TINGKALANON - TANDEK - MORION

Saturday, June 27, 2009

Pinakang : Lama Tidak Ke Gelanggang Muzik

Kali terakhir saya cuba-cuba main muzik kulintangan pada tahun 2004. Itupun hanya menggunakan peralatan yang dibuat daripada kayu. Seingat-ingat saya, saya tidak pernah mempunyai pengalaman membunyikan kulintangan dan tidak pernah ada sesiapapun yang mengajar saya secara formal. Bapa saya, setiap petang bersantai ketika pulang dari sawah bendang, merehatkan lelah sambil menitik titikan kulintangan pada keping-keping kayu yang dibuatnya sendiri. Kalau bapa saya tidak bermain alat itu, saya akan menggantikan tempatnya dan membunyikan titikan kulintangan sebagaimana yang biasa saya dengar. Itu permulaan saya mengenali muzik tradisi ini. Kebetulan, pada suatu majlis perkahwinan adik saya yang berlangsung baru-baru ini, Raja Kulintangan saudara Mojiun turun gelanggang memeriahkan majlis tersebut dengan kepakarannya menawan halwa rasa melalui bunyi-bunyian tradisi kulintangan yang mengasyikkan. Ketika Sang Raja Kulintangan merehatkan diri, saya mengambil kesempatan mencuba-cuba bakat. Aksi saya sedang menitik kulintangan sempat dirakam oleh abang saya tanpa saya sedari. Dan inilah hasilnya... bunyi-bunyi yang haru-biru...hehehe.

Selamat berhibur. Walaupun tidak sedap didengar, sekurang-kurangnya saya cuba berusaha untuk mendekati warisan nenek moyang. Dan lebih mengusik kenangan, titikan ini mengingatkan sentiasa kepada bapa saya. Bapa... minta maaf anakmu tidak dapat menarikan tangan seperti tangan bapa yang setiap petang "bercanda" menghasilkan bunyi-bunyi lengkap muzik tradisi jati Kimaragang. Terima kasih kerana memperkenalkan saya muzik ini.

Tuesday, June 23, 2009

SAM: Besar Kepala Atau Besar Minda?

SAM wadah sederhana tapi selalu diragui keikhlasannya. Bukan sekadar disesak dengan kemelut minda satu dua individu yang tampil tanpa identiti malah mempersoalkan objektif SAM. Tanpa menidakkan kredebiliti identiti tanpa nama, saya perlu menganjak tafsiran 'besar kepala' berpaksikan kredebiliti dan keterampilan wacana dari tingkap minda SAM.

SAM dilihat sebagai hambatan yang menyusahkan. Kekritisan dan keberanian SAM dibayangi pandangan negatif menyingkirkan sama sekali perspektif bistari dari hati orang tertentu intipati yang mengisi wadah SAM. Besar kepala, konotasinya ditolak dalam pembudayaan karekter. Ibarat kemudi yang tidak bertuankan kejernihan di laut akal. Sauhnya berjubah taufan, mudik ke muara kacau-bilau. Sudah tentu SAM menolak jauh-jauh kedangkalan begini

Bila berlakunya kepincangan yang mengundurkan kelangsungan dan survival bangsa, jangan padamkan roh kemerdekaan bersuara dan berfikir. Kebekuan berfikir tidak mendewasakan bangsa. Mengabaikan hak-hak kemasyarakatan menyebabkan kita mudah diprovokasi oleh elemen berpecahbelah. Pergerakan pemikiran yang mendukung gagasan SAM berorientasikan suara rakyat. Jika ada yang memandang mudah sikap SAM 'yang lantang' menyelongkar budaya cincai, ia satu kegagalan untuk mengerti SAM sebenarnya menyelongkar khazanah minda supaya pihak berkenaan terarah kepada etika kerja bersepadu dan berkualiti. Bersuara selalu disalahertikan sebagai mengambil langkah menentang. Apakah budaya cincai itu satu ekspresi etika yang tepat ketika label kemunduran kekal menyelimuti desa?

Usah pandang serong ketika minda SAM bernada sinikal. Anda, saya dan masyarakat adalah agen sosial yang harus percaya mampu menangkis konflik sosiologi yang menghambat pemupukan kemajuan serta mendangkalkan aspirasi politik telus.

Peranan SAM komited menentang ketidakseimbangan ekonomi, penyimpangan moral politik, kemunduran etika melalui cara uruskerja dan apa saja bentuk kepincangan membabitkan kepentingan rakyat. Sama ada anda orang politik dan kami rakyat biasa, kita harus menjadi masyarakat yang kolektif, bertimbalbalik fungsi dan peranan yang menguntungkan keperkasaan jati bangsa kita. Ingatlah, SAM dan PERGERAKAN PEMIKIR di luar sana, samada ahli politik, aktivis, golongan profesional, pejuang mistikal, perwira atau gembala tanah ladang dan arena samudera, anda dan kita adalah milik bangsa.

JATUH SAMA DIPAPAH, MERANGKAK SAMA TERLUKA, BANGUN SAMA BERJUANG, BERTINDAK SAMA SERUMPUN.

(Kepada organisasi politik yang dihormati, anggaplah SAM sebagai nota rakyat. SAM membantu bukan MEMBANTUT MISI dan VISI. Mohon maaf, mohon ampun jika terkasar bahasa. Anak cucu tumpang belajar.)

Labels:

Monday, June 22, 2009

Mesra Rakyat Selalu Dan Janganlah Ada Jurang Lagi



Untuk kampungku Tingkalanon, selamat menyambut Pesta Kaamatan. Wajah-wajah desa yang dirindui. Kerut zaman-berzaman adalah cerita waktu yang mengiringi jejak mereka, melukis harapan sepanjang hayat desa sejauh yang tergapai usia. Tangan mereka berketar di cabar horizon masa silih berganti. Sayu. Bila di antara mereka tidak kelihatan lagi kelibat yang selalu dekat di hati. Bukan seorang dua.

Satu hari Ahad, kampung ini kembali bersatu teguh dalam satu pesta huminodun yang harmoni. Sudah lama dataran riang tidak mendepa ke ruang desa. Para ibu dan bapa dari tiga zaman mewarnai hiruk-pikuk, menitip pesan kukuh generasi empat lapis keturunan, bertembung sejarah dan dibaca melalui satu angkatan perpaduan. Di antaranya, susuk tubuh yang tampil menyenangkan. Aah! kata hatiku... kenapa tidak dari dulu lagi. Beginikan baik. Aku tidak selalu gemar digerenyang kesumat muda. Bukan dendam.

Ibu memeluk ibu. Itu sejarah yang menyenangkan kekhuatiran anak-anak. Salam menghulur bersambut hias senyum. Kisah yang sejuk menepuk kebimbangan di bahu generasi. Ini yang selalu dicari. Tapi jangan marah bila suara anak-anak desa selalu juga ke udara. Ia bayu sihat berpuput mengalungi harapan yang selalu kami selongkar. Jika sumbang meniup sangkakala, betulkan irama kami dengan nota segemersik irama. Kalau nada sama, lagu itupun dinyanyikan dari bahu ke bahu. Bukan kami tidak sayang. Cinta kami pada desa harus itu juga kasih sayangmu.

Jika berundur mindamu dari meja sidang, izinkan kami lalu ke laluan mendepa dada soldadu. Bukan angkuh yang tersemat di sanubari. Kerana kami gemar langkah sama ke depan, berderap anggun. Biar Yang Berhormat menghormati juga jejakmu sendiri. Langkahmu telah kami letak panji, pikul dan pimpinlah gerombolan. Jangan ada jurang. Kami menolak curam masa depan. Jauh sekali untuk menjangka diintai gaung. Andai belukar merimbun, onar pun akan menjadi pena berdarah di dada perwira bangsa.

Sunday, June 21, 2009

Apa Agaknya Bisikan Dalam Diri Anak Muda Ini?

Berfikir dan terus berfikir. Menelaah rasa di ruang emosi mencari jati diri yang lama menghilang.

Mengintai Jejak Lama

Happy to be here again!

Mandur yang baik, pekerja pun ikhlas buat kerja.. hehe

Upah RM2 kepada sesiapa yang perlukan khidmatorang saya. Kerja tidak cincai punya.. haha

Buat kerja betul-betul. Jangan kasi pening kepala saya ;) (Tzuriel, anak bongsu kakak sulung yang suka jadi model bila bergambar)

Di sini jejakku dulu, di sini jugalah akan kembalinya aku nanti. Kembali menabur bakti kepada tanah yang banyak berjasa.

Monolog Untuk Bapa

Ketika anak-anak menyatakan kerinduan dan penghargaan ucapan menjengahnya Hari Bapa, saya terus 'terkunci' memendam emosi pada suatu pagi Ahad. Bukan bibir tidak mengalungi untaian kata-kata, kerana himpunan bisik ini sekadar mampu dikisahkan melalui tangisan hati. Ketika saya berdiam, saya lebih banyak mengerti bilur-bilur rasa yang memanggil nama bapa. Saya tidak mampu bersuara. Berkata-kata seakan-akan 'menghilangkan' segala maksud yang diam di dalam rasa. Dalam pejam sunyi dan tunduk diam, menghantar diriku kepada satu kisah kasih, tangan yang memaut bahuku sepanjang masa. Tangan ini yang memujuk keluh kesahku di tepi bendang pada suatu hariku di sisi bapa. Hening yang menggamit, menemukan segala titik waktu yang tertinggal dahulu dan aku dikembalikan oleh nolstagia.

Bapa, ketika anak-anak memujuk rasa, gantinya tidak bertemu tepian. Doa ini mendampingi seluas kerinduan di lapangan munajat. Kerinduan yang sama yang ada pada setiap anak-anak kepada ibubapanya.

Selamat Hari Bapa kepada setiap para bapa yang hebat dalam sejarah survival kelurganya. Bapa adalah anugerah Ilahi dan kejadian terbaik kepada segala suka duka anak-anaknya di samping ibu tercinta. Salam sayang dan salam kasih.

Friday, June 19, 2009

Setiap Projek Perlukan Consultant Dan DiAudit

Saya tidak faham mengapa kontraktor yang diberikan amanah tidak mempunyai kesedaran tinggi terhadap nilai projek yang mempunyai makna yang begitu besar kepada manafaat rakyat. Seolah-olah nilai projek itu cuma nampak kepada KEUNTUNGAN semata-mata. Untungnya kepada rakyat seperti bukan urusan mereka. Janji dapat projek, kaut untung, selebihnya biar sub-kontraktor yang buat. Berita lanjut sila klik di sini SUARA ANAK MARUDU (SAM)

Saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai proses mula hingga selesai projek namun tidak menghalang saya daripada mendekati consultant dan kontraktor untuk mendapatkan gambaran yang baik perlaksanaannya. Kebetulan saya memikul tugas seliaan dan mengurus kawasan perumahan eksklusif termasuk tapak pembinaan projek yang belum siap di tempat sama saya bertugas, bernilai jutaan ringgit. Secara ringkasnya, perlu ada Pelan perancangan, pelan disahkan serta diluluskan pihak berwajib (cth Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), etika kerja yang melibatkan nasihat consultant, perlaksanaan projek, pemantauan spesifikasi material, kuantiti dan kekuatan bahan, pemantauan kerja dari segi masa, kualiti dan kos serta penilaian akhir selepas siap projek melalui analisis struktur sama ada ia mengikut piawaian dan aspek keselamatan. Selain daripada itu saya melihat perlu juga dilakukan pengauditan ke atas projek untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan.

Insiden yang melibatkan astaka Tandek dan terbaru jambatan runtuh mendedahkan kelemahan sebenar sistem bagaimana projek itu dilaksanakan. Menghairankan, tender diberikan kepada pemaju/kontraktor tanpa meneliti terlebih dahulu latarbelakang pembida, rekod kerja atau penelitian terhadap pemilikan lesen. Kontraktor yang menggunakan lesen orang lain perlu dihalang daripada membuat bidaan tender. Ini bertujuan hanya kontraktor yang berkredebiliti serta berpengetahuan dalam perlaksanaan dan spesifikasi kerja sahaja dibenarkan membangun agenda rakyat. Kontraktor yang berlesen tetapi mempunyai rekod lampau yang buruk juga tidak harus terlibat atau dibenarkan membida. Lebih baik terus bekukan lesen sahaja. Kenakan tindakan tegas kepada kontraktor yang kaut untung atas angin dengan meminjamkan lesen kepada orang tertentu. Menyusahkan!

Melaksanakan projek ini sepatutnya bukan sesuatu yang sukar walaupun tidak mudah. Posisinya harus tidak menyimpang daripada kod kerja. Sebagai contoh, projek pembinaan jambatan, pihak kontraktor tidak harus menyerahkan perlaksanaan total kepada sub-kontraktor. Kontraktor perlu berpengetahuan dari segi aspek jenis dan bentuk, beban dan analisis rekabentuk, teknik pembinaan, penyelenggaraan jambatan dan beberapa aspek lain seperti ciri-ciri keselamatan yang memihak kepada pengguna termasuk ketahanan dalam jangka waktu yang lama. Kontraktor harus tahu mengawalselia dan bertanggungjawab penuh sehingga selesai projek.

Kalau setakat berpengetahuan MAU DAPAT PROJEK dan PROSPEK KEUNTUNGAN SAHAJA, anda sekadar membina jambatan yang menghumban nyawa ke gaung maut.

Wednesday, June 17, 2009

Terima Kasih SAM, Kaum Kerabat, Sahabat Handai Dan Semua Yang Hadir

Kiri: Uncle Sina, Cikgu Androd (SOS), Dr. Nellson (Blogger Kimaragang Wagu), Sdr Nazri(SMS), Tompinai (Bicara Tanpa Suara) dan my brother Jackson (Jaxons.org)
Staff SAM bersama mempelai
Suasana sekitar majlis
Sebahagian yang hadir
Promosi Sticker SAM oleh Tekong bersama blogger Ukun's Family, Dale Roger
Satu album kenangan
Menikmati juadah tengahari
Diskusi singkat SAM
Blogger Mickey's CornerLM (tengah) bersama blogger SMS (Nazri) dan blogger SOS (Cikgu Androd)

Penghargaan tidak terhingga kepada kaum keluarga, sahabat handai, jauh dan dekat, rakan-rakan dari Klang BM Church dan semua yang sempat hadir. Juga tidak lupa kenangan dikunjungi rakan-rakan SAM (Cikgu Androd, Nazri, Nong, tompinai, Dr. Nellson). Sokongan anda semua sangat meninggalkan kesan silaturahim yang begitu mendalam. Mohon maaf atas segala kelemahan di pihak keluarga terhadap kunjungan anda yang terlepas daripada layanan kami. Ramai yang saya tidak sempat jumpa dan bersalaman sebagai tanda terima kasih. Juga kepada para petugas dan pelayan yang bertungkus lumus menyiapkan keperluan juadah. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi kalian.

(Gambar ehsan daripada blog Suara Mualaf Sabah, Salimandut Villa, Suara Anak Marudu (SAM)

Tuesday, June 16, 2009

Kuasa Politik Tandek Perlu Dikembalikan Kepada Anak Watan Yang Prolifik

Tanpa menafikan elemen kepentingan politik itu sendiri, sayangkan tempat kita tidak perlu cita-cita politikus baru bercakap soal keperluan tanah lahir kita. Sebagai petani, pekebun, nelayan pun kita sebahagian daripada mekanisma perkembangan desa. Hakikatnya, ada yang berbakat dalam politik, ada yang berbakat sebagai suara rakyat. Bagi mereka yang mempunyai kesedaran berpolitik secara ikhlas, momentum perjuangan mereka diperlukan. Sebagai rakyat pula, saya dan yang lain mempunyai tanggungjawab sosial tersendiri.

Menyentuh mengenai kepimpinan Tandek, sebelum ini bukan tidak pernah Tandek dipimpin orang kita. Team kerja pun orang kita juga. Tapi orang kita tetap gagal memimpin. Kemudian sejarah politik bumi lahir kita melakar 'kejutan' dipimpin orang luar. Walaupun platformnya tetap sama tapi tetap juga mengulangi sejarah lepas. Kini, kita mengharapkan sesuatu yang tidak selari dengan hasrat kepimpinan sekarang. Kita mahu politik Tandek dikembalikan kepada anak watan. Persoalan utama ialah bagaimana kuasa politik dapat mengangkat orang yang TEPAT dan SESUAI untuk memimpin ketika peluang mereka tersekat? Ada anak muda yang lebih berinovasi menerajui perkembangan kemajuan Tandek melalui falsafah pembangunan tersendiri tetapi terus terpinggir.

Memang satu perkembangan sangat baik apabila sayap parti di N5 Tandek diterajui orang kita. Yang 'tidak baiknya' ialah mereka berkompromi dengan 'doktrin politik' orang luar. Karisma penghayatan falsafah membangunkan Tandek berpaksikan acuan kepimpinan yang tidak menjiwai 'sense of belonging'. Dengan sendirinya 'follower' mengakses acuan yang sama. Saya akui, orang kita sebelum ini pun melakarkan kegagalan menjiwai konteks ini. Kepimpinan melalui teladan belum menemui titik kematangan. Waktu berlalu, harapan anak-anak muda kini mulai berluka dalam menghasilkan produk yang lapar dan dahagakan sesuatu yang lebih berprestij. Arah perjuangan politik yang sebelum ini gagal mengasihani bumi sendiri telah dengan sendirinya menuai persepsi perjuangan mendewasakan anak-anak muda. Sayang sekali, produk kebangkitan aliran pemikiran anak watan yang lebih prolifik tidak mendapat tempat. Hasilnya, era milenium menyaksikan Tandek gagal mengakses kewibawaan pemikiran dan etika kerja anak watan sendiri disebabkan oleh permainan politik. Idea muktahir mereka terpendam begitu sahaja. Mereka inilah yang lebih memahami erti air mata desa kerana mereka adalah hasil sejarah kemuraman dan luka bangsa yang bertahun-tahun tergores oleh harapan yang tak kunjung tiba. Saya percaya, jika mereka ini diberi peluang pasti dibarisi oleh wajah-wajah jauhari yang mengenal manikam.

Kepimpinan sekarang perlu kerja lebih untuk menambat hati golongan muda. Kontroversi astaka Tandek, isu orang luar dapat projek, monopoli projek menggunakan lesen orang lain selain barisan pengerak agenda pembangunan oleh muka yang sama bertahun-tahun lamanya tapi tidak memberikan pulangan melalui etika kerja sedikit sebanyak menjejaskan kredebiliti perjuangan parti 'kesayangan ramai'. Kepada mereka yang berkenaan, anggap artikel saya ini sebagai kritikan yang membina dan buktikan saya tersilap mengkritik dengan memulangkan kepada kami TANDEK YANG MAMPU KAMI BANGGAKAN.

Kepada kebangkitan anak-anak muda milenium, harap tidak mudah berputus asa dan kekalkan keazaman perjuangan. Alangkah bagusnya apabila Tandek dipimpin oleh anak watan dan team kerja yang mempunyai perwatakan TEPAT dan SESUAI UNTUK MEMIMPIN.

Friday, June 12, 2009

Berpadu Arah Di Gelanggang Kata

Rasa tersentuh dengan polemik persatuan sejak akhir-akhir ini. Biarpun agak 'panas', saya memandang dari sudut perasaan yang berbangga kerana para pejuang kita mempunyai visi yang jelas. Minda tanpa visi menjejaskan tujuan. Misi memperjelaskan kerangka kebangkitan bangsa. Kesempatan baik ini saya menyatakan sokongan kepada apapun bentuk persatuan yang memperjuangkan bangsa. Sekali-kali jangan undurkan muafakat.

Gelanggang berlainan tapi bersatu di dalam arah perjuangan. Sudah kelihatan tanda kebangkitan aliran pemikiran yang cergas dan tangkas di kalangan anak-anak muda intelek. Tanpa menyebut apa persatuan, semarakkan la jiwa kalian menjadi pejuang yang rindu kepada kebangkitan bangsanya. Kepelbagaian bukan tanda retak bangsa. Ibarat ramuan kek dari pelbagai gabungan rasa dan bahan, tetap menghasilkan satu acuan lengkap yang mencirikan koleksi citarasa pilihan sukaramai.

Sejarah sudah membuktikan keazaman muafakat tetap menggemilangkan kepelbagaian wadah, memberi ruang kepada kebangkitan kesepakatan agenda. Minda yang ikhlas menghasilkan ketulenan gagasan yang tidak bercampur aduk dengan kepentingan individu. Langkah kolektif perlu diambil untuk menyatakan semangat bersepadu. Idea tidak semua dicerna melalui perspektif yang sama tapi boleh disaksamakan di dalam hasrat.

Apa sahaja platform perjuangan, anda adalah suara kebangkitan. Berpadu arah la sekalipun tercuit di gelanggang kata kerana anda adalah MILIK BANGSA.

JATUH SAMA DIPAPAH, MERANGKAK SAMA TERLUKA, BANGKIT SAMA BERTINDAK, BERSATU SAMA SERUMPUN.