TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, January 29, 2009

Menyusuri Kenangan Desa Dari Kejauhan

Perjalanan kehidupanku bermula di sini. Hiruk pikuk segala suka dukaku pun ada tertulis pada bebatuan kecil ini. Dulu, keringat dan air mataku ada tertumpah pada tiap helaian hijau yang menghias bendang. Kini aku sekali sekala pulang, menjejaki ratap tangisku yang sering dipujuk oleh pesan ibu. Dulu... Ayah juga seperti ibu... tanpa jemu mendorong di dalam kata-kata.
Ini sawah bendang yang selalu kuperhatikan dalam mimpi di perantauan. Lambaian desa menghamparkan senyumannya seluas pandangan menyejuk rasa. Dulu aku sering melihat ayah menyekah peluhnya di celah mentari dan kicau burung. Redup kelopak mataku disejukkan oleh mesra bayu menyapu bening ,bercanda di wajahku. Aku mulai sedar ada sesuatu yang hilang dalam sukma, meresap ke lapangan bendang. Ayah, hanya jejakmu yang kutemui di sini dan kau kisahkan permaidani jelapang ini lalu menjadi nyanyian di sisi ibu yang keseorangan menyembunyikan lelahnya untuk kami. Aku mengesalinya kerana aku tidak selalu di sini menemaninya.

Ini rumah kecil. Ruang untuk berkumpul lalu berkisah rasa di sini. Dua tiga amarah.. Dua tiga simpati.. Dua tiga pesan... Di antara dua tiga sebatan. Selalu tangis kami terusai dalam pelukanmu. Kini, di antara amarah, simpati dan pesan.. Hanya Ibu di sini. Selalu juga tangis kami terusai dalam pelukannya. Seperti ayah juga..

Senja ini bagai warna murung. Aku ingin sahaja berkata mentari yang mulai tenggelam itu terlalu indah untuk mengkisahkan kesedihan hati. Hari semakin gelap. Sayup bendang ini perlahan 'menidurkan' kenangan untuk satu malam yang panjang. Aku tidak ingin tidur. Biar semuanya tidak akan terlepas dari pandanganku walau sedetik. Aku tahu, hatiku mulai hiba lagi seperti selalunya. Aku akan selalu ternantikan suria pagi. Hanya itu hari aku akan sentiasa melihat mu lagi di sisi ibu, di tengah bendang.

Wednesday, January 28, 2009

Mimpi 3:

Bermimpi lagi. Semua mimpi ini berlaku sekitar awal tahun 90-an. Sebatang sungai yang sangat lebar dan dalam. Airnya pekat membiru. Saya hendak menyeberangi sungai tersebut tetapi tidak berjaya menemui jambatan atau sampan untuk menyeberang. Saya tidak begitu pasti apakah tujuan saya menyeberang sungai tersebut.

Setelah berusaha dan tidak berjaya, dengan tidak semena-mena turun ular putih seakan-akan berbentuk naga dari langit lalu melurus dan perlahan bergerak menyeberangi sungai. Lalu saya terfikir mungkin hanya ini caranya menyeberangi sungai. Saya kemudiannya memaut tangan ke badan ular tersebut dan berjaya menyeberangi sungai lebar. Saya melihat ular putih itu naik kembali ke awangan. Perasaan gementar saya membangunkan tidur. Malam itu masih muda. Berjam-jam rasanya saya tidak dapat tidur memikirkan kegerunan saya akan mimpi tersebut.

Esok paginya, saya menceritakan mimpi tersebut kepada bapa.

"Jangan amalkan rasuah dan jalan mesti jangan simpang-simpang" Itu rumusan bapa.

Saya sedikit bingung memikirkan apa kaitannya penjelasan bapa dengan mimpi tersebut. Melihat saya yang agak termanggu-manggu, bapa menyambung percakapannya.

"Biasanya ular kalau berjalan mesti badan dia bengkang-bengkok. Tapi ini ular putih berjalan lurus. Kenapa ular putih? Kenapa jalan dia lurus? Putih warnanya bermaksud baik. Berjalan lurus tandanya, kehidupan yang teratur. Sungai ibarat kehidupan. Ada banyak macam cabaran dalam hidup. Atur la kehidupan dengan baik dan sentiasa merendahkan diri dan bersifat sabar. Dalam mencari rezeki atau menjalankan tanggungjawab apa saja kerja, jangan 'simpang-simpang'. Banyak orang mahu mencapai matlamat tapi dengan cara yang tidak baik. Masalah besar ialah rasuah. Jangan sesekali amalkan rasuah. Masalah lain ialah dengki dan iri hati. Ini tidak baik. Biar la hidup sederhana tapi lurus jalannya. Biar miskin tapi halal makan minum. Jangan menyusahkan orang."

Pagi itu saya terdiam lama. Banyak menghabiskan waktu memikirkan kata-kata bapa. Kali ini saya mengerti ada bahagian dalam mimpi yang boleh memberikan didikan.

Mimpi 2: "Cari Sepucuk Daun Muda Mengadap Matahari Terbit Dan Jumpa Orang Yang Jaga Sungai Tingkalanon"

Suatu malam lain, saya bermimpi lagi. Saya mendengar satu suara bergema meminta saya pergi ke penjuru tanah bersempadan dengan tanah si Golumis dan mencari sebatang kayu berkulit putih seperti baru orang tanam dan berdaun sulung (hanya satu pucuk daun muda) yang tunasnya betul-betul menghala ke arah matahari terbit. "Kalau jumpa, MAKAN!. Lepas itu pergi jumpa orang yang jaga tu Sungai Tingkalanon" Demikian arahan suara tersebut.

Dalam mimpi tersebut saya pergi mencari daun yang dimaksudkan dan akhirnya bertemu dengan kayu berkulit putih berdaun sulung. Lalu saya memetiknya dan makan. Kemudian saya pergi ke Sungai Tingkalanon dan kelihatan ada seorang lelaki berbadan besar, kelihatan agak gempal dan tinggi sedang bermain-main pasir di gigi air. Lalu orang itu memandang saya dengan muka bengis. Dia mula membuka lebar-lebar mulutnya dan bercakap-cakap sesuatu yang tidak jelas. Bila saya mendekat ke arah orang itu, baru la saya dapat mendengar suara yang sangat halus. Rupanya bukan orang itu yang mengeluarkan suara. Di atas lidah orang itu ada 7 orang budak kecil bersuara serentak.

"Makan ini!" Saya melihat dalam genggaman orang itu ada segumpal seperti kerak nasi. Saya mengambil lalu memakannya. Sangat keras seperti batu dan pahit sedikit rasanya. Saya habiskan juga kerak nasi tersebut sambil di temani oleh gelak ketawa 7 budak kecil yang bertenggek di atas lidah orang itu.

"Guna semua itu bila dalam keadaan getir" Itu pesan yang sempat saya dengar sebelum saya terjaga dari lena. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan 'Guna semua itu'. Sehingga sekarang saya tidak pernah tahu apa maksud mimpi itu.

Mimpi mainan tidur?

Mimpi 1: "Nah! Ambil Ini"

Saya mendapati saya berada di tepi sungai yang lebar dan dalam. Tidak berapa lama, saya disapa oleh seorang tua berbaju putih, berjanggut putih panjang sampai ke dada dan memakai serban putih juga.

"Masuklah ke dalam sungai. Ambil la apa sahaja barang yang kamu jumpa dalam sungai dan lepas tu bagi saya" Itu kata orang tua sambil menudingkan jarinya ke arah sungai.

Saya tidak membantah. Saya masuk ke dalam sungai, menyelam ke dasar. Ada banyak bungkusan makanan. Saya tidak dapat pastikan apa jenis makanan tersebut. Mengingatkan pesan orang tua tadi, saya terus sahaja mengambil apa sahaja yang saya jumpa. Setelah beberapa lama menyusur dasar sungai, lalu saya naik ke darat dan memberikan bungkusan makanan kepada orang tua tersebut.

"Terima kasih kerana tolong saya. Nah! Ambil ini"

Orang tua itu meletakkan sesuatu ke dalam genggaman saya sambil meminta saya mengenggam genggaman saya. Orang tua itu tersenyum dan hilang begitu sahaja daripada pandangan. Kokokan ayam jantan kesayangan bapa membangunkan tidur saya pagi itu. Saya tidak mengingati apa-apa waktu itu. Saya melihat tangan kanan saya masih tergenggam erat. Saya membuka perlahan.

'Kapas putih' Hati saya membisik perlahan sambil tertanya-tanya. Mungkin sebab rasa mengantuk yang belum hilang sepenuhnya, saya buang begitu sahaja memandangkan ada beberapa lagi kepul kapas yang 'terlepas keluar' dari bantal yang bocor. Mimpi itu langsung saya tidak ingat.

Ketika bersarapan pagi bersama nenek, saya kemudiannya teringat mimpi tersebut dan menceritakan kepada nenek.

"Itu kapas mana? Nenek bertanya penuh minat.

"Sudah saya buang." Saya menjawab selamba. Meneruskan kunyahan nasi.

"Kenapa BUANG?" Nenek memandang tepat ke muka saya. Terkejut sedikit dan saya risau melihat nenek seperti kelihatan 'marah-marah'.

"Lain kali kalau ada macam begitu simpan!. Nanti bila-bila kalau kamu mau angkat barang yang berat-berat, ringan saja tu macam kapas." Itu penjelasan nenek.

Saya termanggu memikirkan kata-kata nenek. Benarkah mimpi memberikan kejadian realiti seumpama itu?

Tuesday, January 27, 2009

Mana Satu Logo Pilihan?

Kepada rakan-rakan dan pengunjung, Saya memohon bantuan untuk membuat pilihan mana satu logo yang akan digunakan untuk Blogger's Marudu. Kalian boleh klik di MARUDU BLOGGERS untuk akses sepenuhnya sebuah blog yang menulis sesuatu mengenai Kota Marudu. Kalian boleh membuat pilihan melalui undian yang saya sediakan di tepi kanan ruangan blog ini.

Terima kasih atas kesudaian kalian mengunjungi blog ini.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA kepada semua warga cina di Malaysia. Semoga kesepakatan dan keharmonian kaum akan sentiasa terjalin mesra demi negara kita yang tercinta.

Tuesday, January 20, 2009

Sekilas Kenangan: Pekan Tandek Terbakar..

Saya tidak ingat tahun bila Pekan Tandek terbakar. Setahu saya, waktu itu saya masih bersekolah di SK. Tandek. Mungkin kejadian kebakaran berlaku sekitar saya berada di tahun 2 atau tahun 4. Maknanya, antara tahun 1982-1984. Sehingga sekarang saya masih ingat kedudukan kedai yang sudah 'terkenal' di kalangan warga desa. Antaranya kedai si Kim Soon, Kedai si Aku (taukeh kelapa), Kedai si Toing termasuk deretan panjang 'stall' kayu milik kalangan peniaga kecil orang kampung daripada pelbagai tempat. Kedudukannya di tepi sungai, penuh dengan juadah yang memang sedap-sedap belaka termasuk jualan sayur-mayur dan hasil tangkapan laut dan air tawar.

Yang saya paling ingat ialah bagaimana taukeh kedai menyimpan wang dengan cara yang agak klasik. Saya selalu memerhatikan bila mama beli garam (waktu itu harga garam masih lagi 10 sen satu bungkus) dan membuat bayaran di kaunter, taukeh kedai akan menarik bekas wang (biasanya tin milo bersaiz besar) yang tergantung di atas kepala, lalu memasukkan wang didalamnya. Jika ada baki, taukeh tersebut menarik satu lagi bekas wang yang dikhaskan untuk duit syiling dan mengembalikan bakinya. Ternganga mulut saya memerhatikan bekas yang penuh dengan wang kertas dan syiling tergantung, 'terapung-apung', sekejap ditarik turun dan pandai naik sendiri bila dilepaskan.

Di sudut lain, para ibu santai melunjur kaki sambil sibuk melayan kunjungan para pembeli, sempat berkongsi cerita suka-duka, gelak ketawa sambil melayan sigup dan menginggat (makan pinang). Kereta pick-up berderet menunggu penumpang yang selesai 'bertamu' hari Isnin. Pelbagai suku kaum berkumpul di Pekan Tandek dan sangat dikenali di seluruh daerah Kota Marudu. Saya suka pergi ke kedai Taukeh Toing kerana kedudukan kedainya yang strategik. Saya masih ingat tangga lebar kedai Toing menjadi tumpuan rehat saya sekejap sebelum berjalan kaki balik ke rumah.

Suatu pagi, seperti biasa saya bertolak dari rumah pergi ke sekolah. Ketika menghampiri Pekan Tandek, dari balik rimbun saya ternampak asap tebal yang tidak begitu pekat lagi warna kelabunya. Terdapat 3-4 kepulan asap naik ke awan. Saya mula mendengar keriuhan orang ramai. Hingar-bingar. Saya sangat terkejut melihat Pekan Tandek 'rata' hilang dari pandangan. Hanya kesan kebakaran yang tinggal. Pemilik kedai kelihatan berkumpul sambil menangis. Orang kampung juga ikut menangis kerana begitu sayangkan Pekan Tandek yang sangat berjasa menyediakan ruang rezeki yang dikongsikan oleh pelbagai kaum yang sepakat dan harmonis. Semua kedai menjadi debu. Sangat ramai orang sibuk menggali, mengorek sesuatu di celah runtuhan. Rupanya mereka mencari duit syiling. Saya ikut 'mengorek' rezeki. Kedai tumpuan saya pastilah milik Taukeh Toing kerana saya tahu kedudukan kaunter dan tempat 'tergantungnya rezeki'. Hehe.. Adalah saya jumpa syiling berbekas hitam lebih kurang 3-4 ringgit dan terus ke sekolah. Waktu rehat wang itulah yang saya gunakan untuk membeli mee goreng 20sen satu bungkus (masa itu saiz bungkusan mee goreng kalau ikut harga sekarang rm1.00). Saya belanja kawan-kawan. Tuan punya kedai runcit sempat marah-marah 'sayang'. Katanya bersihkan dulu duit siling dengan pasir di sungai. Hehe

Selepas itu, saya tidak ingat berapa lama Pekan Tandek menyepi. Saya hanya tau ada dua buah deretan 'stall' kayu yang tidak terbakar di seberang jalan yang menjalankan perniagaan makan dan minum. Tempat itu mengambil alih menjadi kawasan tamu tapi tidak semeriah lagi seperti sebelum itu.

Selepas itu saya berpindah sekolah di SMK ABD Rahim, Kudat dan SM All Saints' Kota Kinabalu. Jarang balik kampung dan tidak lagi tau perkembangan seterusnya. Sekian lama Pekan Tandek suram, entah beberapa tahun kemudian (2-3 tahun), barulah berdirinya sebuah pekan bangunan batu yang seperti yang ada sekarang. Kenangan Pekan Tandek lama tetap melekat dalam ingatan, masih jelas wajah pekan 'koboi' dan keriuhannya dalam minda.

Beberapa waktu kebelakangan ini, terdengar bisik-bisik nakal. Kalau Pekan Tandek tidak terbakar, akan adakah wajah Pekan Tandek seperti sekarang ini? Itu pun seperti kurang meriah rasanya. Alangkah baiknya kalau Pekan Tandek lama itu tetap ada dan ditambah lagi dengan landskap pembangunan sebagai menampung keperluan perniagaan mengikut peredaran masa. Bukankah itu sangat klasik? Boleh pilih ikut rasa. Pekan 'koboi' atau bangunan batu.. Kedua-duanya gabungan dua zaman yang menjadi sejarah pelbagai generasi.

Pekan Tandek sekarang tidak semeriah dulu. Perlu dilakukan sesuatu untuk mengembalikan 'zaman kegemilangannya'.

Tuesday, January 13, 2009

Pertandingan Mencipta LOGO

Kiutnya logo nie... Bikin kasian tingu. Logo paling ringkas.. hehe

Macam banner...

lagi satu.. macam banner juga.. hehe

Adehh.. bilang pertandingan mencipta logo untuk blogger's Kota Marudu. Bila saya perhatikan macam saya buat banner la pula. Macam mana la nie SANGURU? Saudara Jaymon Musit dan Lt. M. Musli sudah submit logo masing-masing. Yang tu baru panggil logo. Tapi yang saya buat ni jadi lain pula. Hehe... Saya ada buat satu tapi ringkas ja... Cuba ja hantar. Mana-mana saja la kan. Kalau disuruh buat, buat la ba kan?. Sudah nama dia pertandingan. Ada pemilihan. Ada logo yang terpilih. Yang penting saya tetap menjadi sebahagian daripada blogger's yang mahu berkomitmen dengan usaha yang diketuai oleh SANGURU. So, blogger's lain amacam?

Untuk pengetahuan kepada blogger yang lain, kita sedang merancang untuk membuat satu laman web khas untuk para blogger bergerak sehala dalam satu wadah maya, berkongsi secara bersama, sama ada melalui sumbangan idea, sebarang bentuk penulisan dan juga kritikan. Antara objektifnya ialah sebagai wahana membangun minda bangsa, bahasa dan kebudayaan termasuk dalam mengetengahkan nasib rakyat khusus di Kota Marudu. Untuk mengetahui lebih lanjut sila ke blog SANGURU (sila klik di atas).

Kepada mereka yang pakar dalam web design, atau ada pihak yang menghulurkan perkhidmatan membangun laman web berbayar, dialu-alukan untuk memberikan sumbangan kepada kumpulan kerja maya yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat. Jika web berbayar, boleh maklumkan dan runding dengan SANGURU. Yang lain akan support. Rukut-rukut kita.

Wahai bangsaku, berikan langkah perajuritmu dan maju la ke depan!

Tuesday, January 06, 2009

Saya Bencikan KEZALIMAN

Bila manusia hilang siuman....
Saya tidak bencikan Yahudi, US, Hamas atau apa pun bangsa dan kaum. Pendirian saya mudah. BENCIKAN KEZALIMAN. Benci kepada sikap kejahatan tidak kira mereka itu siapa. Bencikan PERANG! PENINDASAN, PEMBUNUHAN, PENJAJAHAN atau DISKRIMINASI. KESAL terhadap sikap tidak bertoleransi, balas dendam, provokasi, isi kesumat yang membara membeku, hanya ada niat keras, tanpa diplomasi. Mereka yang tidak boleh duduk diam dengan slogan. Mereka yang bermandikan ideologi bersenjata.
sakiti balas dengan senjata. Yang sakit hati gempur gerila. Kesannya orang awam tersadai. Yang kuat mensasarkan kuasa sesuka hati tanpa mengira waktu dan tempat. Lawan bertentangan, rajin berdentum, tidak memikirkan nasib dan nyawa bangsanya yang telah dibiasakan dengan slogan tapi mereka ingin hidup bermasyarakat. Serang dan meninggalkan ruang terbuka kepada musuh. Musuh membabi tuli, hambur peluru dengan nafsu serakah.

Sudah zaman berzaman syak wasangka. Kenapa tidak berbaik sangka? Sejarah sentiasa ditulis berulang-ulang. Mengapa tidak ada sesiapa yang sedar? Tidak juga mau insaf? Yang kononnya berkuasa besar, tidak guna akal kurniaan besar dari Ilahi. Ikut sedap hati. Siapa cuba menyangkal, mati. Yang disangkal juga ikut mati. Anak-anak bangsa yang terlibat dalam medan sengketa, di mana pihakpun, bertempiaran tanpa nyawa!


HENTIKAN PEPERANGAN!!!
TIDAK AKAN ADA SESIAPAPUN YANG KERAS HATINYA AKAN DAPAT MENYELAMI KATA-KATA INI "JIKA MUSUH MENAMPAR PIPI KANANMU, BERIKAN JUGA PIPI KIRIMU". (Tidak hairan kalau akan ditanyakan kembali "Sanggupkah kamu ditampar musuh sesuka hati?". Jika hanya pengertian ini yang menjadi perhatian di dalam tanya, sampai bila-bila pun hikmanya tidak akan pernah sampai ke destinasi yang tepat di dalam akal.)

Thursday, January 01, 2009

Aku Yang Tertinggal Waktu

Bait bicara
Tidak begitu manis
Di hujung pelangi
Jauh di depan
Adalah waktu
Dan aku termanggu

Cebisan kisah
Tidak begitu indah
Di hujung makna
Jauh di depan
Adalah masa
Dan aku bersendirian

Sekelumit kenangan
Tidak begitu asyik
Di hujung horizon
Jauh di depan
Adalah hari
Dan aku terpinggir

Segenggam emosi
Tidak begitu damai
Di hujung rasa
Jauh di depan
Adalah detik
Dan aku Keseorangan