TINGKALANON - TANDEK - MORION

Friday, February 27, 2009

Hati Hiba Di Bumi Sendiri

Berada di kuala Lumpur tidak pernah memadamkan ingatan saya menerawang ke tanah lahir. Menyebut sahaja nama Pekan Tandek, hati saya mesti direntap kerinduan. Semacam ada sesuatu yang sangat membuatkan hati saya bergemar, bersukacita tertusuk oleh rasa bangga sebagai anak tempatan Tandek.

Kemudian, saya terkedu sebentar. Terasa sukma menyesak ditegur rasa yang bungkam dan tidak begitu ramah merejam ke dalam sanubari. Hati saya berkata 'Oh Tidak! Bukan ini Tandek yang saya kenali!". Seakan-akan perasaan saya tersisih melihat suasana yang membuatkan hati saya gementar. Sehinggakan wajah Pekan Tandek ini menegur sinis diri saya "Benarkah saudara anak tempatan Tandek? Lihat la saya. Saya tidak mendengar suara saudara bertahun yang lepas. Saya tidak melihat saudara menyinggah ke sini bertanya khabar saya. Sehinggakan saya berwajah begini, saudara tidak pernah tahu!."

Tandek.... Maafkan saya. Tolong maafkan saya. Ikhlas, ini saya yang tetap berbangga. Seburuk mana wajahmu, saya akan tetap memanggil dengan rasa berbangga bahawa saya ini anak Tandek. Izinkan saya berkata "Saya tidak pernah terjangkakan engkau boleh berwajah begini."

Wahai para sahabat... mari kita lihat, fikir-fikirkan, renungkan rintihan Pekan Tandek. Wajah ini perlukan perhatian segera. Dimanakah mereka yang memimpin itu? Mengapa tidak digerakkan satu pasukan untuk memantau Tandek dari masa ke semasa? Saya tidak mahu lagi menyalahkan sesiapa. Kerana saya sudah lelah. Saya ingin pulang. Cuma ini sahaja rasa yang ada saat ini sekalipun saya terhambat kekangan untuk mencari sesuap nasi di bumi orang. Ya, saya cuma ingin pulang. Jika tidak ada sesiapa yang mahu melakukannya, saya akan lakukannya. Kerana saya sudah tidak ada daya lagi untuk bertanya.

Sebak dada. Tapi hatiku geram. UNTUK APA SAYA MENANGIS DI KUALA LUMPUR???!!! Air mataku sia-sia tumpah di sini.

(gambar ihsan dari blog blog Tulun Kimaragang
http://tulun-kimaragang.blogspot.com/)

Kenapa sejauh ini terabai Pekan Tandek?

Menikmati juadah di Pekan Tandek dengan panorama seperti ini? Aduhai

Semak samun meliar tanpa mendapat perhatian

Kotoran yang terus di mamah waktu menunjukkan tiada siapa yang ambil peduli.

Tuesday, February 24, 2009

Surat Terbuka Untuk Kusai Tandek

Saya dengan rendah hati tanpa sebarang sikap syak wasangka, memberikan respon kepada blog Kusai tandek yang menulis: BERTUAH KOTA MARUDU DAPAT YB DATUK DR.MAXIMUS. Saya perturunkan sebahagian daripada artikel beliau;

Kusai Tandek tergerak melontarkan idea dan hujah ini ekoran daripada tuduhan tak tentu pasal kepada YB. Datuk Dr. Maximus J. Ongkili kononnya ahli parlimen P168 Kota Marudu ini membawa satu malapetaka rakyat Kota Marudu. Kusai Tandek merasakan bahawa orang ini tidak langsung berfikiran waras dan rasional. Malahan orang ini juga boleh dikatakan buta fakta dan sejarah yang mana secara realitinya rakyat Kota Marudu sungguh bertuah dapat diwakili seorang Yang Berhormat berstatus Menteri Persekutuan. Ini merupakan sejarah bagi P168 Kota Marudu kita diwakili seorang Menteri Persekutuan. Sebelum ini kita hanya YB kita hanya berstatus Pembantu Menteri Kerajaan Negeri Sabah Sahaja.

Sebagai Menteri Persekutuan, YB Datuk Dr. Max boleh memperolehi peruntukan yang lebih daripada ADUN biasa. Dikatakan bahawa, sebagai Menteri Persekutuan, YB Dtk Dr Max memperolehi peruntukkan 2 juta setahun ( 1 juta ahli parlimen + 1 juta menteri persekutan). Manakala pula, setakat YB ADUN biasa saja cuma memperolehi RM500,000 setahun. Cuba kita telitikan perbezaannya, peruntukan tahunan YB. Dtk Dr. Max sama seperti 4 tahun peruntukan tahunan seorang ADUN biasa. Oleh itu, Parlimen Kota Marudu sangat-sangat berbangga dapat seorang YB Datuk Dr. Maximus J. Ongkili. Dengan peruntukkan yang besar, sedikit demi sedikit Kota Marudu setanding dengan Pekan-pekan yang maju di Negeri Sabah. Selain itu, ini juga boleh melepaskan Daerah Kota Marudu daripada kopompong daerah miskin. Memang tuduhan sana sini kedengaran yang kononnya YB Dtk Dr Max makan wang rakyat. Tetapi kalu diselidiki, bukan terlalu mudah untuk mengambil peruntukkan duit ini. Ia sangat dikawal rapi dari segi penggunan peruntukkan ini untuk projek pembangunan daerah...

bacaan lanjut sila layari www.n5tandek.blogspot.com

Saya tergerak hati untuk memberikan reaksi kepada tulisan Saudara Junid Gunsalam, Naib Ketua Pemuda PBS N5 Tandek. Ini adalah surat terbuka ikhlas dengan tujuan supaya dapat mencambahkan idea melalui buah fikiran balas dalam satu perdebatan yang terbuka dan sihat. Semoga Tandek dan Kota Marudu beroleh manafaat daripada keterbukaan kita membincangkan isu setempat.

Izinkan saya menyampaikan diskusi melalui Surat Terbuka Untuk Kusai Tandek:

Seperti biasa saudara bertindak dengan naluri tepat kerana mempertahankan 'Bos'. Ini adalah satu tanggungjawab apalagi kalau ketika ini saudara menyandang jawatan sebagai naib ketua pemuda PBS N5 Tandek. Jika saya berada di tempat saudara, saya juga akan mengambil keputusan yang sama. Atas kapasiti ini saya memang percaya saudara ada keperluan mempertahan Dr. Max sebagaimana sewajarnya seorang pengikut mempertahankan ketuanya.

Sebagai rakyat biasa, kami mempunyai kelebihan untuk menyuarakan apa yang kami rasa. Pertama sekali saya ingin menegaskan bahawa memang kami BERBANGGA memiliki pemimpin yang diiktiraf persekutuan apabila dilantik ke jawatan menteri penuh. Tapi untuk merasa SUNGGUH BERTUAH memiliki Dr. Max masih jauh untuk saya miliki aura perasaan seperti itu.

Berbangga YA tapi sungguh bertuah TIDAK..

Mengapa saya masih merasakan BERBANGGA tapi merasa TIDAK BERTUAH dengan Dr. Max?

1. Berapa tahun Dr. Max pegang Menteri parlimen dan sebagai ADUN N5 Tandek? Dari segi matematik peruntukan kira campur setahun selama 5 penggal PBS bertapak di Tandek/ Kota Marudu dan sasaran peruntukan, saudara boleh lihat hasilnya. Apakah kami masih tidak wajar? Tidak rasional? Buta fakta? Buta sejarah? Tandek begitu juga. Peniaga tempatan begitu juga. Mujur la 'ketidakwajaran' kami tidak sampai memberikan undi kepada pembangkang. Setakat ini 'tidak wajar' kami, 'tidak rasional' kami, 'buta sejarah' kami, 'buta fakta' kami hanyalah kerana semata-mata mau supaya pemimpin kita meningkatkan keprihatinannya kepada pembangunan kawasan pilihanraya. Bagaimana kalau ketidakwajaran itu memindahkan 'kuasa politik' kepada orang lain? Usah ketepikan suara orang kampung. Kami masih berBANGGA memiliki pemimpin seperti Dr. Max tapi masih belum rasa BERTUAH

2. Jalan Tandek - Tondig - Tingkalanon - Batition - Nolotan - Salimandut - Talantang - Longob -Masolog - Damai yang telah melahirkan ramai golongan profesional daripada ahli akademik, penjawat awam, ahli politik, pasukan keselamatan sehingga la kepada para petani, nelayan, pekebun, peniaga kecil - mereka ini sudah lama memberikan undi setia mereka. Saban hari mereka tetap lalui jalan desa berbatu dan berdebu dengan sabar. Nasib baik la masih boleh dianggap itu jalan yang boleh dilalui. Peruntukan demi peruntukan datang, tidak termasuk suntikan kewangan daripada kerajaan Persekutuan dan juga RMK9, kami masih lalu jalan yang sama. Baru-baru ini ada usaha menaiktaraf jalan itu pun terhenti beberapa kilometer. Kami masih berBANGGA memiliki pemimpin seperti Dr. Max tapi masih belum rasa BERTUAH

3. 8 projek yang berpaksikan objektif menambahkan pendapatan dan peluang pekerjaan penduduk desa (baca dalam entry beliau) seperti Pusat pembiakan ikan, pembuatan makanan ikan, pemprosesan kupang, penghasilan benih, inovasi pembangunan usahawan, penyelidikan tongkat ali dan kawasan WI-FI, semua ini adalah kategori komersil yang hanya menguntungkan beberapa pihak sahaja. Skop sasaran 'keselesaan hak sebagai rakyat' masih pada skala kecil. Usaha ini baik. Tapi saya memilih bukan setakat usaha yang baik tapi juga yang boleh dimanafaat keuntungannya oleh SELURUH penduduk desa kawasan Kota Marudu. Infrastruktur ASAS- jalan raya, kemudahan saluran air, kemudahan talian perhubungan telefon/multimedia.. orang kampung tidak akan 'melepak' di Pasar Tani, KFC untuk mengakses internet. Lagipun, di kampung masih tidak biasa dengan budaya 'kumpul dan berinternet' di tempat awam, sebagaimana persepsi orang 'bandar/kota'. Ini akan 'memisahkan' keluarga. Ibu bapa ke sawah bendang, anak mungkin lepak dengan laptop. WI-FI bukan keperluan kritikal. Celik teknologi/IT boleh bermula dari rumah. Sekolah juga pemangkin. Asalkan saluran kemudahan ada. Kami masih berBANGGA memiliki pemimpin seperti Dr. Max tapi belum rasa sungguh BERTUAH...

Akhir sekali, jikalau adun kita hanya berstatus YB biasa (adun), dengan peruntukan 500k setahun- adakah itu alasan kita melihat kemajuan tidak dapat dicapai kerana status peruntukan dikategorikan sebagai KECIL? Ada ketikanya YB Datuk Max memegang dua kawasan politik iaitu sebagai adun dan sebagai MP Kota Marudu. (Perkiraan mudah setahun adun+MP=RM1.5juta) Sekarang ini sebagai menteri penuh yang membolehkan beliau mengakses peruntukan tambahan RM1 juta. Jika kini YB Puan Anita Baranting sebagai ADUN Tandek, gabungan peruntukan keseluruhan mencecah RM2.5 juta setahun. Pakej ransangan RMK9? Peruntukan tambahan 1b untuk sabah? Kota Marudu sebagai sebuah kawasan pilihanraya juga pasti menjadi sebahagian daripada dana tersebut. Jika tidak, adalah menjadi tanggungjawab adun SUARAKAN di Dewan Undangan Negeri!

Katakan, Dua tahun sebagai ADUN BIASA sudah boleh mengumpul peruntukan RM1 juta. Apakah pada tahun ketiga daripada permulaan perkhidmatan sebagai YB memberikan fokus kepada jalan raya, peruntukan itu tidak mampu membiayai kerja-kerja penurapan jalan? Kemajuan tidak perlu berjalan serentak. Satu persatu. Lepas jalan raya, 2 tahun kemudian talian elektrik, tahun-tahun berikutnya kemudahan air, dan kemudiannya kemudahan talian telefon... Fikirkan, setiap 2 tahun daripada peruntukan kecil RM500k, kukuhkan niat politik, boleh mengumpul RM1 juta peruntukan. Satu projek kemajuan sudah boleh diselesaikan. Kalau sudah 5 penggal? (usia politik PBS sekarang sudah lebih kurang 24 tahun - Perjalanan politik DR. Maximus khusus di kawasan Kota Marudu+Tandek sudah melangkau lebih kurang 12 tahun. Dr.Max memulakan kerjaya awal politiknya di Langkon). Sepatutnya Datuk Dr. Max tidak mengulangi kesilapan pemimpin lama PBS. Bila semua kemudahan asas ada, sumbat la apa pun projek komersil.... Waktu itu semua sudah SELESA walaupun tidak semunya SENANG. Tidak mengapa, SELESA itu saya masih iktiraf sebagai satu permulaan. Sepatutnya dari dulu lagi.

Kami masih berBANGGA memiliki pemimpin seperti Dr. Max tapi masih belum rasa BERTUAH.

Dalam keadaan tidak bertuah ini pun saya masih memilih bersyukur kerana ada pemimpin yang boleh kami banggakan di peringkat persekutuan. Tapi tolong buatkan kami benar-benar rasa bertuah untuk kawasan N5 Tandek dan seterusnya Kota Marudu. Kritikan ini saya langsungkan juga kepada Parti PBS secara keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.

Jalimik Sawatan
penduduk kawasan N5. Tandek.

Monday, February 23, 2009

Doa Dan Tinta Kata Di Antara Semilir Bayu Ke Langit Biru

Baru selesai dengan rutin kerjaku. Tidak banyak yang kufikirkan pagi ini. Cuma kuperhatikan jauh ke awan biru melepasi jernih tingkap berkaca berselang bayang pagi terlontar dari sepohon pokok berdahan lebat membahagikan dua tiga panahan suria. Aku ingin berbicara selalu ke sana kerana aku punya pertanyaan untuk Dia. Sebuah pertanyaan rindu dan luka masa lampau.

Selaksa narasi rasa dari seorang teman lewat udara membait ke ruang mata memagut rasaku. Keping hatiku membalik kilat cahaya merona warna pelangi menyuluh ke setiap ufuk rasa tanpa gagal melepaskan satu apapun getar yang membiru di dada rindu. Aku tahu, kerana aku kini selalu menjemputnya ke sisi, membahagi kasih.

Seusai ke hujung bait, aku mulai berdoa. Tubuhku gementar, dalam sekejap waktu, aku diterjah bulir-bulir kristal yang tidak kufahami, menyejuk ke tulang-temulang, lalu menjadi linangan antara degup jantung. Maka tanyaku pada Dia "Engkaukah yang berdiri di antara dua rasa kami?".. "Engkaukah yang menyemarakkan nyala pelita yang bersyair api gurindam asmara?" "Engkaukah yang memaut bahu kami ketika kami gagal berpimpin tangan?" Ini tanyaku. Ya Tuhan, Engkau kuundang untuk menyentuh kami dengan belas kasihan-Mu kerana kami akan berpaling kepada kata-kata-Mu. Tuhan, siapa juga kami yang bersujud di kaki-Mu ini, hanya insan yang mahu dipergunakan sepenuhnya oleh rencana-Mu.

Doa itu, jadikan itu tanda bagi kami. Jika itu Engkau yang berdiri di antaranya, nyatakan itu di dalam sifat kami untuk kami saling merendahkan diri di depan-Mu. Jika yang memberi nyala itu Engkau, pancarkan itu di wajah kami, agar bahagia di dalam rasa itu adalah hasil karya tangan-Mu. Jika yang memaut itu adalah Engkau, lindungi kami di dalam segala cabaran dan kelukaan masa lampau kami.

Boleh saja aku berkata 'Berikan kami rasa cinta dan kasih sayang yang tiada tepinya kerana kami kini menikmati ertinya'. Namun kepada-Mu la kami kembalikan diri kami. Kehendak-Mu lah yang terjadi ke atas kami kerana Engkau tiang hidup kami.

Thursday, February 19, 2009

Musa Aman: Perdana Tukar Volvo

Dalam keadaan ekonomi meruncing, Kerajaan Negeri Sabah memberikan reaksi idea yang bertentangan. Perdana tukar Volvo sebagai kenderaan rasmi. Mau selesa punya pasal, nak merasa bermegah dengan kereta import mewah. Ni ekonomi gawat boleh pula ada cita-cita yang tidak mesra rakyat. Kalau Sabah kaya?, lagilah banyak idea dangkal!.Reaksi pertama saya "Ades! Sabah sudah la miskin. Ada budget sikit-sikit tapi idea lain. Siapa punya wang diorang pakai tu?" Sudah la nak majukan rakyat pun bertatih-tatih, semangat patriotik pula dikotak-katikkan.

Alasan yang digunapakai seperti biasa, kos penyelenggaraan kenderaan Proton Perdana Eksekutif tinggi. Kenapa kerajaan Negeri Sabah tidak memantau aktiviti selenggaraan oleh syarikat yang diberikan kontrak untuk menyelenggara Proton Perdana? Kenapa tidak diaudit untuk meneliti punca kos selenggara tinggi? Cari sebab. Mungkin ahli politik kita terlalu kasar cara pemanduan kerana urusan 'untung sana-sini' yang perlu dikejar. Mungkin syarikat yang ditawarkan kontrak syarikat jenis cekik darah rakyat. Ya la, claim tinggi tapi spare part dalam negeri ja. Mungkin ada part yang ditukar tidak memenuhi spesifikasi. Sumbat barang murah!. Akibatnya Proton Perdana kebanggaan Malaysia selalu broke down. Kerajaan negeri tidak buat kerja. Minta maaf la kerana orang Sabah bertanya dengan emosi yang membara. Faham ka apa itu PANTAU? Ulang sekali lagi, BUAT PEMANTAUAN. Usah suka hati tukar kenderaan guna wang rakyat. Tutup mata tanpa siasatan. Yang untung syarikat tu. Kroni ka?.

Kalau ikutkan rekod pusat servis Proton yang berdaftar, purata kos selenggara bagi setiap unit Proton Perdana V6 setahun hanyalah lebih kurang RM500-RM600 SETAHUN. Jika melakukan perjalanan biasa dalam lingkungan 20,000km - 30,000km, berdasarkan ini kos purata selenggaran dalam tempoh tersebut dianggarkan RM2000 - RM3000 (Sumber: Syed Zainal Abidin Syed Mohammad Tahir. Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd.)

Blog ini sangat berharap Datuk Musa Aman dapat mendedahkan butiran kos selenggaran Proton Perdana supaya perbandingan dapat dibuat. Jangan ingat berkereta mewah dan selesa di atas jalanraya sahaja. Ingat la, sebarang bentuk dasar yang diambil kerajaan, itu melibatkan wang rakyat. Sudah la para YB kita dalam kawasan pilihanraya tidak dipantau ketat oleh kod etika kerja yang boleh menjamin kecemerlangan kemajuan desa.

Tidak terfikir ka Datuk langkah ini sekadar menyenangkan orang politik yang terlalu senang? Menyusahkan rakyat yang selalu susah? Negeri 'papa kedana' boleh ingat nak tukar kereta, hak bumi sendiri terabai.

Sunday, February 15, 2009

Kota Marudu Miskin Kerana Kita Gagal Bersikap Ekstrem?

Saya sudah memikirkan perkara ini dalam diam dan dalam waktu yang cukup lama. Saya halusi lipatan sejarah mana yang mencatatkan bentuk perjuangan yang memilih sikap radikal dan menggunakan akal.

Ada sebahagian kita melihat ada keperluan untuk mengadakan demonstrasi sebagai satu bentuk luahan tidak puas hati kepada pihak tertentu yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Terus terang, anda dan saya berkongsi ketidakselesaan yang bersumberkan rasa tidak puas hati. Kita gagal menyembunyikan beberapa kata-kata keras kepada pemimpin kita. Kita gagal untuk menyembunyikan emosi kita terhadap kemelut prestasi buruk orang politik. Pemimpin tukar pemimpin tapi jejak politik mereka masih kontang idea, maka harga yang perlu dibayar ialah kebuntuan masa depan daerah tercinta .

Ada yang berpendapat kita terlalu bersikap baik. Tidak berani melakukan perubahan. Tidak tahu bertindak radikal dalam menyatakan bantahan. Masih memilih cara berhemah tanpa sikap ekstrem. Maka ada yang berpendapat, hasil daripada sikap ‘berlembut’, Kota Marudu menerima tamparan terlalu hebat kerana telah dihadiahkan dengan label daerah miskin. Fakta jelas merekodkan demikian Label ini menyakitkan. Benarkah Kota Marudu miskin kerana kita gagal bersikap ekstrem/radikal?

Fenomena kekerasan selalu menjadi senjata terbaik untuk memenuhi cita-cita perjuangan Ada yang berjaya tapi berdarah! Kerana kita semua tidak dapat memberikan jaminan sejauh mana keupayaan kita mengekang dan mengawal kuasa emosi. Kebijaksanaan dan keberanian kita tidak perlu ke arah itu. Minda intelek kita tidak kekurangan cara. Bukan memilih untuk terus ‘berlembut’ tapi kita tingkatkan keupayaan. Daripada perasaan BERSATU kepada BERSEPADU.

Saya masih memilih pendekatan bijak dan berhemah. Perlu ingat, masyarakat adalah agen perubahan kepada susunatur sistem politik. Inilah kuasa sebenar yang perlu kita sedar. Era milenium mencetus pemikiran baru anak tempatan. Kita sudah lebih tahu menilai. Semakin celik dalam hak-hak sebagai rakyat. Anak-anak muda mula berani bersuara menggerakkan kekuatan minda mereka. 3 perkara fokus: PEMIKIRAN, KEMATANGAN POLITIK dan TANPA KEKERASAN

PEMIKIRAN- membangun kesedaran memaksimakan idea melalui pelbagai opsyen sedia ada, mencambahkan kematangan minda kepada pelbagai reaksi menjadi tunas bangsa.

KEMATANGAN POLITIK- memperkasakan pemikiran menjadi satu pertarungan idea yang lebih kritis, sarat dengan pelan perlaksanaan termasuk bagaimana kita mengupayakan kekuatan kita membongkar dan memelihara kebijaksanaan intelektual yang terpendam di kalangan anak tempatan.

TANPA KEKERASAN- yakni tanpa melibatkan sebarang bentuk tindak-tanduk ekstrem. Kita usah tawar-menawar dengan cara yang tidak ‘harmonis’ kerana sekali kita memulakannya, kita akan dipertanggungjawabkan melahirkan satu kelompok baru yang tidak memberikan ruang kepada proses diplomasi melalui kekuatan akal.

Mungkin, kita boleh menjadikan sikap radikal (dalam konteks rasional) sebagai salah satu daripada pilihan reaksi kita kepada pemimpin yang tidak tahu ‘begruna’ kepada masyarakat. Namun kita perlu menterjemahkan pernyataan sikap sebegini melalui konsep matang, politik bistari yang tanpa kekerasaan yang dengan sendirinya kita memelihara perasaan harmoni bermasyarakat.

Fikirkan. Susah benarkah kita membuat penilaian 5 tahun pertama perkhidmatan mereka sebagai YB? Jika mereka gagal, mengapa terus ‘buta’ memberikan undi? 5 penggal perkhidmatan mereka lagikah kita terkapai-kapai membuat pertimbangan? Yang peliknya, mereka terus diangkat melalui peti undi. Jika demikian, apakah undi yang kita ‘setia’ berikan terdahulu berbaloi disudahkan oleh aktiviti berdemonstrasi? Kita sebenarnya bukan berdemonstrasi kepada pemimpin berkenaan tetapi terhadap diri kita sendiri! Pemimpin politik bukan lantikan yang boleh disamakan dengan kriteria Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. TANGAN kita yang MENGIZINKAN mereka berkuasa!! Tangan kita yang sebenarnya membenarkan kemiskinan terus membelengu Kota Marudu. Kita bukan setakat perlu bersatu tapi perlu BERSEPADU untuk singkirkan mereka yang tidak cintakan kemajuan.

Usah membalas kekerasan dengan kekerasan. Semua elemen kemasyarakatan harus kekal, kita sepakati dari bahu ke bahu, sama-sama tekad membangun tanpa merosakkan moral dan etika kehidupan kerana kekerasan itu bukan SATU-SATUNYA cara mengemukan pendapat. Dialog dan ‘pertarungan’ idea lebih menjadikan kita sebagai masyarakat kompetetif. Banyak sebab perjuangan, kita sanggup mati, tapi kita tiada sebab untuk melakukan perjuangan berdarah. Perjuangan begini sudah lama berlalu. Dulu kita mempertahankan tanah air. Demonstrasi sana sini untuk menunjukkan perpaduan bangsa. Era itu kita sudah lalui. Kini, yang kita perjuangkan ialah MASA DEPAN rakyat yang hidup di negara merdeka. Kekuatan LUARBIASA yang kita miliki sekarang ialah KITA SUSUN dan ATUR organisasi politik orang kita. Jika yang baik maka kekalkan kebaikan. Tukar jika perlu tukar. Angkat golongan yang berfikiran jelas terhadap aspirasi rakyat. Angkat dan kita pacu semangat ke cakerawala, beritahu kepada mereka yang sudah lama ‘berkuasa’ bahawa kita tidak kekurangan individu yang memiliki idea lebih baik daripada orang politik ini.

Mahatma Ghandi pernah mengatakan ‘KEBENARAN adalah senjata paling ampuh daripada apa jua senjata kemusnahan’.

Labels:

Friday, February 13, 2009

Misteri Senyuman Orang Politik

Senyuman melambangkan sifat mesra. Boleh juga membawa pelbagai maksud. Senyum ketika menangis, ketika ketawa, ketika marah, ketika berdiam diri atau senyum seorang diri. Ada juga senyum tanda setuju, juga senyum tidak setuju, senyum bila kena marah, senyum bila menyedari tersilap langkah, senyum kerana puas hati kepada sesuatu, senyum bahagia. Di tengah jalan grabel, orang kampung melambai dari jauh bertanya khabar cuma melalui senyuman sebelum berurusan ke sawah bendang masing-masing.. Bermacam-macam.

Ada satu lagi jenis senyuman yang ingin saya bicarakan. SENYUMAN ORANG POLITIK. Senyuman mereka ini jenis yang ada jalan cerita. Berkronologi la katakan. Ada misteri pula tu. Hehe. Bergantung kepada peribadinya dan cara pembawaan jati dirinya dalam mengekspresikan perjuangan politik. Pemantauan saya selama 30 tahun dipimpin orang politik di Sabah membawa saya kepada satu sebab lain yang kita jarang ambil tahu.

Fasa pertama: Senyuman orang yang mula berjinak-jinak dengan politik-

Mula-mula dipilih menjadi calon. Senyumannya ke serata mana-mana kampung yang dilawatinya bersama 'orang-orang besar' kerajaan. Peluk sini sana, senyum. Jabat tangan sini sana, senyum. Satu kali bisik, senyum. Dua kali bisik pun senyum. Lagikan bergurau, gelak ketawa sakan. Dalam jamuan ramah mesra bersama rakyat, senyuman tak pernah lekang dari bibir. Letih-letih, simpan saja, senyum lagi. Asalkan dapat perhatikan orang kampung membalas senyuman, senang hati. Permulaan untuk meraih sokongan. Selesai sesi 'lawatan' desa-ke desa, sempat tinggalkan pesan dan berakhir dengan senyuman.

Fasa Kedua: Senyuman orang politik menang pilihanraya-

Wah! yang nie senyuman 24 jam. YB baru senyum sendiri, membalas senyuman di kiri kanan ,depan belakang. Siapa pandang siapa, saling tersenyum. Siapa yang tidak mahu meraihkan kejayaan dengan bunyi gempita. Senyuman beribu-ribu, ribu ribu lemon.. hehe. Satu perasaan yang sangat lega melepasi ranjau pertama. Pegang telefon, senyum. Menikmati hidangan, senyum. Mencurah ucapan tahniah.

Fasa Ketiga: Senyuman orang politik bergelar YB-

Senyum bangga berkhidmat untuk rakyat. Berbaju kot, beg ala James Bond, masuk DUN, bersidang, senyum lagi. Jumpa orang politik senior, senyum. 2-3 tahun bergelumang dengan dunia politik mula dapat tips, tau selok belok politik, senyum. Mula la dengan kesibukan, kurang jenguk desa nun pinggir bandar, lagikan yang jauh ke pedalaman. Hantar wakil cukup atas alasan banyak kerja. Perayaan besar baru muncul umum sumbangan konon bantuan ikhlas. Kemudian selalu hilang. Desa mulai kehilangan senyuman YB yang dulunya mesra rakyat. YB sudah tau memilih bila perlu tersenyum. Senyuman jenis ini ialah senyuman jaga hati orang tertentu. Nak kekal kuasa. Senyum sambil 'berjabat tangan'. Dengan orang kampung, tinggal tersengih.

Fasa Keempat: Senyuman YB yang sudah lama dalam politik-

Senyuman jenis ini antara nampak dan tidak nampak. Selalunya tersenyum sendirian. Tengah-tengah malam pun tersenyum sambil tangan diletakkan di dahi memikirkan peluang mengaut keuntungan sudah di depan mata. Biasa la YB yang sudah pandai mencongak 'komisen'. Tau kira untung poket. Peruntukan mencurah datang. Lagi la tidak keruan. Keluar la idea 'side income' dan berdenyut-denyut dalam fikiran 'gaji tak kacau!". Senyum sorang-sorang di bawah cahaya remang rembulan. Ini belum lagi berurusan dengan orang-orang bisnes yang saling bersaing meminta perhatian YB. Maka adalah 'sagu hati' untuk YB agar memenangkan tender dan sebagainya. Lagi la senyuman YB bertambah galak. Harta karun mencurah-curah atas meja menengelami fail rakyat. Rasa-rasanya la senyuman seperti ini menyerupai senyuman sang serigala jadian bila malam bulan mengembang penuh. Semakin bernafsu bila laluan kerjaya politiknya bersinar 'keemasan'.

Fasa Kelima: Senyuma veteran politik-

Senyuman puas kerana berkelimpahan. Waktu ini sudah mula 'mengaktifkan' akaun menjadi aset kekal. Kaut untung di desa, berbumbung di bumi lain. Senang-senang nanti bila bersara atau kalah dalam pilihanraya tiada apa yang perlu dimalukan, tidak perlu lagi melihat wajah orang kampung. Menyedari 'terlupa' tanggungjawab terhadap rakyat sehingga sahamnya jatuh, namun masih tetap juga tersenyum kerana perancangan untuk diri sendiri sudah berjaya. Bila-bila boleh bersara dari politik. Peduli apa lagi dengan politik. Peduli apa lagi senyuman masa kempen mula-mula dulu. Akhirnya berderai lagi airmata, rakyat terpaksa memilih sekali lagi, sesudah berkali-kali diabaikan.

FASA TERAKHIR!!! JANGAN ADA DAN ULANG LAGI SENYUMAN SEPERTI INI!!

Bukan semua orang politik bersikap buruk. Tapi yang malangnya, tempat kita berpanjangan karena politik yang boleh dikategorikan buruk prestasi.

Wahai orang politik, kasihan orang kampung. Warga desaku, kali ini bangkit la. Kita tidak perlu setia pada mereka yang sudah lama terlupa asal usul perjuangan. Bina semangat baru. Ganti mereka dengan bakat kepimpinan baru, yang dalam susah senang rakyat, dalam susah senang pemimpin sama-sama TERSENYUM. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama-sama bangsa lain membina kesejahteraan hidup.

Monday, February 09, 2009

Peruntukan Perlu Sampai Kepada Sasaran

Saya kurang arif akan pengurusan bajet untuk kawasan pilihanraya. Saya juga tidak tahu bagaimana peruntukan tersebut dikelolaka mengikut keutamaan kerana sangat banyak isu yang berbangkit atas harapan rakyat yang mahukan kemajuan.

Mengikut pengumuman peruntukan untuk kawasan adun, lebih kurang berjumlah RM400k. Jika sejumlah ini yang dikhususkan untuk pembangunan kawasan, gunakan SEPENUHNYA peruntukan ini tanpa melibatkan sebarang kepentingan yang bersifat peribadi. Jangan banyak tangan yang pegang wang peruntukan.

Ikutkan cerita orang, peruntukan sampai kepada adun. Adun kepada PKR (Pemimpin Kemajuan Rakyat). PKR kepada individu A untuk pengurusan. A bagi kepada B untuk menyampaikan peruntukan kepada pihak kontraktor. Kontraktor kepada sub. Sub kontraktor atur pekerja. Kalau macam ni, tidak hairan la 50% daripada peruntukan akan hilang, mengenyangkan perut beberapa pihak. Tidak termasuk duit saguhati nak jaga hati pihak tertentu. Hasilnya, perancangan asal naiktaraf jalan tidak sampai sekerat pun yang selesai. Hanya 5% daripada kemampuan sebenar perlaksanaan kemajuan.

Di mana silapnya? Orang kita juga susahkan orang sendiri.

Thursday, February 05, 2009

Terdesak Atau Eksploitasi?

Mengejutkan, mengujakan, sedikit pelik, banyak tanda tanya. Itulah gambaran dalam perasaan saya ketika ini. Ketika mengetahui perkembangan tentang senario politik terkini di Perak, saya mulai tertanya-tanya motif mereka yang terlibat dalam 'drama sandiwara minggu ini'. Ini tidak termasuk kemelut yang ditimbulkan oleh adun Bota. Sejarah baru terlakar dalam episod politik tanahair. Lompat parti, 10 hari kemudian, lompat lagi ke pangkuan asal. Barangkali menyedari tiada peluang dalam hireraki politik melihat kepada situasi terkini yang dihadapi PR?

Tanpa melalui sebarang tapisan Jawatankuasa Penilaian UMNO, kedua-dua adun diterima dengan pintu terbuka luas. Umum mengetahui bahawa karekter dua adun ini telah dipertikaikan di akhbar sehingga 'menjejakkan' isu mereka menjengah ke ruang mahkamah. Namun, atas nama politik, semua prosedur kebiasaan yang diamalkan UMNO diketepikan tanpa perlu menganalisa pro dan kontra. DAP juga terkena tempias huru-hara politik apabila satu daripada adunnya juga turut mengistihar dirinya sebagai calon bebas tapi kelihatan bersama Datuk Seri Najib dalam sidang akhbar.

Terdesak untuk menghukum PR atau masanya sudah tiba untuk melempiaskan 'kebungkaman' jiwa akibat penangan PRU 12 baru-baru ini? Mungkin hanya dengan cara ini, mereka dapat menjawab segala keremukan hati yang menyeringai di dada UMNO akibat dikerjakan oleh pengundi tsunami dalam PRU12 lepas. Saya tidak tahu apakah kesudahan polemik politik Perak. Jika berjaya menubuhkan kerajaan baru, ia pasti dilihat sebagai satu permulaan baik kepada Datuk Seri Najib yangbakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri mac ini.

Buat waktu ini, semua akhbar utama tempatan melaporkan 'keriangan' tidak bertepi 'kejayaan' BN menumbangkan kerajaan PR di Perak. Namun perlu diingatkan, 3 adun berkenaan berstatus calon bebas tapi disifatkan sebagai rakan kepada BN. Apa sahaja kemungkinan akan berlaku.

Ujian bagi PR untuk memperlihatkan karekter mereka. Apakah mereka berjaya menampilkan ketenangan dan stamina politik dalam menghadapi waktu mencabar. Semuanya akan diperhatikan rakyat. BN pula harus membuktikan sesuatu yang releven untuk mempastikan Perak bukan sekadar satu mimpi indah. ASASNYA ialah, sesiapa sahaja yang memegang tampuk kerajaan, mereka harus telus sejajar dengan aspirasi rakyat.

Ingatlah... kemelut ini menjengkelkan. Anda diperhatikan.

Wednesday, February 04, 2009

Anwar Perlu Bertanggungjawab.

Kekalutan yang berlaku di Perak sekarang sangat memberikan gambaran yang membuatkan kita tertoleh kepada sejarah politik lampau. Sabah suatu ketika dahulu pernah digegarkan dengan isu lompat parti yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PBS di bawah pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (kerajaan pembangkang waktu itu ).

Kerajaan PR di Perak seperti di hujung tanduk kelihatan bakal mengalami nasib yang sama dengan kelebihan cuma 3 kerusi apabila dua adunnya bertindak keluar parti. Tidak termasuk ura-ura seorang lagi ADUN yang berhasrat untuk menyertai MCA.

Kronologi kemelut politik terkini bermula sejurus kemenangan membanggakan PR menawan beberapa buah negeri termasuk kejayaan mengurangkan jumlah majoriti calon kerajaan kepada skala yang lebih kecil ketika berlangsungnya PRU 12 yang lepas.Satu situasi yang memperlihatkan peningkatan sokongan kepada pakatan pembangkang. Bermula dengan semangat ‘kerajaan’ 16 September yang mensasarkan ahli politik Sabah, kemudian beralih ke lubuk baru di Negeri Sarawak dengan harapan percubaan mencetuskan Tsunami baru untuk memujuk Yang Berhormat Bumi Kenyalang menyertai gagasan PR. PKR yang tidak kering usaha pernah menyongsong ke luar negara untuk mengadakan tawar-menawar dengan sekumpulan ahli Yang Berhormat BN yang sedang melakukan lawatan ke Taiwan supaya melompat parti. Dua negeri lain yang menjadi sasaran ialah Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terdesak untuk membentuk kerajaan PR dan obses untuk menyandang jawatan Perdana Menteri menyebabkan Anwar membenarkan dasar parti membuka ruang lebih besar kepada idea lompat-melompat. Kejayaan meyakinkan adun Bota menyertai PKR sesuatu yang dilihat sebagai satu permulaan kepada lebih ramai lagi yang akan ‘menyeberang’. Sudah tentulah boleh juga dianggap tindakan adun Bota sebagai satu prinsip perjuangan dan atas nama membela rakyat. Namun Anwar tidak pula begitu gembira dengan perkembangan terbaru melibatkan PR Perak.

Sangat aneh bila Datuk Seri Anwar tidak meminta adun Bota supaya mengosongkan kerusinya untuk laluan pilihanraya kecil. Sebaliknya dua adun mereka yang keluar parti telah dianggap telah mengkhianati keprcayaan rakyat dan didesak supaya mengosongkan kerusi dan meminta Suruhanjaya Pilihanraya supaya mengadakan PRK.

PR juga telah mendedahkan bahawa dua adun tersebut telah meletak jawatan melalui satu surat tidak bertarikh. Sebelum ini Anwar memainkan peranan besar atas kejayaan memujuk sebilangan ahli Yang Berhormat sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PBS dan memberikan laluan kepada parti UMNO memerintah Sabah. PBS mengemukakan cara yang sama menyertakan bukti surat perletakan jawatan adun yang melompat parti tetapi tidak bertarikh dan akhirnya tidak disahkan. Bagaimana Datuk Seri Anwar boleh lupa dan menggunakan taktik yang sama, mengiktiraf bahawa surat perletakan jawatan dua adun tersebut sebagai sah?

Anwar mengiktiraf idea lompat-melompat dan dia adalah individu yang perlu bertanggungjawab terhadap kucar-kacir politik. Disebabkan itulah draf undang-undang Anti Melompat tidak begitu digemari Pakatan Rakyat bila dikumandangkan di parlimen. PR nampaknya lebih gemar kepada keributan ideologi daripada mententeramkan taufan politik. PR harus menampilkan sifat tenang dalam keterampilan politik agar mudah mengajak rakyat menghayati perjuangan mereka

Monday, February 02, 2009

Coret Kimaragang: Menangani Konflik Kepentingan Sosiologi Bumi Marudu

(Sudah lama tidak menulis. Bukan tidak mahu menulis tapi demi untuk menghormati permintaan tekong agar memberikan tempat kepada entri pemilihan logo.)

Tahun baru, ilatizam yang baru dengan harapan dapat melihat Tandek dan seluruh kawasan Kota Marudu jika bukan secara drastik, dimaksimakan secara perlahan-lahan dalam semua segi yang memangkin pemupukan kemajuan dan pembangunan kawasan, pengurusan etika dan budaya kerja termasuk menyoroti aplikasi dan perspektif politik agar selari dengan aspirasi dan kehendak rakyat . Kita boleh sahaja beranggapan secara santai bahawa tahun baru sekadar satu peralihan waktu semata-mata tanpa melihat bahawa ada dimensi lain yang lebih besar malah lebih mencabar. Tugas berat menanti menuntut setiap satu individu agar lebih fokus dan siaga dalam menangani konflik tempatan iaitu bagaimana mengurus kepentingan sosial dalam mentransformasikan masyarakat kepada satu kelompok komuniti yang lebih berinisiatif, dinamik dan kompetetif.

Ramai di antara kita yang mengabaikan makna kepentingan sosiologis dalam menghadapi konflik tempatan, nasional dan era globalisasi. Ketika Kota Marudu secara keseluruhannya terkapai-kapai, lesu zaman berzaman, antara suara bangsa yang tidak didengari dan kurang diendahkan, masyarakat dibebankan oleh keretakan pengukuhan jati diri dek sergahan rantaian isu sosial seperti penyimpangan moral, ketidakseimbangan sosio ekonomi, kemuraman dalam aspirasi politik dan beberapa masalah lain yang merencat nadi Kota Marudu.

Jika diperhatikan secara berhemah, timbulnya permasalahan ini adalah akibat bersumberkan daripada kegagalan masyarakat menyedari peri kepentingannya akan tanggungjawab sosial diurus secara sepakat dan diusahakan secara bersama. Tidak dapat tidak, Kota Marudu sebenarnya tidak dapat melarikan diri daripada konflik dalam kehidupan bermasyarakat. Makna sosiologis itu sendiri membawa pengertian nilai hubungan kemasyarakatan. Sebarang kelongaran dan kegagalan dalam menghayati nilai kemanusiaan membawa kepada konflik kepentingan.

Konflik kepentingan inilah yang harus diberikan perhatian, dikelola dengan mempunyai tujuan khusus yang murni. Yang ingin saya sentuh iaitu sedikit bahagiannya daripada kepentingan sosiologi ialah prinsip tanggungjawab dan pengendalian diri. Secara sosiologisnya, kepentingan tersebut berhubungkait dengan kehidupan manusia iaitu bermasyarakat dan keseimbangan jati diri.

Sebagai contoh saya khususkan perhatian kepada Kota Marudu, dalam ketidakseimbangan sosial ekonomi misalnya, terjadi jurang besar seolah-olah wujud 'pelbagai bentuk lapisan masyarakat' yang dibayangi kesukaran dalam upaya mereka mengakses segala kemudahan ekonomi. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada yang kais pagi makan untuk petang atau kais pagi dan petang, makan untuk keesokan harinya. Yang berhasrat memulakan perniagaan kecil-kecilan umpamanya menjual sayur-mayur, sekadar mampu menyelit antara ruang pejalan kaki tanpa perhatian prasarana yang berkualiti. Lapisan 'atasan' selesa dengan kuasa mengakses fasiliti ekonomi. Lapisan 'bawahan' bertatih-tatih. Hanya slogan 'berusahalah jika mahu maju' menjadi tali benang di antara orang yang berkepentingan dan dengan masyarakat 'bawahan' tapi tindividu 'besar' ini gagal memacu karisma dan kredebiliti kepimpinan dalam menyediakan semua faktor peluang dan ruang untuk dimanafaatkan sejajar dengan semangat rakyat untuk membangunkan hajat slogan 'berusaha jika ingin maju'.

Umumnya, memang sukar untuk mencapai keseimbangan kerana wujud perbezaan kepentingan antara masyarakat. Usaha untuk mengatasi jurang ini kekal menuju 'jalan mati' jika terus berlakunya konflik kepentingan yang bersifat individualistik.

Izinkan saya mendampingkan kepentingan sosiologi dengan fungsi politik kerana politik juga satu wadah besar dalam menganjak kebolehupayaan menyeimbangi segala graf sosial yang tidak sekata. Kepada mereka yang telah meng'hamba'kan dirinya kepada perjuangan politik membela rakyat, kikiskan sikap mementingkan diri sendiri dan 'jebak'kan sikap lebih cenderung menjadi makhluk sosial. Politik perlukan cita-cita besar yang bertunjangkan keikhlasan, kerendahan hati, kemurnian akal dan rohani dan upaya kerja yang lebih serius.

Antara yang boleh dilakukan ialah menyemai dalam diri akan kesedaran kolektif yang bermaksud jika anda 'politician' anda perlu mempunyai inspirasi terhadap diri sendiri, membentuk jati diri, pembawaan diri, kemudian menganjakkan sifat insaf dan rendah hati, membentuk satu kekuatan karekter yang boleh mempengaruhi individu lain lantas membentuk sekumpulan masyarakat yang dapat merefleksikan tuntutan memajukan bangsa. Proses ini perlukan pembentukan kesedaran yang dimulai dengan memahami, merasakan, dan mempraktikan prinsip yang disepakati bersama.

Dalam masyarakat majmuk, berbilang kaum, bangsa dan agama, kesedaran kolektif ini penting dan menjadi penentu intergriti sosial. Meskipun terdapat perbezaan dalam masyarakat sama ada dalam mengakses segala kemudahan, menginterpretasikan politik dan sosial, tetapi perlu ada kesatuan dan keterikatan. Sebagai contoh, ahli politik perlu menyatukan dirinya dengan aspirasi rakyat, terikat dengan cita-cita masa depan masyarakat kerana sasaran agenda perjuangan politiknya ialah harus membangunkan kawasan yang telah diamanahkan, menyediakan fasiliti, dimanafaatkan ruang dan membolehkan rakyat keluar daripada kemelut kehidupan 'menerokah' masa depan yang lebih luas dan terjamin.

Jika pemimpin rakyat hanya mementingkan kepentingan material, kepimpinan anda menimbulkan konflik. Konflik mencetuskan keberantakan sosial dan permasalahan akan menjadi lebih kompleks menjerat komuniti kepada kacau bilau peradaban bangsa.

Apakah sumbangan anda sebagai individu sosial?