TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, December 29, 2008

Nenek! Mohon Izin. Anak Cucu Tumpang Lalu!....

Mulut masin. Bersifat takbur. Angkuh atau konon-kononnya tidak takut kepada 'makhluk-makhluk alam' yang sangat jarang boleh dijangkau oleh pancaindera. Mempersendakan 'semangat' malam seolah-olah ada pertanyaan yang bersifat 'tinggi diri' 'Siapa mereka itu?'. Akibatnya, disuguhkan dengan pengalaman yang mengajar diri.
Pada suatu senja awal tahun 1990-an, saya bersama seorang lagi sepupu perempuan dari rumah En. Makaun (membuat assignment susur galur keluarga) dalam perjalanan menghantarnya balik ke Tingkalanon berjalan kaki. Setiba di rumahnya, setelah berehat, lebih kurang jam 10 malam saya memohon diri untuk balik ke rumah.
"Saya minta diri dulu. Terima kasih menumpangkan rumah sekejap untuk rehat-rehat."
"Jangan la bah dulu pulang. Tidur saja di sini. Lewat sudah ni. Besok la, awal-awal pagi baru balik rumah."
"Tidak la. Saya mau balik juga malam ini."
"Ada 'saaaana' bambu tu di tepi jalan selepas bukit dekat sungai yang selalu mengacau orang tu jalan malam-malam."
Muka uncle tu biasa-biasa juga. Ada senyuman terukir. Sangkaan saya, mungkin cuma menakut-nakutkan saya sahaja. Terus-terang saya katakan, saya seperti tidak takut apa-apa waktu itu. Kalau setakat berjalan malam atau diganggu oleh sesuatu, saya pandang begitu sahaja, teruskan perjalanan dan buat tidak tau. Mungkin sebab saya tidak pernah 'terlari' atau lari ketakutan membuatkan saya yakin diri boleh lepas begitu sahaja.
"Tidak juga bah tu uncle."
"Tidur la bah sini malam ini. Besok saja balik."
Tidak tahu dari mana datang perasaan tercabar oleh 'amaran' yang diberikan tentang gangguan tersebut.
"Kalau 'dia' datang mengacau macam mana?" Uncle tu menduga hati saya.
"Biar la. Siapa-siapa dulu lari. "Dia' ka atau saya." Yakin saja bunyinya, lahir daripada percakapan yang seolah-olah meremehkan sesuatu.
"Bah. Kalau macam tu, mana-mana la. Hati-hati saja." Muka uncle tu berubah sedikit, menarik nafas dalam-dalam seolah-olah ada reaksi tidak setuju dengan sikap saya. Barangkali tidak menyangka saya boleh berkata-kata sejauh itu (main lepas cakap saja)
Sebentar kemudian saya hilang di dalam kegelapan malam. Tanpa bekal lampu suluh, cuma bertemankan cahaya rembulan penuh menyuluh laluan. Dalam hati saya 'Siapa bah yang suka kacau-kacau malam-malam ni'.
Saya tidak pernah tau ada kisah begitu. Tidak juga saya pernah dengar sebelum ini bahawa ada bentuk gangguan yang datang daripada rumpun bambu tersebut. Seingat saya, semasa dalam perjalanan balik menemani sepupu petang tadi, ada juga 2,3 rumpun bambu di tepi jalan yang sedikitpun tidak menarik perhatian saya.
Saya terus melangkah. Bunyi gemersik air sungai berlaga batu jelas kedengaran, jelas menemani sunyi malam. Selesai menuruni bukit, saya mula memerhatikan sekeliling. Sangat gelap tetapi jelas di bawah bayang bulan. Saya mencari-cari mana satukah rumpun bambu yang dimaksudkan itu. Jarak 3 meter, suasana sekeliling mula berangin sedikit, sangat sejuk dan tiada bunyi cengkerik. Di antara rumpun bambu itu, ada yang mula 'membuka' cahaya kecil tapi sangat jelas. Saya mula fikirkan itu reaksi cendawan lumut (fungi?) yang memberi tindakbalas terhadap cahaya bulan. Selalu juga saya bertemu dengan kulat atau seakan lumut yang boleh mengeluarkan cahaya kebiru-biruan pada waktu malam. Rumpun bambu itu semakin terang menyala tetapi anehnya tidak menyuluh sekitarnya. Sekadar bercahaya. Bukan batang bambu yang bercahaya tapi sesuatu yang menyala di tengah-tengah rumpun.
'Barangkali ini bambu yang dimaksudkan itu. Ah! Teda apa-apa juga. Cuba la kalau dia berani juga kacau..' Hati membisik perlahan, yakin tidak diganggu, seakan angkuh, sedikit geram kerana perasaan seperti telah ditakut-takutkan oleh emosi sendiri. Seperti biasa, saya buat tidak tau. Apabila langkah saya betul-betul selari dengan kedudukan rumpun bambu, langkah saya mula tersekat. Melangkah dan terus melangkah tetapi aneh!... tidak berganjak. Semakin saya melangkah, semakin terasa tapak kaki tidak menyentuh jalan. "Apa sudah jadi. Tuhan, tolong la saya?" hati saya mula tertanya-tanya dan berharap. Saya mulai 'insaf' akan keterlajakan kata-kata saya tadi. Saya cuba memikirkan sesuatu agar saya boleh 'berdamai' dengan makhluk di sebalik rumpun bambu. Saya masih juga cuba melangkah dan saya memerhatikan kaki saya tidak memijak tanah. Seperti ada sesuatu seperti tangan besar, yang mebungkus badan saya, menahan sehingga mendapati diri seakan-akan 'terawang-awang sedikit' akibat usaha melangkah. Meremang bulu roma. Rambut bagai ditarik-tarik, seakan menegak dek penangan keanehan yang timbul di dalam perasaan. Tiada suara, cuma sunyi malam. Saya berhenti. menenangkan diri sambil menoleh ke arah rumpun bambu yang menyala cahaya. Dalam fikiran saya 'saya perlu lakukan sesuatu'.
Saya mengadap ke arah rumpun bambu. Melangkah mendekati. Pandangan saya terarah tetap, mula memasang niat. Hanya mau berdamai. Nekad. Betul-betul berada di depan rumpun bambu, saya mendiamkan diri seketika. Memerhatikan kalau-kalau ada 'sesiapa' yang boleh saya 'berurusan'. Cuma Bambu. Dan dengan suara perlahan saya mulakan salam perdamaian. Terus-terang saya tidak tau apa-apa pun cara. Terpaksa hentam mana yang patut. Kalau tidak, macam tidak boleh lepas. Sesak dalam genggaman kemas yang tidak kelihatan oleh mata kasar.
"Nenek! Mohon izin. Anak cucu tumpang lalu... Minta maaf minta ampun. Sila nenek tolong ajar. Anak cucu 'terkasar' bahasa. Saya cuma mau nenek tahu, saya orang sini juga, anak jati Tingkalanon. . "
Suara saya separuh membisik. Hati saya mula berdebar-debar. Agak lucu bunyinya. Entah sesuai entah tidak kata-kata begitu. Saya masih merasakan sesuatu, seakan tidak mau melepaskan gemggamannya daripada tubuh saya.
"Kalau nenek tidak percaya , saya bagi 'minum' untuk nenek."
Kemudian saya mengigit ibu jari tangan kanan dan menitiskan darah di antara rumpun bambu. Tidak ada yang saya harapkan melainkan saya boleh dilepaskan pergi. Saya sepatutnya memohon campur tangan kepada-Nya. Entah kenapa saya perlu lakukan ini.
"Nenek, izinkan cucu menumpang lalu." Suara perlahan sambil menyentuh rumpun bambu dengan telapak tangan. Beberapa ketika. Saya tidak menunggu lama. Mengundur 4, 5 langkah ke belakang dan berpaling menuju ke jalan. Saya mula melangkah pergi, satu.. dua.. perlahan-lahan beban tadi hilang, dengan sebebas rasa dan penuh lega. Saya baru sedar, sekujur tubuh ini basah bermandi peluh. Saya mengambil kesempatan menoleh ke arah 'nenek' tadi. Sudah tidak bercahaya. Gelap. Sempat tersenyum, mengangguk kecil, sebagai salam 'perpisahan' dan terima kasih. Setiba di rumah, terus sahaja tidur tanpa memikirkan apa-apa lagi. Letih.
Sekalipun kita tidak mungkin percaya kisah-kisah 'mengarut' atau mempersoalkan kewujudan 'mahkluk-mahkluk' ini, nasihat orang tua-tua ialah jangan bersikap takbur dan angkuh. Saya tetap percaya kuasa Allah melebihi daripada segala sesuatu. Namun siapalah kita untuk bermegah diri. Sementara ini kita masih hidup di dunia yang penuh dengan rahsia dan misteri alam yang tidak terungkai, tidak terjamah oleh mata kasar dan kecanggihan sains teknologi, bersikap wajar, rendah hati dan sederhana. Mengawasi kata-kata dan di dalam rasa sementara terus bersujud kepada-Nya memohon perlindungan. Jangan takbur.

7 Comments:

Blogger HASS said...

hahaha...
lawak tapi memberi pengajaran.
pernah juga jadi ma sia tym upper 6tym tinggal d asrama.kwn2 1 kelas yg x tnggl asrama kasi takut sia.tp dgn yakin sia blg teda jg pa2.mlm tu jg sia teserempak dgn 'benda'.sia juz tngk 'benda' 2 dr belakang.kaku...x dpt sia bgerak.nasib bek 'benda' tu x menoleh tngk sia.kalo menoleh mngkn sia demam 1mnggu.3 ari jg la demam.pas tu kejadian, sia x mo lg ckp2 bngga diri mcm berani.huhu..tobat

4:36 PM  
Blogger erisya nor said...

mike, mula baca kelakar...tapi lama2 makin seram lak! sampai kena beri darah? fuh! mengerikan! namun, makhluk halus memang ujud.masing2 ada pantang-larang yang harus kita hormati walau tak sama spesies. errr malam tuh mimpi ngeri tak? :)

8:41 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Cuz..

Iya.. kalau sya ingat balik, mcm cerita P.Ramlee pula dalam filem Pendekar Bujang Lapok. haha

Tu la ba tu. Kadang2 perasaan tidak takut kita membawa kepada sikap yang seolah-olah 'Ah! tidak jg ba tu'.. Akhirnya, bila 'alam' menjadi guru kepada keangkuhan, kalau tidak insaf juga, tidak tau la.. hehe

Erisya,

malam tu saya tidak bermimpi apa2 sebab trlalu keletihan 'bertarung' dengan emosi. selepas beberapa bulan, baru saya termimpi brmacam2 yg menakutkan. bukan setakat mimpi sehari dua, kadang2 berlanjuta berminggu2.. tapi sya tidak ambil pusing sangat. :)

1:03 AM  
Blogger AnnDee said...

uiii na bah!! menakutkan seh!! mula2 mcm nakal, lama2 ngeri juga..

btw..thanks for visiting my blog.. letak chat box la bah senang mau tulis2! hehe

3:25 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

AnnDee72...

Trima kasih juga atas kunjungan ke blog ini. Selamat menyambut tahun baru!. :)

ada bah juga chat box tu saaana di bawah tu 'recent visitors'.. Scroll down ja sikit ada chat box..

4:08 AM  
Blogger everjoy said...

hi mike,

lawak tapi menakutkan juga...

11:29 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

hehe... iya. Kalau sya ingat2 balik, senyum sendiri sya...

7:30 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home