TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, June 23, 2009

SAM: Besar Kepala Atau Besar Minda?

SAM wadah sederhana tapi selalu diragui keikhlasannya. Bukan sekadar disesak dengan kemelut minda satu dua individu yang tampil tanpa identiti malah mempersoalkan objektif SAM. Tanpa menidakkan kredebiliti identiti tanpa nama, saya perlu menganjak tafsiran 'besar kepala' berpaksikan kredebiliti dan keterampilan wacana dari tingkap minda SAM.

SAM dilihat sebagai hambatan yang menyusahkan. Kekritisan dan keberanian SAM dibayangi pandangan negatif menyingkirkan sama sekali perspektif bistari dari hati orang tertentu intipati yang mengisi wadah SAM. Besar kepala, konotasinya ditolak dalam pembudayaan karekter. Ibarat kemudi yang tidak bertuankan kejernihan di laut akal. Sauhnya berjubah taufan, mudik ke muara kacau-bilau. Sudah tentu SAM menolak jauh-jauh kedangkalan begini

Bila berlakunya kepincangan yang mengundurkan kelangsungan dan survival bangsa, jangan padamkan roh kemerdekaan bersuara dan berfikir. Kebekuan berfikir tidak mendewasakan bangsa. Mengabaikan hak-hak kemasyarakatan menyebabkan kita mudah diprovokasi oleh elemen berpecahbelah. Pergerakan pemikiran yang mendukung gagasan SAM berorientasikan suara rakyat. Jika ada yang memandang mudah sikap SAM 'yang lantang' menyelongkar budaya cincai, ia satu kegagalan untuk mengerti SAM sebenarnya menyelongkar khazanah minda supaya pihak berkenaan terarah kepada etika kerja bersepadu dan berkualiti. Bersuara selalu disalahertikan sebagai mengambil langkah menentang. Apakah budaya cincai itu satu ekspresi etika yang tepat ketika label kemunduran kekal menyelimuti desa?

Usah pandang serong ketika minda SAM bernada sinikal. Anda, saya dan masyarakat adalah agen sosial yang harus percaya mampu menangkis konflik sosiologi yang menghambat pemupukan kemajuan serta mendangkalkan aspirasi politik telus.

Peranan SAM komited menentang ketidakseimbangan ekonomi, penyimpangan moral politik, kemunduran etika melalui cara uruskerja dan apa saja bentuk kepincangan membabitkan kepentingan rakyat. Sama ada anda orang politik dan kami rakyat biasa, kita harus menjadi masyarakat yang kolektif, bertimbalbalik fungsi dan peranan yang menguntungkan keperkasaan jati bangsa kita. Ingatlah, SAM dan PERGERAKAN PEMIKIR di luar sana, samada ahli politik, aktivis, golongan profesional, pejuang mistikal, perwira atau gembala tanah ladang dan arena samudera, anda dan kita adalah milik bangsa.

JATUH SAMA DIPAPAH, MERANGKAK SAMA TERLUKA, BANGUN SAMA BERJUANG, BERTINDAK SAMA SERUMPUN.

(Kepada organisasi politik yang dihormati, anggaplah SAM sebagai nota rakyat. SAM membantu bukan MEMBANTUT MISI dan VISI. Mohon maaf, mohon ampun jika terkasar bahasa. Anak cucu tumpang belajar.)

Labels:

Sunday, February 15, 2009

Kota Marudu Miskin Kerana Kita Gagal Bersikap Ekstrem?

Saya sudah memikirkan perkara ini dalam diam dan dalam waktu yang cukup lama. Saya halusi lipatan sejarah mana yang mencatatkan bentuk perjuangan yang memilih sikap radikal dan menggunakan akal.

Ada sebahagian kita melihat ada keperluan untuk mengadakan demonstrasi sebagai satu bentuk luahan tidak puas hati kepada pihak tertentu yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Terus terang, anda dan saya berkongsi ketidakselesaan yang bersumberkan rasa tidak puas hati. Kita gagal menyembunyikan beberapa kata-kata keras kepada pemimpin kita. Kita gagal untuk menyembunyikan emosi kita terhadap kemelut prestasi buruk orang politik. Pemimpin tukar pemimpin tapi jejak politik mereka masih kontang idea, maka harga yang perlu dibayar ialah kebuntuan masa depan daerah tercinta .

Ada yang berpendapat kita terlalu bersikap baik. Tidak berani melakukan perubahan. Tidak tahu bertindak radikal dalam menyatakan bantahan. Masih memilih cara berhemah tanpa sikap ekstrem. Maka ada yang berpendapat, hasil daripada sikap ‘berlembut’, Kota Marudu menerima tamparan terlalu hebat kerana telah dihadiahkan dengan label daerah miskin. Fakta jelas merekodkan demikian Label ini menyakitkan. Benarkah Kota Marudu miskin kerana kita gagal bersikap ekstrem/radikal?

Fenomena kekerasan selalu menjadi senjata terbaik untuk memenuhi cita-cita perjuangan Ada yang berjaya tapi berdarah! Kerana kita semua tidak dapat memberikan jaminan sejauh mana keupayaan kita mengekang dan mengawal kuasa emosi. Kebijaksanaan dan keberanian kita tidak perlu ke arah itu. Minda intelek kita tidak kekurangan cara. Bukan memilih untuk terus ‘berlembut’ tapi kita tingkatkan keupayaan. Daripada perasaan BERSATU kepada BERSEPADU.

Saya masih memilih pendekatan bijak dan berhemah. Perlu ingat, masyarakat adalah agen perubahan kepada susunatur sistem politik. Inilah kuasa sebenar yang perlu kita sedar. Era milenium mencetus pemikiran baru anak tempatan. Kita sudah lebih tahu menilai. Semakin celik dalam hak-hak sebagai rakyat. Anak-anak muda mula berani bersuara menggerakkan kekuatan minda mereka. 3 perkara fokus: PEMIKIRAN, KEMATANGAN POLITIK dan TANPA KEKERASAN

PEMIKIRAN- membangun kesedaran memaksimakan idea melalui pelbagai opsyen sedia ada, mencambahkan kematangan minda kepada pelbagai reaksi menjadi tunas bangsa.

KEMATANGAN POLITIK- memperkasakan pemikiran menjadi satu pertarungan idea yang lebih kritis, sarat dengan pelan perlaksanaan termasuk bagaimana kita mengupayakan kekuatan kita membongkar dan memelihara kebijaksanaan intelektual yang terpendam di kalangan anak tempatan.

TANPA KEKERASAN- yakni tanpa melibatkan sebarang bentuk tindak-tanduk ekstrem. Kita usah tawar-menawar dengan cara yang tidak ‘harmonis’ kerana sekali kita memulakannya, kita akan dipertanggungjawabkan melahirkan satu kelompok baru yang tidak memberikan ruang kepada proses diplomasi melalui kekuatan akal.

Mungkin, kita boleh menjadikan sikap radikal (dalam konteks rasional) sebagai salah satu daripada pilihan reaksi kita kepada pemimpin yang tidak tahu ‘begruna’ kepada masyarakat. Namun kita perlu menterjemahkan pernyataan sikap sebegini melalui konsep matang, politik bistari yang tanpa kekerasaan yang dengan sendirinya kita memelihara perasaan harmoni bermasyarakat.

Fikirkan. Susah benarkah kita membuat penilaian 5 tahun pertama perkhidmatan mereka sebagai YB? Jika mereka gagal, mengapa terus ‘buta’ memberikan undi? 5 penggal perkhidmatan mereka lagikah kita terkapai-kapai membuat pertimbangan? Yang peliknya, mereka terus diangkat melalui peti undi. Jika demikian, apakah undi yang kita ‘setia’ berikan terdahulu berbaloi disudahkan oleh aktiviti berdemonstrasi? Kita sebenarnya bukan berdemonstrasi kepada pemimpin berkenaan tetapi terhadap diri kita sendiri! Pemimpin politik bukan lantikan yang boleh disamakan dengan kriteria Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. TANGAN kita yang MENGIZINKAN mereka berkuasa!! Tangan kita yang sebenarnya membenarkan kemiskinan terus membelengu Kota Marudu. Kita bukan setakat perlu bersatu tapi perlu BERSEPADU untuk singkirkan mereka yang tidak cintakan kemajuan.

Usah membalas kekerasan dengan kekerasan. Semua elemen kemasyarakatan harus kekal, kita sepakati dari bahu ke bahu, sama-sama tekad membangun tanpa merosakkan moral dan etika kehidupan kerana kekerasan itu bukan SATU-SATUNYA cara mengemukan pendapat. Dialog dan ‘pertarungan’ idea lebih menjadikan kita sebagai masyarakat kompetetif. Banyak sebab perjuangan, kita sanggup mati, tapi kita tiada sebab untuk melakukan perjuangan berdarah. Perjuangan begini sudah lama berlalu. Dulu kita mempertahankan tanah air. Demonstrasi sana sini untuk menunjukkan perpaduan bangsa. Era itu kita sudah lalui. Kini, yang kita perjuangkan ialah MASA DEPAN rakyat yang hidup di negara merdeka. Kekuatan LUARBIASA yang kita miliki sekarang ialah KITA SUSUN dan ATUR organisasi politik orang kita. Jika yang baik maka kekalkan kebaikan. Tukar jika perlu tukar. Angkat golongan yang berfikiran jelas terhadap aspirasi rakyat. Angkat dan kita pacu semangat ke cakerawala, beritahu kepada mereka yang sudah lama ‘berkuasa’ bahawa kita tidak kekurangan individu yang memiliki idea lebih baik daripada orang politik ini.

Mahatma Ghandi pernah mengatakan ‘KEBENARAN adalah senjata paling ampuh daripada apa jua senjata kemusnahan’.

Labels:

Wednesday, June 11, 2008

Kerajaan Persekutuan: RM1 Billion Untuk Sabah

Pernah suatu ketika dulu, dalam satu gurauan rakan-rakan "Apakah yang anda buat dengan wang 1 juta?" Dengan sejumlah wang itu, kami berkongsi jenaka dengan pelbagai mimpi-mimpi yang indah, cita-cita besar untuk majukan keluarga, kampung, apa sahaja yang mampu menguntungkan generasi masa depan dan pelbagai lagi reaksi terhadap kehidupan elit yang dinikmatikan oleh orang kaya tidak terlepas menjadi impian kami juga (namun jauh di lubuk hati, tetap ada bisik kalaulah ada peluang memiliki wang sebanyak itu *hmm*). Seperti lega seketika semacam perasaan seronok meraja di hati dikerjakan oleh angan-angan yang lebih tinggi dari Gunung Kinabalu, membuak semangat ke cakerawala berbintang-bintang. Haha.. Kemudian terdiam seketika.. beberapa lama.. melayan emosi yang sayup bergema entah dari arah mana, bersuara perlahan-lahan mendekat ke sanubari 'selamat kembali ke bumi'...
Itu baru beberapa angan-angan yang mampu kami mimpikan. Itupun dapat dirancang-rancang dalam minda sesuatu harapan yang berguna untuk masa depan. Cuma bezanya, itu cuma sebuah cerita yang tidak berkesudahan. Akhirnya perasaan kasihan pada diri sendiri mengakhiri deretan kisah dongeng. Mimpi sampai di situ sahaja.
Hari ini, MICKEY'S CORNER ingin membuat anjakkan persoalan tersebut ke satu tahap untuk merelevensikan harapan dan masa depan rakyat Sabah. 'Apakah yang Sabah akan lakukan dengan sejumlah wang 1 Billion Ringgit Malaysia??' Kali ini, RM1 billion bukan baru diangan-angankan (malah dua puluh kali ganda jauhnya jumlah wang yang anak-anak muda itu angan-angankan) sebagai hadiah daripada kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan sejumlah wang itu kepada kerajan Negeri Sabah untuk tujuan memacu infrustruktur dan soiso ekonomi termasuk mengendalikan beberapa isu yang kronik seperti isu PATI. Pasti pengumuman sejumlah wang seperti itu sudah mula membuatkan segelintir pihak tidak senang duduk. Sangat ramai yang mampu melihat itu satu peluang yang sangat baik untuk rakyat Sabah namun MENTALITI akan menentukan sejauh mana makna "peluang" itu diklasifikasikan mengikut variasi hala tuju, identiti cita-cita, dan kepentingan mengikut standard moral dan etika pengurusan.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita ada kerajaan yang kita wakilkan melalui undi. Sejumlah besar personaliti yang kini bergelar Yang Berhormat adalah institusi yang bertanggungjawab terhadap segala saluran yang memberikan justifikasi masa depan negeri Sabah. Sebelum ini saya ada bercakap dan bertanyakan mengenai sejauh mana perkembangan N5. Tandek setakat ini dan hala tuju kepimpinan YB Puan Anita Baranting (maaf kalau saya terlepas jika ada gelaran kerajaan negeri). Apakah peranan YB N5.Tandek untuk menjadi sebahagian daripada perancangan RM1 billion ini?? Bonus berganda jika diambil kira perancangan DEB dan Rancangan Malaysia ke-9 termasuklah juga suntikan inisiatif kerajaan negeri yang sudah diperuntukkan untuk setiap kawasan pilihanraya. Bagaimana peluang yang terbuka luas ini masih tidak mampu diterjemah oleh Yang Berhormat dalam etika dan budaya pengurusan yang boleh mengangkat dirinya sebagai 'lagenda kemajuan' (kemajuan dalam ertikata BERHEMAH) yang sentiasa diingati masyarakat?? Pepatah mengatakan 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'.
Jika diikutkan kawasan pilihanraya Negeri Sabah, kita mempunyai sejumlah 48 kawasan DUN. Logik mudah mengikut perkiraan matematik (dulu-dulukan saya la yang paling buduh dalam ilmu hisab ni sampai subjeknya pun saya panggil matikmatik.. haha kasian. Untuk menambahkan derita haku nie sampai la sekarang tunggang langgang juga la. Nasib baik terima gaji tau pula sukup ka inda sukup jumlah dia.. hehe) Sejumlah RM 1 billion dibahagikan sama rata mengikut jumlah kawasan DUN, dan jika ini diterima pakai mengikut bajet dan perancangan yang diluluskan, kawasan DUN N5.Tandek sepatutnya boleh mendapat lebih kurang RM20-30 juta. (Haiya susah kira2 nie.. fening kefala. Tulung kasi betul sya) Apa-apa la jumlah dia tapi lebih kurang juga macam tu la kan. Jumlah sebanyak ini mampu memacu kemajuan N5.Tandek tanpa sebarang alasan dan keragu-raguan!!!. Jangan pula lepas ni jalan kampung masih 'grabble' tapi kereta besar bertambah di halaman rumah. Jangan ulangi kesilapan YB yang sudah lepas.
Saya tertanya-tanya juga apa akan terjadi dengan Negeri Sabah amnya dan di N5.Tandek khususnya selepas suntikan RM1 Billion dari Kerajaan Persekutuan. Bagaimanakah para YB kita menangani dua kekuatan yang memberi impak tanpa batas iaitu KUASA WANG dan KUASA POLITIK dalam satu hasrat, hala tuju, cita-cita dan misi dan visi pengurusan masa depan. Bukan mudah memegang tanggungjawab bila diberi peluang untuk BERKUASA.
YB Puan Anita Baranting, naluri keibuan biasanya memiliki naluri yang mempunyai sentuhan dan daya inspirasi yang memberikan momentum kepada anjakan paradigma perancangan keluarga kepada konteks lebih besar iaitu dalam satu keluarga masyarakat seluruh kawasan N5.Tandek. Kami perlukan dinamika Puan sebagai ibu yang kasihankan masa depan anak-anak.. Kami perlukan impian teratur Puan sebagai seorang ibu dan kami ingin berkongsi dengan suka duka dan doa di jari Puan sebagaimana para ibu-ibu kami berkongsi rasa dan tangisan di celah jemarinya setiap kali berdoa untuk kesejahteraan anak-anaknya... Berikan kami sinar.. Berikan kami cahaya kerana kami sudah lama teraba-raba di bumi sendiri.

Labels:

Tuesday, June 03, 2008

Dari Minda Kimaragang: Apa Khabar Yang Berhormat N5. TANDEK??

Pilihanraya sudah berlalu. Beberapa bulan melewati hari kemenangan YB, pasti YB sudah membuat pemantauan dan beberapa siri lawatan ke pelusuk N5.Tandek yang sempat YB lawat. Adakah YB merakamkan beberapa nota penting mengikut keperluan kampung atau pekan untuk diberi perhatian perancangan YB seterusnya. Bagaimana dengan pembangunan pendidikan dan kesihatan desa? Jalan-jalan kampung? Sekolah-sekolah di pedalaman? Atau apakah telah dilakukan penaiktarafan infrustruktur sedia ada? Pembangunan sukan bagaimana? Program pembangunan belia untuk menjana modal insan? Apakah perancangan YB untuk mewujudkan peluang perniagaan kepada para pengusaha dan peniaga kecil-kecilan seperti penyediaan kemudahan tapak atau sebagainya? Ada apa-apa idea untuk membangunkan tanah terbiar untuk diusahakan secara komersil? Atau membawa masuk teknologi dalam usaha merancakkan pengetahuan pertanian dan cara bertani moden. Tempat-tempat menarik untuk dijadikan eko-pelancongan dan dimasukkan dalam pakej pelancongan nasional? N5. Tandek sudah lama terlena. Pergilah.. dan kejutkan tidurnya. Berikan kemeriahan dan nafas tanpa menjejaskan landskapnya.

Mungkin YB buat waktu ini sibuk dengan pesta Ka'amatan. Elok juga sebab YB boleh mendengar keluhan-keluhan di sebalik wajah-wajah desa sementara berkongsi kegembiraan dengan para petani yang selesai menuai. Selamat menyambut Pesta Menuai YB.

Kami tahu tugas YB sangat berat namun tidaklah sesukar mana jika YB cintakan kemajuan. Kasihankan kesengsaraan rakyat. YB cuma perlu menyuarakan idea di DUN bagi pihak rakyat amnya, N5.Tandek khususnya. Dapatkan bajet, bentangkan di DUN, perjuangkan idea, dapatkan reaksi dan susulan dari menteri berkaitan, mainkan peranan sehingga idea pembangunan desa yang dirancang bagi kawasan N5. Tandek mendapat kelulusan dan selepas itu buat susulan kerja dan siapkan untuk dimanafaatkan oleh seluruh warga N5. Tandek. Seluruh kawasan N5.Tandek perlukan perhatian.

Bila Bajet diluluskan, usah congak komisen yang bakal diperolehi atau membuat kira-kira untung poket selepas perlaksanaan projek. YB, bukan kami tidak tahu atau memahami cara begitu tapi kali ini cukup la dulu usaha sebegitu. Buatlah perancangan ikhlas. Era milenium serba pantas, bangunkan kawasan mengikut standard wawasan 2020.

Gaji YB RM5000 untuk penggal pertama menang pilihanraya dan akan terus meningkat jika memenangi pilihanraya seterusnya. Tidak termasuk elaun dan beberapa insentif lain. Beruntung YB. Itu rezeki YB yang kami tidak akan pertikaikan. Hanya ini yang kami harapkan dari YB iaitu YB cuma perlu menjelmakan idea kerana YB dipilih melalui undi dengan harapan YB berkemampuan dari segi karisma dan tanggungjawab. Cari idea, rancang dengan rapi, bangunkan kawasan N5 Tandek. Kawasan YB sudah basah berendam dengan air mata malah sudah bertahun lamanya tangisan itu. Gunakan peruntukan dengan cara yang betul. Hanya itu saja YB. Itu saja...

Gerakkan pejabat daerah atau setidak-tidaknya anak-anak muda yang selesai persekolahan atau para graduan yang belum bekerja. Jana bakat dan gunakan tenaga, bentukkan kumpulan kerja bersepadu. Jangan tubuh apa-apa 'suruhanjaya'. Semakin banyak kaunter, semakin banyak karenah birokrasi. Di peringkat persekutuan, kita ada wakil yang memudahkan saluran lebih dekat ke meja Perdana Menteri.

Bukan dari duit YB pun untuk menjana kemajuan. Rancangan Malaysia ke-9 sudah lama menanti untuk dimanafaatkan. Ambil peluang itu YB!

Labels: