TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, March 24, 2009

Redup Metrokota Dan Dia Yang Jauh dari Kuala Lumpur

Aku dan Kuala Lumpur, selalu berbeza di dalam tanya. Entah pagi ini engkau berkeras redup, memilih untuk tidak mengerti diriku. Barangkali engkau lelah mengekori kisahku. Tapi tarimu liar untukku mengerti pujukanmu, merumitkan kedewasaanku. Akukah yang telah membuatkan langitmu menangis? Kukira sudah tiba waktu, engkau lebih tahu kepada siapa aku berharap. Engkau memilih hujan pagi ini. Aku, lelaki yang enggan rebah ke ribamu.

Bahagiaku jauh dari metropolitan. Demi dia, aku akan mengakhiri pertanyaan-pertanyaan hidupku.

Monday, March 23, 2009

Coret-Coret Mini Bajet

Dengan suntikan wang sebanyak RM60b, seluruh Malaysia boleh menikmati kemudahan prasarana berkelas dunia jika secara total sampai kepada sasaran. Daripada RM60b, Sarawak mendapat RM15b, Sabah RM12b manakala selebihnya RM33b untuk negeri-negeri di semananjung. Dan apa jadi dengan RM1b sebelum pilihanraya yang dijanjikan kepada Sabah, Sarawak? Jika sudah disalurkan, ke mana pergi?

RM12b untuk sabah cukup.... cukup..... cukup banyak untuk membangunkan kemudahan prasarana di seluruh sabah. Kota jangan tambah bangunan untuk mencakar langit. Keluar sekejap dari angan-angan metropolitan. Berikan tumpuan kepada sistem jalanraya, kemudahan dan naiktaraf bangunan sekolah luar bandar dan asimilasi pendidikan, serta pembinaan asrama untuk keperluan pelajar luar bandar, perkhidmatan kesihatan desa, kemudahan jaringan komunikasi, naiktaraf perkhidmatan melalui suntikan teknologi di setiap kawasan pentadbiran daerah yang memudahkan urusan disegerakan. Satu daerah satu lata ilmu untuk menggalakkan orang ramai membaca. Itu saja. Lain jika perlu, bina bangunan yang menempatkan satu pusat pentadbiran. Tingkatkan keupayaan tahap keselamatan seperti balai polis dan balai bomba. Hantar anak muda berpotensi mendalami ilmu ke luar negara atau dalam negara mengikut keperluan spesifikasi masa depan pengurusan.

Jika katakan RM12b itu dibahagikan kepada 43 kawasan pilihanraya, di setiap daerah boleh menikmati kemudahan bertaraf dunia. Syaratnya, gunakan SEPENUHNYA bajet tersebut tanpa melibatkan kepentingan peribadi. Apa la yang akan terjadi kepada RM500k dan RM1j setiap tahun yang diperuntukkan kepada setiap ADUN dan MP? Jangan pula yang ini di'anggap' bonus poket dan tidak digunakan mengikut tujuan asalnya. Rakyat akan tetap bertanya.

Minggu depan akan disalurkan ke seluruh Malaysia sejumlah RM60b. Apa reaksi para pemimpin kita terhadap KUASA WANG? Maju agenda rakyat atau maju agenda diri?.. Kita perlu bersiap memerhatikan dan menuntut hak kita sebagai rakyat.

Friday, March 20, 2009

Mengimbau Silam: Dewan Tandek Diserbu

Ingatan singkat menerobos masa silam. Riuh satu Tandek orang kampung menyerbu Dewan Tandek gara-gara bantuan disekat dan dikurung di dalam dewan. Saya tahu siapa orang yang pertama yang membuka kunci secara paksa. haha... Maka bila pintu terbuka, berebut-rebut orang mengambil mesin pemotong rumput. Tumpuan lebih popular kepada zink, tong gas dan tempat memasak. Jentera besar seperti Kubota yang ada lebih kurang 4 buah tidak disentuh kerana agak besar dan sukar 'dilesapkan' dalam sekelip mata.

Selepas itu, beberapa hari kemudian kedengaran pihak berwajib melakukan operasi besar-besaran memburu balik barang-barang yang dibawa keluar dari dewan. Yang lucunya, diceritakan orang, ketika sedang memasak, mereka merampas gas dan tempat memasak tanpa sempat keluarga itu menyiapkan hidangan. Nasi tengah masak. Sayur tengah digoreng. Rampas tetap rampas. Yang bikin kasian tu orang bilang "Buli ka kasi siap dulu kami makan baru ambil. Rasa lagi dapur baru" Tapi teda. Kena ambil juga yoooong... Hehe.. Apa lagi mereka yang lain ada yang terburu-buru menanam barang-barang yang telah 'dicuri' dari dewan tersebut. Ada yang dijumpai kembali kerana mudah dikesan timbusan tanah. Ada yang marah dan bantai dapur gas sampai rosak teruk dan berkata "Nah! Ambil la". Ada juga atap zink sudah siap dipasang ,buka balik daripada bumbung rumah. Melopong orang kampung tengok siling tembus ke langit. Adeeh...

Yang saya tidak faham sampai sekarang ialah kenapa bantuan itu dikurung di dalam dewan dan dibekukan daripada disalurkan kepada orang ramai.

Dari Cerobong Desa:' Apa Guna Kemenangan Kalau Rakyat Tidak Gembira'

Kemenangan Parti PBS dalam pilihanraya baru-baru ini khususnya di N5. Tandek disambut dengan nada yang berlainan. Tidak seperti sebelum ini. Sekalipun masih ramai yang melihat parti 'kesayangan' ini perlu menang setiap kali pilihanraya, warga desa mulai memperlihatkan rasa tidak senang dengan layanan politik terhadap undi mereka yang seperti tidak juga dihargai dengan komitmen yang wajar.

Saya tidak perlu lagi menyingkap sejarah PBS di Tandek kerana umum lebih mengetahui dan menikmati sendiri pengalaman perjuangan parti tersebut sejak kejatuhan Parti BERJAYA. Biar la saya katakan berdasarkan pengalaman saya sendiri bahawa rakyat pernah 'tutup mata' begitu sahaja dalam mempastikan kemenangan calon PBS di Tandek. Rakyat tidak pernah ambil tahu parti lain atau siapa calon di luar daripada parti PBS. Rakyat pernah sayang tidak berbelah bagi dalam memberikan sokongan total. Tidak ada perkara lain yang rakyat mahu lakukan setiap kali pengumuman kemenangan calon PBS selain meraihkan dengan penuh kesyukuran dan rasa kelegaan yang sangat mendalam. Tandek ini kebal dengan semangat kesetiaan dan dibuktikan dalam beberapa siri pilihanraya sejak tahun 1986.

Sesuatu yang menyedihkan bila kekuatan semangat seperti ini seolah-olah Tandek mempunyai akal 'primitif' yang seperti hanya tahu memberikan undi dan tidak mahu tahu apa keperluannya mereka mengundi. Orang politik kita senang. Mereka tidak pernah gusar kerana mereka tahu mengenai Tandek. Tandek tidak pernah ada sejarah menentang. Tandek tidak pernah ada sejarah berpiket. Tandek tidak pernah ada sejarah melakukan kekerasan dalam menuntut hak. Ini kerana Tandek kaya dengan sifat mulia seperti kerendahan hati, berlembut dan tinggi rasa hormat. Keharmonian selama ini yang menjadi payung masyarakat juga semata-mata kerana lahir daripada keikhlasan bermasyarakat. Kukuh rasa kekitaan. Sehinggakan terbawa-bawa kepada perasaan bersatu dalam satu wadah politik. Ini membuatkan orang politik kita 'buta bakti'. Seolah-olah orang kampung tidak akan bertanya kembali apa bentuk perkhidmatan mereka selama menjadi Yang Berhormat. Sifat senyap orang kampung yang sekadar santai-santai dengan rungutan menjadikan YB kita tidak pernah rasa terancam kedudukan. Kalau ada suara tertentu bangkit, mereka dalam politik tidak biasa dan mulai menjatuhkan orang ini atas alasan itu suara pembangkang. Yang orang politik suka ialah rakyat yang tidak mahu bertanya apa yang sudah dilakukan untuk kawasan pilihanraya. Mereka suka rakyat kekal senyap, kekal 'buta melihat'. Kekal dengan kesetiaan. Maka mereka bangga dengan status KUBU KUAT. Dalam sejarah politik malaysia, terus terang saya katakan TANDEK menjadi sebut-sebutan KUBU KUAT Barisan Nasional (PBS). Luar biasa label yang diberikan kepada Tandek.

Harapan demi harapan terus disandarkan kepada PBS. Kemenangan Dr. Max melonjak semangat, menjadi satu saluran baru kepada suara rakyat khususnya di Tandek. Kerana apa? Dr. Max sendiri memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PBS dan sebagai pembantu kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu. Di tambah lagi dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Baru-baru ini dilantik ke jawatan menteri penuh. Maka rakyat mulai memandang status Tandek boleh mendapat perhatian mudah dari segi pembangunan dan landskap kawasan. Namun Tandek tetap sama. Malah semakin terabai. Sudah tidak ada lagi majlis bersama rakyat di adakan di dewan Tandek. Kali terakhir dewan Tandek digunakan, menjadi tempat 'kurungan' bantuan khas kepada rakyat umpamanya zink, jentera pembajak (kubota), mesin pemotong rumput, gas dan tempat memasak. Orang kampung pernah menyerbu dewan semata-mata kerana bantuan tersebut 'dibekukan' sehingga banyak perkara 'melucukan' menjadi bualan.

Penggal kedua Datuk Max, Tandek semakin lesu. Suram. Orang Tandek sendiri jika ditanya ke mana hendak pergi jawab mereka 'Bandau'. Apa sahaja barang keperluan, Bandau. Tandek semakin sunyi. Tandek seakan-akan merajuk. Rumput mulai meliar tinggi, menjadi semak yang menyakitkan mata. Wajahnya mulai rosak, bersembunyi daripada keindahan asal Halamannya kini menjadi tumpuan haiwan melata. Kerbau, lembu sudah tahu itu kawasan yang tidak dipedulikan manusia.

Dari tahun 1994, sebenarnya sudah ada suara mahu Tandek terus diberikan perhatian. Ada suara untuk 'MEMERDEKAKAN' Tandek. Ramai yang mahu Tandek dikembalikan kepada anak watan Tandek. Namun mereka ini dianggap pembangkang. Diugut melalui beberapa saluran. Kalau boleh mereka mahu suara ini mati begitu sahaja. Penggal ketiga (PRU 12) ada percubaan Datuk Dr. Max di Tandek, beliau berkeras untuk terus memegang dua kawasan, Parlimen Kota Marudu dan sebagai ADUN. Hasrat beliau ditentang kerana rakyat mulai marah. Datuk Max tidak dilihat sebagai orang tempatan. Selain daripada itu Datuk Max sendiri gagal dalam menangani isu kemuraman Tandek. Akhirnya Datuk Max mengalah tapi kemudian memilih proxinya, Puan Anita Baranting menjadi calon PBS. Pemilihan Puan Anita juga tidak disenangi kerana beliau bukan anak tempatan Tandek. Ia sekadar meneruskan legasi Datuk Max yang gagal mengangkat Tandek.

Pilihanraya ke-12 menyaksikan kemenangan Puan Anita tidak diraihkan dengan perasaan gembira. Kemenangannya semata-mata kerana sentimen sayangkan parti. Bantahan rakyat mulai terlihat melalui sokongan yang diperolehi oleh pihak pembangkang terutamanya PKR. Sangat jarang sekali ada sejarah dalam Tandek, calon pembangkang menang dengan jumlah undi melebihi 2 ribu. Selalunya akan hilang wang deposit. Kemunculan sulung Puan Anita menjadi gurauan. Ke mana sahaja beliau pergi, rakyat tersenyum sinis. Ditambah lagi dengan karekter yang tidak mesra kepada rakyat Tandek. Pekan Tandek terus malap. Beliau lebih banyak menjalankan program bersifat 'Tandek' di Kota Marudu. Hampir setahun perkhidmatan Puan Anita, Kota Marudu terus menjadi tumpuan apa sahaja majlis berkaitan Tandek manakala Pekan Tandek terus tengelam oleh semak samun menjadi sebuah kawasan yang menakutkan pada waktu malam. Kawasan sekitar semakin tidak terurus. Para peniaga (tokeh asal Tandek) mulai merungut bisnes down. Ada yang memindahkan operasi ke Kota Marudu dan menjadi humango Bandau atau taikun (ahli perniagaan berpengaruh). Tidak ada apa lagi potensi perniagaan di Tandek. Keadaan ini mencetuskan fenomena 'lusuh' mewarnai Pekan Tandek. Suara-suara popular mengatakan 'Satu penggal sahaja'. Tidak mengapa kali ini PBS menang. Sudah terlajak memberikan kemenangan kepada Puan Anita. Kalau Tandek begitu juga dan pendekatan Anita adalah kesinambungan ragam politik Dr. Max, PBS akan kehilangan cengkaman di Tandek. Rakyat tidak akan setia selamanya.

Ada beberapa anak muda bangkit berjuang untuk Tandek tetapi 'dicantas'. Datuk Max dan Puan Anita memasang strategi yang cuba melembutkan emosi warga Tandek. Mereka melantik orang Tandek ke jawatan PKR. Mengetengahkan orang Tandek dalam organisasi Pemuda PBS. Agak malang, Pemuda PBS menyalahkan warga Tandek atas kelesuan Pekan Tandek. Itu bukan salah pemimpin. Kata mereka itu salah rakyat. Salah orang Tandek sendiri kerana tidak mahu memajukan kawasan sendiri. Pemuda PBS perlu menjawab kepada warga Tandek atas kenyataan dangkal tersebut. Benarkah itu salah orang Tandek?

'Tiada guna kemenangan kalau rakyat tidak gembira". Jangan salahkan orang Tandek bila mereka sudah berputus asa. Rakyat sudah mulai hilang keyakinan. Tandek tidak hanya memiliki intelek di dalam organisasi Pemuda PBSnya. Di luar sana, para pemuda yang tidak berorganisasi tidak kurang intelek berganding bersama dengan suara-suara desa, memiliki kualiti bergabung mengorganisasikan pemikiran mereka yang jelas untuk bersatu DEMI Tandek. Mereka ini menikmati pengalaman dipimpin oleh sejarah yang menyedihkan. Mereka sudah cukup sabar. Orang Tandek belum BERBANGGA dan BERTUAH kalau ditanya tentang N5. Tandek.

Tuesday, March 10, 2009

Isu Datuk Max: Reaksi Mickey's Corner

(Sumber gambar: http://mt.m2day.org/2008/content/view/19014/84/- Malaysia Today)
Salah seorang daripada komentator blog ini (SRIXON) telah memberikan satu sumber link yang menulis mengenai isu moral Datuk Max. Sila copy dan paste link di atas dan baca untuk mendapatkan persepsi dari kaca mata anda sendiri.

Untuk pengetahuan SRIXON, saya sudah membaca artikel ini seawal pagi tadi. Saya sedang memikir-mikirkannya dari segi pro dan kontranya termasuk kredebiliti sumber.

Apa yang boleh saya katakan, Datuk Max berhak mempertahankan dirinya kerana kita 'demand'kan penjelasan beliau berikut kisah skandal ini. Tunggu beberapa hari ini. Sebenarnya beberapa kawan-kawan lain pun sudah memberikan reaksi terhadap artikel tersebut. Sila ke Blog Dr. Jurin Gunsalam atau ke Blog Tulun Kimaragang untuk membuat cakupan daripada beberapa sudut.

Saya tidak perlu terburu-buru 'menganalisis'nya kerana kita perlu lihat dari segi kekuatan artikel tersebut. Setakat ini kita BACA sahaja dulu. Beri juga peluang kepada KM membacanya. Kita tidak perlu melangkaui keterujaan, kerana di depan kita ada sistem perundangan yang membolehkan seseorang berhak menjelaskannya. Tunggu reaksi Menteri Persekutuan kita ini.

Saya sekadar memaparkan gambar ini untuk tatapan KM. Biar KM melihat sendiri daripada kaca mata rakyatnya tentang apa yang diperkatakan terhadap Max. Buat masa ini ada pemangkin. Ajak rakyat KM ambil tahu dan selepas ini PERLU TAHU 'mengorak langkah' sesuai untuk memberikan pengajaran politik kepada beliau.

Gambar ini kita boleh ambil sebagai bukti. Tapi belum kepada artikel. Biar pihak tertentu membuka fail dan buat kerja mereka. Cukup la kita mengutip isu moral jika berdasarkan gambar dahulu. Sebagai pemimpin, beliau patut lebih tahu SABAH dan KOTA MARUDU keseluruhannya terhuyung-hayang bertahun-tahun menjadi boneka - tapi beliau masih boleh bersenang lenang. Ya, boleh saja kita katakan itu satu privasi. Tapi bila media tertentu paparkan, siapa yang dapat mengelak daripada berfikir-fikir? Pertanyaan kita ialah tidak cukupkah dengan majlis yang rakyat Sabah/KM mahu berkongsi gembira sambil pening-pening selama ini? Tidak cukup ka keraihan tahun baru atau majlis harijadi atau ulang tahun perkahwinan mereka selama ini sambil pening-pening? Ia belum lagi kalau kita sangkut pautkan dengan isu moral yang tiba-tiba dikesan media.

Rakan-rakan Marudian sekalian - mari kita berfikir sekejap. Kita jusahpergi kepada artikel. Kita tidak dapat melihat sejauh mana ketepatan kandungan artikel tersebut. Untuk gambar seperti ini, Mickey's Corner sangat 'terasa' Kota Marudu dan Tandek miskin untuk paparan mewah seperti ini. Adakah gambar ini menjadi 'hadiah' kepada kesetiaan undi selama ini? Saya berani bertanya soalan ini dan mempertikaikan kredebiliti dan karekter Max kerana mata rakyat miskin MELIHAT!. Apa lagi kalau Datuk Max sudah lama diperhatikan prestasinya sebagai adun (bekas) dan MP. Tanggungjawab Datuk Max membuktikannya.

As a voters, we DEMAND explanation......

Sungai Tingkalanon Dan Mitosnya

Sekalipun kami tidak tinggal di kawasan kawalaian (perumahan) Kg. Tingkalanon (mendiang bapa membina rumah atas tanah sendiri) dan jauh daripada kelompok masyarakat yang begitu meriah, mesra dan bersatu-padu, tetapi itu tidak pernah menghalang saya daripada 'bermanja-manja' dengan kampung sendiri. Saya kadang-kadang cemburu melihat anak-anak kecil Tingkalanon begitu 'cantik' gurauan sesama sendiri mereka berkongsi permainan tradisi, seperti bermain bedes, guli, tubau atau menerbangkan layang-layang yang selalu tidak menjadi. Kisah aman Somoto yang saya kagumi kebijaksanaan menghiburkan rakan-rakan, titikan kulintangan sdr. Josep Majuna yang mengasyikkan, ketangkasan sdr. Mailon Pawai dalam gerak seni Garuda Emas (nama asal Seni Tinjauan), termasuk la kerendahan hati seorang ketua kampung Aki Pawai yang sentiasa bijak dan bernas menyelesaikan masalah penduduk. Ramai lagi individu yang tidak sempat saya tulis di sini. Saya banyak bertanya kepada bapa apa sahaja berkaitan dengan Tingkalanon kerana ini sahaja la satu-satunya cara saya merasakan diri bersatu teguh dengan kominiti lain sebagai anak Tingkalanon.

Alkisah, mitos ini begitu mengkagumkan saya. Saya sentiasa mengharapkan dapat bertembung dengan salah satu mitos ini.

Mitos pertama, RAJA BATU. Mengikut cerita bapa, sekali dalam setiap 10 tahun(?) akan turun Raja Batu mandi di sungai Tingkalanon pada waktu bulan mengembang penuh. Bila dikisahkan bapa pernah menyaksikan kejadian 'pelik' ini semasa muda dulu. Menurut bapa, bila Raja Batu turun mandi, air sungai mendidih keras dan beratus-ratus batu-batu berloncatan dalam satu tempat itu sahaja. Kata bapa, sesiapa yang berkesempatan 'mandi' bersama Raja Batu akan memberikan 'kelebihan' kepada badan. Caranya ialah dengan masuk di di antara batu-batu itu dan mandi bersama 'mahkluk' tersebut. Ternganga mulut saya mendengar kisah ini. Saya suatu ketika dulu sekali sekala datang ke sungai Tingkalanon di tempat yang dikisahkan bapa semata-mata mahu mencuba 'nasib baik' untung-untung dapat menyaksikan sendiri peristiwa tersebut. Sehingga sekarang cerita itu tinggal kenangan. Sungai Tingkalanon dulu jernih dan dalam. Sekarang, sudah jauh daripada rupa asal.

Mitos kedua, NAGA. Berdekatan dengan lokasi Raja Batu mandi, ada sebatang kayu besar sebesar 2-3 pemeluk merentangi sungai. Kononnya, pernah juga orang 'menakik' kayu tersebut dengan dangol dan mengeluarkan air berwarna seperti darah. Pada suatu malam, datang liyud (banjir besar) dan esok paginya kayu itu hilang. Ada yang mengatakan kayu itu adalah Naga yang sedang bertapa dan bila datang banjir besar, kebetulan Naga itu sudah habis bertapa dan menyusur liyud keluar dari tempat persembunyian. Sangat menghairankan, kayu yang kedua-dua hujungnya tertanam kukuh di celah-celah tanah dan rekahan batu boleh hilang begitu sahaja.

Mitos ketiga, Harta Karun. Zaman Jepun dulu semasa menakhluk Malaya, tentera Jepun pernah sampai ke Kg. Tingkalanon dan bercampur gaul dengan masyarakat. Kekalahan mereka dalam perang dunia-2 memaksa mereka kembali ke tanah lahir. Masalah mereka ialah harta terkumpul tidak dapat dibawa balik. Lalu mereka mengambil keputusan menanam harta karun tersebut dan menimbusnya dengan sebiji batu yang sangat besar. Ada usaha pihak-pihak tertentu cuba melakukan carigali tetapi tidak berjaya. Usaha ini kemudian dihentikan atas nasihat ketua kampung kerana banyak masalah timbul semasa cuba menggali 'harta karun' tersebut. Sehingga kini, 'harta karun' terus menjadi bualan tetapi tidak ada sesiapa lagi yang berani mengusik tempat tersebut.

Ketiga-tiga mitos ini lokasinya adalah di tempat yang sama. Jika anda ingin mengetahuinya, anda boleh melihat dalam peta, terdapat satu lekuk atau 'ladam' yang terbentuk. Di situlah tempatnya. Di sana, airnya dulu dalam dan jernih. Tempat orang kampung managou, bermandi manda atau menjala ikan. Tempat itu juga dikatakan bekas pertapaan orang-orang dulu. Kawasan tersebut ketika dahulu saya melalui tempat ini, sangat berbau harum. Mengikut orang-orang tua, kawasan yang berbau harum adalah sangat sesuai untuk tujuan pertapaan. Jika entri saya sebelum ini, rumpun bambu yang pernah 'mengganggu' orang juga berdekatan dengan lokasi ini. Kawasan hutan sekitarnya juga adalah hutan asal atau hutan dara yang belum pernah lagi 'ditoreh' oleh aktiviti penebangan atau pembangunan.

Sekarang ini sudah ada perubahan bentuk muka bumi akibat keperluan sara hidup dan permintaan pasaran seperti penanaman getah berkelompok dan kelapa sawit. saya masih berharap kawasan hutan tidak 'diasak' sesuka hati secara melampau-lampau. Kesedaran akan kepentingan penanaman berbentuk komersil penting tapi perlu diurus secara teratur. Lindungi hutan kita. Itu khazanah tidak terhingga. Sumber ubat-ubatan, meramu akar, kayu-kayan atau aktiviti memburu (secara terkawal), di sana juga kita pergi.

Saya percaya, para pembaca mempunyai kenangan tersendiri di Tingkalanon. hehe

Monday, March 09, 2009

Catatan Kimaragang: Hanya Sebuah Kisah Kecil

Ada banyak kisah yang memupuk tauladan. Kisah kebijaksanaan kecil ini yang walaupun sekadar sebuah kisah, impaknya boleh mengembang manjadi satu daripada tunjang sejarah bangsa-bangsa yang perkasa. Siapa sangka kisah si kecil Hang Nadim yang sekadar mengusulkan idea berbentengkan batang pisang menyelamatkan Singapura dilanggar todak.

Izinkan saya menyentuh sebuah kisah kecil, seorang bijaksana yang berpesan kepada dua orang anaknya. Sebelum itu, jika anda ditanya, "Bagaimanakah caranya menjadi KAYA?" Setiap kita mempunyai menifestasi tersendiri dalam mengetengahkan konsep kaya yakni jika tidakpun kaya harta tapi kaya ilmu, kaya etika, kaya jati diri, kaya budi, kaya akhlak, kaya bahasa, atau kaya sifat insani. Atau persoalannya "Apakah kita memiliki satu ramuan khusus untuk menjadi kaya untuk dikongsikan kepada anak-anak bangsa?". Alkisah orang tua bijaksana ini meninggalkan harta kekayaan dengan satu pesan kepada dua orang anaknya. "Jika kamu menjadi kaya, lakukan la tiga perkara ini. Pergi kerja JANGAN KENA MATAHARI, MAKAN PUAS-PUAS dan TIDUR PUAS-PUAS".

Anak pertama mempunyai cara tersendiri dalam mengaplikasikan nasihat ini. Dengan kekayaan yang ada, sememangnya tidak mempunyai masalah untuk merealisasikan semua pesan tersebut. Apa yang dilakukannya? Nasihat pertama, pergi kerja JANGAN KENA MATAHARI. Dia memikirkan yang grand dalam menjana idea. Untuk mengelakkan daripada terkena matahari, Sepanjang laluannya ke tempat kerja dibina bumbung bagi mengelakkan terik matahari dan hujan. Berjalan la anak muda ini dengan bangga. Tapi kekayaannya semakin menyusut kerana kos pembinaan laluan yang tinggi. Anak muda ini fikir, nasihat pertama ayahnya tidak berguna. 'Mungkin nasihat ke dua MAKAN PUAS-PUAS akan menjadikannya lebih kaya' fikir anak muda ini. Lalu mula la berbelanja dengan makanan yang sedap-sedap. Di mana restoran atau hotel yang menyajikan masakan yangsedap-sedap, di situ anak muda ini berada menikmati hidangan tanpa had. Hasilnya tidak juga kaya-kaya. 'Nasihat ini juga tidak berguna' fikirnya lagi. Nasihat ke tiga adalah usaha terakhirnya untuk menjadi kaya. TIDUR PUAS-PUAS. Maka mula la dia berbelanja menghias biliknya dengan katil berjenama import. Tebal dan menyelesakan. Tidak puas dengan dreamland tukar pula ke jenama lain. Tidur tetap nyenyak tapi kekayaan yang dimilikinya sudah susut dan akhirnya hidup miskin.

Anak kedua mempunyai idea lain. Idea sederhana dan konvensional. Dia pergi kerja seawal jam 4-5 pagi. Hari masih gelap. Tanpa banyak merungut dia keluar kerja ketika orang lain masih tidur. Bila sehari suntuk bekerja dengan daya yang bersungguh-sungguh, anak muda ini tidak sedar hari sudah gelap. Dengan keadaan yang sangat lapar dan letih, dia pulang ketika lampu jalan sudah mulai menerangi alam. Setiba di rumah, oleh kerana sangat lapar, nasi yang tinggal pagi tadi (topod) dimakannya bersama ikan masin sepuas-puasnya. Tetap bahagia hatinya. Selesai makan, badannya yang keletihan perlukan rehat yang cukup. Lalu dia menghamparkan bidai, tidak peduli sekalipun di ruang tamu, lalu membaringkan badannya dan tidur la anak muda ini sepuas-puasnya. Inilah yang dilakukan oleh anak muda ini saban hari. Harta kekayaan peninggalan ayahnya tidak terusik sedikit pun malah kesungguhannya dalam mencari rezeki memberikan rahmat berkelimpahan dan menjadi seorang kaya yang sederhana dalam hidupnya.

Kisah ini sampai di sini sahaja. Anak muda yang bijak ini meninggalkan kepada kita satu kebiasaan yang sederhana tetapi membawa satu pesan masa depan yang sangat berguna dalam mengaplikasikan attitude. Barangkali kita tidak perlu bercakap mengenai kekayaan semata-mata. Sama ada harta banyak atau tidak memiliki kesenangan hidup, kehidupan tetap satu pemberian yang tidak ternilai di samping cara pembawaan kita menjadi penentu kepada persepsi kehidupan di antara bangsa-bangsa. Memperkasakan bangsa tidak bergantung semata-mata kepada sejauh mana anda berharta. Lebih daripada itu, kekuatan dalam menyemai disiplin atursusun kehidupan yang diurus melalui akal yang dinamik dan membudayakannya dengan hiasan rohani, intelek serta jelas di dalam misi dan visi. Kekuatan akal akan dapat mengubah keterampilan insani, sikap dan tindakan. Suburkan daya fikir kita dengan kerendahan hati di hadapan-Nya dalam menikmati ilmu pengetahuan sambil bersulamkan nasihat para bijaksana dan pesan ibu bapa. Kuasa akal membangun kendiri. Akal yang gagal atau sengaja tidak digunakan sepenuhnya akan menjadi musuh kepada kejayaan menjana kualiti bangsa.

Minda yang baik menghasilkan pilihan yang baik. Pilihan yang baik akan menghasilkan kualiti yang merangsang integrasi interpersonal dan logik bermasyarakat.

"NO INTELECTUAL PAIN, NO INTELECTUAL GAIN"

Oleh itu - kerja jangan kena matahari, makan puas-puas dan tidur la puas-puas. Nescaya kisah kecil ini mengejutkan juga lena bangsa.

Mengintai Kisah: Bagaimana Tingkalanon Mendapat Nama

Mendiang bapa selalu mengkisahkan kepada kami tentang cerita nenek moyang. Pada satu hari lain, saya bertanyakan kepada bapa apa maksud Tingkalanon dan mengapa nama itu dipilih menamakan sebuah kampung.

Menurut bapa, zaman lampau kampung yang didirikan di tepi sungai ini dihuni oleh sekumpulan penduduk yang tidak mempunyai ketua. Aktiviti harian mereka ialah bertani, bercucuk tanam, nelayan, menternak, memburu dan sebagai pencari sumber hutan seperti akar kayu untuk tujuan ubat-ubatan. Kampung tidak bernama ini sangat harmoni dan hidup bersatu padu. Sungai tersebut pernah terkenal dan dikunjungi oleh pedagang luar untuk berjual beli atau melakukan pertukaran dagangan (sistem Barter). Semakin hari semakin berkembang maju dan terkenal. Sehingga la pada suatu hari seawal pagi, hari masih gelap, kampung tersebut tiba-tiba diserang sekumpulan lanun ganas dan merampas harta benda penduduk. Kampung ini hidup di dalam ketakutan kerana mereka tidak mempunyai pejuang yang handal. Perkampungan ini kerap menjadi sasaran lanun selepas itu kerana kekayaan hasil buminya.

Keadaan ini berpanjang beberapa waktu. Pada suatu hari, sekali lagi lanun ini mengganas. Dalam keadaan kacau-bilau, muncul seorang pemuda berpakaian hitam. Kehandalan dan keberanian anak muda ini telah berjaya menghalau lanun keluar dari kampung tersebut malah berjaya mematahkan serangan lanun berikutnya seorang diri. Kehadiran anak muda ini telah menceriakan kembali penduduk desa berkenaan. Ketika ditanya siapakah namanya, anak muda ini ringkas menjawab "Nama saya Tingkah". Pemuda bernama Tingkah ini kemudiannya diminta oleh penduduk menjadi ketua mereka. Kehadiran Tingkah yang handal dan tinggi ilmu ini telah mengembalikan keamanan dan lanun tidak lagi berani mengganggu kampung tersebut.

Penduduk kampung kemudian berpakat menamakan kampung mereka sebagai Kampung Tingkalanun (Tingkah + Lanun)bersempena kehandalan anak muda si Tingkah dan kehebatan lanun yang menggerunkan mereka lalu mereka menggabungkan kedua-dua elemen iaitu 'kehandalan' dan 'digeruni' menjadi asas kesepakatan menamakan sebuah kampung. Hari ini kampung tersebut dipanggil Tingkalanon. Demikianlah kampung Tingkalanon mendapat nama.

Jika anda berkesempatan ke Jabatan Arkib Negeri atau Jabatan Tanah, anda akan melihat peta Sabah ditanda dengan titik warna merah kepada Kg. Tingkalanon, menunjukkan kampung Tingkalanon adalah antara kampung yang terawal sekali di Sabah.

Hari ini, Kampung Tingkalanon telah melahirkan ramai cendikiawan, ahli akademik, ahli politik terkenal, penjawat awam berpengaruh, termasuk melahirkan tokoh-tokoh budaya kimaragang. Ketua Kampungnya terkenal dengan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah penduduk dengan menggunakan kaedah 'lembut' dan berhemah. Pejuang-pejuang silam Kimaragang Tingkalanon selalu menjadi rujukan pihak British kerana kehalusan perjuangan yang berpaksikan diplomasi akal. Zaman millenium menyaksikan anak-anak desa Tingkalanon Bersama-sama dengan kampung-kampung lain sudah ramai memijak kaki ke universiti. Di bawah adalah peta kawasan yang diambil melalui Google Earth.