TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, June 14, 2007

Takziah Untuk Keluarga Pamajah

Vincent Pamajah

Hari Isnin malam jam 11 lebih kurang, terima mesej dan panggilan telefon daripada Auntie Satiah yang memberitahu bahawa Pastor Rubil, Merin dan Cazen Vika dalam perjalanan ke Pulau Pinang melihat keadaan saudara Vincent dalam kritikal di wad ICU akibat pendarahan dan kecederaan teruk di kepala. Hari rabu, sekali lagi terima mesej Auntie Satiah dalam perjalanan menyusul ke Pulau Pinang bersama Auntie Rose. Saya diberitahu khabar bahawa doktor yang merawat mengatakan Vincent hanya mempunyai 50% kemungkinan untuk terus hidup.



Pagi ini pukul 10.42 terima panggilan dari Auntie Satiah sekali lagi. Kali ini dengan tangisan. Hati sebak cuba menafikan tekaan pantas hati saya namun khabar yang saya terima mengiyakan firasat naluri. Saudara Vincent meninggal dunia jam 10.40am. Salam takziah untuk keluarga Pamajah dan dan seisi keluaga. Berat telinga mendengar khabar, berat lagi bahu keluarga ini memikul beban kesedihan. Blog ini merakankan kesedihan di atas pemergian arwah Vincent bukan sahaja sebagai salah seorang daripada ahli keluarga tetapi juga sebagai seorang kawan yang menceriakan suasana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dia di antara orang-orang yang dikasihani-Nya.

Tuesday, June 12, 2007

Sedar Tak Sedar

Akhirnya blog ini mencatat angka kunjungan pelawat yang ke 6000 selepas dua tahun 'terhampar' di ruang maya. Tentang sejauh mana efektifnya blog ini tidak pula saya fikirkan dan tidak pula saya letakan tanda larasnya. Lahir begitu sahaja dan kadang-kadang di luar kemahuan. Rasanya blog ini berdasarkan sesuatu yang dikatakan 'apa sahaja'. Pada peringkat ini, blog Mickey's Corner dapat saya klasifikasikan sebagai kelas tutorial aplikasi komunikasi minda dan maya. Tidak jauh daripada itu hanyalah sekadar satu ekspresi 'Oh! begini rupanya blog ini'. Barangkali buat masa ini, lebih baik blog ini berorientasikan 'diari online', tidak lebih sebagai alternatif luahan emosi atau ruangan untuk menulis apa yang dimahukan hati dan perasaan. Menjadikan blog ini sesuatu yang sedikit ilmiah tidak mungkin. Sukar. Seronok menulis tidak banyak membantu.. Namun biarlah saya katakan saya lebih suka memilih sekadar seronok menulis. Cabaran untuk seronok menulis ialah bagaimana menjadikan tulisan itu menjadi sajian bacaan yang menarik. Seronok tidak selalunya menarik...
Blog ini merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan para ahli komuniti, sahabat handai dan rakan-rakan di seberang benua yang menjumpai blog ini secara tidak sengaja. Mohon maaf kerana kunjungan kalian sekadar disapa oleh tulisan yang biasa-biasa sahaja, adakalanya tanpa arah. Cadangan, idea dan kritikan pasti dialu-alukan. Penghargaan untuk Tok Penghulu kerana menjadi orang pertama yang bercakap kepada saya tentang dunia blog.

Sunday, June 10, 2007

Pelangi Di Musim Hati

Larikan tanpa arah
tanpa rasa
kutarikan bersama kunang-kunang malam
bersela-sela mencumbui ruang
mencari bayang
segumpal rasa
kusuluh dari jiwa raga
dalam singkat kenangan
memuja warna
antara desah dan resah
baru sahaja pertempuran itu berhenti
emosi yang tumpah
dan sebuah sketsa yang siap
tanpa sedar...
Seorang tua
bertanya
"dengan siapakah kau berkata-kata?"
"Maaf pak, aku ditinggalkan bersama pertanyaan
gadis itu baru sahaja menaiki keretapi"
"Nak, gadis itu katanya
ingin mewarnai lukisan hatimu,
tapi kau memilih menyiapkannya sendiri"

Aku Sering Terlupa...

Sepohon rendang
helai gugur di suluh senja
malam di perbaringan

usik suria
dan bening waktu
mengejut mimpi
aku sering lupa bertanya
berapakah usiaku pagi ini...

Friday, June 08, 2007

Sajak Hari Bapa Att: Mr KOZON!!

Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...

Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Ayah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan

Cepat benar masa berlalu
Waktu ayah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu

Sepohon pokok rendang tua
Ayah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata ayah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Ayah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu ayah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Ayah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri ayah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Ayah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga

Lem, sajak hari bapa ni mungkin tidak sempat sya edit atau perbaiki. Buat masa ni, hanya ini yang termampu. Ada banyak kelemahan sajak ni tapi kalau di baca di khalayak dengan cara yang meyakinkan, maksudnya dapat menutupi kelemahan sajak ni...