger Ajeem said...

ulasan yang baik..yang pastinya politician tersebut datang daripada BN/Kerajaan kerana jika dari pembangkang sudah tentu politician tersebut masuk lokap..faham2lah...

Inilah akibatnya apabila kerajaan tidak mendengar suara rakyat maka huru-hara tercetus yang juga menggambarkan ketidakcekapan kerajaan dalam urus tadbir negara.

saya tidak dapat mengulas panjang tapi saya tunggu entri seterusnya.k

4:15 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Ya, Saya bersetuju agar ahli politik tidak masuk campur polis menjalankan tugasnya. Sebenarnya saya teringin untuk tahu siapakah ahli politik tersebut tapi belum ada pendedahan dibuat...

Mengenai dengan ketidakcekapan kerajaan dalam mentadbir, saya berpandangan kita tidak perlu bentuk tentangan seperti di thailand... kita ada saluran yang sangat mujarab untuk menjatuhkan apa yg disifatkan kerajaan yang tidak cekap.

saya lebih suka Malaysia dalam keadaan yang 'terjaga' kententeramannya dan rakyat memilih untuk bersatu dalam undi sebagai tanda protes dan pembaharuan.....

12:13 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home