TINGKALANON - TANDEK - MORION

Friday, August 29, 2008

Kronologi Kuala Lumpur - Kampung Tingkalanon

23hb sabtu- selesai menghabiskan tugas seawal jam 6.30 pagi, bergegas balik ke rumah dan bersiap apa yang patut. 'Jam 8.30 pagi mesti kena ada di LCCT. Flight jam 9.30am' bisik hatiku, sambil mula menelusurkan diri ke alam khayal semakin menjauh ke bumi Borneo ke sebuah desa berkabus dan hijau rimba Banjaran Crocker. 'Saya tunggu di tempat kerja' ligat tangan mengatur teks SMS dan menghantar pesanan ringkas untuk seorang kawan.
Setiba di LCCT lebih kurang jam 8.45am, saya bergegas ke kaunter dan beratur. Tiba giliran dan saya menghulur Kad Pengenalan, petugas Airasia berkata "Nama encik tidak ada dalam senarai kami. Pukul berapa flight?. "Jam 9.30am" Saya membalas dengan sedikit nada cemas. "Encik, ini flight untuk pukul 10.30am! Encik kena ke kaunter 24/25. Saya melihat jam tangan 8.55am. Habis la... saya mengumam dalam hati, bertemankan degupan jantung yang melemaskan. Saya ke kaunter yang dimaksudkan. Kosong. tidak ada petugas atau orang beratur untuk check in. Ada sebuah tag kecil diletakkan di atas kaunter. 'CLOSE'. Nah kannn!... hati saya sudah membayangkan rancangan balik kampung terlepas begitu sahaja. Saya ke kaunter 15 seperti diarahkan oleh petugas kaunter sebelah dan memberitahu masalah yang saya hadapi. 'Sorry! Saya tidak dapat bantu" petugas itu sepantas mengangkat mukanya sekejap dan tunduk kembali menyambung tugas. Saya membuat rayuan tetapi sekadar menggelengkan kepala tanpa mengangkat wajahnya.
Seperti biasa, saya menenangkan diri seperti tiada ada apa-apa yang berlaku. Saya 'tidak ambil kisah' yang sebenarnya saya sudah termiss flight. Saya menghantar SMS untuk adik Why di KK membayangkan senario kepadanya dan mungkin tidak jadi balik kampung. Saya ke kaunter tiket sambil berharap idea yang bermain-main dalam benak menjadi. "Maaf, penerbangan ke Kota Kinabalu tidak ada. Hari ini, Ahad dan Isnin fully booking." suara lembut gadis yang bertugas di kaunter tiket mengakhiri percubaan saya balik kampung. Buntu dan masih cuba berpura-pura cool. Kemudian saya mendapat panggilan telefon dari adik Why 'Cuba beli tiket MAS'. Idea baik! Saya menaiki bas ke KLIA. Jam sudah menunjukkan pukul 10.45am. Sementara itu saya maklumkan seorang kawan yang tolong saya menggunakan kad kreditnya untuk membeli tiket sebelum ini. Dia kemudiannya memberikan idea tambahan. Dipendekkan cerita, tiket confirm jam 9.15pm. Lega, semuanya selesai. Maaf, untuk kali keduanya saya telah menyusahkan seorang kawan. Terima kasih kerana membantu.
Bayangkan, saya 'bergelimpangan' tidak tentu arah di KLIA mengatur tidur, menghabiskan masa terluang. Yang siksanya, waktu itu saya sakit dan terpaksa menahan kesejukan yang amat. Ruang waktu bagai telah bertahun lamanya saya rasakan berakhir dengan layanan business class oleh paramugari yang ternyata aura mereka menyembuhkan seketika sakit yang saya tanggung. hehe. Dan, ini kisah yang saya ingin beritahu... terpaksa.. TERPAKSA beli tiket kelas bisnes. aiietata.. first time! balik kampung punya pasal. (komuniti masinasin, harap dapat simpan sahaja cerita ini daripada melayang ke tengah halaman. faham-faham la kan. Cerita begini mampu membuatkan seseorang terganggu kesihatan..)
Setiba di KKIA jam 11.30pm, adik Why bersama tunangnya siap menunggu. Malam itu terpaksa juga la bermalam di rumah abg Jack di Desa Permai, Menggatal kerana faktor keselamatan dan keletihan. Seawal jam 5.30am bertolak ke kampung.
24hb Ahad- Jam 8.45am tiba di kampung. Mama, bapa, konong, Nuar&Mrs Nuar dan anak mereka, elisa yang cute, Sis May dan Sis Ily masih santai di ruang dapur. Selesai berkisah dengan pelbagai cerita, lalu bersiap-siap ke majlis perkahwinan kazen Vika dan Roy di Gereja Damai. Tahniah untuk mereka berdua. Semoga berpanjangan bahagia kekal sepanjang hayat. Sehabis acara di gereja, orang ramai kemudiannya berkumpul di rumah auntie Restin untuk acara lanjut. Tugas pertama saya ialah, mencari GISAK!!!! huhu... pehh! sedapp! lama tidak merasa penangan sup tradisi kimaragang. Kazen Nick mengacara majlis keseorangan yang sepatutnya dipengerusikan bersama dengan saudara Jerry yang hilang entah ke mana. hehe. Mungkin sudah balik KL agaknya. Tidak sempat merasa meja hijau Kota Marudu. hee... Jam 4pm balik rumah. Hantar bapa yang tidak begitu sihat.
Saya bermalam di Teringai tempat kakak Ily. Sempat tengok Chelsea vs Wigan. Menang 1-0 saja hasil tendangan percuma Deco. Yang penting team favourite menang.
25hb Isnin- Masih berada di Teringai. Thanks kakak Iley memberikan saya tumpangan tidur dan variasi masakan yang enak... Laksa sup memikat selera. Tidak banyak yang dapat saya lakukan hari ini kecuali zzzzz....
26hb Selasa- Jam 6.00am bertolak balik dari Teringai ke rumah Kampung Tingkalanon. Jam 10.00am ke kilang padi Wawasan Maju beli beras dan racun rumpai. Petang, turun ke sawah dan buat pembersihan paip tersumbat di 'aregeson'. Kebetulan, dekat dengan rumah Cikgu Jiral, singgah sekejap dan sempat juga mengimbas beberapa kenangan dan berkongsi isu semasa. Selesai cerita-cerita, saya menyambung kerja membantu mama di sawah padi sambil bermandikan sedikit cahaya matahari yang hampir terbenam. Tadinya selesai hujan renyai sekadar menambah kecantikan alam waktu senja mengundang kelu lidah di antara lambaian padi dan pantulan bebayang yang menghias riak air memenuhi petak sawah. Saya yang berdiri melihat bagai terasa tenang menikmati pesona alam yang begitu ikhlas menghamparkan saujananya. Mama membiarkan sahaja saya bermimpi sekejap bersama angin senja sementara menunggu gelap. Angin sepoi semakin melembutkan bahasanya menyapu keringat menyejuk dahi bagai hanya aku seorang sahaja lelaki yang disayangi waktu itu. Jeritan bapa menyuruh pulang menghentikan permainan emosiku bersama perginya burung senja di balik rimbun desa.
"mama, mari balik"... Ini kata-kataku hari ini sebelum pejam mata di hujung malam seusai menjamah hidangan makan malam yang berlaukkan gisak campur dengan pucuk muda kepayas. Sedikit pahit namun berbaloi...
27hb Rabu- Menebas pokok yang tumbuh di atas benteng sawah sekaligus membersihkan parit. 'Akan diperiksa jurutera' Kata bapa. Hari ini menghabiskan waktu bercanda dengan kehijauan dan aroma padi muda yang sering dimanja oleh angin. Saya mahu menghabiskan waktu-waktu begini sepuas-puasnya, mahu mencuci semua keluh kesah kota.
28hb Khamis- Rasanya hati sudah cukup tertawan oleh keayuan wajah desa. Tidak puas kunikmati semua yang indah-indah dari kisah hutan rimba, anak-anak ayam yang sungguh comel, anak kucing yang pelbagai ragam, dua ekor anjing yang tidak henti-henti menyapa tuannya dengan ekor yang bergoyang girang, kicauan burung dan pelangi yang sekali sekala terbentuk kemudian hilang sehinggalah kepada kemesraan orang kampung bertanyakan khabar atau sekadar bertukar senyuman di jalan 'grabble'. Banyak tempat yang saya tidak sempat pijak. Tamu Pekan Tandek hari Khamis atau berkunjung ke kampung Morion/Tingkalanon. Saya hanya sempat menoleh untuk meninggalkan sekali lagi desa tercinta dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dan meneruskan kepulangan kembali ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya...
Sempat melawat Pablo yang sangat comel macam ibu dan ayahnya juga. Terima kasih Lem dan Mrs Lem, juga ibu kepada Mrs Lem atas hidangan makan tengahari. Sedap sangat masakan untuk saya kenang-kenangkan di Kuala Lumpur. Sudah lama tercari-cari sup ikan begitu.
Di Cheras, bermula la lagi satu episod panjang tanpa kepulangan yang selalu saya rindu-rindukan. Mama dan Ayah, jaga diri di sana baik-baik. Jumpa lagi.

Tuesday, August 19, 2008

Mubahalah-Sumpah Laknat

Beberapa hari lepas, petang lebih kurang jam 6.30 petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Saiful melakukan sumpah Muhabalah' untuk membuktikan yang dirinya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 yang lalu. Saiful bersumpah dengan Quran di tangan kirinya, menghadap kiblat manakala teks sumpah di tangan kanannya sambil ditemani oleh bapa dan disaksikan oleh puluhan wakil media dan imam masjid serta keluarga Saiful. Saiful kemudiannya membaca teks sumpahnya yang berbunyi:

"Pada hari ini, saya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan nama Allah berikrar dan bersumpah, diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah hingga ke kiamat"

Sumpah Saiful kemudiannya dikritik hebat oleh para pemimpin agama dan ulama, pemimpin parti politik pembangkang termasuk yang terbaru oleh bekas pemimpin Indonesia, Gus Dur. Sebelum ini ramai pihak menggesa agar dilakukan satu sumpah Mubahalah antara Mohd Saiful dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat. Antara yang mencadangkan ialah Mufti Perak yang mahu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz sebagai pengantara majlis sumpah.

Namun sumpah tersebut mendapat reaksi bertentangan daripada ramai pihak. Gus Dur menyifatkan sumpah tersebut tidak mengikut hukum Islam. Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang mempertikaikan sumpah tersebut kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Mufti Perlis pula mengeluarkan kenyataan bahawa pegang Al-Quran semasa bersumpah adalah salah. Manakalah ahli akademik dan beberapa mufti lain berbelah bagi dalam memberikan pandangan sumpah laknat. Ketua Jabatan Pusat Pengajian Islam Antarabangsa, Ahmad Fauzan Yahaya mempertikaikan cara Saiful bersumpah dengan memegang Al-Quran tapi beliau mengakui syariat iaitu bersumpah dengan nama Allah. Pegawai Masjid Negara, Azhar Tuarno mendakwa dari segi konteks Islam, perbuatan itu dilihat bertepatan untuk membersihkan namanya. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata tidak wujud istilah sumpah dalam Islam dengan perbuatan menjunjung Al-Quran tapi memadai dengan menyebut "Wallahi, Wabilahhi, Wata'alahi" sambil menambah sumpah tersebut hendaklah dilakukan di depan kadi di mahkamah bukan imam dan di dalam masjid. Mufti Selangor, Datuk Ahmad Tamyes Abd Wahid berpendapat, sumpah laknat harus dilakukan terlebih dalulu oleh yang tertuduh untuk menyangkal pertuduhan ke atasnya. Di Kuala Terengganu pula, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al-Syiekh ABdul Halim Abdul Khadir menegaskan sumpah seharusnya dibuat setelah mahkamah menemui jalan buntu dalam menyelesaikan kes.

Sementara itu dalam blog Datuk Seri Awar Ibrahim ada mengambil beberapa kenyataan ulama jawi yang dipetik daripada blog Husam Musa untuk menyokong pendirian beliau dalam isu pertuduhan liwat. PEnasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee menyebut tindakan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran bahawa dia diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang dibenarkan mengikut syarak tapi menegaskan sumpah yang dilakukan oleh Saiful bukanlah sumpah Mubahalah sebaliknya sumpah tohmah.
Saya sebagai Non-Muslim semakin keliru dengan perkembangan yang melibatkan kebenaran bersumpah menurut hukum Islam. Jika sebelum ini, sangat ramai pihak menggesakan agar dilakukan satu sumpah laknat, perkembangan terbaru menjadi celaru. Blog ini tidak mempertikaikan kenyataan mana-mana individu berkaitan dengan sumpah tersebut. Yang jelasnya saudara Saiful telah melakukan sumpah laknat setelah terus-menerus didesak. Persoalannya, ketika gesaan oleh mufti, pemimpin agama, ulama, pemimpin politik termasuk mereka yang pakar dalam undang-undang Islam menuntut perlaksanaan sumpah, tiba-tiba timbul polemik agama yang tidak melihatkan kesepakatan. Blog ini ingin bertanya;
1. Saudara Saiful beragama Islam. Individu yang mendesak untuk diadakan sumpah laknat juga beragama Islam. Yang dituduh juga beragama Islam. Yang memberi pendapat tentang kesahihan sumpah juga semestinya beragama Islam. Mengapa sebelum ini para bijak pandai agama tidak mengeluarkan satu garis panduan yang sangat jelas menurut hukum dan Syariat Islam supaya tidak timbul polemik sepertimana yang berlaku sekarang?
2. Setelah sumpah selesai, mengapa disambut dengan reaksi yang pelbagai sehingga tidak mengiktiraf kesahihan sumpah Saiful?. Ia bagai satu permainan 'MENUNGGU ORANG LAIN (BIAR PUN SEAGAMA) MELAKUKAN KESILAPAN'. Ini bukan strategi politik!! Dalam politik siapa buat silap, siapa lemah, siapa yang pentingkan diri sendiri akan merosakkan perjuangan dan tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Dalam konteks agama, sementara anda bertaqwa kepada Allah, kesepakatan dan muzakarah, saling membantu sedaya yang boleh, membimbing cara yang betul dalam proses yang adil, tidak mengira bangsa dan warna kulit harus menyatu dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran dan perjuangan Islam. Ini adalah tuntutan bagi yang beragama Islam.
3. Kenapa para ulama, pemimpin politik dan para pemikir dan ilmuwan Islam tanahair tidak membantu saudara seagama dalam menunjukkan proses yang lurus, yang terbaik dalam mengaplikasikan hukum Islam menyelesaikan isu melalui proses yang diiktiraf hukum dan syariat Islam?
4. Semua orang tahu desakan demi desakan akan membuatkan Saiful bakal melakukan sumpah juga pada suatu hari nanti. Setelah mendesak, dan Saiful kemudian rela hati untuk bersumpah, kenapa menunggu saudara Saiful melakukan 'kesilapan' bersumpah kemudian beliau dikritik tanpa bimbingan sebelum ini? Jika tidak ada usaha memberikan cara terbaik melalui nasihat-nasihat sahih Al-Quran, sepatutnya tidak perlu mereka yang berkaitan mengkritik Saiful. Jika tidak, peranan mereka sekadar dilihat sebagai 'MELIHAT KESILAPAN DAN MUNCUL UNTUK MENGKRITIK'. Sikap begini tidak membantu orang lain seperti saya memahami apakah sebenarnya yang telah disepakati oleh sesama Islam dalam menangani isu moral.
5. Bukankah isu yang melibatkan individu agama Islam harus dimuzakarahkan dengan saksama oleh semua pihak termasuk meminggirkan pergeseran politik, perbezaan pendapat untuk mencari satu jalan penyelesaian yakni dapat menunjukkan muafakat agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam mengaplikasikan keadilan setepatnya menurut Al-Quran?
6. Jika sumpah Saiful dikatakan dilakukan dengan cara yang salah, kenapa menunggu sehingga perkara 'salah' itu berlaku? Kalau sumpah itu tidak berlandaskan syariat Islam, kenapa para pemikir dan ulama Islam tidak cuba melihat ke depan bahawa sesuatu perlu dilakukan agar jangan sampai tergelincir dari landasan Al-Quran? Kalau cara Saiful sumpah memegang Al-Quran itu tidak tepat, kenapa perlu menunggu 'ketidaktepatan' itu berlaku?
7. Ternyata ada nasihat yang mengatakan 'sumpah perlu dilakukan di depan kadi mahkamah' bukan di depan imam dan dalam masjid. Ia sebahagian daripada garis panduan yang boleh membantu proses Saiful melakukan sumpah untuk mengelakkan kontroversi sumpah laknatnya. Proses ini dan beberapa cara lain yang sahih dalam Al-Quran seharusnya dinyatakan secara jelas. Sepatutnya Majlis Ugama Islam berganding bahu dengan para ulama dan ahli bijak pandai yang bertauliah dalam undang-undang Islam campurtangan dalam isu ini dengan maksud menyediakan satu cara menyeluruh mengikut ketetapan Al-Quran untuk menasihati proses perlaksanaan sumpah laknat Saiful supaya dapat menghindarkan daripada perlakuan ketertiban bersumpah yang tidak bercanggah sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam.
Akhir sekali, sesuatu cara yang baik, proses yang baik, maksud yang baik, dan perlaksanaan yang baik bermula dengan AKAL yang baik. Blog ini sangat berharap polemik begini tidak berterusan kerana ini hanya menambahkan kecelaruan dan kekeliruan apa lagi kalau pergeseran dan percanggahan ini berlaku di kalangan para ulama, bijak pandai, pentafsir undang-undang agama dan pemimpin agama. Saya yang melihat dari jauh kes ini agak kurang selesa dengan keributan yang berlaku. Ada yang memetik hadis, ada yang memetik kata-kata ulama, ada yang memetik daripada Al-Quran. Jika Al-Quran itu diwahyukan oleh Allah sendiri kepada umat Islam, kenapa tidak kembali kepada Al-Quran yang sebenar-benarnya? Sesungguh-sungguhnya Allah itu tepat dalam printah dan hukum-Nya.
Blog ini memohon maaf kepada saudara-saudara yang beragama Islam jika ada kenyataan yang menyinggung atau mungkin kerana saya adalah Non-Muslim maka saya tidak selayaknya bercakap tentang isu ini. Niat saya hanyalah mahu melihat agar mereka yang berkenaan mengambil waktu berfikir sekejap bahawa 'pergolakan' yang timbul berkaitan tentang pertuduhan dan hukum sumpah dan kaitannya dengan tuntutan dalam agama telah berlaku disebabkan mereka tidak mengambil pendekatan menghalusi cara dalam konteks isu tersebut dikendalikan. Sekian.

Monday, August 18, 2008

EPL Kick Off: Chelsea 4 Portsmouth 0

Gol pembukaan Joe Cole 1-0

Tandukan Anelka 2-0

Penalti Lampard 3-0

Percubaan jarak jauh Deco 4-0

90 minit masa permainan yang sangat bertenaga, bergaya dan Scholari berjaya mengembalikan corak bolasepak menghiburkan oleh pasukan Chelsea FC yang sebelum ini terlalu defensive di bawah kendalian Jose Mourinho. Semasa Avram Grant mengambil alih sebagai pengurus, Chelsea menunjukkan sedikit peningkatan tetapi Avram tidak mempunyai kekuatan dalam aspek man management dan gagal menyemai mentaliti kemenangan dalam situasi genting. Tahniah Chelsea!! Percaturan taktikal Scholari membuatkan pertahanan Portsmouth tidak mempunyai jawapan terhadap gerakan dan variasi serangan Chelsea. Sir Alex Fergusan menyifatkan para pemain Chelsea sebagai 'a bunch of old men' kerana rata-rata pemain Chelsea berumur 30 tahun. Ternyata perlawanan menentang Pourtsmouth malam tadi membuktikan sebenarnya bukan isu umur jadi ukuran tetapi pemain Chelsea sangat matang dalam persaingan bola sepak. Ballack, Lampard, Deco, Sheva, Drogba berada di puncak karier dan ditambah dengan status mereka sebagai pemain kelas dunia. Itu baru perlawanan kompetetif yang pertama.
Rise The Blue Flagssss!!!


FANTASY PREMIER LEAGUE 2008/2009


Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah menyertai persaingan sebagai Pengurus Kelab dalam kumpulan Liga Juara-Juara Kuala Lumpur. Ini ialah keputusan pertama:
The Kickers: Frendy Rubil-72 mata, MICKEYchelsea FC: Jalimik S.P.Sambion-65 mata, juraganfc: black blackzeem-60 mata, Chelsea Lagi:
Muhammad Hisham Salleh-60 mata, KimAraGanG FC-tanak wagu-34 mata, GoRoGoM: MunCas 08-34 mata, idonofc: Bestevariell Sandah-29 mata, Nike FC: Wayne Rainey-29 mata dan rumbiamasolog FC: Roger Ukun-25 mata. Pengurus Frendy menjuarai pusingan pertama.
Liga Juara-Juara Kuala Lumpur menawarkan hadiah kepada pengurus yang berjaya menjuarai carta di hujung persaingan EPL. Pengurus yang menjadi juara akan mendapat hadiah set jersey kelab kegemaran dan wang tunai RM100. Pengurus tempat kedua RM70 dan tempat ke tiga RM50. Hadiah-hadiah akan disampaikan (jika tidak ada aral melintang), pada suatu majlis makan malam atau selepas Futsal (Hari Ahad, tahun depan haha...), bersama-sama pengurus-pengurus Fantasy Premier League 2008/2009 di Restoran Nasi Ayam Ipoh, Petaling Jaya. (kengkawan, amacam tempat tu?)

Thursday, August 14, 2008

Chaiiiyo Chong Wei!!!

Teruskan perjuangan untuk Malaysia!! Blog ini sangat bangga melihat kejayaan Chong Wei melayakkan diri ke Separuh Akhir dalam acara Badminton setelah mengalahkan pencabarnya Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia dengan keputusan 21-9 dan 21-11. Sayang sekali perseorangan wanita Malaysia Wong Mew Choo dan bergu utama kedua negara, Tan Boon Heong-Koh Kien Keat tersingkir daripada persaingan suku akhir.

Teringat saya akan janji kabinet untuk memberikan RM1 juta kepada setiap pemenang pingat emas Olimpik Beijing. RM1juta??? Sangat lumayan!!! Namun saya percaya, jika tiada tawaran hadiah sejumlah wang ini pun, Chong Wei akan dapat melakukan kejutan kerana bakatnya dan dia adalah pemain kelas dunia. Chaiyyoo Chong Wei!!.. Hapuskan rekod lama Rashid Sidek yang memenangi pingat Gangsa di Olimpik Athens.

Jimat Cermat...

Pada suatu hari bapa bercerita tentang nenek berkaitan dengan berjimat cermat. Cerita ini sudah berusia lebih kurang 20 tahun dari bapa bercerita dan masih saya simpan dalam ingatan. Bapa memulakan cerita tentang nenek yang menetap di Parong, Kota Marudu. Nenek ini antara insan yang paling saya sayang dan sangat baik serta sangat saya hormati. Kata-kata nenek tidak pernah saya bangkang dan saya tidak pernah tersinggung apa sahaja butir bicara nenek. Tidak pernah jemu memberi kata-kata nasihat. Setiap teguran saya tidak membalas sama ada untuk mengulas atau bertanyakan kembali dengan persoalan, kecuali 'ya' dan anggukan. Itulah persona nenek.
Kata bapa, pernah suatu ketika dulu nenek mendidik cara untuk berjimat cermat. Selalunya nenek ini menyalurkan didikan melalui cara hidupnya. Jikalau mendapat beberapa ekor ikan rongou atau ikan koruk (ikan air tawar), biasanya ikan rongou la, nenek hanya merebus. Bila waktu makan, nenek memanaskan sup. Cara masakan nenek sangat mudah, letak ikan dalam periuk dan masukkan air tanpa apa-apa campuran lain. Ketika hendak menghadap hidangan, nenek keluarkan seekor dan mencubit sedikit daging lalu diletakkan di tepi pinggan dan memasukkan kembali ikan tersebut ke dalam periuk. Nenek hanya lebihkan kuah dalam gaulan nasi putih. Nenek makan dan mengambil sedikit dari cubitan daging tadi. Selebihnya menghirup kuah sebagai perasa. Itulah yang jadi lauk sehingga kenyang. Rutin makan begini berterusan setiap hari. Kalau zaman sekarang, kelihatan tidak masuk akal kan??
Satu ekor boleh bertahan sampai 3-4 hari. Bapa cakap, oleh kerana rebusan berulang sehingga seminggu dua, tulang ikan menjadi sangat lembut. Jadi tidak ada sisa ikan yang terbuang, semuanya habis dimakan. Jika habis sup, masukkan air dan panaskan sehingga mendidih. Menurut bapa, untuk menghabiskan ikan, kena 4-5 kali masukkan air dan sentiasa panaskan setiap hari supaya tidak bebangas (basi). Kalau sekarang ni, boleh bertahan ka makan begitu sahaja untuk satu, dua minggu?? Bagi yang pernah melalui pengalaman seperti ini, melakukan rutin makan seperti itu agaknya tidak sukar. Pengalaman dan kesukaran hidup menjadikan resepi makanan sedemikian rupa tidak pernah mengundang alasan malah kita menjadi lebih tabah untuk semua peristiwa yang klasik begini. Prospek untuk mengulangi agak sukar di kota. Ya la, sistem parit dan sungai kota, pinggir kota tidak dapat menyamakan kepercayaan kita menghanduk ikan sebagaimana semaunya di desa. Lagi pun mana nak cari ikan rongou, sepat atau ikan koruk di ceruk kota? Kena la juga menjenguk pasaraya TESCO, GIANT atau EKONSAVE. Itupun kalau ada tauke yang jual. Jika tidak, kena la juga melirih pandang ikan kembung, bawal, siakap. Sudahnya, menggeleng kepala melihat tanda harga.
Di Kuala Lumpur, kehidupan dalam serba-serbi sangat demand. Mau tidak mau kita terpaksa menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berbelanja, bukan kerana apa orang lain beli kita nak beli juga. Cukup la untuk apa yang kita perlu sahaja pun terlibat juga dalam kos pasaran yang melambung. Menyedihkan, sekalipun berusaha untuk sederhana dalam semua cara, kemahuan, keinginan dan kesukaan rasa, masih melibatkan kos yang tinggi yang sebenarnya sudah mampu menanggung keperluan ruang dapur di desa. Hakikatnya, mereka yang kaya raya pun boleh mengambil ruang untuk mengelabah dan mengeluh dengan kenaikan kos dalam semua aspek. Itu baru orang berduit yang melahirkan kegusaran!!
Terpaksalah.... Mana yang boleh jimat, usahakan. Simpanan bulanan pun tidak seberapa dek kos bayaran dan sara hidup. Sejak kebelakangan ini, selalunya saya lebih banyak berada di tempat kerja semata-mata melupakan rayuan dalam perut. Kerap juga saya tidur di tempat kerja di luar waktu siang hari (selepas jam 6pm) sementara menyambung tugasan malam nanti (jam 12am) sebab ini memudahkan saya degil terhadap perut sendiri. Banyakkan minum air (yang dimasak) dan sekali makan tengahari cukup untuk tidak merasa lapar dan menghindarkan lebihan asid yang memeritkan. Malamnya, perut saya tidak banyak karenah. Layan dengan gardenia 2-3 potong senyap la muzik dalam perut. Paginya, jam 6.30am lepas mandi, langsung terlena begitu sahaja sehingga jam 1.30pm.Mudah-mudahan, dapatlah saya mengurangkan lebihan yang tidak diperlukan di keliling badan. haha... Sebenarnya seronok juga begini. Orang kampung bah. Yang susah tidak pernah terlalu sukar...

Tuesday, August 12, 2008

Dulu Saya Pernah Training...

... angkat apa sahaja benda yang saya rasa berat atau sebarang objek yang membuatkan saya berusaha mengangkat beban sehabis daya. Semuanya gara-gara bermula dengan menonton drama 'The Incredible Hulk' dan filem 'Samson'. Sangat suka menonton kedua-dua cerita ini. Memang best la... Kerana minatkan bentuk badan pelakon tersebut, saya mula berangan-angan menjadi seperti mereka (berbentuk tapi tidak la sampai macam diorang ni. Cukup la macam Diesel WWE kunun-kunun la). Dan bermulalah episod kegilaan 'mengukir ketulan' apabila paket simen menjadi mangsa pertama, termasuk bongkah simen yang digunakan untuk menutup longkang berukuran 2X2 besarnya di asrama SMK ABD Rahim, Kudat. Setiap bulan ada saja bebelan warden asrama melihat longkang yang rongak dek kegilaan kepada seni 'membina badan'. Tapi yang jadinya, saya jadi kurus melengkung sehingga mendapat gelaran juara bina badan jerangkung universe!!Sedihnya... Nak jadikan ceritanya, latihan agak-agak kaw-kaw juga, makan minumnya tada. Kuang!kuang!kuang!.. Maklum la sekolah menengah dulu mana ada pegang duit. Inilah kenangan... kan? Sehingga hari ini saya masih cuba merancang-rancang untuk memberikan sedikit bentuk kepada badan saya yang sudah begumuk nie tapi.. tapi.. setakat merancang saja la..

Mick Lou Schwarzenegger har!har!kui!kui!kill!kill!die!die!... (tattoo yang cuma bertahan 3 minggu. Nasib baik bukan jenis yang kekal huhu)

Lou Ferrigno

Arnold Schwarzenegger

Monday, August 11, 2008

Menunggu Gendang Dipalu...

Bagai taufan kecil. Bergerak senyap, menunggu masa, memerhati dengan siaga, ada senyuman namun bicaranya masih misteri.. Deru angin menyeru empat penjuru bumi, menjelajah seluas langit dan sehijau belantara lalu menyerbu sebiru laut. Geraknya tidaklah terlalu pantas namun semilirnya tidak meliar, merebak, menular tanpa kekangan yang hakikatnya meresap ke jantung tanpa ada usaha menghalangnya. Rela dan redha. Bisik menghantar bisik ke seberang daerah. Salam berjabat di mana pelusuk, menghantar pesan berantai dan harapan yang makin tumbuh. Tiada pujukan, cuma semangat yang berdiri sendiri tanpa kata-kata. Cukup hanya bertukar pandang dan mengerti antara angguk dan sekadar ucapan memohon lalu. Nun di negeri kayangan, mereka bermain gendang paluan mengalun tari gemalai dan senandung yang gemersik. Leka. Lupa. Mungkin semakin angkuh. Atau kata Sang Raja 'usah gusar, mereka sudah beta berikan persalinan yang indah-indah'. Mungkin! Sebab mereka telah menghujankan titisan emas ke seluruh jajahan yang kontang. Mereka tahu, kemilau tunasnya pun akan merimbun juga ke meja perak berdian berlian menjadi hidangan dan santapan para pembesar. Rajanya ikut tersenyum melihat para sida-sida tersengih. Dua tiga kali bisik memanda menteri, hilai 'berdaulat' bergema ke udara sambil membetul-betulkan kain lenan bersalut emas. Keris kebesaran dikerling pendekar Di Bawah Bayu dan menghantar lirih ke seberang sana disambut Paduka Kenyalang yang semakin gemar memintal misai lentik, tidak siapa mampu membaca peluh yang menitis membasah genggaman sang perwira. Siapa mampu menyingkap sinis senyuman ketika duduknya sebaris laksamana istana kayangan. Satu ruang singkat, pendekar menyembunyikan geleng kepala melihat dahi laksamana kayangan itu cuma ada seribu sembah, dikumpul raja dihujung kakinya yang bersandal perak menjadi hiasan rasa.
Genderang mula menderam, itu isyarat pencak anak bangsa menunggu masa mengangkat panji di antara sunyi waktu dan kelibat tidak berbayang.

Nak Berjimat Punya Hal...

Gambar Kombo tempat kejadian letupan tong gas lebih kurang hampir jam 11.

Abang-abang polis membuat kawalan perimeter.

Sempat berposing. Alahai perut yang sedia naik tambah naik lagi. Ni la penangan BBQ semalam. haha

Beginilah keadaan bonet kereta yang langsung rabak dek penangan letupan tong gas. Nasib baik tong NGV tidak meletup sekali.

Bumbung petronas yang berlubang akibat lantunan tong gas. Lubang kecil sebelah akibat terkena serpihan bingkai kereta.

Beginilah keadaan tong gas selepas meletup. Macam ikan pari daaa..

Orang ramai di megerumuni tempat kejadian

Ceritanya bermula begini:
Ketika itu saya berada di tempat kerja sedang sibuk download gambar BBQ dan mula menulis sesuatu untuk saya jadikan entry blog. Tiba-tiba satu letupan kuat bergema bagai bom meletup. Terasa momentum letupan tersebut menyapu ke muka saya yang berada pada jarak lebih kurang 100 meter dari tempat kerja dan tempat kejadian. Inilah kali pertama saya mengalami peristiwa satu letupan sekuat itu.
Lalu saya bergegas meninjau di mana agaknya letupan itu berlaku. Kerlipan lampu kereta polis di petronas mengesahkan pencarian saya. Keadaan berselerak dengan serpihan kereta. Kelihatan anggota polis sedang mengambil keterangan daripada pemandu kereta seorang lelaki cina lingkungan 40-an bersama isteri. Lalu kawan yang bertugas di petronas menceritakan peristiwa kejadian. Mengikut cerita, pemandu ini selesai mengisi NGV. Pemandu itu bertanya kepada petugas petronas dia hendak mengisi satu lagi tong. Rupanya dia hendak mengisi gas NGV ke dalam tong gas. Apa cerita!.... tong gas isi dengan gas NGV? Aduh! Semasa sedang mengisi tong gas, letupan berlaku. Mujur lantunan gas tidak mengenai pemandu. Agak-agaklah kalau terkena kepala pemandu tersebut, maunya tercabut kepala dia!!!
NI la kalau berjimat cermat yang keterlaluan. Agak-agak la kan... Beli tong gas baru RM27++. Nak jimat, isi pula gas NGV dalam tong gas boleh dapat harga serendah RM5. Hampir melayang nyawa. Ambillah iktibar. Berjimat cermat biarlah kena tempat. Barang-barang keperluan yang perlu diisi semula, ditukarganti, pergilah kepada sumber yang betul. Kasian tengok pasangan suami isteri tersebut. Mungkin penangan letupan membuatkan semangat mereka bertaburan di angkasa. Sedangkan momentum letupan merayap sejauh 1 batu, inikan dalam jarak beberapa kaki sahaja. Fuuh!! bahaya juga tong gas ni. Selepas ini, SERIUS!! berhati-hati dengan tong gas.

BBQ AY Klang

Perut sudah naik. Kenyang makan durian... adesss!

Pilih! pilih!.. baik punya... :)

Geng-geng durian.. hehe Kiri: Suzanne, Chester, Konong, Andy, si.. ayaa cemana lupa nama dia tu.. siou, Lina, Ikung, Black, Steve, Pam, Vika, Nikhlos, Rubin 'Lucy' hehe, Boyden, Diana, Jay Cou :), Krist, Mick (sepa lagi saya la hehe)



Antara kawan2 yang datang. Kiri Sekali Auntie Satiah.

Selepas program AY, kami beramai-ramai stay untuk memeriahkan BBQ yang telah diatur sebelum ini oleh Cazen Vika dan Roy. Hidangan malam itu fuuhh.. sedap! Sekali lagi seperti biasa saya mengambil tempat sebagai chef panggang memanggang. Yang bagusnya, sambil memanggang sambil makan. Gudoot! Haha.. Entah tiba-tiba timbul idea kawan-kawan untuk menambahkan kemeriahan dengan hidangan aroma durian yang sungguh tidak dapat dinafikan memikat rasa. Saya tidak mahu ketinggalan untuk menunjukkan kejaguhan memakan durian. Sudahnya, perut jadi kembung. Pelbagai makanan yang masuk melupakan seketika 'diet' yang saya cuba usahakan. Malam itu saya tidak ingat apa-apa lagi untuk membataskan kunyahan. Semuanya hamtam... Lupa dunia hehe. Ayam panggang, hotdog, sup, durian, durian dan durian. Malam itu saya balik jam 11 dan terus ke tempat kerja dengan kekenyangan yang ekstrem.

Sunday, August 10, 2008

Hari Pertama - Catatan Rutin Yang Berulang-Ulang

Ahad...

Ahh!.. Satu hari untuk merehatkan diri dari dihujani dilema kerja dan beberapa bahagian daripada fikiranku yang bercelaru. Selalunya saya menghabiskan waktu hujung minggu dengan mimpi yang kisahnya terputus-putus di antara pejam mata sebebas waktu. Anehnya tidak pernah menyatu dalam satu acuan. Jika ada dayaku untuk menyingkirkan keasyikan tidur seorang lelaki, futsal menjadi riadahku sebelum sempat mentari bertanya khabar di ubun kepalaku. Yang baiknya bila bersua dengan teman-teman di gelanggang bola, jelmaan aksi persahabatan membuatkan hati terhibur. Jika berkesempatan, Nasi Ayam Ipoh menyatukan pelbagai cerita rakan-rakan di meja makan pada suatu hari yang tidak kami jangka, satu ruang yang hiruk-pikuk di sekitar daerah Petaling Jaya. Keletihan selalunya membuatkan saya mudah untuk menyambung mimpi baru pada suatu petang yang singkat. Ada waktunya jeritan SMS membangunkan lenaku ketika pekat malam mula menyapu alam tanpa sedarku. Gedung Giant menjadi pertemuan seterusnya di meja hijau sekadar suka-suka. Tengah malam tepat jam 12am, bermulalah tugasku selama 6 jam berkenalan dengan unggas melatah yang tidak pernah pun mengambil tahu akan kehadiranku. Nanyian sama sang cengkerik entah pelusuk mana bagai irama yang sedikit menyiksakan halwa rasa biarpun senandungnya mampu menyingkirkan sunyi gelap pekat yang enak sahaja menjemput pelbagai kenang-kenangan. Sekali sekala bergerak memilih sebebas waktu mengintai petugas-petugas malam memastikan mereka tidak leka dengan tanggungjawab merantai sempadan daripada gempuran tetamu tanpa diundang. Antara waktu terluang, skrin komputer menjadi teman bersuluh lampu neon yang menjengah dari luar jendela berjabat sinar lampu kalimantang yang masih setia menyala di hujung jari pada waktu yang perlu. Saat ini pun masih cuba menyelesaikan satu sketsa nukilan sang lelaki dan malam yang mula khuatir, kedinginan bermandi embun dan bening pagi.
Sebentar lagi aku akan pulang memulakan rutin hari pertamaku seperti selalunya.

Saturday, August 02, 2008

Kalau Dunia Aman Dan Semua Penyangak Sudah Disumbatkan Ke Dalam Penjara....

Ini la Spiderman kalau teda kerja mo buat... Cuba tengok tu...