TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, March 09, 2009

Catatan Kimaragang: Hanya Sebuah Kisah Kecil

Ada banyak kisah yang memupuk tauladan. Kisah kebijaksanaan kecil ini yang walaupun sekadar sebuah kisah, impaknya boleh mengembang manjadi satu daripada tunjang sejarah bangsa-bangsa yang perkasa. Siapa sangka kisah si kecil Hang Nadim yang sekadar mengusulkan idea berbentengkan batang pisang menyelamatkan Singapura dilanggar todak.

Izinkan saya menyentuh sebuah kisah kecil, seorang bijaksana yang berpesan kepada dua orang anaknya. Sebelum itu, jika anda ditanya, "Bagaimanakah caranya menjadi KAYA?" Setiap kita mempunyai menifestasi tersendiri dalam mengetengahkan konsep kaya yakni jika tidakpun kaya harta tapi kaya ilmu, kaya etika, kaya jati diri, kaya budi, kaya akhlak, kaya bahasa, atau kaya sifat insani. Atau persoalannya "Apakah kita memiliki satu ramuan khusus untuk menjadi kaya untuk dikongsikan kepada anak-anak bangsa?". Alkisah orang tua bijaksana ini meninggalkan harta kekayaan dengan satu pesan kepada dua orang anaknya. "Jika kamu menjadi kaya, lakukan la tiga perkara ini. Pergi kerja JANGAN KENA MATAHARI, MAKAN PUAS-PUAS dan TIDUR PUAS-PUAS".

Anak pertama mempunyai cara tersendiri dalam mengaplikasikan nasihat ini. Dengan kekayaan yang ada, sememangnya tidak mempunyai masalah untuk merealisasikan semua pesan tersebut. Apa yang dilakukannya? Nasihat pertama, pergi kerja JANGAN KENA MATAHARI. Dia memikirkan yang grand dalam menjana idea. Untuk mengelakkan daripada terkena matahari, Sepanjang laluannya ke tempat kerja dibina bumbung bagi mengelakkan terik matahari dan hujan. Berjalan la anak muda ini dengan bangga. Tapi kekayaannya semakin menyusut kerana kos pembinaan laluan yang tinggi. Anak muda ini fikir, nasihat pertama ayahnya tidak berguna. 'Mungkin nasihat ke dua MAKAN PUAS-PUAS akan menjadikannya lebih kaya' fikir anak muda ini. Lalu mula la berbelanja dengan makanan yang sedap-sedap. Di mana restoran atau hotel yang menyajikan masakan yangsedap-sedap, di situ anak muda ini berada menikmati hidangan tanpa had. Hasilnya tidak juga kaya-kaya. 'Nasihat ini juga tidak berguna' fikirnya lagi. Nasihat ke tiga adalah usaha terakhirnya untuk menjadi kaya. TIDUR PUAS-PUAS. Maka mula la dia berbelanja menghias biliknya dengan katil berjenama import. Tebal dan menyelesakan. Tidak puas dengan dreamland tukar pula ke jenama lain. Tidur tetap nyenyak tapi kekayaan yang dimilikinya sudah susut dan akhirnya hidup miskin.

Anak kedua mempunyai idea lain. Idea sederhana dan konvensional. Dia pergi kerja seawal jam 4-5 pagi. Hari masih gelap. Tanpa banyak merungut dia keluar kerja ketika orang lain masih tidur. Bila sehari suntuk bekerja dengan daya yang bersungguh-sungguh, anak muda ini tidak sedar hari sudah gelap. Dengan keadaan yang sangat lapar dan letih, dia pulang ketika lampu jalan sudah mulai menerangi alam. Setiba di rumah, oleh kerana sangat lapar, nasi yang tinggal pagi tadi (topod) dimakannya bersama ikan masin sepuas-puasnya. Tetap bahagia hatinya. Selesai makan, badannya yang keletihan perlukan rehat yang cukup. Lalu dia menghamparkan bidai, tidak peduli sekalipun di ruang tamu, lalu membaringkan badannya dan tidur la anak muda ini sepuas-puasnya. Inilah yang dilakukan oleh anak muda ini saban hari. Harta kekayaan peninggalan ayahnya tidak terusik sedikit pun malah kesungguhannya dalam mencari rezeki memberikan rahmat berkelimpahan dan menjadi seorang kaya yang sederhana dalam hidupnya.

Kisah ini sampai di sini sahaja. Anak muda yang bijak ini meninggalkan kepada kita satu kebiasaan yang sederhana tetapi membawa satu pesan masa depan yang sangat berguna dalam mengaplikasikan attitude. Barangkali kita tidak perlu bercakap mengenai kekayaan semata-mata. Sama ada harta banyak atau tidak memiliki kesenangan hidup, kehidupan tetap satu pemberian yang tidak ternilai di samping cara pembawaan kita menjadi penentu kepada persepsi kehidupan di antara bangsa-bangsa. Memperkasakan bangsa tidak bergantung semata-mata kepada sejauh mana anda berharta. Lebih daripada itu, kekuatan dalam menyemai disiplin atursusun kehidupan yang diurus melalui akal yang dinamik dan membudayakannya dengan hiasan rohani, intelek serta jelas di dalam misi dan visi. Kekuatan akal akan dapat mengubah keterampilan insani, sikap dan tindakan. Suburkan daya fikir kita dengan kerendahan hati di hadapan-Nya dalam menikmati ilmu pengetahuan sambil bersulamkan nasihat para bijaksana dan pesan ibu bapa. Kuasa akal membangun kendiri. Akal yang gagal atau sengaja tidak digunakan sepenuhnya akan menjadi musuh kepada kejayaan menjana kualiti bangsa.

Minda yang baik menghasilkan pilihan yang baik. Pilihan yang baik akan menghasilkan kualiti yang merangsang integrasi interpersonal dan logik bermasyarakat.

"NO INTELECTUAL PAIN, NO INTELECTUAL GAIN"

Oleh itu - kerja jangan kena matahari, makan puas-puas dan tidur la puas-puas. Nescaya kisah kecil ini mengejutkan juga lena bangsa.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home