TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, March 10, 2009

Sungai Tingkalanon Dan Mitosnya

Sekalipun kami tidak tinggal di kawasan kawalaian (perumahan) Kg. Tingkalanon (mendiang bapa membina rumah atas tanah sendiri) dan jauh daripada kelompok masyarakat yang begitu meriah, mesra dan bersatu-padu, tetapi itu tidak pernah menghalang saya daripada 'bermanja-manja' dengan kampung sendiri. Saya kadang-kadang cemburu melihat anak-anak kecil Tingkalanon begitu 'cantik' gurauan sesama sendiri mereka berkongsi permainan tradisi, seperti bermain bedes, guli, tubau atau menerbangkan layang-layang yang selalu tidak menjadi. Kisah aman Somoto yang saya kagumi kebijaksanaan menghiburkan rakan-rakan, titikan kulintangan sdr. Josep Majuna yang mengasyikkan, ketangkasan sdr. Mailon Pawai dalam gerak seni Garuda Emas (nama asal Seni Tinjauan), termasuk la kerendahan hati seorang ketua kampung Aki Pawai yang sentiasa bijak dan bernas menyelesaikan masalah penduduk. Ramai lagi individu yang tidak sempat saya tulis di sini. Saya banyak bertanya kepada bapa apa sahaja berkaitan dengan Tingkalanon kerana ini sahaja la satu-satunya cara saya merasakan diri bersatu teguh dengan kominiti lain sebagai anak Tingkalanon.

Alkisah, mitos ini begitu mengkagumkan saya. Saya sentiasa mengharapkan dapat bertembung dengan salah satu mitos ini.

Mitos pertama, RAJA BATU. Mengikut cerita bapa, sekali dalam setiap 10 tahun(?) akan turun Raja Batu mandi di sungai Tingkalanon pada waktu bulan mengembang penuh. Bila dikisahkan bapa pernah menyaksikan kejadian 'pelik' ini semasa muda dulu. Menurut bapa, bila Raja Batu turun mandi, air sungai mendidih keras dan beratus-ratus batu-batu berloncatan dalam satu tempat itu sahaja. Kata bapa, sesiapa yang berkesempatan 'mandi' bersama Raja Batu akan memberikan 'kelebihan' kepada badan. Caranya ialah dengan masuk di di antara batu-batu itu dan mandi bersama 'mahkluk' tersebut. Ternganga mulut saya mendengar kisah ini. Saya suatu ketika dulu sekali sekala datang ke sungai Tingkalanon di tempat yang dikisahkan bapa semata-mata mahu mencuba 'nasib baik' untung-untung dapat menyaksikan sendiri peristiwa tersebut. Sehingga sekarang cerita itu tinggal kenangan. Sungai Tingkalanon dulu jernih dan dalam. Sekarang, sudah jauh daripada rupa asal.

Mitos kedua, NAGA. Berdekatan dengan lokasi Raja Batu mandi, ada sebatang kayu besar sebesar 2-3 pemeluk merentangi sungai. Kononnya, pernah juga orang 'menakik' kayu tersebut dengan dangol dan mengeluarkan air berwarna seperti darah. Pada suatu malam, datang liyud (banjir besar) dan esok paginya kayu itu hilang. Ada yang mengatakan kayu itu adalah Naga yang sedang bertapa dan bila datang banjir besar, kebetulan Naga itu sudah habis bertapa dan menyusur liyud keluar dari tempat persembunyian. Sangat menghairankan, kayu yang kedua-dua hujungnya tertanam kukuh di celah-celah tanah dan rekahan batu boleh hilang begitu sahaja.

Mitos ketiga, Harta Karun. Zaman Jepun dulu semasa menakhluk Malaya, tentera Jepun pernah sampai ke Kg. Tingkalanon dan bercampur gaul dengan masyarakat. Kekalahan mereka dalam perang dunia-2 memaksa mereka kembali ke tanah lahir. Masalah mereka ialah harta terkumpul tidak dapat dibawa balik. Lalu mereka mengambil keputusan menanam harta karun tersebut dan menimbusnya dengan sebiji batu yang sangat besar. Ada usaha pihak-pihak tertentu cuba melakukan carigali tetapi tidak berjaya. Usaha ini kemudian dihentikan atas nasihat ketua kampung kerana banyak masalah timbul semasa cuba menggali 'harta karun' tersebut. Sehingga kini, 'harta karun' terus menjadi bualan tetapi tidak ada sesiapa lagi yang berani mengusik tempat tersebut.

Ketiga-tiga mitos ini lokasinya adalah di tempat yang sama. Jika anda ingin mengetahuinya, anda boleh melihat dalam peta, terdapat satu lekuk atau 'ladam' yang terbentuk. Di situlah tempatnya. Di sana, airnya dulu dalam dan jernih. Tempat orang kampung managou, bermandi manda atau menjala ikan. Tempat itu juga dikatakan bekas pertapaan orang-orang dulu. Kawasan tersebut ketika dahulu saya melalui tempat ini, sangat berbau harum. Mengikut orang-orang tua, kawasan yang berbau harum adalah sangat sesuai untuk tujuan pertapaan. Jika entri saya sebelum ini, rumpun bambu yang pernah 'mengganggu' orang juga berdekatan dengan lokasi ini. Kawasan hutan sekitarnya juga adalah hutan asal atau hutan dara yang belum pernah lagi 'ditoreh' oleh aktiviti penebangan atau pembangunan.

Sekarang ini sudah ada perubahan bentuk muka bumi akibat keperluan sara hidup dan permintaan pasaran seperti penanaman getah berkelompok dan kelapa sawit. saya masih berharap kawasan hutan tidak 'diasak' sesuka hati secara melampau-lampau. Kesedaran akan kepentingan penanaman berbentuk komersil penting tapi perlu diurus secara teratur. Lindungi hutan kita. Itu khazanah tidak terhingga. Sumber ubat-ubatan, meramu akar, kayu-kayan atau aktiviti memburu (secara terkawal), di sana juga kita pergi.

Saya percaya, para pembaca mempunyai kenangan tersendiri di Tingkalanon. hehe

2 Comments:

Blogger AragangTandik said...

Sangat setuju tentang usaha mengekalkan hutan dara - khazanah kita, terutama sekali di Tingkalanon. Harapan saya ada usaha memetakan sebahagian hutan sebagai hutan kekal (hutan simpan). Sungai Tingkalanon adalah sungai tempat aku kecil2 dulu bermandi manda dan bermain-main.

11:21 AM  
Blogger Little Mike (LM) said...

aragangTandik,
iya, khazanah alam patut kekal dan diurus dengan baik. Jika ada bahagian yg perlu dibangun untuk memajukan desa, perlu ada perancangan yang tidak memeningkan nanti pada masa akan datang. Sungai Tingkalanon itu juga tempat saya mandi 'membuang sial' tangah-tangah malam setiap kali menjelang tahun baru. Tapi sya 'buang sial' sekali itu sahaja... Tapi itu tahun 80-an lagi.. sekarang mcm teda suda kena buat... di telan masa.

1:28 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home