TINGKALANON - TANDEK - MORION

Sunday, February 15, 2009

Kota Marudu Miskin Kerana Kita Gagal Bersikap Ekstrem?

Saya sudah memikirkan perkara ini dalam diam dan dalam waktu yang cukup lama. Saya halusi lipatan sejarah mana yang mencatatkan bentuk perjuangan yang memilih sikap radikal dan menggunakan akal.

Ada sebahagian kita melihat ada keperluan untuk mengadakan demonstrasi sebagai satu bentuk luahan tidak puas hati kepada pihak tertentu yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Terus terang, anda dan saya berkongsi ketidakselesaan yang bersumberkan rasa tidak puas hati. Kita gagal menyembunyikan beberapa kata-kata keras kepada pemimpin kita. Kita gagal untuk menyembunyikan emosi kita terhadap kemelut prestasi buruk orang politik. Pemimpin tukar pemimpin tapi jejak politik mereka masih kontang idea, maka harga yang perlu dibayar ialah kebuntuan masa depan daerah tercinta .

Ada yang berpendapat kita terlalu bersikap baik. Tidak berani melakukan perubahan. Tidak tahu bertindak radikal dalam menyatakan bantahan. Masih memilih cara berhemah tanpa sikap ekstrem. Maka ada yang berpendapat, hasil daripada sikap ‘berlembut’, Kota Marudu menerima tamparan terlalu hebat kerana telah dihadiahkan dengan label daerah miskin. Fakta jelas merekodkan demikian Label ini menyakitkan. Benarkah Kota Marudu miskin kerana kita gagal bersikap ekstrem/radikal?

Fenomena kekerasan selalu menjadi senjata terbaik untuk memenuhi cita-cita perjuangan Ada yang berjaya tapi berdarah! Kerana kita semua tidak dapat memberikan jaminan sejauh mana keupayaan kita mengekang dan mengawal kuasa emosi. Kebijaksanaan dan keberanian kita tidak perlu ke arah itu. Minda intelek kita tidak kekurangan cara. Bukan memilih untuk terus ‘berlembut’ tapi kita tingkatkan keupayaan. Daripada perasaan BERSATU kepada BERSEPADU.

Saya masih memilih pendekatan bijak dan berhemah. Perlu ingat, masyarakat adalah agen perubahan kepada susunatur sistem politik. Inilah kuasa sebenar yang perlu kita sedar. Era milenium mencetus pemikiran baru anak tempatan. Kita sudah lebih tahu menilai. Semakin celik dalam hak-hak sebagai rakyat. Anak-anak muda mula berani bersuara menggerakkan kekuatan minda mereka. 3 perkara fokus: PEMIKIRAN, KEMATANGAN POLITIK dan TANPA KEKERASAN

PEMIKIRAN- membangun kesedaran memaksimakan idea melalui pelbagai opsyen sedia ada, mencambahkan kematangan minda kepada pelbagai reaksi menjadi tunas bangsa.

KEMATANGAN POLITIK- memperkasakan pemikiran menjadi satu pertarungan idea yang lebih kritis, sarat dengan pelan perlaksanaan termasuk bagaimana kita mengupayakan kekuatan kita membongkar dan memelihara kebijaksanaan intelektual yang terpendam di kalangan anak tempatan.

TANPA KEKERASAN- yakni tanpa melibatkan sebarang bentuk tindak-tanduk ekstrem. Kita usah tawar-menawar dengan cara yang tidak ‘harmonis’ kerana sekali kita memulakannya, kita akan dipertanggungjawabkan melahirkan satu kelompok baru yang tidak memberikan ruang kepada proses diplomasi melalui kekuatan akal.

Mungkin, kita boleh menjadikan sikap radikal (dalam konteks rasional) sebagai salah satu daripada pilihan reaksi kita kepada pemimpin yang tidak tahu ‘begruna’ kepada masyarakat. Namun kita perlu menterjemahkan pernyataan sikap sebegini melalui konsep matang, politik bistari yang tanpa kekerasaan yang dengan sendirinya kita memelihara perasaan harmoni bermasyarakat.

Fikirkan. Susah benarkah kita membuat penilaian 5 tahun pertama perkhidmatan mereka sebagai YB? Jika mereka gagal, mengapa terus ‘buta’ memberikan undi? 5 penggal perkhidmatan mereka lagikah kita terkapai-kapai membuat pertimbangan? Yang peliknya, mereka terus diangkat melalui peti undi. Jika demikian, apakah undi yang kita ‘setia’ berikan terdahulu berbaloi disudahkan oleh aktiviti berdemonstrasi? Kita sebenarnya bukan berdemonstrasi kepada pemimpin berkenaan tetapi terhadap diri kita sendiri! Pemimpin politik bukan lantikan yang boleh disamakan dengan kriteria Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. TANGAN kita yang MENGIZINKAN mereka berkuasa!! Tangan kita yang sebenarnya membenarkan kemiskinan terus membelengu Kota Marudu. Kita bukan setakat perlu bersatu tapi perlu BERSEPADU untuk singkirkan mereka yang tidak cintakan kemajuan.

Usah membalas kekerasan dengan kekerasan. Semua elemen kemasyarakatan harus kekal, kita sepakati dari bahu ke bahu, sama-sama tekad membangun tanpa merosakkan moral dan etika kehidupan kerana kekerasan itu bukan SATU-SATUNYA cara mengemukan pendapat. Dialog dan ‘pertarungan’ idea lebih menjadikan kita sebagai masyarakat kompetetif. Banyak sebab perjuangan, kita sanggup mati, tapi kita tiada sebab untuk melakukan perjuangan berdarah. Perjuangan begini sudah lama berlalu. Dulu kita mempertahankan tanah air. Demonstrasi sana sini untuk menunjukkan perpaduan bangsa. Era itu kita sudah lalui. Kini, yang kita perjuangkan ialah MASA DEPAN rakyat yang hidup di negara merdeka. Kekuatan LUARBIASA yang kita miliki sekarang ialah KITA SUSUN dan ATUR organisasi politik orang kita. Jika yang baik maka kekalkan kebaikan. Tukar jika perlu tukar. Angkat golongan yang berfikiran jelas terhadap aspirasi rakyat. Angkat dan kita pacu semangat ke cakerawala, beritahu kepada mereka yang sudah lama ‘berkuasa’ bahawa kita tidak kekurangan individu yang memiliki idea lebih baik daripada orang politik ini.

Mahatma Ghandi pernah mengatakan ‘KEBENARAN adalah senjata paling ampuh daripada apa jua senjata kemusnahan’.

Labels:

8 Comments:

Blogger aranam said...

Saya terfikir, adakah pemimpin Kota Marudu sedar akan gejolak rasa yang bermain di sanubari penduduk setempat? Adakah di antara ahli masyarakat yang menyuarakan perkara ini secara terus kepada pemimpin berkenaan? Kebiasaannya, kesibukan ahli masyarakat yang dilabel miskin ini lebih tertumpu kepada mencari sesuap nasi berbanding memperjuangkan hak masing-masing dari segi pembangunan kawasan setempat. Semoga komen saya ini tidak disalah anggap.

Saya belum pernah sampai ke Kota Marudu.

2:27 PM  
Blogger IsOn said...

Mungkin bagus juga sekali sekala kau tunjuk muka di km aranam. Aramai mari ki. Hee...

3:39 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

aranam,

majoriti penduduk KM sudah mula 'berani' memperlihatkan sikap tidak senang dengan YB. Cuma belum disuarakan melalui cara yang 'keras'... Saya percaya, sejak beberapa waktu kebelakangan ini, YB sudah mula 'risau' kebangkitan orang muda.

Masalah yg berlaku sekarang ialah belum ada sebarang usaha dimulakan untuk 'menegur' org politik. Sudah ada suara2 utk mengadakan demonstrasi secara aman... Tapi terlalu awal kerana tidka dimulakan dengan 'dialog' berani atau usaha menghantar kumpulan 'diplomatik' desa utk menghantar memo bantahan terhadap prestasi buruk mereka yg bergelar YB...

aranam, bila2 ada waktu, anda dijemput berkunjung. Moga2 daerah kota marudu dapat memberikan juga inspirasi saudara berkarya melalui puisi...

terima kasih kerana berkunjung ke blog saya. Saya meminati gaya saudara dalam penulisan puisi..

7:29 AM  
Blogger Kabasaran Soultan said...

Sangat setuju mike .." ‘KEBENARAN adalah senjata paling ampuh daripada apa jua senjata kemusnahan’.

Tidak ada radikalisme yang bisa menyelesaikan masalah .. ia hanya akan melahirkan radikalisme baru berikutnya.

12:01 PM  
Blogger Furen Laoshi said...

Mike, kedengarannya macam ekstrem tetapi saya sangat bersetuju pernyataan anda, bahawasanya Kota Marudu kekal dalam garis kemiskinan kerana memang nyata kita gagal bersikap ekstrem. Walaupun saya tidak selalu meronda di seluruh Kota Marudu, tapi apa yang saya ketahui dan lihat, Kota Marudu sangat lambat berkembang. Mungkinkah kerana orang kita cepat berpuas hati? Senang dipujuk? Terlalu berbudi bahasa? Takut? Pergaulan kita dengan masyarakat lain pasti ada memberikan jawapan kepada masalah kita. Alangkah pentingnya ilmu. Tahukah kita semua betapa lemahnya pencapaian akademik anak2 Sabah secara keseluruhannya? Tidak perlu belajar statistik untuk mengetahui min atau purata lulus anak2 Sabah. Satu yang paling saya tidak gemar dengan tingkah laku YB2 Sabah...berapa kerat yang menunjukkan komitmen dan keprihatin yang tulen terhadap pendidikan anak2 Sabah? Sehingga timbul prasangka dalam benak saya, orang2 besar ini seolah2 RELA keadaan ini berterusan demi menjaga status quo mereka. Bimbangkah mereka jika bertambah bijak pandai, mereka akan lenyap dari medan politik mereka? Pada saya, saya tidak berharap. Kita ubah saja mentaliti kita, tidak semestinya kita berada di peringkat atas barulah kita dapat memimpin. Syabas kepada anda dan rakan2 anda yang membina blog yang berinfo seperti ini.

10:25 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Kabasaran,

Gembira bertemu saudara kembali. Salam dari Malaysia. Semoga di Indonesia sihat-sihat sahaja...

Saya terpesona dengan kenyataan saudara. Radikal akan meneruskan radikal seterusnya... Saya setuju ada cara berhemah untuk memelihara keharmonian dan untuk mencapai cita-cita perjuangan. KECUALI keadaan sangat terdesak untuk mengadakan perjuangan radikal yang RASIONAL.

Furen Laoshi,

saya teringat satu pantun tapi terlupa pembayang.. hehe. Saya perturunkan maksudnya sahaja..

puas la kita sudah berbudi
emas juga dipandang orang

Setuju dngan anda, mereka seperti tidak ada kesedaran untuk memajukan ilmu bangsa/negeri sendiri. Sementara itu daripada kita mungkin ada elemen yang terbiasa dalam diri yang kelihatan akhir-akhir ini 'memakan diri kita sendiri'.. umpamanya seperti yg saudara sebutkan.. cepat puas hati? senang dipujuk? Terlalu berbudi bahasa? mereka mungkin bimbang akan kehilangan 'kuasa' mengakses ekonomi kalau anak2 bangsa semuanya bijak? Anjakan paradigma perlu daripada kedua belah pihak.. pemimpn dan yang dipimpin...

mereka takut kepada bayang2 sendiri daripada takut bangsa langsung hilang bayang dari peta ketamadunan.

Terima kasih atas reaksi yg baik. Kewujudan blog SAM juga perlukan saudara. mentaliti kita ubah tanpa perlu status memimpin.. u're absolutely right. SPOT ON!

TQ bro...

12:43 PM  
Blogger aranam said...

Terima kasih atas jemputan kalian. Teruskanlah perjuangan demi menuntut hak. Saya juga sependapat dengan Sdr. KABASARAN dan paling penting sekali kita mesti berusaha mengekalkan keamanan. Jika ia tercemar, bukan mudah untuk mendapatkannya kembali.

11:08 PM  
Blogger Little Mike (LM) said...

aranam,

setuju dengan saudara. kekalkan keamanan. Kerana sekali berlaku kcau bilau, kita akan sukar mendapatkan kembali keharmonian...

Saudara kabasaran, aranam, furen laoshi- dijemput memberikan pandangan di blok SUARA ANAK MARUDU www.marudubloggers.blogspot.com

terima kasih kerana kalian prihatin memahami perjuangan anak-anak marudu.

7:02 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home