TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, May 28, 2009

Akan Kembali Lagi: Mickey's Corner Akan............

.... bercuti (balik Sabah) selama 13 hari bermula 29hb Mei 2009 (Jumaat) sehingga 8hb Jun 2009 (Isnin). Di rumah belum ada kemudahan untuk berinternet. Nasib baik la ada Astro. Buli lagi menghiburkan hati sambil menonton perlawanan akhir Piala FA antara Chelsea FC dan Everton. Kita jumpa lagi minggu depan.

Salam perjuangan

Tuesday, May 26, 2009

Letty's Blog: Kecewa Perangai Segelintir Penduduk Kota Marudu

Hari ni saya round blog. Saya tertarik kepada satu artikel. Saya perturunkan sebahagian daripada tulisan dan bacaan lanjut boleh lawat atau klik di sini LETTY'S BLOG.

'.....saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meluahkan rasa sangat sangat kecewa terhadap segelintir penduduk Kota Marudu yang menunjukkan sikap "tamak" terang2 didepan mata saya sendiri hari ini...'

Mulanya agak suspen. Saya terkenangkan beberapa isu panas kebelakangan ini dan rupanya saya tersilap. Saya teruskan pembacaan artikel ringkas tapi sebenarnya membawa satu isu besar yang perlu direnung-renungkan. Perhatian saya tertumpu kepada satu kunci isu iaitu TAMAK. Seorang kontraktor memohon bantuan yang dikhaskan kepada orang miskin. Sebut sahaja kontraktor, pasti jika bukan seorang yang memiliki aset, sekurang-kurangnya BERKEUPAYAAN mengakses beberapa bahagian daripada tawaran-tawaran projek, tender, etc yang dapat menampung kos sara hidup. Jika struggle pun tapi tidak sama dengan kesukaran yang dialami orang miskin.

Inilah keputusan sosial yang menyusahkan masyarakat. Saya pernah menulis mengenai bagaimana menangani konflik sosiologi (walaupun tidak terarah secara khusus kepada isu ini) yang menyentuh mengenai tanggungjawab kendiri yang mempengaruhi refleksi moral terhadap rantaian sosiologi dan pembudayaan jati kemasyarakatan.

Ketamakan membawa REBAH, memporakporandakan agenda dan membantut potensi-potensi baik yang berkembang dalam masyarakat. Tanpa sedar, jika membiasakan diri dengan gegaran keinginan yang melampau, manusia tidak dapat mengesani/menyedari sikap tamaknya. Ada ketikanya ketamakan menghalalkan cara berpaksikan alasan mahu mencari rezeki demi periuk nasi. Tapi jika NIAT bersekongkol dengan cara yang menyusahkan masyarakat, bangsa tidak akan ke mana. Jangan kerana anda tidak dapat projek, hak rakyat miskin anda projekkan juga.

Kepada mereka yang bergelar PEMAJU/KONTRAKTOR kepada atur-rancang agenda, berhemah satu cara. Berbudilah melalui apa sahaja cara yang boleh membangun segenap kepentingan secara bersama. Jika kontraktor beralasan bertati-tatih tapi yang lain dibiarkan merangkak, satu daripada sebab kenapa Kota Marudu terus dirundung malang adalah SIKAP ANDA!

Monday, May 25, 2009

Jemputan Ke Majlis Perkahwinan Waidah Sawatan & Tany Pudin

Tany Pudin & Waidah Sawatan
Lokasi rumah pengantin perempuan

PEMBERITAHUAN: Jemputan kepada semua STAFF SAM, ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan rakan-rakan serta pembaca budiman. Satu majlis perkahwinan akan diadakan di rumah, Tingkalanon. Tarikh perkahwinan 1hb June 2009. Peta lokasi seperti di atas. Kehadiran sangat-sangat dialu-alukan dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluangan masa kalian pada satu hari yang meriah bagi kedua-dua pasangan ini.

Catatan Balas Untuk Artikel SANGURU 'Realiti Atau Fantasi?'.

Klik gambar (hasil karya Sanguru) di atas untuk paparan penuh artikel beliau. Artikel saya tidak bermaksud untuk menentang siapa-siapa. Cuma bila orang kampung ada sedikit idea untuk menulis, ia tidak lebih daripada kerana keikhlasan untuk MEMBANTU sebagaimana ikhlasnya Sanguru membantu melalui penulisan dalam blog beliau. Mudah-mudahan sekecil idea ini, dapat mendekatkan cara yang sesuai kepada suara-suara orang kampung.

Lazimnya, ada kalangan orang kampung yang datang bertemu YB dengan nada yang tidak 'MENYELESAKAN'. Mungkin tidak selesa kalau setting pemikiran YB kita sekadar diorientasikan oleh sesuatu yang bersifat luaran. Yang memandang permintaan orang kampung ini dari satu sudut yang menyempit. Mendengar sahaja orang kampung minta duit, reaksi yang terpampang di skrin minda ialah 'ORANG-KAMPUNG-MINTA-DUIT'.

Bagi orang politik yang peka dan tajam cara untuk mendekati suara-suara kampung begini pasti ini satu alternatif untuk BEKERJA/MENGERJAKAN ASPIRASI dengan orang kampung. Daripada situasi buruk, susulan idea akan tetap mencantikkan hasilnya jika tahu cara. Sebagai contoh bagaimana MENGERJAKAN AKAL ketika berdepan dengan 'mentaliti' begini. Di sinilah cara terbaik untuk mengkomunikasikan 'mentaliti' orang kampung kepada satu proses baru, idea baru yang dapat mengembalikan kepada rakyat satu platform kemajuan yang dapat menjawab rintihan-rintihan desa.

(Jika YA pun ada orang kampung minta duit) Kalau rakyat minta duit pasti ada sesuatu yang perlu DIGALI. YB boleh berinisiatif, selami hati mereka kenapa mereka merayu minta duit. Bertanya kepada orang kampung "Untuk apa minta duit?". Orang kampung kalau bercakap 'tiada makan sebab tiada tanah, sawah, kebun, meskin dan sebagainya..' cakap orang kampung seperti inilah yang perlu diSCREENkan dalam minda. Waktu ini YB tidak perlu fikir mau bagi duit atau tidak. Fikirkan SUMBER masalahnya. Di sinilah sebenarnya cara 'bekerja' dengan orang kampung.

Jika tiada tanah, tiada sawah, tiada kebun.... Bagaimana menjelmakan rintihan ini menjadi satu industri desa yang mengubah wajah landskap ekonomi sekaligus menganjak bangsa yang 'bertinggung dan merayu' kepada minda kelas membangun jika tidak minda kelas pertama.

Bagaimana? YB sudah diangkat untuk MEMIKIRKAN cara. YB juga ada team yang telah dipilih. UBAH wajah desa.

Friday, May 22, 2009

SAM: S-ayangi A-nak M-erdeka











Klik di sini (SEMPENA KEMPEN ANTI-DERA SAM)

Kepada kanak-kanak

Berikan mereka cinta
Kerana jiwa kita terlebih dahulu
Telah disayangi

Rahsia kedewasaan

Kepada Kanak-kanak
Berikan mereka jalan
Kerana jejak kita terlebih dahulu
direncah pengalaman

Suluh iktibar

Kepada kanak-kanak
Berikan cahaya
Kerana akal kita terlebih dahulu
mendakap sirna

Hikmah kemanusiaan

Kepada kanak-kanak
Berikan mereka doa
Kerana kita terlebih dahulu dipanjatkan
ke gerbang syurgawi

Sujud seorang bapa
Dan tunduk seorang ibu

Mengapa gagal jua
Memberi cinta
Merentang jalan
Menyuluh cahaya
Berlembut di dalam doa
Sekalipun mengasihani
Dia bernama manusia
Merenggut nyawa

Sendu hatiku Sendu
Kelu lidahku kelu
Tunduk tersiat malu
Terjaga terbangun pilu

Kanak-kanak kecil ini
Sudah pun pergi jauh

Bila manusia sesat akal
Mengikis kemanusiaan
Hilang perikemanusiaan

Tuesday, May 19, 2009

Surat Terbuka Kepada Anonymous

Sila baca komentar saudara anonymous di Blog SAM atau klik di sini Anonymous 'BILA DUSUN TERBELA?'. Saya tertarik dengan isu yang diketengahkan oleh beliau. Nyatalah daripada cara menganyam narasi rasa, saya berpandangan beliau berfikiran jauh, kritis, pintar dan berkeyakinan. Namun di sebalik kekuatan tulisan beliau, banyak perkara yang lain yang perlu dicerakinkan. Terus-terang saya katakan, tidak ada niat mengecilkan segala niat yang terkandung di dalam komentar beliau. Dengan rendah hati, izinkan saya menulis surat terbuka tanpa sebarang kompromi dengan prasangka membuta tuli. Diingatkan bahawa tulisan ini tidak ada kena-mengena dengan 'polemik' persatuan sebagaimana yang timbul dalam beberapa blog rakan-rakan.
********************************
Salam saudara anonymous. Alangkah baiknya kalau perbincangan terbuka ini melalui medium jelas, saling mengenali dan memudahkan saya mempelajari hasrat yang terkandung di sebalik idea penulisan. Saya mempunyai pandangan yang tinggi terhadap gagasan saudara. Izinkan saya 'pergi jauh' menelaah komentar saudara.

Gejala moral, salah laku dan penyimpangan etika berlaku dalam mana-mana bangsa pun. Hakikat ini juga berlaku dalam bangsa kita.

Berikan kepada saya mana tamadun yang TERBELA jika kondisi bangsanya rapuh. Soal agama, jika bangsa Dusun tidak kuat, berantakan, jika semangat keBANGSAan dusun tidak kukuh, agama tetap ada tapi syi'ar agama 'tidak hidup'. TIDAK 'AKAN HIDUP'. Kecualilah kalau kita memilih bersendirian tanpa memerhatikan sekeliling, bangsa tidak ke mana, cuma berpaksikan KEPENTINGAN DIRI SENDIRI. Berdamping sekuat mana pun dengan agama tanpa bersatu dalam masyarakat, mana-mana agama tidak mengajar hidup tidak bersatu-padu.

Jika bangsa Arab di zaman rasul sebagaimana yang dikatakan saudara memperjuangkan Tuhan dan agama, tapi intregiti bangsa rapuh dan rabak, bangsa tidak mungkin akan terbela. Demikian juga bangsa Turki. Bagaimana menjadi empayar? Bagaimana dapat memperjuangkan Tuhan dan agamanya jika berpaksikan identiti bangsa yang tunggang terbalik?

Sebab itu apa agama pun menyeru kepada semua bangsa mengiktiraf kesepakatan, mencari keamanan, kestabilan, susun atur akal yang mencantikkan personaliti. Individu dituntut memiliki kesusilaann yang tinggi, memiliki keikhlasan dan kerendahan hati dan mentaati hukum-Nya. Sumber kekuatan bangsa adalah rantaian sikap yang ada dalam kelompok masyarakatnya. Sumbar kekuatan personaliti adalah sifat tawakal, insaf dan tunduk kepada PERINTAH TUHAN. Agama itu JALAN kepada mereka yang mencari Tuhan. Asas bangsa perlu kuat untuk menegakkan kebenaran.

Saya ingin memetik kata anonymous;

'DUSUN…. ramai terlibat gejala negatif
Dadah, rasuah, budaya melepak, gangsterisme di sekolah2
Sumbang mahram, buang bayi, budaya rocker, liar
Belum lagi diperkatakan jenayah ragut, ugut, rokok
Rogol, bunuh, pergaduhan, murtad
Kes-kes rumahtangga, cerai-berai, tidak bertanggungjawab
orang Dusun banyak terlibat

Terpaksalah kita menerima penuh malu dan dukacitanya… nilah hasil perjuangan Dusun dengan semangat kebangsaannya,bukan!

Saya menolak sentimen seperti ini sekalipun saya akui gejala sedemikian meragut nama baik bangsa Kimaragang(dan mana-mana bangsa pun). Apakah benar ini hasil perjuangan Dusun dengan semangat kebangsaannya? Tidak ada siapa di kalangan DUSUN khasnya KIMARAGANG yang berjuang mahu melihat hasil keringat menyelerakkan ketidaksenonohan ke dalam jati bangsa. Kita tidak boleh bercakap SEMATA-MATA gejala negatif yang berlaku sekarang ialah kegagalan perjuangan sebelum ini. Ke mana perjuangan aki dan moyang kita?

Kejadian rogol umpamanya, siapa yang perlu dipersalahkan? Perjuangan nenek moyang kita? leluhur kita? orang sekeliling kita? orang kampung sebelah? adik atau abang kita?

ATAS NAMA PERJUANGAN,bangsa tidak pernah mengkehendaki ini yang terjadi.

Anonymous kata 'Di sudut perpaduan jauh daripada yang dikehendaki. Bukan sahaja perpaduan bangsa belum terjadi'. Saya tidak bersetuju tiada perpaduan di dalam bangsa kita. 'Kemelut perpaduan' yang ada tidak lebih kepada perbezaan pendapat. Cuitan kemasyarakatan yang tidak lain tidak bukan berkeinginan mengangkat bangsa kita juga. Jika tidak ada perpaduan, kita akan melihat perang saudara. Kita akan melihat susun atur masyarakat yang memperlekehkan hukum. Sehingga setakat ini syukurlah, kita tidak pernah terfikir perlukan pedang baru memberi tempat kepada sikap bersetuju mencapai muafakat. Jika sekadar perbezaan pendapat, itu bukan kayu pengukur. Saya ingin ulangi komen saya yang lepas layang-layang tidak akan naik jika tidak DITENTANG angin. Oleh yang demikian bagaimana tamadun naik jika bangsa tidak kritis?

Kita tidak perlu jebakkan integriti bangsa kita ke gaung prasangka. Bangsa kita ikhlas berjuang, tapi dikatakan menghasilkan budaya tidak senonoh. Benarkah kita berkesanggupan begitu jauh berkata sedemikian rupa? DARAH yang pernah menitis di bumi kita dulu SEKALI-KALI JANGAN kita kompromikan keruntuhan moral dan akal dalam institusi masyarakat kita.

Tentang soal makan gaji, tidak mungkin berlaku pencapaian bijak pandai mereka jika tidak teruji melalui sikap berdikari. Survival keluarga, berpisah rumah menuntut ilmu dan ujian jati diri di rantau orang, berkorban tenaga, masa dan wang ringgit. Tidak mungkin begitu mudah mereka sampai ke tahap beroleh bekerja dan makan gaji. Saya anggap itu permulaan kejayaan bangsa.

Bangsa yang kuat tidak dapat lari daripada prinsip muafakat. Keharmonian dengan sendirinya akan dapat menyusun keupayaan di dalam cara membudayakan masyarakat. Semoga para pejuang kita tidak patah semangat membangunkan kekuatan nilai dan karekter bangsa Kimaragang. Marilah kita dengan perasaan lapang, minda terbuka dan semangat persaudaraan mengembleng minda menjana persefahaman, menginteraksikan hala tuju tanpa menidakkan keharmonian bermasyarakat.

Jatuh bangun kita, sama-sama kita menderita. Jatuh sama merangkak. Bangun sama berganding bahu.


Mohon maaf mohon ampun. Anak cucu tumpang belajar. Salam persahabatan dan salam perjuangan kepada saudara Anonymous serta rakan-rakan sekalian. ;

Jalimik Sawatan (LM)
Kg. Tingkalanon.

Sunday, May 17, 2009

Yang Haram TETAP HARAM

Sejak zaman Perjanjian Lama era Nabi Musa sudah diistiharkan haram. Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun anaknya "..... Demikian juga babi hutan. HARAM itu bagimu. Daging binatang itu jangan kamu makan dan bangkainya jangan sentuh."

Seorang pensyarah wanita pernah berkata "Ketika darurat makanan, iaitu di dalam keadaan tiada apa makanan lagi kecuali daging babi, diperbolehkan makan sebab jika kamu tidak makan, kamu akan mati" Ia sesuatu yang baik untuk mengelakkan berlakunya kematian. Walau bagaimanapun, kita boleh mengambil iktibar daripada sifat hawa yang melihat buah pohon itu kelihatan baik dan sedap untuk dimakan.

Isu ini agak sensitif. Namun tidak ada sebab untuk saya mempersoalkan pandangan ini. Pendirian jelas saya mengenai isu ini ialah TIADA KOMPROMI. Selagi perintah dalam Alkitab itu HARAM maka tetaplah haram. Jika seseorang itu mati kerana bertahan daripada memakan makanan yang diharamkan oleh Tuhan, Tuhan Maha Mengetahui semua itu dengan sifat adil-Nya.Sudah tentu ada sebab kukuh kenapa Tuhan katakan haram.

Beberapa wabak besar yang menggoncang dunia berpunca daripada binatang ini. Virus terbaru, Influenza A (H1N1) yang disifatkan lebih besar kesan akibatnya daripada virus Spain (sebelum ini mengorbankan 40 juta orang di seluruh dunia) bakal menjadi ancaman dahsyat kepada global.

Yang HARAM tetap HARAM. Sama-samalah kita renungkan..

Malaysia Di Ambang H1N1

Mulanya meletus di Mexico. Satu tempat yang begitu jauh jarak geografinya dengan Malaysia. Ada sedikit kebimbangan saya mengenai virus tersebut memandangkan telah mengorbankan sejumlah 59 pesakit dan semakin meningkat. WHO kemudian mengambil langkah begitu proaktif dalam menangani virus ini sehingga pada hemat saya mungkin boleh dibendung. Seluruh pintu masuk negara-negara dunia memperlihatkan komitmen mengekang virus ini menular masuk memberirkan keyakinan usaha begini mungkin mampu menyekat wabak merebak.

Reda seketika kemudian kembali menyerang negara Amerika Latin yang lain dan mulai menular ke US. Saya masih merasakan Malaysia tidak selamat. Kebimbangan saya mulai timbul dan saya seperti dapat merasakan ada sesuatu yang sedang bergerak senyap mendekati Malaysia. Kekhuatiran ini bermula apabila Australia mengistiharkan langkah berjaga-jaga. Hati saya berkata 'Wah! semakin dekat'. Saya semakin terkejut bila Thailand pula mengeluarkan kenyataan negaranya kini diancam virus H1N1. SAH! Wabak ini bergerak bagai musuh yang mahu menelan sesiapa sahaja. Sambil saya berharap Malaysia berkemampuan untuk membendung 'benteng' negaranya daripada ditembusi virus, akhirnya 2 pelajar yang baru pulang dari AS dikuarantin di Hospital Pulau Pinang kerana dikesan virus H1N1.

Dunia di ambang kritikal. Blog ini sangat-sangat berharap semoga Malaysia berjaya melepasi saat getir dan mengembalikan perasaan selamat di kalangan rakyat daripada sergahan virus ini.

Ya Tuhan... Lindungi kami, lindungi Malaysia, lindungi juga bumi dan sertailah segala usaha para petugas kesihatan di mana sahaja mereka berada.

Wednesday, May 13, 2009

Satu Kisah Kecil Saya Kenang-Kenangkan Untuk Hari IBU: "Buat Apa Pergi Tamu Kalau Duit Pun Tiada...."

Suatu pagi. Sedikit hening dan masih berembun di hujung hijau rumput. Mama, selesai ke sawah padi, mandi dan bersiap-siap sambil menjinjing bakul. Bapa memerhati dengan tanda tanya tapi cuma berdiam. Di wajah bapa seolah-olah ada perasaan kasihan tapi tertangguh begitu sahaja.

Pagi itu hari Isnin. Tamu Pekan Tandek. Mama mulai melangkah. Kemudian Bapa bertanya "Buat apa pergi tamu kalau duit pun tiada..". Wajah bapa tidak dapat menyembunyikan reaksi seorang suami yang mahu berkongsi sesuatu apa yang terkandung di dalam hati seorang isteri. Dengan perlahan mama menjawab "Memang tiada juga ba duit ni. Tapi pergi saja la di tamu. Tingu-tingu. Kalau dapat lagi bawa pulang satu bungkus lada buli sudah tu. Ada lagi rasa pedas di bibir".

Selepas mama hilang di hujung jalan, bapa mulai menjamah topod (nasi baki semalam) yang mama hidang sebelum bertolak. Nasi kosong bercampur air masak untuk memudahkan kerongkong menelan dan sepotong ikan masin dan mulai memakan dengan linangan air mata.

Pada suatu hari bapa bercerita kepada saya. Katanya, itu salah satu peristiwa dalam hidupnya seorang ibu yang mengkagumkan hati seorang bapa dan sebagai seorang suami. Seorang isteri yang tetap tau 'menceriakan' meja makan sekalipun dalam keadaan hidup yang sukar dan serba kekurangan.

"Asal ada lagi pedas di bibir' Ini kenangan bapa terhadap ibu yang selalu bapa kongsikan kepada anak-anaknya dengan linangan air mata. Saya tidak pernah melihat bapa menangis dan saya gagal menahan air mata bila bapa 'menangis' untuk mama.

SELAMAT HARI IBU kepada ibu tersayang Murinas Masantun dan kepada semua ibu-ibu yang hebat-hebat di mana sahaja kalian berada... Tuhan menyertai di dalam segala usaha dan perhatian khusus di dalam keluarga berdamping di sisi bapa/ suami tercinta.

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga...

Tuesday, May 12, 2009

Mahkamah Rayuan Tangguh Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Terkini, Mahkamah Rayuan menangguh keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan membenarkan Dr. Zambry menjalankan tugas eksekutif sebagai Menteri Besar Perak. Apa pula selepas ini? Bagaimana dengan status Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaludin? Semakin pelik situasi di Perak. Macam bola ping pong. Rakyat sakit leher. Sekejap tengok kiri, sekejap tengok kanan. Mana satu rakyat mau ikut? Sudah tiga bulan Perak dalam Wad Politik ICU. Semakin nazak.

Buat waktu ini, hanya ini yang saya dapat faham, Perak kembali kepada ASAL. Kuasa eksekutif di tangan Dr. Zambry. Badan kehakiman bercakaran. Satu setuju, satu tangguh. Kerja yang ditunggu-tunggu rakyat tertunda lagi.

Teruja tapi rimas.....




Monday, May 11, 2009

Krisis Perak: Memerintah Dengan Majoriti Kurang?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengembalikan kuasa politik ke tangan Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Semakin rancak dan semakin bertambah panas. Sultan Perak nampaknya terpaksa melakukan 'kerja lebih' apabila untuk kali yang ke tiga memperkenankan pembentukan kerajaan. Ini kali pertama kes seumpamanya yang berlaku di Malaysia dan mungkin juga pertama kali di dunia!. Selamat berkhidmat untuk rakyat. Isu yang timbul ialah;

1. Bagaimana PR memerintah Perak dengan hanya kapasiti 28 YB berbanding 31 yang dimiliki BN?

2. Apakah pendekatan politik yang bakal diambil oleh BN dengan majoriti yang dimiliki mereka?

3. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur VS Sultan Perak, siapakah yang lebih berhak menentukan kemelut politik di Perak?

4. Dari sudut manakah fakta penghakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dapat membenarkan sebuah kerajaan diperbolehkan memerintah dengan jumlah majoriti yang kurang?

Dalam kes ini hanya satu jalan penyelesaian ialah membubar Dewan Undangan Negeri seperti mana yang dikehendaki oleh mereka (PR) sebelum ini dan biarkan rakyat menentukan siapa yang menerajui kerajaan Perak. Jika tidak, kerajaan 'baru' ini juga akan terus dipertikaikan. Bagaimana memerintah dengan majoriti kurang? Kemelut akan terus berpanjangan dan rakyat terabai.

Ujian karekter kepada kedua-dua pihak sama ada PR dan BN. Bagaimana mereka bersedia melalui satu lagi fasa baru lebih ke depan yang meletakkan rakyat sebagai terutama dalam misi politik. Bukan lebih bersifat perjuangan kepartian. Selamat memerintah PR dan kembalilah kepada aspirasi rakyat. Kepada BN, jadilah pembangkang yang proaktif di kawasan anda.

Wednesday, May 06, 2009

Dulu-Dulu Pun Saya Suka Bagi Baby Gigit Tangan.... (Tengok Jangan Tak Tengok. Klip Klasik Yang Membuatkan Kita Terasa....

..... betapa zaman kanak-kanak kita begitu berharga dalam kenangan. Saya pernah geram bila si baby (sepa tu ah? Maybe anak buah sya kali) tidak melepaskan gigitan. Mujur la geram dan sakit saya tahan saja la. Klip klasik ini membuatkan kita melihat si abang kici ini satu tatapan baik zaman kanak-kanak yang tidak mudah 'angkat tangan' menyakiti adik kecilnya.

Terima Kasih Kerana ENGKAU Terus Mengasihaniku Kali Yang Ke 35 Tahun

Aku tahu Dia tidak pernah gagal di dalam setiap jatuh bangun kehidupanku. Jika adapun, hanya aku yang menggagalkan diriku sendiri. Engkau Ya Tuhan, aku ini tidak ada apa-apa melainkan dipergunakan oleh-Mu di dalam semua cara dan kehendak-Mu. Hanya ini yang kutahu... Aku ingin berterima kasih kepada-Mu kerana memberikanku satu jangka masa.. Ya, satu jangka masa yang akhirnya aku sedari 34 tahun yang penuh dengan rona kehidupan yang sekadar melukakan hati-Mu. Aku ini tidak setia tapi engkau tidak pernah gagal memaut bahuku.

Sekali lagi, TERIMA KASIH KERANA ENGKAU MASIH MEMBENARKANKU MELANGKAH SETAHUN LAGI YANG KE-35.

SELAMAT HARI LAHIR MICKEY

Friday, May 01, 2009

Perintah BERKURUNG!!

Di Kuala Lumpur seharian saya berdamping dengan masalah ini. Rimas dan geram. Mereka semakin berkelakuan ganas. Membelasah dan sanggup membunuh demi wang dan suka-suka. Menggugat keselamatan awam. Vandalisma. Jenayah ragut dan merompak. 'Pembentukan wilayah rempit' yang menjurus kepada pertelingkahan 'menakhluki kawasan'. Seks bebas, gejala sosial meruncing dan lepak memburukkan imej negara.

Saranan saya kepada pihak berkuasa, ambil tindakan keras! Tidak perlu penjarakan mereka. Sediakan satu asrama khas (seakan-akan melaksanakan perintah berkurung). Tempatkan mereka di sana dan denda mereka untuk melakukan kerja-kerja sosial selama 3 tahun dengan pemantauan dan disiplin yang ketat. Adakan program setiap hari Ahad, hantar mereka ke penjara untuk melakukan kerja-kerja pembersihan seperti menyapu lantai, membersihkan tandas penjara, mencantikkan landskap penjara dan makan tengahari bersama banduan.

Mungkin beberapa bulan sebelum keluar dari asrama khas, beri mereka peluang 'menikmati' kehidupan penjara selama seminggu sebagaimana rutin banduan. Biar mereka melihat dan mengalami sendiri pengalaman dalam penjara termasuk menonton secara live hukuman sebat dilaksanakan. Beri juga mereka peluang untuk melawat banduan dalam bilik akhir. Banyak program lain lagi yang boleh dilaksanakan mengikut bakat dan personaliti pesalah rempit. Cukup la setakat ini saya menyesakkan minda menulis kisah rempit yang tak pernah sudah-sudah!

P/S: Ada suatu ketika saya sedang menunggang motorsikal dan tiba-tiba dikerumuni seramai 10-15 anak muda dengan aksi 'tarik minyak' yang bingit. Saya tetap dengan pandangan ke depan tanpa 'tertarik' dengan aksi mereka. Ada yang mengajak merempit. Kata mereka jaguh lawan kapcai. Hahaha... Saya senyum saja dan tidak peduli. Aksi gadis genit menggoda "Alaaa.. Abang jaguh kecut perut kerr?" Sambil tergelak dan melenggokkan badan memantrakan pandangan 'seksa'. Saya perlahan memberhentikan motorsikal. Mereka teruskan perjalanan bila terpandang signboard Pondok Polis Cheras (Taman Desa Aman).

Apa agaknya terjadi kalau saya sahut cabaran merempit??? Saya sendiri akan mendaftar masuk dalam asrama khas. HAHAHAHA...

Niat Lurus Hasilnya Pun Lurus!

Banyak isu yang saya tertinggal jauh berbatu di belakang. Isu jalan bengkok Tandek-Longob yang 'memanas' dalam cuaca kering. Pekerja-pekerja menimbus jalan barangkali lebih merasa bahang teriknya 'bertuankan' barua2 dan petualang yang gelap mata. Tidak ketinggalan untuk saya ucapkan SAM dan SANGURU (Androd Sadian) atas usaha beraninya mendedahkan wajah sebenar segelintir orang kita yang masih memandang rendah bangsa sendiri. Takkan isu LURUS ini pun orang kampung terus dipermainkan! Jika akhirnya mungkin tidak dapat lurus juga tapi sekurang-kurangnya petualang ini disekat daripada bernafsu serakah.

Jangan binguk-bingkuk BAH! Tempat kita juga....