TINGKALANON - TANDEK - MORION

Tuesday, September 30, 2008

MICKEY'S CORNER INGIN MENGUCAPKAN....

......kepada semua kaum muslimin dan musliman khasnya kepada semua pinsan-pinsan yang beragama Islam, juga kepada para sahabat handai di mana sahaja anda berada. Semoga bergembira hendaknya menyambut ketibaan Syawal. Berkongsi dalam satu pertemuan, kemeriahan dan pelbagai juadah pastinya menggamit pelbagai kenangan. Semoga senyuman dan pelukan aidilfitri terus mengeratkan hubungan silaturahim selama mana kita masih berada di bumi.

Jangan lupa untuk bersyukur dan memohon kepada-Nya belas kasihan, agar kita sentiasa dapat merendahkan diri sementara kita melalui waktu-waktu yang meriah. Usah juga lupa kepada golongan kurang upaya dan mereka yang memerlukan bantuan sokongan.

Sebagai tanda kasih sayang dan ingatan jauh ke dasar hati, berhati-hatilah memandu kenderaan anda. Kepulangan anda adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh kaum keluarga dan mereka sangat merindui anda. Tolong jangan ubah kegembiraan ini dengan dengan cerita di atas jalan yang memberikan khabar mengejutkan di halaman rumah. Pulanglah dengan selamat dan temuilah mereka nun di desa sana dengan pelukan mesra. Pandu mesra, cermat dan dengan tenang hati. Beginikan baik untuk melengkapkan satu pertemuan di mana sahaja anda dan keluarga anda berada di seluruh Malaysia

SILALAH MENJAMU SELERA DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI.

Friday, September 26, 2008

Kerusi Roda Untuk Diderma


Sepasang suami isteri warganegara British menawarkan sejumlah 30 kerusi roda secara percuma kepada pengidap penyakit lumpuh dan kurang upaya. Briton George Henry 57, seorang paraplegic memberitahu beliau telah menawarkan kerusi roda tersebut sejak tahun 2005 tetapi tidak ada seorang pun yang datang mengambilnya.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada keluarga miskin yang tidak mampu memiliki kemudahan sokongan. Buat masa ini pasangan tersebut aktif dalam aktiviti sosial mereka melalui Hapee World Center Charity milik mereka sendiri di Seremban. Beliau telah menjelajah seluruh England juga ke pelusuk dunia untuk mencari keluarga yang mahu mendermakan kerusi roda untuk dikumpul dan didermakan kembali kepada golongan yang memerlukan.
"Saya mahu memberikan kerusi roda ini secara percuma. Mungkin masyarakat sukar untuk mempercayainya tetapi kepada mereka yang memerlukan bantuan, apa yang anda perlu adalah telefon saya" Rayu Briton George Henry.
Kepada sesiapa yang memerlukan, juga untuk perhatian rakan-rakan, termasuk Persatuan Badan Bukan Kerajaan, aktivis kesihatan, department pelayanan masyarakat, sila ambil peluang ini untuk membantu jikalau ada keluarga miskin yang memerlukan sokongan kerusi roda.
Briton George Henry boleh dihubungi di talian 017- 3762178

Stesen LRT Bukit Jalil Saksi Pertembungan 2 Train

Pengangkutan awam mula memberikan imej menakutkan terhadap tahap keselamatan penggunanya. Kejadian pertembungan 2 train dalam satu track yang sama menimbulkan tanda-tanya akan kecekapan pengurusan rutin perjalanan melibatkan seluruh sistem pengangkutan rel. 6 orang mengalami kecederaan ringan sementara ratusan yang lain bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tiada rekod pertembungan train di Malaysia tercatat sebelum ini dan kes terbaru seharusnya dijadikan amaran nyawa pengguna bagai menanti kejadian yang lebih besar jika pihak pengurusan tidak memulakan pelan drastik menangani risiko potensi-potensi yang bakal berlaku masa depan. Jangan tunggu sehingga berlakunya kehilangan sejumlah besar nyawa. Sila pantau!

Thursday, September 25, 2008

Nota Di Halaman Rasa.. Prosa Hati Seorang Lelaki

Cinta itu tidak buta
tetapi melihat dan merasa

Cinta itu tidak menyiksa
tetapi menguji rasa

Cinta itu bukan paksaan
tetapi berkongsi arah

Cinta itu tidak selalunya cantik
tetapi saling berpaut

Cinta itu bukan satu janji
tetapi satu tanda ingatan

Cinta itu tidak mendengar
tetapi bergetar tanpa kata

Cinta itu bukan sekadar bicara
tetapi seikhlas hati

Cinta itu bukan permintaan
tetapi tanpa terpaksa

Dan jika itu bukan sebuah cinta, ia bukan kerana kita gagal menemui maksudnya... cuma hatimu lebih mengerti untuk mencintai seseorang yang lain dengan isi hati yang jelas.

CINTA ITU TIDAK KEJAM SEKALIPUN ITU BUKAN UNTUK AKU....

Berkampung Di Ruang Tamu

Kepulangan ke desa baru-baru ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam membungkus sanubariku. Pada suatu petang di Kuala Lumpur, hati ini dijentik kerinduan antara emosi dan degup jantung yang tidak selesai maksudnya. Bergenang air mata sekalipun tidak membasahi pipi seorang lelaki. Seakan-akan ada sesuatu yang terlepas, tidak melengkapi segugusan hasrat hati yang semakin kosong di tengah kotaraya. Bumi tempat kupijak ini bukan tidak pernah berjasa baik terhadap langkah perantau. Mungkin tempat ini terlalu jauh untuk menerima usapan tangan yang bergetar, berkedut nun di desa hijau sana, yang tidak pernah gagal menyembuh luka di bahu.

Saya akan sentiasa rindu untuk berada di antara kalian, berkampung di ruang tamu berkongsi derita, duka dan semua cabaran emosi. Ruang tamu itu ada pengajaran yang membesarkan kita dengan kenangan. Dulu, lidah berdarah bila bertikam kata. Hati terluka bila bicara bagai mata pedang. Gelora rasa yang bermusim antara hilang tegur sapa dan seteru yang termeterai di antara enggan dengan kata-kata maaf. Sekali lagi berkampung di ruang tamu memberikan nilai yang terbaik membasuh lelah rasa silam, sesuatu yang tidak perlu mendapat ruang dalam kata-kata, cukup pertemuan emosi mengikat kenangan menyatu rasa, dengan sendirinya menghapus luka-luka. Dan parut itu menjadi tanda kita pernah berjabat tangan dan genggaman erat itu menyembuhkan.

Hujan Baru Selesai Turun...

Petang tadi, selesai pertemuan dengan sang lelaki bernama Aku, sangkaan meleset. Kukira aku dapat memahami diriku sendiri. Rupanya dendam dan pertelingkahan rasa sejak zaman berzaman menjadi tangisan antara titis-titis hujan. Aku hampir gagal untuk mengerti itukah air mata atau itukah belaian gerimis yang membasahi pipi ke sekujur tubuh. Waktu kilat menangkap wajahku dalam kelam, ada sekeping potret masa di dahinya, sendirian di hujung horizon, di sisinya kembang seroja menyongsong senja. Dia itu, sang lelaki berkali-kali mengatur rasa antara pesan halilintar dan lapang maya yang tiada legi seri hijaunya. Ingin meranduk ke hulu dan hilir belantara jiwa, menjala peristiwa yang tertinggal bebrapa langkah, cuba kuikat dengan bening air mata, menyelami hikayat yang menggarap sanubari, namun aku masih gagal..
Hujan baru selesai turun, dan kepulanganku sore ini ingin mengumpul beberapa lagi gugusan kata dan aku tidak akan berhenti berbicara walau aku tidak memahami diriku zaman berzaman. Aku ingin menyapu dukaku dengan jari jemariku sendiri. Maaf kerana sekali lagi kukatan, adakalanya aku gagal melihat itukah air mata atau nyanyian hujan sewaktu petir mengintai di halaman rasa.

Tertanya-Tanya

Mana pergi jumlah 31 MP yang diwar-warkan menyertai Pakatan Rakyat? Alasan yang digunakan ialah kebimbangan kemungkinan mereka ini ditahan jika sekiranya didedahkan nama-nama MP terbabit. Dari segi moralnya, lompat parti adalah tindak tanduk politik tidak beretika. Namun jika pemimpin tertentu beralasan bahawa perjuangan mereka mendapat sokongan sejumlah ahli parlimen tapi tidak mendedahkan nama-nama mereka yang terbabit bagi mengelakkan ditahan, apalah sangat isu berpindah parti berbanding dengan keberanian MP Seputeh, Theresa Kok dan Wartawan, Tan Hoon Cheng sehingga di tahan mengikut akta ISA? Isunya di sini bukan mengiyakan tindak -tanduk individu terbabit tetapi mereka memberikan satu cara bagaimana untuk berdiri teguh dengan prinsip mereka.
31 MP terbabit senarainya menjadi rahsia umum, ditakuti akan ditahan oleh pihak berkuasa. Namun atas nama perjuangan, komitmen apa yang mereka miliki sehingga takut kepada sergahan pihak berkuasa? Jika benar seperti apa yang dikatakan oleh PR, rasanya PR telah 'salah memilih' untuk berkerjasama dengan kumpulan ini kerana 31 MP ini tidak mampu pun berdiri yakin akan prinsip perjuangan mereka dan seterusnya untuk perubahan dalam negara. Jika sebaliknya itu hanya satu dalih akibat kegagalan 16 September dan jumlah yang diwar-warkan cuma sekadar angka kosong, idea peralihan kuasa cuma tinggal mimpi. Satu lagi episod politik yang kacau bilau, membebankan dan meletihkan rakyat.

Tuesday, September 16, 2008

Apa Khabar Lawatan YB Ke Taiwan?

Seramai 41 ahli Yang Berhormat melakukan lawatan ke Taiwan beberapa hari lepas untuk menpelajari teknik pertanian moden negara tersebut. Tidak dapat dipastikan samaada lawatan tersebut menggunakan wang rakyat atau dibiayai atas sumber lain. Walau bagaimanapun, lawatan itu membawa nama Malaysia, telah diwar-warkan di dada media bahawa delegasi ini mahu menguasai teknik dan teknologi argo pertanian. Lawatan seumpama itu pasti melibatkan kos besar dan manafaat lawatan boleh disifatkan sebagai satu faedah nasional dalam menyuntik teknologi pertanian domestik.
Blog ini menyarankan mereka perlu membuat satu pembentangan mengenai apa yang mereka telah perolehi sepanjang lawatan di Taiwan dan kemudian buat susulan kerja untuk masa depan pertanian negara yang lebih dinamik.
Jangan pula selepas ini, lawatan itu hanya disifatkan tidak lebih daripada hanya satu percutian semata-mata. Jika demikian, anda telah membuang masa 3-4 hari berada di luar negara meninggalkan kawasan pilihanraya. Anda telah membazir beberapa hari yang boleh memberikan kesan efisien dari segi teknikal dan perlaksanan proses pembangunan kawasan jagaan masing-masing. Atau anda telah melepaskan tanggungjawab anda mendengar dan merekodkan keluhan rakyat ketika anda nun jauh di sana menyejukkan beban politik di bahu anda dengan Winter Sonata. 4 hari penderitaan rakyat sepanjang 'percutian' anda tidak sama lagi untuk hari-hari seterusnya kerana setiap hari akan pasti ada air mata untuk keluhan-keluhan yang tidak bernoktah.
Jika ini hanya sekadar satu permainan politik 'Tom and Jerry', anda memberi makna tidak berguna kepada persepsi politik. Sekejap ke luar negara, pembangkang pula menyusul. Esok pembangkang kata ada khabar baik, YB BN pula kata jika sekadar bertemu berjabat salam tidak salah tapi kami tidak berjumpa pun!!.
Alih-alih kena halau oleh taufan balik ke negara sendiri dan episod 16 september dikatakan ditangguh kerana ada sebahagian lagi MP berada di luar negara. MP BN pula berjaya keluar dariapda cuaca buruk di Taiwan ada yang singgah ke Hong Kong. Spekulasi mengambil tempat lagi. Sungguh merimaskan aksi politik seperti ini!!! Ini tidak termasuk kisah dalam negara. BERGOLAK sungguh Malaysia!

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) dijadikan sebagai undang-undang pada tahun 1960 dan kemudiannya telah dipindahkan beberapa kali kerana peruntukan akta tersebut dibenarkan untuk dikaji semula. ISA diletakkan di bawah kuasa mutlak Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Akta ini diwujudkan sebagai langkah mengekang dan mencegah perilaku yang boleh mengancam keselamatan negara atau ketenteraman awam. Akta ini mendapat kritikan hebat sama ada oleh aktivis hak asasi, Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak pembangkang atau oleh individu di pihak kerajaan sendiri. Ini kerana sifat akta tersebut yang boleh menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan atau merujuk kepada mahkamah. Lazimnya, penahanan dibuat jika didapati ada sebab kukuh menyabitkan tindak-tanduk yang mengakibatkan keselamatan dalam negara terancam. Di bawah adalah peruntukan undang-undang ISA;
Section 73(1) Internal Security Act 1960: "Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."

Sect 8. Power to order detention or restriction of persons. "(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the economic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that that person be detained for any period not exceeding two years."
Sepanjang pengenalan akta tersebut, penahanan di bawah akta ISA mencatatkan sejumlah rekod yang bersangkut paut dengan kes ajaran sesat, kumpulan ekstrimist, pemalsuan Ringgit Malaysia, pemalsuan dokumen pengenalan diri, penyeludupan pasport, penyeludupan pendatang PATI termasuk gerakan militan. Dalam beberapa isu besar yang lain, penggunaan akta ini juga membawa kepada penahanan ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan.
Terbaru, penahanan tiga individu dipercayai bersangkut paut dengan isu perkauman melibatkan Raja Petra (blogger), Theresa Kok (ahli politik) dan Tan Hoon Cheng (Wartawan). Menurut sumber media, pihak polis mengeluarkan kenyataan bahawa penahanan tersebut dibuat berdasarkan kenyataan dan artikel oleh ketiga-tiga individu terbabit yang boleh menimbulkan kerosakan perpaduan kaum.
Blog ini secara peribadi masih menyokong bahawa ISA masih releven untuk mengekang sebarang perilaku yang boleh melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara namun perlu BERHATI-HATI di dalam perlaksanaannya. Blog ini masih tertanya-tanya apakah status pada kaca mata ISA mengenai kenyataan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail mengenai isu orang Cina di Malaysia?
Blog ini belum melihat kandungan artikel Tan Hoon Cheng atau kenyataan MP Theresa Kok yang dipercayai memberi reaksi balas kepada statement Datuk Ahmad Ismail. Mungkin reaksi emosi yang keterlaluan yang boleh MENGAPI-APIKAN isu kaum yang sedia bergolak membuatkan pihak polis melihat ada keperluan untuk menjalankan tanggungjawab memberhentikan sebarang ancaman perkauman.
Di sebalik rasa keyakinan blog ini bahawa ISA tetap releven dan masih diperlukan bagi mengekang sebarang tindak-tanduk ekstremist yang boleh merosakkan hayat perpaduan negara, proses mahkamah masih boleh dipertimbangkan dan resolusi terbaik untuk proses keadilan dan tertuduh perlu mendapat hak penghakiman.
Namun, jika mereka yang telah DIKENALPASTI sebagai petualang negara, pengancam kepada nyawa bangsa dan negara, perosak kepada ketenteraman awam, maka kepercayaan haruslah diberikan sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka di bawah peruntukan akta ISA.

Turunkan Harga Minyak!

Jika sebelum ini harga minyak antarabangsa per barrel melonjak naik ke USD 127, kerajaan mengambil langkah menaikkan harga minyak demostik sebanyak RM0.70 sen per liter. Bulan lepas, penurunan harga minyak antarabangsa di bawah paras USD120 per barrel telah membuka ruang kepada pengumuman penurunan harga minyak oleh kerajaan sebanyak RM0.15 sen kepada rM0.55 sen per liter, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.Terkini, harga minyak di pasaran antarabangsa per barrel menurun lagi kepada USD99.

Hari ini, penganalisis (Bloomberg Oil Bayers Guide) menjangkakan prospek harga minyak antarabangsa dalam waktu terdekat akan turun lagi kepada USD92.90. Sehubungan denga itu, kerajaan perlu mengambil langkah responsif terhadap penurunan harga minyak antarabangsa selari dengan konsep yang dicanang dalam bajet 2009 iaitu kerajaan prihatin bagi melegakan derita yang ditanggung rakyat.

(Teringat saya pada tahun 2000, RM4.00 tangki minyak motor kapcai hampir penuh. Hari ini, harga minyak pada kadar yang sama sekadar boleh mengisi sebotol mineral water 1 liter. Menakutkan!)

Akan Berlakukah Kejutan 16 September?

Hari ini, 16 September adalah tarikh yang telah dipilih dan dicanang hebat dalam beberapa waktu kebelakangan ini oleh DSAI untuk membentuk kerajaan baru PR. Satu tarikh yang nostalgik bagi rakyat Sabah dan Sarawak dalam sejarah pembentukan Malaysia. Satu percaturan taktikal politik PKR yang sedikit sebanyak 'menggoncang' keharmonian hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kepulauan Borneo.
Langkah politik DSAI menyebabkan para MP Sabah dan Sarawak tidak henti-henti menangkis dakwaan gabungan PR kononnya ada di kalangan warga Yang Berhormat 'berpindah rumah' sebagai tanda protes terhadap layanan Kerajaan Persekutuan khususnya di Sabah.
Terbaru, tindakan sekumpulan 'perunding politik' PKR menyusul segerombolan 41 Yang Berhormat Barisan Nasional yang melakukan rangka lawatan ke Taiwan sambil memasang harapan kalau-kalau ada persetujuan yang membawa khabar baik untuk melakukan kejutan nasional. Langkah PKR menghantar 'delegasi' yang diketuai oleh Ketua Penerangan PKR, karekter Thian Chua dilihat tidak mampu memberi impak maksima untuk mempengaruhi kekuatan dalam 'tawar-menawar' politik sekalipun hanya perlu berhadapan dengan YB Bung Moktar. Setelah sekian lama DSAI merencanakan segala percaturan termasuk beberapa idea-idea besar yang mampu mempengaruhi pejuang-pejuang politik Borneo, beliau tidak mengambil langkah lebih meyakinkan meletakkan kekuatan pengaruhnya untuk bertindak lebih berani bersemuka, menerangkan kertas kerjanya dalam usahanya membentuk kerajaan baru. Satu langkah ke belakang bagi seorang yang bercita-cita besar dalam politik.
DSAI mula merasai kesan tergesa-gesa dalam memacu cita-cita untuk berkuasa. Kemenangan di Permatang Pauh boleh 'menggagalkan' perjuangannya di peringkat nasional jika terus dibuai sokongan 'besar' hasil kemenangan, dan karier politik DSAI sebenarnya baru memijak kawasan pilihanraya kecil, namun gelagatnya seperti telah mengenggam seluruh Tanah Melayu. Alangkah baiknya DSAI menyusun kekuatan bermula sebagai Ketua Pembangkang dengan hujah dan idea terbaik untuk memenangi ruang parlimen dan seterusnya mengumpul strategi sebagai bekal pada pilihanraya umum akan datang.
Saya kini tidak begitu teruja dengan prospek 16 September bila sekadar melihat PKR hanya mampu menghantar Thian Chua untuk meledak sasaran 'melastik ke bintang'.
Akan berlakukah kejutan?

Thursday, September 04, 2008

Petualang Di Ambang Kota Marudu!!!!!

Ini kali pertama kes seumpamanya terjadi di sebuah daerah tercinta. Seorang gadis Kota Marudu dalam perjalanan untuk kembali ke Universiti Malaysia Sabah selepas bercuti di kampung telah dirogol dan dibunuh. Dipercayai dilakukan oleh gang teksi tidak berlesen (teksi sapu Kota Marudu). Kalau menyebut nama keluarga ini, memang saya kenal dan merupakan salah seorang anggota Adventish di Damai. Sampai macam begitu sekali kesudahan hidupnya. Pelajar UMS tahun 3 Jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris.
Reaksi pertama saya mendengar khabar ini: Menderau darah! Marah dan geram!orang ini betul-betul bersifat buas dan tidak berperikemanusiaan!
Jenayah berat menerobos gerbang menghampiri desa tercinta. Di tempat sendiri pun kini memberi ancaman kepada gadis-gadis desa. Bagaimanakah perasaan sejahat ini menyelinap ke daerah Kota Marudu?? Sekarang ini mereka yang mencari nafkah dengan niat yang baik merasa tempias sama dipandang sangsi. Baru-baru ini saya selesai bercuti di kampung, saya berada di Pekan Kota Marudu (28hb Ogos) dan melihat anak-anak muda berkelakuan kasar dan lepas cakap di tempat parking kereta sapu. Menyerbu penumpang secara mengejut. Kalau anak gadis 'tidak layan' karenah mereka, disergah dengan senyuman nakal dan kata-kata gelojoh untuk telinga mendengar. Gaya bahasanya angkuh seolah-olah mereka ini boleh memiliki seramai wanita yang mereka mahu. Saya yang melihat dari jauh terasa geram. Kota Marudu tidak lagi sama seperti dahulu.
Untuk gadis-gadis Kota Marudu khususnya dan gadis-gadis di luar sana, perhatikan keselamatan anda. Selalu la bersikap siaga dan kalau berada di luar rumah, pilihlah waktu selamat, tempat sesuai di tempat awam mengikut keperluan dan mengawasi ketertiban diri. Kalau melakukan perjalanan yang jauh, pastikan keluarga atau ada teman menghantar ke tempat parking kereta (bagi yang menumpang) dan perhatikan dengan siapa anda berurusan. Tolong jaga diri baik-baik. Kisah begini sangat menyedihkan. Tidak menyangka berlaku terhadap salah seorang kawan yang baik dan saya kenali.
Tuhan, berikan mereka penghiburan dalam saat-saat sukar begini. Engkau lebih mengetahui isi hati mereka dan Engkaulah juga yang memiliki hukum. Tangan kami tidak layak mengambil darah orang lain sekalipun kami mengerti kami akan gagal mengepung emosi meluap-luap. Kerana getar jiwa sudah mengoncang akal jika kami terlupa untuk cekal di hadapan-Mu.
Blog ini berkongsi kesedihan yang ditanggung oleh keluarga tersebut atas kehilangan insan kesayangan dan permata dalam keluarga mereka. Semoga Rohnya sentiasa dirahmati Allah. Amin.

Bujang Lapok Sabah..

Sepa la punya otak yang aramai ni.. hehe. Kebetulan tanpa tidak sengaja 'bertembung' dengan blog dari Sabah sabahanblog dan ternampak entry klip video "Bujang Lapok Sabah". Buli tahan la juga lawak dan saya postkan ke blog ini untuk kawan-kawan lain berhibur sama.

Wednesday, September 03, 2008

Ketuanan Dari Sudut Persepsi Seorang Lelaki Kimaragang

Sekali lagi isu Ketuanan Melayu menjadi hiruk-pikuk di ceruk kedai sehingga ke gelanggang kata para Yang Berhormat. Isu ini mencecah darjah celcius yang mula meleburkan kesepakatan kaum dan dimanipulasikan dengan 'songsang' oleh pihak tertentu.
Saya ingin mengajak warganegara Malaysia mengenepikan sentimen seolah-olah ada gagasan 'dipertuankan oleh bangsa lain'. Bagi saya, tidak salah semua kaum berhak untuk bercakap tentang 'ketuanan' tapi dengan syarat kita perlu berhemah, berhati-hati dalam menghalusi konteksnya. Saya sebagai orang Kadazan faham kenapa istilah 'Ketuanan Melayu' itu digunapakai.
Saya melihat gagasan itu bukan menjadi tuan kepada mana-mana bangsa. Tapi ada pihak melihat ia seperti percubaan menjadi 'mandur' kepada bangsa lain. Saya melihat perkataan 'tuan' dari konsep kejayaan meletakkan martabat bangsa seiring dengan bangsa lain. Pihak lain melihat seolah-olah ia satu petanda menunjukkan kekuatan dan kekuasaan ke atas bangsa lain.

Jika saya bercakap tentang 'Ketuanan Kadazan', adakah itu punya maksud satu percubaan menjadikan bangsa kadazan sebagai 'tuan' kepada semua bangsa di Malaysia? Apabila orang Melayu menyuarakan gagasan yang melibatkan Melayu, ada konteks yang saya fahami yang membawa maksud 'daya usaha orang Melayu mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang berilmu, dihormati, diiktiraf berdasarkan daya saing. Bukan cita-cita yang menghimpunkan kekuatan menjadi bangsa yang menguasai bangsa lain! Kecuali perlaksanaan cita-cita melalui peperangan yang memperjuangkan ideologi bersenjata/berdarah. Perang seperti ini sudah pasti yang akan memberikan pengertian khusus kepada BANGSA MENGUASAI BANGSA.
Tetapi ini bukan soal bangsa menakluki bangsa, bangsa lemah menjadi hamba tapi bagaimana satu-satu kaum MENGUASAI ilmu dalam semua bidang seperti juga bangsa lain MENGUASAI dalam semua cabang disiplin ilmu!!! Jadi mudah saya katakan jika ada konsep 'Ketuanan Kadazan' itu bermaksud usaha orang Kadazan mengangkat martabat kaum Kadazan menjadi TUAN dalam semua cabang ilmu seperti juga bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum menjadi TUAN kepada semua kriteria ilmu. Apabila kaum-kaum di Malaysia bergerak maju seiring, maka kebaikannya kita sorakkan bersama apabila Malaysia memacu namanya di persada maya.
Kalau kita mengambil waktu berhemah, menyederhanakan gejolak emosi, kita akan mendapat banyak manafaat daripada perasaan yang tidak bersyarat.

Tuesday, September 02, 2008

Terpaksa Jadi Hulk Sekejap!!!!

Hari ini memang sangat tension. Maklum la, menjadi peminat kelab Chelsea FC ni sentiasa membuatkan saya teruja dalam setiap perlawanan membabitkan pasukan kegemaran. Semakin teruja terhadap prospek pembelian pemain baru terutama seperti Robinho atau Kaka saat-saat terakhir pembelian pemain sebelum tarikh tutup berakhir 1hb Sept. Tapi, saya bangun tengahari ini sekadar terbaca berita pemain Real Madrid, Robinho ke Manchester City!!
Bengong! Macam malas pula mo blog hari nie.. hehe