TINGKALANON - TANDEK - MORION

Friday, March 20, 2009

Dari Cerobong Desa:' Apa Guna Kemenangan Kalau Rakyat Tidak Gembira'

Kemenangan Parti PBS dalam pilihanraya baru-baru ini khususnya di N5. Tandek disambut dengan nada yang berlainan. Tidak seperti sebelum ini. Sekalipun masih ramai yang melihat parti 'kesayangan' ini perlu menang setiap kali pilihanraya, warga desa mulai memperlihatkan rasa tidak senang dengan layanan politik terhadap undi mereka yang seperti tidak juga dihargai dengan komitmen yang wajar.

Saya tidak perlu lagi menyingkap sejarah PBS di Tandek kerana umum lebih mengetahui dan menikmati sendiri pengalaman perjuangan parti tersebut sejak kejatuhan Parti BERJAYA. Biar la saya katakan berdasarkan pengalaman saya sendiri bahawa rakyat pernah 'tutup mata' begitu sahaja dalam mempastikan kemenangan calon PBS di Tandek. Rakyat tidak pernah ambil tahu parti lain atau siapa calon di luar daripada parti PBS. Rakyat pernah sayang tidak berbelah bagi dalam memberikan sokongan total. Tidak ada perkara lain yang rakyat mahu lakukan setiap kali pengumuman kemenangan calon PBS selain meraihkan dengan penuh kesyukuran dan rasa kelegaan yang sangat mendalam. Tandek ini kebal dengan semangat kesetiaan dan dibuktikan dalam beberapa siri pilihanraya sejak tahun 1986.

Sesuatu yang menyedihkan bila kekuatan semangat seperti ini seolah-olah Tandek mempunyai akal 'primitif' yang seperti hanya tahu memberikan undi dan tidak mahu tahu apa keperluannya mereka mengundi. Orang politik kita senang. Mereka tidak pernah gusar kerana mereka tahu mengenai Tandek. Tandek tidak pernah ada sejarah menentang. Tandek tidak pernah ada sejarah berpiket. Tandek tidak pernah ada sejarah melakukan kekerasan dalam menuntut hak. Ini kerana Tandek kaya dengan sifat mulia seperti kerendahan hati, berlembut dan tinggi rasa hormat. Keharmonian selama ini yang menjadi payung masyarakat juga semata-mata kerana lahir daripada keikhlasan bermasyarakat. Kukuh rasa kekitaan. Sehinggakan terbawa-bawa kepada perasaan bersatu dalam satu wadah politik. Ini membuatkan orang politik kita 'buta bakti'. Seolah-olah orang kampung tidak akan bertanya kembali apa bentuk perkhidmatan mereka selama menjadi Yang Berhormat. Sifat senyap orang kampung yang sekadar santai-santai dengan rungutan menjadikan YB kita tidak pernah rasa terancam kedudukan. Kalau ada suara tertentu bangkit, mereka dalam politik tidak biasa dan mulai menjatuhkan orang ini atas alasan itu suara pembangkang. Yang orang politik suka ialah rakyat yang tidak mahu bertanya apa yang sudah dilakukan untuk kawasan pilihanraya. Mereka suka rakyat kekal senyap, kekal 'buta melihat'. Kekal dengan kesetiaan. Maka mereka bangga dengan status KUBU KUAT. Dalam sejarah politik malaysia, terus terang saya katakan TANDEK menjadi sebut-sebutan KUBU KUAT Barisan Nasional (PBS). Luar biasa label yang diberikan kepada Tandek.

Harapan demi harapan terus disandarkan kepada PBS. Kemenangan Dr. Max melonjak semangat, menjadi satu saluran baru kepada suara rakyat khususnya di Tandek. Kerana apa? Dr. Max sendiri memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PBS dan sebagai pembantu kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu. Di tambah lagi dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Baru-baru ini dilantik ke jawatan menteri penuh. Maka rakyat mulai memandang status Tandek boleh mendapat perhatian mudah dari segi pembangunan dan landskap kawasan. Namun Tandek tetap sama. Malah semakin terabai. Sudah tidak ada lagi majlis bersama rakyat di adakan di dewan Tandek. Kali terakhir dewan Tandek digunakan, menjadi tempat 'kurungan' bantuan khas kepada rakyat umpamanya zink, jentera pembajak (kubota), mesin pemotong rumput, gas dan tempat memasak. Orang kampung pernah menyerbu dewan semata-mata kerana bantuan tersebut 'dibekukan' sehingga banyak perkara 'melucukan' menjadi bualan.

Penggal kedua Datuk Max, Tandek semakin lesu. Suram. Orang Tandek sendiri jika ditanya ke mana hendak pergi jawab mereka 'Bandau'. Apa sahaja barang keperluan, Bandau. Tandek semakin sunyi. Tandek seakan-akan merajuk. Rumput mulai meliar tinggi, menjadi semak yang menyakitkan mata. Wajahnya mulai rosak, bersembunyi daripada keindahan asal Halamannya kini menjadi tumpuan haiwan melata. Kerbau, lembu sudah tahu itu kawasan yang tidak dipedulikan manusia.

Dari tahun 1994, sebenarnya sudah ada suara mahu Tandek terus diberikan perhatian. Ada suara untuk 'MEMERDEKAKAN' Tandek. Ramai yang mahu Tandek dikembalikan kepada anak watan Tandek. Namun mereka ini dianggap pembangkang. Diugut melalui beberapa saluran. Kalau boleh mereka mahu suara ini mati begitu sahaja. Penggal ketiga (PRU 12) ada percubaan Datuk Dr. Max di Tandek, beliau berkeras untuk terus memegang dua kawasan, Parlimen Kota Marudu dan sebagai ADUN. Hasrat beliau ditentang kerana rakyat mulai marah. Datuk Max tidak dilihat sebagai orang tempatan. Selain daripada itu Datuk Max sendiri gagal dalam menangani isu kemuraman Tandek. Akhirnya Datuk Max mengalah tapi kemudian memilih proxinya, Puan Anita Baranting menjadi calon PBS. Pemilihan Puan Anita juga tidak disenangi kerana beliau bukan anak tempatan Tandek. Ia sekadar meneruskan legasi Datuk Max yang gagal mengangkat Tandek.

Pilihanraya ke-12 menyaksikan kemenangan Puan Anita tidak diraihkan dengan perasaan gembira. Kemenangannya semata-mata kerana sentimen sayangkan parti. Bantahan rakyat mulai terlihat melalui sokongan yang diperolehi oleh pihak pembangkang terutamanya PKR. Sangat jarang sekali ada sejarah dalam Tandek, calon pembangkang menang dengan jumlah undi melebihi 2 ribu. Selalunya akan hilang wang deposit. Kemunculan sulung Puan Anita menjadi gurauan. Ke mana sahaja beliau pergi, rakyat tersenyum sinis. Ditambah lagi dengan karekter yang tidak mesra kepada rakyat Tandek. Pekan Tandek terus malap. Beliau lebih banyak menjalankan program bersifat 'Tandek' di Kota Marudu. Hampir setahun perkhidmatan Puan Anita, Kota Marudu terus menjadi tumpuan apa sahaja majlis berkaitan Tandek manakala Pekan Tandek terus tengelam oleh semak samun menjadi sebuah kawasan yang menakutkan pada waktu malam. Kawasan sekitar semakin tidak terurus. Para peniaga (tokeh asal Tandek) mulai merungut bisnes down. Ada yang memindahkan operasi ke Kota Marudu dan menjadi humango Bandau atau taikun (ahli perniagaan berpengaruh). Tidak ada apa lagi potensi perniagaan di Tandek. Keadaan ini mencetuskan fenomena 'lusuh' mewarnai Pekan Tandek. Suara-suara popular mengatakan 'Satu penggal sahaja'. Tidak mengapa kali ini PBS menang. Sudah terlajak memberikan kemenangan kepada Puan Anita. Kalau Tandek begitu juga dan pendekatan Anita adalah kesinambungan ragam politik Dr. Max, PBS akan kehilangan cengkaman di Tandek. Rakyat tidak akan setia selamanya.

Ada beberapa anak muda bangkit berjuang untuk Tandek tetapi 'dicantas'. Datuk Max dan Puan Anita memasang strategi yang cuba melembutkan emosi warga Tandek. Mereka melantik orang Tandek ke jawatan PKR. Mengetengahkan orang Tandek dalam organisasi Pemuda PBS. Agak malang, Pemuda PBS menyalahkan warga Tandek atas kelesuan Pekan Tandek. Itu bukan salah pemimpin. Kata mereka itu salah rakyat. Salah orang Tandek sendiri kerana tidak mahu memajukan kawasan sendiri. Pemuda PBS perlu menjawab kepada warga Tandek atas kenyataan dangkal tersebut. Benarkah itu salah orang Tandek?

'Tiada guna kemenangan kalau rakyat tidak gembira". Jangan salahkan orang Tandek bila mereka sudah berputus asa. Rakyat sudah mulai hilang keyakinan. Tandek tidak hanya memiliki intelek di dalam organisasi Pemuda PBSnya. Di luar sana, para pemuda yang tidak berorganisasi tidak kurang intelek berganding bersama dengan suara-suara desa, memiliki kualiti bergabung mengorganisasikan pemikiran mereka yang jelas untuk bersatu DEMI Tandek. Mereka ini menikmati pengalaman dipimpin oleh sejarah yang menyedihkan. Mereka sudah cukup sabar. Orang Tandek belum BERBANGGA dan BERTUAH kalau ditanya tentang N5. Tandek.

5 Comments:

Blogger RumbiaMasolog said...

Go LM... lets show our strength... Tandek for Tandek.... for our future for our pride...

9:35 AM  
Blogger dardie said...

LM,

Kalaulah coretan ini dapat dibaca dan direnungkan oleh semua rakyat Tandek, saya dengan penuh keyakinan percaya bahawa ini akan membuka kembali minda mereka..saya juga turut percaya bahawa PRU-13 nanti pasti akan memperlihatkan perubahan daripada segi undian..ini pasti berlaku..tapi, sebagai rakyat yang prihatin terhadap keadaan ini, peranan kita adalah menyampaikan coretan ini secara lisan..kita ada masa untuk menyampaikan kesedaran kepada mereka..

Pada saya, saya tidak mahu memihak kepada pro-kerajaan atau pro-pembangkang...saya mahu memihak kepada pemimpin yang mahu melihat kepada aspek keseluruhan di kawasannya..

Pasti, selepas ini ada suara sekali lagi yang akan menyalahkan rakyat..tapi, saya setuju dengan saudara LM, apakah rakyat yang dipersalahkan dengan keadaan tempat saudara (Tandek) sekarang???..

Saya yakin, kalau Tandek itu dihidupkan semula..lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan, lebih banyak lagi perubahan ekonomi setempat yang akan berlaku..Memang Pekan K.Marudu itu ada sedikit perubahan, tapi Tandek juga perlukan suntikan perubahan itu..

Suara Rakyat.

10:14 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Rumbia,
Ya, kita risau dengan masa depan Tandek. Yang kita harapkan, semoga dorang dapat sedikit info apa orang kampung fikir. We have to show our true colour.... We fear because we CARE.

Dardie,
Ini la yang kita harapkan. Biar kedua-dua belah pihak saling sedar dan menyedari. Sampai bila warga Tandek memberikan ruang kepada sikap senyap semata-mata mau menjaga hati? Saya lebih suka memilih MARAH-MARAH SAYANG. Kalau tidak kena peduli juga, jangan salahkan rakyat Tandek melempiaskan KEMARAHAN melalui kertas undi.

10:43 AM  
Blogger Raja Mogudan said...

saya cadangkan di adakan pilihanraya olok2 untuk N.5 Tandek dan P.168 Kota Marudu untuk persediaan PRU13 akan datang

11:46 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

Entah la kalau orang kampung kita tau apa macam merelevansikan pilihanraya olok-olok dengan 'suara hati' mereka yang sebenar...

3:20 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home