TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, July 13, 2010

S-esak A-ku M-emikirkannya: Menjenguk Wajah Sungai Tingkalanon

Dua tiga peristiwa berlaku sejak kebelakangan ini. Salah satu peristiwa berkenaan mempengaruhi landskap Sungai Tingkalanon. Inilah wajahnya. Gambar ini dirakam menggunakan kamera telefon NOKIA 3 bulan lepas. Atas cadangan saudara presiden SAM, Sanguru, maka saya uploadkan gambar ini untuk tatapan dan renung-renungkanlah.

Dulu, Sungai ini dalam, tempat menangguk air buat bekal masak dan sebarang persediaan lain. Tempat ini juga kami seisi keluarga berkongsi dengan keluarga lain sepanjang sungai ini melalui kampung-kampung, untuk membasuh pakaian sambil bergurau senda, suatu keadaan yang tidak pernah gagal memperbaharui silaturahim.

Hari ini, sungai hampir mati. Sepi. Lengang daripada sapaan mesra. Menghadkan sedia kala waktu yang dihambat kesibukan. Di perbukitan sana ada cerita yang tidak menyenangkan. Saya menganggap 'tidak menyenangkan' kerana di tanah rata sudah terasa rimas dan tidak selesa dengan perkembangan ini. Tuan-tuan dan puan-puan, fikirkanlah hayat sungai ini. Ini baru sungai ceritanya. Tadahan air? Kitaran habitat? flora dan fauna? alam sekitar?

Harap pihak yang berkenaan ambil tahu SEMUA ASPEK - saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua untuk cerna maksudnya. SALAM SAM....

Wednesday, March 03, 2010

Tinta Sosiologi: Mengubah Konflik Menjadi Sejarah Kebangkitan

Manusia nadi sejarah. Sejarah yang terlahir oleh suasana interaksi. Kita, manusia amnya adalah acuan interaksi sosial. Memaknakan interaksi sosial juga memaknakan perubahan terutama dalam menggerakkan konflik. Bagaimana kita dapat melihat konflik itu sebagai satu laluan mengangkat sejarah kebangkitan bangsa?

Ramai memilih untuk melihat konflik adalah onar kepada ketamadunan bangsa. Secara mudahnya, minda kita diasak oleh makna konflik yang bersifat penolakan terhadap sesuatu gagasan, pemikiran, idea, sebarang perbezaan atau sehinggalah menyentuh aspek pergeseran emosi dan karekter.

Mengapa konflik dapat menyemai semangat kebangkitan? Kekuatan jangkauan menjadikan konflik itu relevan dan dipandang rasional. Konflik yang membawa kepada unjuran idea perubahan ekonomi, politik dan sosial, ia menghasilkan resolusi.

Umpamanya, bagaimana konflik dapat dikatakan sebagai KOREKSI kesuraman sosio ekonomi luar bandar. Rungutan, keluhan dan rintihan penderitaan golongan petani, pekebun, nelayan, ataupun dalam khidmat awam, adalah suara konflik. Suara yang bersifat keperluan sejagat menurut ruang lingkup. Menterjemahkan nota rakyat inilah yang dimaksudkan interaksi sosial. Pemimpin menyelami kegusaran masyarakat, digerakkan menjadi satu inspirasi jangkauan kepimpinan dan kerja. Terjemahkan luka bangsa menjadi titik temu kegairahan membawa makna baru dalam dasar. Bangsa yang membangun adalah bangsa yang beruntung, bangsa yang dapat mempertahan kan kesejahteraan. Kuasa kepimpinan perlu dominan, berusaha mempertahankan stabiliti berpaksikan kebimbangan suara akar umbi, agar dapat menghadkan gangguan ketidakseimbangan sosial. Moral kepimpinan adalah kualiti pembaharuan membebaskan ketidaktentuan.

Setiap kita mempunyai mekanisma menginteraksikan jati diri menjadi rangkaian yang percaya akan nilai membangunkan bangsa. Tahap perubahan ekonomi, politik dan sosial bergantung kepada stabiliti dan kualiti gerak dasar dimulai dengan kecekapan gagasan dan kesinambungan nilai tindakan.

Kalau mahu melihat sejauh mana keberkesanan dan praktiknya Tuan-Tuan Besar sekalian dalam ukuran sosial, lihatlah kepada sejauh mana Tuan-Tuan Besar pergi sebagai PENGERAK APLIKASI DASAR MEMURNIKAN KONFLIK dalam perapian akal.

Tugas kami anak-anak muda bergabung tenaga, memujuk agar siapa pun kita, apapun struktur sosial, SEBENARNYA kita sama-sama menderita KONFLIK yang sama. ANDA yang dihormati dan kami bukan tidak pernah tahu betapa sulitnya mengatasi KONFLIK. Lalu, adakah kesulitan ini satu ancaman mutlak kepada kemahuan?

Sejauh mana Tuan-Tuan Besar libatkan 1KM dalam posisi sama-sama membangun adalah persoalan kredebiliti. Anak-anak KM bukan tidak cintakan perubahan. 1KM itu jentera revolusi.

Friday, January 22, 2010

Narasi Untuk 'Jebat'

Keris Tuah tiada terhunus. Pencaknya pun tiada ditarikan. Namun gelanggang itu , sasar tujunya bermandi bidikan bertalu. Busur yang dihelah pendekar mengasah bisanya. Para hulubalang bersila, saksama dan kemas kejapnya.

Berbudi di hujung telunjuk, kemudi bersauh pekerti, mantera meredakan ombak namun gurindam menyeru taufan. Tingkap cakerawala dibuka di antara depa tangan lalu menuang halilintar. Seakan-akan gua tingkah tujuh tuju, lapis tujuh lipat itu nescaya gaung perbunuhan.

Tiada darah pertiwi! Dipukul gong seribu luka. Dentumnya berkisah angkara, denting berbalam gundah dulana.

Khabarkan ke gerbang astakona 'Ke mana angin semilirmu?' Jejak pelangi sembahkan ke lembah. Ada manik sirna suria. Basahkan telapak nurani. Gendang ubi, rebana, gong, nafiri, seruling, gambus.... cengkam dengan mata hati. Palukan bersama serumpun puisi...

Katamu.... darah mereka kau terhidu hanyir. Siapa dapat bezakan titis gerimis atau basah air mata yang tumpah ke bumi, waktu alam bertuankan renyai hujan??

Wednesday, January 13, 2010

Salam Rakan Bloggers...

Lama tidak menulis. Masa berganti masa. Detiknya mengasak ruang perantauku dengan denting lonceng tanpa henti. Mengejar sana dan dikejar sini. Tugasan yang tidak pernah selesai. Meja metropilitan menghantar diriku jauh dari daerah persahabatan dengan kalian.

Hanya beberapa waktu lagi, keringat ini kuhentikan di metrokota. Aku akan menyambung sembah budiku, menyambung legasi yang mengalir dari pesan tidur seorang lelaki. Dia yang dulunya selalu sedia memandikanku dengan luka dan suka duka dan akulah antara penyambung warisan di sisi ibu, kakak, adik dan abang tersayang. Kini, jalan itu telah lengang. Yang hanya ada adalah jejak. Sehingga ke malam akan kususuri dengan tunduk hati, menjadi laluan tanpa jalan mati.

Rindu untuk menulis kembali. Dan aku ingin kembali seperti dahulu. Menulis selalu.

Ke mana penaku selepas ini? Biar kepulanganku kali ini, kuberikan sebuah lakaran yang selalu simpati kepada wajah desa. Sebentar lagi aku kembali ke lubukku. Akan kubongkar flora dan fauna dan berkisah panorama di hujung anjung yang selalu bermandikan matahari senja.

Thursday, December 10, 2009

Interaksi Minda Pilihan Hari ini

Dr Pisuk2 Tanjung said....

Pada saya ringkas sahaja: SESEORANG YANG MEMILIKI KARISMA, BERPERIBADI TINGGI DAN BERASAL DARIPADA KETURUNAN YANG BAIK-BAIK TIDAK AKAN SEMBARANGAN MENGELUARKAN SEBARANG TUDUHAN TANPA USUL PERIKSA, TIDAK MENCERCA DAN TIDAK MEMALUKAN SESEORANG SEWENANG-WENANGNYA SEBAB DIA SEDAR BAHAWA DIRINYA JUGA BUKANLAH INSAN YANG PALING SEMPURNA MALAH MASIH SEBAGAI MANUSIA BIASA YANG TIDAK PERNAH LARI DARIPADA MELAKUKAN SILAP DAN SALAH SAMADA TERSIRAT OR TERSURAT. BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA. Dalam cerita TANGON, nenek moyang kita dulu pun jelas membezakan bahasa yang digunakan oleh TOMPOO (golongan kaki bodek, penghasut, phd) dengan bahasa yang digunakan oleh si Usak Suronggo. Fikir-fikirkanlah.

December 9, 2009 9.24 AM.

SAM tersentuh dengan kata-kata seorang anonymous yang menggelarkan dirinya sebagai 'DARI PISUK2 TANJUNG'. Dan saya rasa amat baik untuk kita kongsikan bersama kerekter minda seperti ini. Terima kasih kepada anda. Siapapun anda (termasuk semua komentator), semoga keberkatan dan kesejahteraan melimpahi sepanjang perjalanan hidup anda.

Mari kita semua berteguh hati. Biduk lalu kiambang bertaut. Tidak ada di dalam mana-mana catatan sejarah, PERPADUAN tidak pernah tercabar. Dan tidak ada dalam mana-mana usaha PERPADUAN, sejarah tidak mengiktiraf penyatuan dan kesepaduan. Sedangkan lidah lagikan tergigit. Pengalaman PENYATUAN dan hasrat besar untuk BERSATU melalui sekejap episod 'sedih'. Sekelumit daripada cebisan, tetapi ada carik yang terasa perit melorek di antara jabat salam, pesan dan wasiat Taki Lombus.

SAM tidak berhasrat menyentuh pertelingkahan kata kerana ia begitu jauh menyimpang daripada persepsi SAM dan kehendak 1Tandek dan saya secara peribadi. Malah bukan satu kayu pengukur, timbang sukat yang boleh mengambil alih perpaduan 1Keluarga,1Masyarakat dan anjakan paradigma 1Kota Marudu. Perbezaan dan cerna kritik yang cuba diangkat oleh segelintir pihak agar menjadi polemik, bagi kami SAM, itu pembawaan minda yang tidak mewakili identiti pemikiran intelek Kota Marudu keseluruhannya dan khasnya di Tandek. Mari kita sama-sama menjalankan tugas kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, tahu mewacanakan minda sebagai agen sosial dalam membudaya dan merakyatkan rakyat. Benturan kata bertalu, mencurah rasa diburu emosi, tidak mengapa. Tapi jangan kita membenarkan ruang yang bersekongkol dengan cerca merca, iri dan prasangka menjadi TUAN, mengawal tindak-tanduk dan laras nurani lantas mengagalkan keharmonian yang sudah sekian lama dipertahankan.

Kredit kepada semua kritikan daripada pihak-pihak yang berkaitan (tidak kira bersifat ekspresi ofensif atau difensif) dan berpaksikan kepada polemik ini, marilah kita berfikir, memberi masa kepada diri kita dan mencari ruang memperbaiki sesama kita. Marilah kita sama-sama melangkah sambil tangan kita memegang obor perpaduan, obor yang sama dipegang oleh generasi sebelum kita TERLEBIH kepada usaha sumpah muafakat dan harmoni oleh aki-aki dulu. Kerana akar kesatuan yang mengikat, kukuh dari bahu ke bahu kita, itu sebenarnya telah dipertahankan sekian lama. Berbanggalah kita kerana perpaduan keluarga di Tandek dan Kota Marudu keseluruhannya tidak melalui mata pedang melainkan dicernakan oleh keupayaan kebijaksanaan yang begitu tinggi, halus dan berhemah, dilestarikan melalui pertembungan budaya, perasaan 'sense of belonging' dan ikrar persaudaraan. Kasihan Kota Marudu dan khasnya Tandek bilamana kita mudah dikuasai oleh elemen yang tidak menjunjung 'persuratan akal' nenek moyang kita.

Mari kita sama-sama renungkan kata-kata pembaca kita di atas. Mudah-mudahan ini dapat mencernakan kata pepatah 'Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya'. Jiwa yang harmonis adalah jiwa yang menyembuhkan bangsanya. Akal bistari adalah akal yang menenunkan tamadun dengan budaya tunduk padi berisi. Langkah perwira, pencaknya adalah berpaksikan nurani dan bergelanggangkan medan diplomasi. Kata-katanya adalah sumpah perdamaian.

Apapun kegagalan kita di dalam menjaga kata-kata dan perasaan, kita JANGAN SEKALI-KALI GAGALKAN MUAFAKAT.

Wednesday, December 02, 2009

20 minit sebelum itu.....

saya santai-santai di tempat kerja sambil blogging. Baru selesai menulis puisi bertajuk 'Bingkisan dari desa'...

TUESDAY, DECEMBER 02, 2008
Bingkisan Dari Desa

Air mata
menjadi gerimis
membasah ke rimbun desa
menghantar pesan pilu tidak bernadi
menyongsong kematian
berganti purnama
merimbun di tanah lapang
selaksa narasi janji
menjadi nada sayu
bermusim mendung
memagut hati berzaman
terkulai

Ke mana tangkas adiwira
pencak yang merejam sukma
memberi nyawa kepada bara
lalu menjadi api di hujung lidah
Siapakah bisa menghidupkan mantranya?

POSTED BY LITTLE MIKE (LM) AT 6:09 AM

http://morionexpress.blogspot.com/2008/12/bingkisan-dari-desa.html

Saya tidak tahu mengapa tiba-tiba hati saya terdetik untuk mengekspresikan diri melalui puisi sedemikian rupa. Lama saya termanggu, seusai menulis sajak kerana tiada idea mengenai tajuk yang patut kepada puisi ini. Di luar daripada konteks sajak, tanpa semena-mena tangan ini pantas sahaja memilih tajuk 'Bingkisan Dari Desa'. Terdiam lagi. Kenapa saya perlu pilih tajuk ini? Sementara saya merehat-rehatkan mata, mungkin terlelap sekejap... jam 6.19pm, hp berbunyi. Adik Nong rupanya. Lalu saya sambut;
'Ya, Nong. Napa?'
'Ok juga ko sana?'
'Ok...'
i sense something... Sesuatu yang sekilas saat seperti perlukan kekuatan untuk bercakap. Suara yang seperti baru lepas menangis. Entah, bulu meremang tiba-tiba tanpa ada satu apapun yang terfikir dalam kotak fikiran. Mungkin dia tidak sihat, ini bisik hatiku.
'Napa?'
.............
'Mick, Kasi tetap saja hati ko apa yang saya cakap'
Seluruh tubuh saya bergeggar. Namun masih tidak dapat menangkap apa-apa sebabnya. Tapi bila mendengar suara di hujung talian, ada tangisan yang tertahan-tahan. MAMA!! seluruh tubuhku menjerit.... dalam hati saya ... sedia ko mick.. bersedialah.... Jantungku berdetak laju. Aduii! betul ka apa yang sya teka ni?
'Bapa.......'
Bagai nak pecah kepala mendengarkan perkataan -bapa. Sah! bapa hantar pesan pasal sesuatu tentang mama. Saya sudah mengagak mama dimasukkan kembali ke hospital. Lebih jauh daripada itu, hati saya meneka-neka yang bukan pasal mama.
'Bapa tiada sudah........' HAAAAAAAAAAAA!!!!!.... Betul BAH??????

Tubbbbbbb! sedar-sedar saja tangan kesakitan yang amat sangat akibat tumbukan ke dinding. 2-3 minit terdiam. Tidak bercakap apa-apa. Masih memegang HP. Saya mengurut-urut dahi yang mengejap kukuh menambah tekanan sakit dalam kepala. 'Bah mick.... Itu saja ahh.. Kita sabar-sabar dan berdoa' 'Ok......' lalu saya matikan HP Panggilan telefon dan SMS mencurah masuk selepas itu. BAPA! tidak mungkin... Tidak mungkin.... Dan saya membuka kembali blog dan melihat kembali puisi yang baru saja selesai..... Dan saya bertanya sendiri 'Kenapa dengan puisi ini???'
....................................................

1 minggu lepas sebelum itu, bermimpi tentang matahari berdarah. Saya tanya seseorang. Katanya mimpi ini tidak baik. Kemudian bermimpi bapa lagi. Sedang memakai baju batik berwarna biru kesukaannya. Bapa cakap 'Saya jalan dulu'. Ramai orang menahan sehingga supaya bapa jangan pergi sehingga terjadi pergaduhan. Bapa menjadi sangat marah. Sehingga semua orang terpelanting entah kemana. Saya terpaksa berdepan dengan bapa. Pergelutan keras terjadi. Macam mana bapa tepis pun saya tetap pegang. Akhirnya, seperti bapa mengalah dan katanya 'Kasi lepas la ba saya jalan' Lalu bapa hilang dari pandangan....

............................................................

Sesampainya kami di kampung. Hati menjadi begitu sayu melihat baju yang dipakaikan di badan bapa adalah baju biru batik kesukaannya........ Sebentar melayan air mata dalam diam di sisi perbaringan bapa.. mengucup dahi bapa dan hatiku membisik perlahan...
'Pa, Selamat jalan.... Jumpa lagi'

Hari ini 2 dec 2008, genap setahun kepergian ayah.. Life goes on. Always in my heart.........

Antara Pijak Gambar, Doa Bala, Bakar Gambar dan Chin Peng

Ini bukan budaya kita. Apapun perbezaan pendapat dan platform politik dan ketidakseragaman karekter minda, usah mempertaruhkan sesuatu yang tidak memberikan gambaran baik untuk diwarisi generasi politik masa depan.

Pijak gambar dan bakar gambar, satu tindakan yang tidak mengaplikasikan kematangan. Apa lagi kapasiti anda dilihat sebagai pemimpin. Budaya pijak gambar biasa dilihat di sesebuah tempat yang 'terdidik' keras oleh sistem masyarakatnya yang penuh kacau bilau, pemberontakan dan tentangan bersifat kepuakan, puluhan tahun membentuk, mendasari karekter pembentukan negara. Malaysia, sebuah negara dimatangkan oleh dayaharmoni intelek dan upayaminda yang tidak bersekongkol dengan racaukukubesi. Mengapa mengundurkan akal ketika negara kini tahu membicarakan kedewasaan di dalam sistem demokrasinya? Perbezaan aplikasi politik bukan memberikan ruang mewacanakan kepimpinan seperti ini. Kenapa tidak sahaja jadikan polemik ini mudah? Seperti anda mencengkam rakyat dengan kematangan kepimpinan dan kerja dan selebihnya biar rakyat tentukan siapa lebih layak hilang daripada 'gambar' dalam barisan kerja parti.

Doa yang sebaik-baik doa ialah tunduk syukur kepada Tuhan. Munajat puji-pujian. Memanjatkan kesejahteraan. Menginginkan kebaikan. Mengangkat harapan yang menyembuhkan. Menangisi kesalahan dan menganjurkan keinsafan. Selebihnya kita hanya makhluk yang memerlukan pedoman dan inspirasi di dalam setiap tatalaku dan ketika mengupayakan akal di dalam sebarang tindaktanduk, cara dan memutuskan langkah ini bertunjangkan kebistarian.

Chin Peng dan Komunismanya yang menabur darah dalam sejarah yang menyatukan negara Malaysia. Sekilas hukum kasih, pengisiannya memperbolehkan extremist ini layak untuk diberikan peluang kedua. Diperbolehkan untuk kembali ke Malaysia. TAPI..... mana agamapun, menganjurkan supaya hukum dunia harus juga diberi tempat- 'hormatilah pemerintahmu'. Iaitu hukum atau dasar yang membolehkan keadilan ditegakkan. Chin Peng jika mahu kembali pulang, haruslah dibicarakan atas kesalahan jenayah perang yang dilakukannya. Dan jika hukuman dijatuhkan setelah melalui hak penghakiman dan mengambil kira kesan yang ditanggung oleh sejarah hayat negara dan mangsa kekejaman, Chin Peng harus dikenakan tahanan dalam jarak takrif pihak berkuasa atas faktor usianya. Memadai untuknya mencium bau tanah kelahirannya sendiri. Namun... derita mangsa dan betapa sukarnya sejarah negara Malaysia dilakar seperti hari ini, sebarang keputusan kerajaan perlulah dihormati. Larangan untuk tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, satu langkah wajar yang memberi kredit kepada pengorbanan pasukan keselamatan, nasionalis dan termasuk puluhan ribu rakyat yang tidak sepatutnya hilang nyawa oleh idea dan propaganda komunisma.

Tabik hormat untuk pasukan keselamatan dan simpati mendalam kepada mangsa kekejaman komunis. Dalam darah warganegaraku, bendera Malaysia kukibarkan gagah dan megah. Dirgahayu Tuanku!

Wednesday, October 28, 2009

Kuala Nibang: Jadikan Pengajaran

Kejadian jambatan runtuh di Kuala Nibang, Perak harus dijadikan pengajaran oleh semua pihak. Projek ini difahamkan baru selesai pembinaannya sebulan yang lepas. Takziah kepada keluarga terbabit dan mengharapkan 2 lagi pelajar yang hanyut masih hidup dan bersatu kembali dengan keluarga.

Sebelum ini, beberapa artikel di blog SAM (Suara Anak Marudu) yang memaparkan beberapa projek desa yang mendapat perhatian ramai pihak (sehingga mengundang perasaan tidak senang pihak tertentu). Antara artikel panas berkaitan projek bermasalah seperti astaka Pekan Tandek dan projek jambatan Goruntung. Jika diamati, paparan ini bukan sekadar satu artikel tetapi lebih jauh daripada itu ialah kebimbangan kami sebagai rakyat berkenaan aspek keselamatan pengguna. Adakah kita perlu peristiwa tragis baru nak terngadah?

Thursday, October 15, 2009

Sepintas Lalu: Selesa Juga Merbahaya

Tanpa menidakkan kata-kata tahniah saya kepada pihak yang telah melaksanakan kemajuan, saya tetap tidak dapat meminggirkan kekhuatiran terhadap spesifikasi dan ciri keselamatan jalanraya beraspal yang mengelilingi kawasan kampung-kampung Daerah Tandek. Jalanraya beraspal tentu sahaja satu laluan selesa kepada pengguna-penggunanya. Walau bagaimana pun, keselesaan sahaja tidak mungkin membawa makna yang dapat menyanggupi matlamat kebaikannya jika gagal dalam memerhatikan risiko keselamatan pengguna.

Memanglah, pengguna juga harus berhati-hati ketika menikmati pemanduan yang selesa di laluan aspal. Saya katakan ini TIDAK CUKUP kalau pihak berkenaan sekadar mengharapkan pengguna semata-mata untuk bertekun di dalam aspek tanggungjawab pemanduan di atas jalanraya.

Banyak aspek lain yang perlukan perhatian segera (dan ini adalah ulangan rayuan). Lampu jalan memang perlu memandangkan laluan yang begitu gelap waktu malam. Masih belum ada papan tanda beramaran had kelajuan dan papan tanda perlahankan kenderaan di kawasan perkampungan dan sekolah. Selekoh tajam umpamanya perlukan perhatian serius. Memang amat sesuai di bina bumper atau bonggol dan tanda garisan kuning untuk menghidupkan waspada kepada pemandu kenderaan. Harap dapat disegerakan jika tidak lebih ramai yang akan 'SEGERA HILANG DARI PANDANGAN'. Untuk keperluan seperti ini, jangan la ada mentaliti 'Nanti laaa.....'

Jalanraya seharusnya bukan laluan yang menyedihkan dengan cerita-cerita yang tragis. Jalanraya adalah lorong yang mencantikkan masa depan bangsa dan tamadunnya.

Monday, October 05, 2009

Hari Ini Dalam Peristiwa.... Seorang Remaja Yang Gila Musik

sedang membuat persiapan untuk dapatkan mood muzik.. hehe. (Bersama dengan Zack Salisi)

Pertandingan bermula. Kiri: Saya, Bro Mohd Ali dan Bro. Rocky

time guring gitar. Lagu: Tirai Horizon (Kiri: Bro Mohd Ali, Saya dan Bro. Rudy Malmsteen)

Selesai show. Rockers santai kaw-kaw punya posing heheh (Atas Kiri: Rudy, Puspa, Zuhaimi, Zack. Bawah Kiri: Mohd Ali (corner baring haha) Bro Nik dan saya)

Gambar kenangan ini saya perolehi daripada seorang kawan Zack Salisi, sahabat yang dulu satu kepala dalam dunia muzik rock. Tidak sangka bertemu lagi dengan rakan-rakan dalam Facebook. Zack (drummer) memang seorang kawan yang penuh dengan humor dan lawak spontannya. Waktu ini saya bersekolah di SM All Saints', Kota Kinabalu. Rakan lain seperti Bro. Ali (rythm), Bro. Rocky (Singer), Bro. Rudy Malmsteen (Lead guitar) antara otai rockers masa tu. Setiap hujung minggu pegi jamming di Karamunsing atau ke rumah Bro Ali sambil lepak ngan guitar. Inilah aktiviti muda-muda dulu yang banyak mengisi masa sehingga saya tidak begitu berjaya dalam pencapaian sebagai pelajar. Hahaha... saya ni kadang berlebih-lebih dalam satu-satu perkara yang saya minat. Skarang ni, jari jemari sudah berkarat.

Kepada rakan-rakan, jika bertemu satu hari nanti, kita minum lagi di kedai Seng Loong, kedai kopi cina depan dewan All Saints yang penuh dengan kenangan klasik. Sekarang ni, sudah banyak yang berubah. Masing-masing sudah mempunyai komitmen dan berkerjaya. Namun kenangan itu tetap satu kenangan yang indah. Dari satu sisi lain, zaman remaja yang penuh hiruk pikuk tapi tidak tergantikan dengan apa-apa pun. Setiap kenangan itu ada nilai sendiri. Salam ingatan untuk rakan-rakan All Saints'. Love you all......