TINGKALANON - TANDEK - MORION

Monday, June 30, 2008

Fikir-Fikir

1. Selepas seminggu daripada ugutan bunuh yang diterima, DSAI ke Kedutaan Turki untuk mendapatkan perlindungan kerana bimbangkan keselamatannya. Tiada laporan polis dibuat pada hari tersebut (semasa ugutan bunuh diterima). Kenapa tidak minggu lepas lagi?
2. Mendakwa telah ditawarkan perlindungan oleh kedutaan Turki. Semalam Duta Turki menafikan dan menjelaskan Anwar yang datang sendiri dan kedutaan memberi ruang kepada Anwar atas dasar kemanusiaan.
3. Mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara memalsukan keterangan berkaitan dengan kecederaan yang dialaminya pada tahun 1998 dan 1999 dan hari ini beliau membuat laporan polis berhubung kes tersebut. Selepas 10 tahun? Kenapa tidak dari dulu? Malah beliau tidak menyebutnya sedikit pun hal tersebut. Beliau asyik berkempen mendedahkan kepincangan kerajaan tapi tidak pula membangkitkan hal tersebut malah beliau lebih seronok melakukan siri jelajah bertemu rakyat dengan pidato yang berapi-api di samping sibuk membuat tawar-menawar demi untuk meraih sokongan MP BN supaya menyertainya.
4. Mendakwa Malaysia tidak lagi merupakan tempat yang selamat baginya. Selepas beliau dibebaskan dan dibenarkan kembali berpolitik, tidak ada kes yang boleh dikaitkan apa yang didakwanya sebagai 'tidak selamat'. Malah beliau berkesempatan menonjolkan karisma diri sehingga 5 negeri tumbang ke tangan pembangkang. Anwar ada di sana merasakan keseronokan menawan lima negeri malah sering berkempen dan berpidato di Lembah Pantai sehingga menyaksikan Datuk Sharizat kalah di tangan Nurul Izzah Anwar Ibrahim dalam PRU12 baru-baru ini. Erti kata lain beliau terlalu bebas di bumi sendiri bersama para penyokong kesayangannya. Sehingga kini tiada sesiapapun yang mengganggunya kecuali laporan polis yang dibuat pembantunya.
5. Sekali lagi mendakwa bimbangkan keselamatan keluarganya. Anwar memilih untuk bersembunyi di kedutaan Turki sementara isterinya, Datin Wan Azizah bersama anak-anak sibuk mempertahankan suaminya di luar sana. Kasihan melihat ibu yang lembut wajahnya bersama anak-anak yang manis-manis belaka menepis dan berjuang segala apa yang didakwa tomahan semata-mata... Ternyata mereka lebih berani daripada Datuk Anwar.
6. Semasa laporan polis dibuat oleh pembantunya, beliau tidak dapat dikesan malah tiada kenyataan rasmi dibuat olehnya sebagaimana lazimnya. Pilihan yang DSAI ada ialah BERSEMBUNYI seketika kemudiannya bila beliau keluar dari tempat persembunyian, beliau membuat laporan polis sebagai membalas laporan polis yang dibuat pembantunya. Tindakan tidak konsisten ini menjejaskan kekuatan karismanya. Datuk Chua Soi Lek berani mengaku kesalahannya. Lebih daripada itu beliau menjadi insan yang klasik dengan cara tersendiri, seawal pagi membawa isterinya bertemu Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan membuat pengakuan ikhlas akan kesalahannya. Ertinya Datuk Chua Soi Lek telah maklum dan faham serta bertanggungjawab terhadap apa yang disedarinya sendiri. Itu kalau bercakap soal MENYEDARI DAN MENGAKUI KESILAPAN. Tidaklah saya bermaksud Anwar perlu melakukan hal yang sama kerana blog ini masih tidak memandang beliau telah melakukan apa-apa kesalahan. Cuma bukankah sangat baik Anwar mempertahankan dirinya jika benar beliau tidak melakukannya. Saya ingin beliau berani jika beliau di pihak yang BENAR. Berjuanglah membuktikan kebenaran demi maruah. Akhirnya beliau terjebak dengan percaturannya sendiri. Sebagai seorang pemimpin, sepatutnya beliau tahu prosedur bagaimana mempertahankan dirinya.
7. Anwar mendakwa tiga orang terbabit dalam konspirasi menjatuhkan maruah dan karier politiknya. Menurutnya, gambar yang didedahkan oleh Datin Seri Wan Azizah dalam telefon bimbit miliknya adalah bukti penglibatan individu terbabit. Individu tersebut dikenalpasti sebagai Datuk Azalina Othman, Datuk Sharir Abdul Samad dan Datuk Seri Mustapha Mohammed termasuk pegawai yang bertugas dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagaimanapun kesemua mereka menafikan mengenali Mohd Saiful Bukhari Azlan, lelaki yang membuat laporan polis terhadap Anwar. Melalui pengamatan penulis, gambar yang didedahkan tidak lebih daripada sekumpulan perwakilan pelajar IPTA mengambil peluang bergambar bersama tokoh-tokoh besar tanahair dalam majlis yang bersifat kemahasiswaan. Saya pernah menyandang jawatan Naib Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej 12 (MTM) , Timbalan Presiden dan dalam satu pemilihan, saya dilantik menjadi Presiden tanpa ditandingi (kemudian saya menolak jawatan tersebut) dan banyak terlibat dengan program-program melibatkan menteri-menteri. Peluang bergambar bersama VVIP antara beberapa kemestian dalam mana-mana sesi majlis untuk disimpan sebagai kenangan atau sebagai pembakar semangat dalam mengadaptasikan mentaliti dan karekter kepimpinan. Jika saya berpeluang menjadi calon pembangkang (kononnya la) sudah tentunya saya direject kerana dianggap ada konspirasi dan kaitan dengan kerajaan BN. Itu kalau saya bercakap soal ada orang yang paranoid memanipulasi sesuatu yang cuma berdasarkan sekeping gambar!!!
8. Apa lagi selepas ini??

Benarkah Keselamatan Anwar Tergugat?

Saya tidak mau bercakap tentang kes terbaru Anwar. Biarlah kecekapan Polis Malaysia mengendalikan apa yang disifatkan blog ini sebagai sesuatu yang mengejutkan. Tidak dinafikan apa sahaja yang berkaitan dengan Dato Seri Anwar bagaikan magnet di setiap ruangan akhbar tempatan dan luar negara. Saya masih percaya dengan prinsip 'sesorang itu tidak melakukan kesalahan selagi tidak dibuktikan bersalah'. Kes ini sedang disiasat dan kurang bijak rasanya jika blog ini mencelah dengan analisis persepsi semata-mata. Laporan polis telah dibuat oleh individu berkenaan dan blog ini menyanjung tinggi ketelusan undang-undang untuk meletakkan kes ini pada landasan yang betul, sesuai menurut prinsip perundangan.
Saya sebagai rakyat Malaysia berasa terpanggil untuk menulis berhubung tahap keselamatan di negara tercinta ini dipertikaikan. Blog ini tertanya-tanya juga bila Anwar membuat kenyataan dia melihat situasi di Malaysia sudah tidak selamat lagi baginya dengan mendakwa beliau menerima 'ugutan bunuh' dan turut mempersoalkan sistem kehakiman dan perundangan di Malaysia tidak menjamin keselamatan yang mampu melindungi seorang tokoh politik sepertinya. Blog ini ingin melontarkan beberapa persoalan;
1. Beliau mendakwa menerima 'ugutan bunuh' seminggu yang lepas. Sidang akhbar semalam oleh PKR menjelaskan Anwar telah ke Pejabat Duta Turki untuk mendapatkan perlindungan politik selepas menerima ugutan tersebut. Jika benar atas sebab demikian, Anwar sepatutnya berbuat demikian (entah perlukah Anwar bertindak seperti ini dalam negara sendiri?) seminggu yang lepas lagi dan membuat laporan polis mengenainya. Saya tidak pernah terbaca dalam mana-mana media atau pemimpin PKR mendedahkan kes ugutan bunuh tersebut, bagaimana secara tiba-tiba boleh timbul dakwaan tersebut dan didedahkan selepas salah seorang pembantunya membuat laporan polis atas salahlaku sebagaimana yang dilaporkan baru-baru ini?
2. Sebagai seorang anak Malaysia yang mempunyai hak dari segi perundangan, bagaimana Anwar boleh terlepas satu peluang terbaik dalam tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara untuk membantu pihak polis membuat tugasnya dalam usaha menangkap orang yang membuat ugutan bunuh dengan menyertakan secara terperinci bukti bila ugutan bunuh diterima, sekian masa, kandungan ugutan? Dalam kes pemanggil hantu atau SMS tidak dikenali sebelum ini, Polis Malaysia terbukti cekap dalam usaha memburu dalang di sebalik 'perbuatan misteri'.
3. Ketika Anwar bimbang akan keselamatan dirinya dan mencari perlindungan di Kedutaan Turki, isteri dan anak-anak beliau berada di mana-mana, bebas melakukan sebarang pergerakan dan urusan tanpa sebarang masalah. Bagaimana seorang ketua keluarga berasa bimbang akan tahap keselamatan keluarganya, meninggalkan keluarga dan bersembunyi , sementara isteri mengambil tempat membuat kenyataan dengan senyuman manis seorang ibu di hadapan media mempertahankan suaminya daripada apa yang disifatkan olehnya sebagai 'serangan politik' pihak kerajaan? Bagaimana isteri beliau tidak merasa tergugat di tempat awam?
4. Bagaimana Anwar sangat bertegas mahukan beliau, isteri dan anak-anak diberi perlindungan keselamatan terbaik sedangkan Anwar membuat statement tersebut dari tempat 'persembunyian' Isteri dan anak-anaknya berada di mana ketika itu?
Anwar terkenal sebagai pejuang yang berani. Seorang pejuang bermaruah tidak sepatutnya 'menyalak' bagaikan salakan misteri entah datang dari persembunyian mana. Saya pernah kagum dengan keberanian, ketegasan juga gaya ucapan inpromtu dan retorik setiap kali beliau berpidato. Beliau antara pemimpin yang saya pernah lihat sebagai pemimpin yang mampu meneruskan kesinambungan masa depan Malaysia.
Saya mengharapkan kredibiliti beliau mampu melonjakkan karisma, tampil berani, tanpa perlu menyalahkan sesiapa dan sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang bernas, cekap dan pintar dalam melontarkan buah fikiran mampu menggunakan kelebihan dalam mengakses kesaksamaan perundangan melindungi hak asasinya sebagai warganegara. Beliau tidak perlu menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia sebagai 'kambing hitam' dalam usaha beliau untuk menggelakkan diri daripada beberapa isu yang berbangkit. Berdasarkan apa yang dilalui oleh Anwar dan bagaimana Malaysia memberi ruang tanpa prasangka kepada setiap pergerakan politik Datuk Seri Wan Azizah sehingga kini, ternyata dakwaan Malaysia tidak selamat sebenarnya tidak berasas.
Blog ini secara peribadi sangat yakin dengan kemampuan Malaysia dan undang-undangnya dalam mengendalikan pelbagai isu dan keselamatan dalam negeri.

Labels:

Friday, June 27, 2008

Coret-Coret: SMS Palsu Gegar Sabah

Kawan-kawan dari Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu menghantar SMS memberitahu stesen minyak hampir keseluruhan bandar-bandar utama di Sabah Jammed. Semuanya gara-gara satu SMS palsu yang mengatakan stesen minyak akan ditutup selama 3 hari. Peristiwa jammed dan berbaris panjang di stesen minyak kemudiannya menjadi bahan gurauan rakan-rakan di borneo yang sekadar mampu geleng-geleng kepala kelucuan kerana terikut-ikut menjadi sebahagian daripada kisah kelam kabut dan haru biru. Sabar saja la...
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengumumkan akan menggunakan ISA untuk menangkap orang yang bertanggungjawab terhadap penyebaran SMS palsu di bawah tuduhan mensabotajkan ekonomi negara.
Berani buat berani tanggung. Pasti 'penjenayah SMS' ini tidak akan senang duduk dan mencuba pelbagai taktik lari dan bersembunyi akibat diburu trauma dengan pakaian seragam polis selepas ini. Ingin tahu siapa la anak sabah yang terlalu nakal dan boleh la dikategorikan sebagai mencipta rekod peribadi ditahan di bawah ISA cuma kerana satu SMS.

Labels:

Wednesday, June 25, 2008

SAPP: Lapan Usul Dan Undi Tidak Percaya

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengakui menerima surat tawaran jawatan Senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA). Datuk Yong berkata beliau menerima tawaran itu melalui 'surat rahsia' daripada Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada 17 Jun lalu tapi kemudiannya menolak tawaran tersebut.
Dalam sidang akhbar ketika mengumumkan SAPP hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, beliau dengan nada tegas mengemukakan lapan usul yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Persekutuan iaitu;

* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.

* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.

* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.

* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.

* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.

* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.

* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.

* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.
Blog ini secara peribadi sangat bersetuju dan berkongsi idea dengan Datuk Yong Teck Lee dan menyifatkan lapan usul di atas sebagai satu menifestasi yang baik hasil daripada reaksi rakyat Sabah yang mahukan kerajaan Persekutuan memberikan perhatian serius terhadap isu yang sudah disuarakan sejak sekian lama. Seperti yang telah diketahui, Sabah merupakan antara negeri yang sangat kaya dengan sumber asli tapi malangnya di sebalik anugerah Ilahi ini, Sabah masih negara kedua mundur antara negeri-negeri di Malaysia dari segi kemudahan jalan perhubungan dan infrustruktur. Tidak hairanlah isu ini telah disuarakan oleh Datuk Yong yang menggambarkan ketidakselesaan rakyat Sabah terhadap layanan Kuala Lumpur.
Datuk Anifah MP Kimanis, berkongsi perjuangan yang sama dengan Datuk Yong dan berpendapat antara sebab kenapa Sabah masih terkebelakang dari segi aspek kemajuan ialah MP Sabah sebelum ini 'gagal' menggambarkan ketegasan dalam melancarkan suara-suara pembangunan secara kritikal. Datuk Anifah menyifatkan senario begitu disebabkan kerana MP Sabah tidak begitu 'keras kepala' dan terlalu menunjukkan kesetiaan atau pasif.
Persoalannya, kenapa Sabah yang begitu berdiri teguh dan menjadi antara tulang belakang kejayaan BN dalam beberapa siri pilihanraya disifatkan pula sebagai 'terlalu degil' bila menyuarakan realiti? Kenapakah BN mempersoalkan kredebiliti seseorang disebabkan apa yang diperjuangkan olehnya?. Lebih menyedihkan sehingga pada satu tahap perjuangan rakyat Sabah diklasifikasikan sebagai 'KERAS KEPALA dan DEGIL'?. Dato Seri Abdullah menyifatkan usaha Datuk Yong melalui 8 usul sebagai 'mempunyai kepentingan peribadi, degil dan tamak'.

Mungkin blog ini masih boleh menyifatkan undi tidak percaya sebagai tidak berlandaskan muafakat politik tetapi adakah lapan usul yang disuarakan oleh SAPP ini merupakan satu suara yang salah? Dimanakah pengertian MUAFAKAT jika idea yang memenifestasikan konteks pembangunan dan hak rakyat Sabah tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan Persekutuan? Apakah muafakat bagi BN ialah kesetiaan politik yag melulu? Jika rakyat Sabah berlembut dalam soal perjuangan dan hak maka kerajaan Persekutuan dengan senang hati menyifatkan inilah negeri contoh kerajaan yang baik tapi kekayaan di bumi Sabah terus-menerus dinikmati oleh Kuala Lumpur.

Kerajaan Persekutuan perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan terhadap setiap perjuangan rakyat Sabah kerana persepsi yang boleh menimbulkan ketidakselesaan politik dan minda rakyat sabah akan sekadar mengangkat Datuk Yong Teck Lee sebagai pejuang sejati di kalangan rakyat Sabah yang sudah bosan dengan karenah kerajaan Persekutuan.
Kemenangan BN dibalas dengan ketidaktentuan dan kecelaruan ekonomi nasional. Bila harga barang makanan naik, harga minyak naik, kos pengangkutan naik, kos sara hidup naik, yuran sekolah naik, mungkin rakyat masih boleh berkongsi keperitan sementara memendam perasaan inikah yang patut rakyat miskin lalui. Tapi bilamana pada suatu malam para bapa dan ibu mula menitiskan air mata kerana tidak tau apa lagi yang hendak dihidangkan di atas meja untuk makanan anak-anak, akan ada kebangkitan yang ingin tahu kenapa mereka menderita sedemikian rupa!!
Berwaspadalah kerana Sabah masih terkenal berani dalam melakukan kejutan politik.

Labels:

Monday, June 23, 2008

Coret-Coret Anak Petani

Bila fikir-fikirkan, terasa hendak berhenti saja kerja di KL ni dan terus balik kampung. Sekurang-kurangnya lenyap seketika menahan kebimbangan kos hidup di kota. Di desa, rasanya tidak terasa sangat beban kenaikan harga barang. Barangkali hanya perlu ada beberapa hirisan bawang, sedikit perasa pasti terasa enak hidangan walaupun cuma pucuk ubi kayu atau sayur kangkung yang melatah di tepi parit... Itu belum lagi kita bercakap tentang bab rebus tiwak pisang atau sup umbut kelapa dan dicampur dengan sedikit daging ayam kampung menambah aroma. Siapa yang tidak lupa akan penangan bunga kepayas jantan. Bila ke sungai Tingkalanon boleh juga melirih pandang ke rumpun bambu mengintai doruk.

Jika tidak pun petang-petang sementara menikmati burung pulang senja, pergi memancing sekejap, untung-untung dapat seekor dua ikan koruk, ikan rongou, bolehlah ditinopuru, dijeruk campur dengan pangi atau dipanggang dan cicah dengan kicap. Tidak lupa tradisi memasang tongi'is menghambat ikan badus atau masuk hutan cari paku pakis, ikan rongou, sanggo atau komburung, jika bernasib baik terjumpa la sarang lebah yang sudah matang dan menjadi manisan dalam minum petang-petang. Mengulangi perkara yang selalu dilakukan kecil-kecil dulu sangat nostalgik. Rasanya, tiada yang perlu dirisaukan bilakah harga barang akan naik lagi, tidak perlu lagi selalu tergamam bila minyak akan naik harga..

Di desa, kerja-kerja pun ke sawah padi hanya selut yang naik ke kaki... hehe

Labels:

Saturday, June 14, 2008

Jauh Di Sudut Hati....

Kita pernah menyebut perkataan sayang malah memanggil si dia 'sayang'. Sesiapa sahaja pun boleh menyayangi kepada orang yang ingin disayangi tetapi ada satu ruang lain yang tidak sama bila bercakap soal satu hati yang PASTI atau TIDAK PASTI.
Kita sentiasa akan berkata perkara yang baik antara satu sama lain. Ada beberapa bahagian daripada perasaan kita yang boleh sahaja berkata 'Tidak mengapa la. Saya tidak dapat memaksa sesuatu itu akan terjadi'. Untuk sekelumit gelora rasa seperti ini pasti akan menuntut sesuatu. Ada hati yang perlu terlibat untuk menentukannya.
Barangkali hasilnya kita akan dapat dekat ke sisinya, atau berdiri jauh sedikit atau berurusan dengan kehidupan seperti biasa tanpa melibatkan apa-apa perasaan. Ada sebuah kumpulan pemuzik rock bergelar POISON mengingatkan saya akan lagu mereka bertajuk Life Goes On. Ya! hidup perlu diteruskan.
Akhirnya, nilai yang dapat difikir-fikirkan ialah walaupun kita mau menyayangi orang itu, ia masih tidak dapat disamakan dengan 'Siapakah yang mendapat tempat di hatinya' Saya pernah menikmati perasaan saat mencintai.. Beberapa kali juga saya sederhanakan diri saya kerana seseorang yang lain tidak begitu pasti dengan hati sendiri. Pun begitu, saya tetap tidak hilang percaya bahawa sesuatu itu tetap ANUGERAH Ilahi samada bersendirian atau berdua. Tapi untuk tahap ini Allah itu lebih bijak dan adil untuk segala ciptaan-Nya bila menghadiahkan kata keramat 'BERDUA itu baik'..
Jika saya masih perlu untuk berjalan bersendirian, saya akan terus melangkah. Untuk seketika ada emosi yang tidak ingin berkonfrontasi, mau mengambil tempat dan berkata 'I wish you could find someone, the person who can make your life brighter, someone that you really love, someone that can be trust by your heart'
Bila anda mula merasa ada cinta dan ingin mencintai, yang terbaik ialah DON'T LOVE PEOPLE YOU CAN LIVE WITH BUT LOVED PEOPLE WHO YOU CAN'T LIVE WITHOUT..

Labels:

Untuk Semua Para Bapa Yang Kami Kasihi...

Selamat Hari Bapa
(Bacaan sajak Gereja Likas oleh Sdr. Kelimen & Co.)

Ayah,

Selamat menyambut hari Bapa
di keliling mu sebuah keluarga
bahagia dan gembira di sana sini
dan senyuman menghias dalam satu pertemuan

Engkau punya isteri tercinta
anak-anak kesayangan berkongsi suka duka
yang engkau telah asuhkan dari kata-kata keramat mu
di ruang rumah kau dirikan kebahagiaan
dan sebuah kehidupan dari perjuangan mu

anak-anakmu sentiasa menyanjungmu
lebih daripada apa yang mampu kami katakan
seluruh jasad mu adalah nilai kehidupan kami
dalam satu rumah kecil
yang engkau bina dengan kesyukuran

ayah,

engkau sentiasa yang terbaik
di samping ibu
engkau ayah yang mengkagumkan
di samping anak-anakmu
telah ku perhatikan susah payahmu
sewaktu kami membesar
kami tidak pernah tahu
waktu kau sembunyikah keluh kesahmu
menunjukkan jalan masa depan
tanpa alasan

Ayah,

engkau yang begitu sabar
selalu memberikan kami waktu
bila untuk berkongsi tangisan
bila untuk berkongsi gembira
di sisi mu ibu yang sentiasa membantu
betapa ayah selalu tabah untuk kami

Ayah,

lebih daripada sesuatu engkau
begitu menyayangi kami
dan perlahan-lahan kami memahami
erti untuk menyayangi kembali
sebab engkau ayah yang selalu memayungi
dengan doa dan harapan
keringat dan air mata

untuk satu hari ini
dan seluruh kecintaan kami anak-anak
bersama ibu yang manis senyuman
SELAMAT HARI BAPA
kerana Tuhan telah berikan
ayah terbaik untuk kami

Terima kasih AYAH...

Labels:

Happy Sabbath...

1 Korintus 13:4-7 - Kasih itu sabar; kasih itu murah hati; ia tidak cemburu. Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan dan tidak mencari keuntungan diri sendiri. Ia tidak pemarah dan tidak menyimpan kesalahan orang lain. Ia tidak bersukacita karena ketidakadilan, tetapi karena kebenaran. Ia menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala sesuatu, sabar menanggung segala sesuatu.

Wednesday, June 11, 2008

Kerajaan Persekutuan: RM1 Billion Untuk Sabah

Pernah suatu ketika dulu, dalam satu gurauan rakan-rakan "Apakah yang anda buat dengan wang 1 juta?" Dengan sejumlah wang itu, kami berkongsi jenaka dengan pelbagai mimpi-mimpi yang indah, cita-cita besar untuk majukan keluarga, kampung, apa sahaja yang mampu menguntungkan generasi masa depan dan pelbagai lagi reaksi terhadap kehidupan elit yang dinikmatikan oleh orang kaya tidak terlepas menjadi impian kami juga (namun jauh di lubuk hati, tetap ada bisik kalaulah ada peluang memiliki wang sebanyak itu *hmm*). Seperti lega seketika semacam perasaan seronok meraja di hati dikerjakan oleh angan-angan yang lebih tinggi dari Gunung Kinabalu, membuak semangat ke cakerawala berbintang-bintang. Haha.. Kemudian terdiam seketika.. beberapa lama.. melayan emosi yang sayup bergema entah dari arah mana, bersuara perlahan-lahan mendekat ke sanubari 'selamat kembali ke bumi'...
Itu baru beberapa angan-angan yang mampu kami mimpikan. Itupun dapat dirancang-rancang dalam minda sesuatu harapan yang berguna untuk masa depan. Cuma bezanya, itu cuma sebuah cerita yang tidak berkesudahan. Akhirnya perasaan kasihan pada diri sendiri mengakhiri deretan kisah dongeng. Mimpi sampai di situ sahaja.
Hari ini, MICKEY'S CORNER ingin membuat anjakkan persoalan tersebut ke satu tahap untuk merelevensikan harapan dan masa depan rakyat Sabah. 'Apakah yang Sabah akan lakukan dengan sejumlah wang 1 Billion Ringgit Malaysia??' Kali ini, RM1 billion bukan baru diangan-angankan (malah dua puluh kali ganda jauhnya jumlah wang yang anak-anak muda itu angan-angankan) sebagai hadiah daripada kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan sejumlah wang itu kepada kerajan Negeri Sabah untuk tujuan memacu infrustruktur dan soiso ekonomi termasuk mengendalikan beberapa isu yang kronik seperti isu PATI. Pasti pengumuman sejumlah wang seperti itu sudah mula membuatkan segelintir pihak tidak senang duduk. Sangat ramai yang mampu melihat itu satu peluang yang sangat baik untuk rakyat Sabah namun MENTALITI akan menentukan sejauh mana makna "peluang" itu diklasifikasikan mengikut variasi hala tuju, identiti cita-cita, dan kepentingan mengikut standard moral dan etika pengurusan.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita ada kerajaan yang kita wakilkan melalui undi. Sejumlah besar personaliti yang kini bergelar Yang Berhormat adalah institusi yang bertanggungjawab terhadap segala saluran yang memberikan justifikasi masa depan negeri Sabah. Sebelum ini saya ada bercakap dan bertanyakan mengenai sejauh mana perkembangan N5. Tandek setakat ini dan hala tuju kepimpinan YB Puan Anita Baranting (maaf kalau saya terlepas jika ada gelaran kerajaan negeri). Apakah peranan YB N5.Tandek untuk menjadi sebahagian daripada perancangan RM1 billion ini?? Bonus berganda jika diambil kira perancangan DEB dan Rancangan Malaysia ke-9 termasuklah juga suntikan inisiatif kerajaan negeri yang sudah diperuntukkan untuk setiap kawasan pilihanraya. Bagaimana peluang yang terbuka luas ini masih tidak mampu diterjemah oleh Yang Berhormat dalam etika dan budaya pengurusan yang boleh mengangkat dirinya sebagai 'lagenda kemajuan' (kemajuan dalam ertikata BERHEMAH) yang sentiasa diingati masyarakat?? Pepatah mengatakan 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'.
Jika diikutkan kawasan pilihanraya Negeri Sabah, kita mempunyai sejumlah 48 kawasan DUN. Logik mudah mengikut perkiraan matematik (dulu-dulukan saya la yang paling buduh dalam ilmu hisab ni sampai subjeknya pun saya panggil matikmatik.. haha kasian. Untuk menambahkan derita haku nie sampai la sekarang tunggang langgang juga la. Nasib baik terima gaji tau pula sukup ka inda sukup jumlah dia.. hehe) Sejumlah RM 1 billion dibahagikan sama rata mengikut jumlah kawasan DUN, dan jika ini diterima pakai mengikut bajet dan perancangan yang diluluskan, kawasan DUN N5.Tandek sepatutnya boleh mendapat lebih kurang RM20-30 juta. (Haiya susah kira2 nie.. fening kefala. Tulung kasi betul sya) Apa-apa la jumlah dia tapi lebih kurang juga macam tu la kan. Jumlah sebanyak ini mampu memacu kemajuan N5.Tandek tanpa sebarang alasan dan keragu-raguan!!!. Jangan pula lepas ni jalan kampung masih 'grabble' tapi kereta besar bertambah di halaman rumah. Jangan ulangi kesilapan YB yang sudah lepas.
Saya tertanya-tanya juga apa akan terjadi dengan Negeri Sabah amnya dan di N5.Tandek khususnya selepas suntikan RM1 Billion dari Kerajaan Persekutuan. Bagaimanakah para YB kita menangani dua kekuatan yang memberi impak tanpa batas iaitu KUASA WANG dan KUASA POLITIK dalam satu hasrat, hala tuju, cita-cita dan misi dan visi pengurusan masa depan. Bukan mudah memegang tanggungjawab bila diberi peluang untuk BERKUASA.
YB Puan Anita Baranting, naluri keibuan biasanya memiliki naluri yang mempunyai sentuhan dan daya inspirasi yang memberikan momentum kepada anjakan paradigma perancangan keluarga kepada konteks lebih besar iaitu dalam satu keluarga masyarakat seluruh kawasan N5.Tandek. Kami perlukan dinamika Puan sebagai ibu yang kasihankan masa depan anak-anak.. Kami perlukan impian teratur Puan sebagai seorang ibu dan kami ingin berkongsi dengan suka duka dan doa di jari Puan sebagaimana para ibu-ibu kami berkongsi rasa dan tangisan di celah jemarinya setiap kali berdoa untuk kesejahteraan anak-anaknya... Berikan kami sinar.. Berikan kami cahaya kerana kami sudah lama teraba-raba di bumi sendiri.

Labels:

Friday, June 06, 2008

Minyak Dan Ketidaktentuan Ekonomi Global

Ini ialah beberapa fakta kenaikan harga minyak per liter di beberapa negara pengeluar minyak berbanding Malaysia.

UAE– RM1.19/litre
Eygpt– RM1.03/litre
Bahrain– RM0.87/litre
Qatar– RM0.68/litre
Kuwait– RM0.67/litre
Saudi Arabia– RM0.38/litre
Iran– RM0.35/litre
Nigeria– RM0.32/litre
Turkmenistan– RM0.25/litre
Venezuela– RM0.16/litre

MALAYSIA– RM2.70/litre

Petronas Malaysia mencatat keuntungan 70 BILLION RINGGIT MALAYSIA!! Bukan million. Kita mengeksport minyak bukan mengimport tapi masih terpaksa melonjakkan kenaikan harga mingak sehingga 40% ke 78sen. Mengapa Malaysia membuat perbandingan harga minyak negara bukan pengeluar seperti di Thailand dan Singapura? Jika negara pengeluar minyak seperti di atas boleh menjual pada kadar rendah harga minyak demostik dalam persekitaran kos sara hidup yang tinggi, bagaimana kita boleh terikut-ikut dengan ketidaktentuan harga minyak yang sengaja digembargemburkan sedemikian rupa. Yang pasti ada pihak lain yang sudah membuat congakan dan menggerakkan kumpulan yang pakar dalam membuat spekulasi pasaran.

Kenaikan harga minyak disebabkan oleh kegiatan spekulator dan kerajaan sekarang mmg mengakuinya. Namun mengambil bahagian dalam permainan spekulator dengan menaikkan harga minyak secara mendadak, ini adalah satu kerjasama dengan kumpulan spekulator dan reaksi yang menguntungkan pihak yang bakal melakukan penjajahan melalui tawaran bantuan ekonomi(dengan syarat) ke atas kerajaan2 kecil.. modus operandi untuk menyeluruhkan konsep pasaran terbuka seluruh dunia berpaksikan satu sistem ekonomi mutlak yang dikawal oleh kuasa besar... satu cita-cita yang boleh menghancurkan institusi kewangan dan masa depan ekonomi negara dunia ke-3 dan dunia secara keseluruhannya.

Waktu ini peperangan hanyalah satu alat menyebarkan ideologi. Tapi penjajahan ekonomi langsung menghakiskan identiti negara berdaulat. Bila kenaikan harga minyak menjadi tidak terkawal dan dengan sendirinya mempengaruhi sentimen pasaran yang semakin kusut, tindakan peniaga yang bercelaru menghadapi ketidaktentuan harga barang sekaligus membebankan para pengguna. Reaksi pasaran begini akan mengakibatkan tercetusnya rusuhan, ekonomi akan lumpuh.. Negara petualang memerhatikan dari jauh. Dan pada waktu ini ada pihak asing yang cuma menunggu masa mengoperasikan agenda tersembunyi menawarkan bantuan atau cara lain yangg tidak disedari terlalu manis untuk 'mengaktifkan' racun.. ini cara mereka untuk membuatkan negara2 kecil tidak terdaya melawan apa sahaja jari telunjuk mereka lakukan...

Peringkat ini Malaysia perlukan pemimpin yang dapat membuat jangkaan ekonomi yang tepat dan disusuli dengan perancangan yang berpaksikan fikiran yang jelas dan berpengetahuan. Jika tidak-, kasihan sungguh orang susah macam saya ni... Itu baru saya seorang yang mengeluh susah!

Bila minyak mula naik, kejutan domino akan menjangkiti sektor lain pula. kabinet pula sudah membayangkan takrif elektrik akan naik. Harga barang, kos pengangkutan turut sama mengambil bahagian menangguk air keruh. Kuala Lumpur menjadi kawasan yang semakin menyusahkankan orang orang yang sedia susah.

Saban hari pergi kerja naik motor Jaguh, sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala menoleh ke arah stesen minyak.

Labels:

Tuesday, June 03, 2008

Dari Minda Kimaragang: Apa Khabar Yang Berhormat N5. TANDEK??

Pilihanraya sudah berlalu. Beberapa bulan melewati hari kemenangan YB, pasti YB sudah membuat pemantauan dan beberapa siri lawatan ke pelusuk N5.Tandek yang sempat YB lawat. Adakah YB merakamkan beberapa nota penting mengikut keperluan kampung atau pekan untuk diberi perhatian perancangan YB seterusnya. Bagaimana dengan pembangunan pendidikan dan kesihatan desa? Jalan-jalan kampung? Sekolah-sekolah di pedalaman? Atau apakah telah dilakukan penaiktarafan infrustruktur sedia ada? Pembangunan sukan bagaimana? Program pembangunan belia untuk menjana modal insan? Apakah perancangan YB untuk mewujudkan peluang perniagaan kepada para pengusaha dan peniaga kecil-kecilan seperti penyediaan kemudahan tapak atau sebagainya? Ada apa-apa idea untuk membangunkan tanah terbiar untuk diusahakan secara komersil? Atau membawa masuk teknologi dalam usaha merancakkan pengetahuan pertanian dan cara bertani moden. Tempat-tempat menarik untuk dijadikan eko-pelancongan dan dimasukkan dalam pakej pelancongan nasional? N5. Tandek sudah lama terlena. Pergilah.. dan kejutkan tidurnya. Berikan kemeriahan dan nafas tanpa menjejaskan landskapnya.

Mungkin YB buat waktu ini sibuk dengan pesta Ka'amatan. Elok juga sebab YB boleh mendengar keluhan-keluhan di sebalik wajah-wajah desa sementara berkongsi kegembiraan dengan para petani yang selesai menuai. Selamat menyambut Pesta Menuai YB.

Kami tahu tugas YB sangat berat namun tidaklah sesukar mana jika YB cintakan kemajuan. Kasihankan kesengsaraan rakyat. YB cuma perlu menyuarakan idea di DUN bagi pihak rakyat amnya, N5.Tandek khususnya. Dapatkan bajet, bentangkan di DUN, perjuangkan idea, dapatkan reaksi dan susulan dari menteri berkaitan, mainkan peranan sehingga idea pembangunan desa yang dirancang bagi kawasan N5. Tandek mendapat kelulusan dan selepas itu buat susulan kerja dan siapkan untuk dimanafaatkan oleh seluruh warga N5. Tandek. Seluruh kawasan N5.Tandek perlukan perhatian.

Bila Bajet diluluskan, usah congak komisen yang bakal diperolehi atau membuat kira-kira untung poket selepas perlaksanaan projek. YB, bukan kami tidak tahu atau memahami cara begitu tapi kali ini cukup la dulu usaha sebegitu. Buatlah perancangan ikhlas. Era milenium serba pantas, bangunkan kawasan mengikut standard wawasan 2020.

Gaji YB RM5000 untuk penggal pertama menang pilihanraya dan akan terus meningkat jika memenangi pilihanraya seterusnya. Tidak termasuk elaun dan beberapa insentif lain. Beruntung YB. Itu rezeki YB yang kami tidak akan pertikaikan. Hanya ini yang kami harapkan dari YB iaitu YB cuma perlu menjelmakan idea kerana YB dipilih melalui undi dengan harapan YB berkemampuan dari segi karisma dan tanggungjawab. Cari idea, rancang dengan rapi, bangunkan kawasan N5 Tandek. Kawasan YB sudah basah berendam dengan air mata malah sudah bertahun lamanya tangisan itu. Gunakan peruntukan dengan cara yang betul. Hanya itu saja YB. Itu saja...

Gerakkan pejabat daerah atau setidak-tidaknya anak-anak muda yang selesai persekolahan atau para graduan yang belum bekerja. Jana bakat dan gunakan tenaga, bentukkan kumpulan kerja bersepadu. Jangan tubuh apa-apa 'suruhanjaya'. Semakin banyak kaunter, semakin banyak karenah birokrasi. Di peringkat persekutuan, kita ada wakil yang memudahkan saluran lebih dekat ke meja Perdana Menteri.

Bukan dari duit YB pun untuk menjana kemajuan. Rancangan Malaysia ke-9 sudah lama menanti untuk dimanafaatkan. Ambil peluang itu YB!

Labels: