TINGKALANON - TANDEK - MORION

Wednesday, December 31, 2008

KENANGAN LAMPAU: Tunggu Di Sini!!...

Masa itu umur saya belasan tahun (tahun 1982-83). Mungkin umur waktu itu sekitar 13-15 tahun. Bapa mengejutkan saya dari tidur. Agaknya lebih kurang jam 1o malam. Saya tidak pasti. Kerana tidak ada jam di rumah. Hanya ada kalendar. Ruang tamu memang kosong tanpa apa-apa. Masih bersumberkan pelita dan sekali sekala lampu pom.
Bapa bisik perlahan. Katanya temankan dia jalan-jalan tembak kelawar yang makan buah belunu di tanah bukit. 'Untung-untung boleh dapat beberapa ekor kelawar'. Nada suara bapa antara jelas dan hilang ditenggelami hiruk pikuk cengkerik. Saya tidak membantah walaupun sangat mengantuk. Saya tidak mengerti mengapa perlunya bapa 'makan angin' malam-malam buta begini. Bapa mengambil senapang patah dan menyandangnya ke bahu.
Saya berjalan sambil mata terpejam separuh. Sekali sekala agak tersasar langkah ke semak rimbun lalu rebah atau terlanggar pokok kecil. Mujur la bukan kayu yang besar. Kalau tidak, mungkin bentuk muka bumi dahi saya pasti berbukit-bukau. Hehe... Bapa memaut bahu saya dan meneruskan perjalanan. Ada sekali saya terus 'longlai' dibuai tidur di celah pautan lengan bapa seakan-akan seperti bantal sahaja rasanya. Mujur bapa pantas menyambut. Kalau tidak, saya mungkin jatuh ke dalam sungai. Bapa cepat-cepat sapu wajah saya dengan air bekal. Segar sedikit.
Hutan sangat tebal. Keadaan sangat gelap. Langit cerah berbintang seribu. Rembulan seri wajahnya menyapu dedaun rimba. Mau sahaja pejamkan mata bila ada masa rehat nanti. Setiba kami di sebuah pohon besar lebih kurang 3-4 pemeluk, bapa berhenti dan mengambil tempat di celah-celah banir pokok untuk berehat. Saya duduk sambil memeluk lutut. Terfikir hendak sambung tidur.
"Tunggu di sini sampai saya balik!. Jangan pergi mana-mana." Keras sedikit suara bapa. Bila saya mengangkat muka mahu pandang wajah bapa dengan perasaan ingin bertanya, tiada kelibat, ruang kosong. Pandangan mata saya tembus ke cakerawala. 'Bila pula bapa jalan ni? Mana dia mo pegi?' Hati membisik sedikit rimas dan tidak selesa ditinggalkan berseorangan malam-malam begini.
Hilang mengantuk. Kiri kanan gelap. Malam yang agak sunyi, sekali sekala diganggu desir angin. Terang rembulan yang menembusi jendela belantara menyuluh sekitar. Pandangan saya semakin lama semakin jelas di dalam kegelapan. Saya melihat ke kanan. Ada kain putih yang meliuk-liuk ditiup angin. Saya perhatikan betul-betul. Seakan kelambu. Saya mendekat sedikit. Terkejut. Baru saya perasan, itu kelambu untuk kubur. Bah! Kenapa la pula saya ditinggalkan di tempat begini? Hati saya sedikit memberontak cemas, sambil mengharapkan bapa segera muncul. Ada dua kuburan. Saya menoleh ke kiri. Juga Ada dua kuburan yang berkelambu. Macam tidak puas hati sama bapa pun ada. Adakah patut tempat begini jadi kawasan rehat. Sudah la ditinggalkan saturang ni.
Saya sabarkan hati. Kuburan kiri kanan saya perhatikan silih berganti. 'Kenapa la pula ini yang saya nampak!' Saya membentak dalam hati. Merintik peluh. Telapak tangan sejuk. Lama sangat bapa pergi. Hampir sejam lebih. Silakak! Saya luahkan geram terhadap diri sendiri. Mahu memarahi perasaan yang mula bermanja dengan ketakutan. Mau saja saya balik saturang gara-gara tidak dapat menahan rasa ngeri tengok kelambu yang macam senyum-senyum tengok saya. Silap-silap kalau ada saja hilai ketawa, kaki saya yang bawa lari. Macam tumbuh ekor pula di punggung. Lutut lemas. Saya fikir-fikir, tahan saja la. Yang tidak bagusnya bila angin tiup, tong-tong kecil yang tergantung pada kayu terpacak banyak-banyak di tepi kubur-kubur tersebut macam menghasilkan muzik yang seakan-akan menangis sayu. Rasanya mau terkencing. Sekali-sekala ada bunyi seperti ada sesuatu yang berlarian mengeggar semak rimbun. Lagi la....
2 jam... 3 jam.. Saya mengagak-agak, satuuuraaang saya saaaana di celah-celah banir pokok. Macam ada ja ular bila saya tengok akar banir melingkar tidak tentu arah. Terbayang-bayang ada mulut lembaga ternganga luas atas kepala. Saya tidak berani mendongak. 'Bapaaaaaa....' Saya menjerit dalam hati.
Prakkk!!. Ranting kayu patah. Tidak semena-mena sepasang tangan pantas menepuk bahu. Apa lagi saya melompat berguling. Yang tidak siuknya saya landing saaaaana di kubur. Cepat-cepat saya mau cari kayu buat senjata. Saya pegang kayu. kelam kabut saya tarik, tidak dapat. Mau pukul ja tu sepa yang memandai-mandai kasi takut saya. Manakaaah tercabut kalau itu pokok sebesar lengan. Pokok hidup. Bukan ranting kayu! Berdarah tangan saya. Kulit mengelupas.
"Mari pulang" Itu suara bapa. Legaa juga. Semasa dalam perjalanan balik rumah sempat juga saya fikir 'Ini sajakah? Buat apa saya di hutan?"
"Macam mana? Takut ka?" Bapa bersuara dalam gelap.
"Tidak juga." Aiii... Tidak juga saya bilang. Bukan main saya kecut perut tadi. Bapa tidak pernah bercakap apa sebenarnya tujuan dia membawa saya malam-malam begitu di tengah-tengah kawasan perkuburan. Selepas itu sering juga bapa ajak saya malam-malam kalau bukan pergi menembak, menunggu buah Belunu jatuh.
Saya tidak tahu kalau bapa sebenarnya berniat mo "train' saya supaya hilang rasa takut. Saya ni kecil-kecil dulu mudah takut. Kalau pergi sekolah, dengar deru lori kayu balak dari jauh ja di balik selekoh, berlarian saya batapuk (sembunyi) di dalam semak. Lambat masuk sekolah, comot lagi tu gara-gara balik-balik sembunyi. Selalu la begitu. Kalau ada ibu ayam beranak lapan. Lagi la .. Bila ayam tu mo ready pasang kuda-kuda mo kejar, pantang sya tengok ayam begitu, lari panjat pokok jambu la. Kalau sempat, masuk rumah. Kalau tidak jauh larinya. Ngeri sya kena teradah (terjah) dari belakang. Kalau nasib malang, kena penangan. Merinding ja bulu roma. Trauma 1-2 jam. Malam-malam naik tangga, selalu speed, takut ada tangan keluar dari celah-celah anak tangga mau tangkap kaki. Bengkak tersandung, berdarah sudah jadi kebiasaan... Kalau mama suruh pergi di dapur ambil cerek air, sengaja saya teriak-teriak menghilangkan rasa takut. Saya tidak suka kena suruh saturang-saturang masuk dapur gelap-gelap. Saya tau juga di mana letak tu cerek air tapiii... "MA! MANA TU CIRIK? TEDA NI!!" Mama bilang "Kanapa kaitu menjerit-jerit". Sengaja saya mau mama jawab soalan saya. Suaranya dapat membantu menghilangkan ketakutan saya. Ni la cerita saya budak-budak dulu.
Sejak menjadi orang dewasa ni, ketakutan saya tidak lagi se'ekstrem' dulu.Mungkin kesan 'training' bapa di tanah kuburan menjadikan saya sekarang ni tidak begitu takut lagi dengan gelap malam. Haiyaaa.. teruk juga saya.

Meragam...

Aduii.. Silakak! Hehe. Sepa suruh tidak tengok dulu. Kemarin beli roti High 5 wholemeal Bread. Baru makan hari ini. Saya pun satu juga la kan. Tidak ambil tahu pasal expired date. Tidak sampai 10 minit perut sudah lain macam. Saya cuba-cuba ingat apa punca dia. Mungkin salah makan ka? Atau makan makanan pedas ka?.
Saya tengok expired date dia 31hb Dec 2008. Aik! Hari ni baru mo masuk 31hb. Tak kan la ngam-ngam tarikh luput sudah begini jadinya. Aisey... Memang keracunan perut saya. Napa la kedai tu jual juga roti yang tinggal 1 hari lagi tarikh luput dia. Terpaksa la cari 7 pucuk daun muda jambu batu, bilas dengan air suam dan kunyah sampai lumat. Kelat. Nasib baik di tempat kerja ada orang tanam jambu batu dalam pasu. Jadi tanaman hiasan pula. Macam bonsai. Lepas tu minum air banyak-banyak setiap 1 jam. Mujur la. Akhirnya reda juga. 2 jam saya menahan perut sakit tadi.

Tuesday, December 30, 2008

Jerat Peraih Kad Kredit

Mereka ada di mana-mana. Di tepi jalan, di luar bank, di stesen minyak, di gerai-gerai makan, dalam gedung jualan atau yang berselerak tanpa lokasi tetap. Mereka ini berpakaian sangat kemas. Berketerampilan, petah bercakap dan pandai memujuk. Lelaki atau perempuan, tidak kisah mereka siapa tetapi raut wajah mereka cukup meyakinkan. Penampilan eksekutif la katakan.
Saya tidak pernah memiliki kad kredit. Saya juga tidak pernah memasang niat untuk memilikinya. Kad kredit bukan tidak baik. Cuma jika tidak dikawal penggunaannya akan mendatangkan kesan yang besar. Isu saya di sini ialah bukan kad kredit tersebut tetapi bagaimana manisnya kata-kata para peraih, memujuk anak-anak muda atau yang berkeluarga tentang pakej-pakej jika memiliki kad kredit. Saban waktu, mereka tidak jemu-jemu mengejar orang ke sana-sini dan dengan pantas memberikan penerangan akan kebaikan kad kredit tanpa mengambil tahu sama ada kita sedang sibuk atas urusan harian atau tidak.
Seperti biasa, para peraih ini 'mengganggu' saya sejurus keluar dari pasaraya Giant di Leisure Mall. Bukan sekali dua tetapi sudah berkali-kali sebelum ini.
"Encik ada kad kredit?"
Saya geleng-geleng kepala.
"Encik boleh memohon kad kredit dengan kami. Sangat mudah. Ambil masa beberapa minit sahaja dan terus mendapat kelulusan."
Saya senyum sahaja dan tunjukkan reaksi tidak berminat.
"Ok. Kami beri anda wang. Percuma! Siapa orang yang beri wang suka-suka bukan. Ambil peluang ini."
"Tidak mengapa. Tidak berminat." Kali ini saya bersuara kerana tidak senang dikejar sehingga menghampiri tangga lift.
"Saya tawarkan RM200. Percuma. Macam mana?
"No. Thanks."
"Rm300? Bukan senang dapat wang begini mudah."
"Saya tidak minat kad kredit."
Orang ini mula tidak senang hati melihat saya langsung tidak memberi 'muka'. Saya kemudiannya dikelilingi oleh beberapa peraih wanita selepas itu. Memujuk dengan senyuman manis.
"Ini tawaran terakhir. Rm500? Come on la. Awak tak mau wang?"
"Thank you." saya meninggalkan ruang beli belah tanpa mempedulikan 'rungutan' mereka selepas itu. Sempat saya mendengar mereka berkata "Kasi wang free pun tak mau ka?" dengan nada yang tidak puas hati. Yang saya rasa pelik ialah kenapa mereka terlalu memaksa orang supaya mendapatkan kad kredit?
Tidak hairan la, dengan pujukan yang 'efisien' seperti ini pasti mudah membuatkan kita termakan pujukan. Kalau berkemampuan, boleh la memilikinya. Tujuan kad kredit pun untuk memberikan keselesaan kepada pengguna tanpa perlu membawa wang banyak yang berisiko dari segi keselamatan diri jika dijadikan sasaran oleh orang yang berniat buruk. Apapun, sebelum kita membuat keputusan, fikir-fikirkan dahulu. Kemudian hari akan mendatangkan kesan yang memakan diri kita sendiri jika tiada had kawalan penggunaannya.

Monday, December 29, 2008

Nenek! Mohon Izin. Anak Cucu Tumpang Lalu!....

Mulut masin. Bersifat takbur. Angkuh atau konon-kononnya tidak takut kepada 'makhluk-makhluk alam' yang sangat jarang boleh dijangkau oleh pancaindera. Mempersendakan 'semangat' malam seolah-olah ada pertanyaan yang bersifat 'tinggi diri' 'Siapa mereka itu?'. Akibatnya, disuguhkan dengan pengalaman yang mengajar diri.
Pada suatu senja awal tahun 1990-an, saya bersama seorang lagi sepupu perempuan dari rumah En. Makaun (membuat assignment susur galur keluarga) dalam perjalanan menghantarnya balik ke Tingkalanon berjalan kaki. Setiba di rumahnya, setelah berehat, lebih kurang jam 10 malam saya memohon diri untuk balik ke rumah.
"Saya minta diri dulu. Terima kasih menumpangkan rumah sekejap untuk rehat-rehat."
"Jangan la bah dulu pulang. Tidur saja di sini. Lewat sudah ni. Besok la, awal-awal pagi baru balik rumah."
"Tidak la. Saya mau balik juga malam ini."
"Ada 'saaaana' bambu tu di tepi jalan selepas bukit dekat sungai yang selalu mengacau orang tu jalan malam-malam."
Muka uncle tu biasa-biasa juga. Ada senyuman terukir. Sangkaan saya, mungkin cuma menakut-nakutkan saya sahaja. Terus-terang saya katakan, saya seperti tidak takut apa-apa waktu itu. Kalau setakat berjalan malam atau diganggu oleh sesuatu, saya pandang begitu sahaja, teruskan perjalanan dan buat tidak tau. Mungkin sebab saya tidak pernah 'terlari' atau lari ketakutan membuatkan saya yakin diri boleh lepas begitu sahaja.
"Tidak juga bah tu uncle."
"Tidur la bah sini malam ini. Besok saja balik."
Tidak tahu dari mana datang perasaan tercabar oleh 'amaran' yang diberikan tentang gangguan tersebut.
"Kalau 'dia' datang mengacau macam mana?" Uncle tu menduga hati saya.
"Biar la. Siapa-siapa dulu lari. "Dia' ka atau saya." Yakin saja bunyinya, lahir daripada percakapan yang seolah-olah meremehkan sesuatu.
"Bah. Kalau macam tu, mana-mana la. Hati-hati saja." Muka uncle tu berubah sedikit, menarik nafas dalam-dalam seolah-olah ada reaksi tidak setuju dengan sikap saya. Barangkali tidak menyangka saya boleh berkata-kata sejauh itu (main lepas cakap saja)
Sebentar kemudian saya hilang di dalam kegelapan malam. Tanpa bekal lampu suluh, cuma bertemankan cahaya rembulan penuh menyuluh laluan. Dalam hati saya 'Siapa bah yang suka kacau-kacau malam-malam ni'.
Saya tidak pernah tau ada kisah begitu. Tidak juga saya pernah dengar sebelum ini bahawa ada bentuk gangguan yang datang daripada rumpun bambu tersebut. Seingat saya, semasa dalam perjalanan balik menemani sepupu petang tadi, ada juga 2,3 rumpun bambu di tepi jalan yang sedikitpun tidak menarik perhatian saya.
Saya terus melangkah. Bunyi gemersik air sungai berlaga batu jelas kedengaran, jelas menemani sunyi malam. Selesai menuruni bukit, saya mula memerhatikan sekeliling. Sangat gelap tetapi jelas di bawah bayang bulan. Saya mencari-cari mana satukah rumpun bambu yang dimaksudkan itu. Jarak 3 meter, suasana sekeliling mula berangin sedikit, sangat sejuk dan tiada bunyi cengkerik. Di antara rumpun bambu itu, ada yang mula 'membuka' cahaya kecil tapi sangat jelas. Saya mula fikirkan itu reaksi cendawan lumut (fungi?) yang memberi tindakbalas terhadap cahaya bulan. Selalu juga saya bertemu dengan kulat atau seakan lumut yang boleh mengeluarkan cahaya kebiru-biruan pada waktu malam. Rumpun bambu itu semakin terang menyala tetapi anehnya tidak menyuluh sekitarnya. Sekadar bercahaya. Bukan batang bambu yang bercahaya tapi sesuatu yang menyala di tengah-tengah rumpun.
'Barangkali ini bambu yang dimaksudkan itu. Ah! Teda apa-apa juga. Cuba la kalau dia berani juga kacau..' Hati membisik perlahan, yakin tidak diganggu, seakan angkuh, sedikit geram kerana perasaan seperti telah ditakut-takutkan oleh emosi sendiri. Seperti biasa, saya buat tidak tau. Apabila langkah saya betul-betul selari dengan kedudukan rumpun bambu, langkah saya mula tersekat. Melangkah dan terus melangkah tetapi aneh!... tidak berganjak. Semakin saya melangkah, semakin terasa tapak kaki tidak menyentuh jalan. "Apa sudah jadi. Tuhan, tolong la saya?" hati saya mula tertanya-tanya dan berharap. Saya mulai 'insaf' akan keterlajakan kata-kata saya tadi. Saya cuba memikirkan sesuatu agar saya boleh 'berdamai' dengan makhluk di sebalik rumpun bambu. Saya masih juga cuba melangkah dan saya memerhatikan kaki saya tidak memijak tanah. Seperti ada sesuatu seperti tangan besar, yang mebungkus badan saya, menahan sehingga mendapati diri seakan-akan 'terawang-awang sedikit' akibat usaha melangkah. Meremang bulu roma. Rambut bagai ditarik-tarik, seakan menegak dek penangan keanehan yang timbul di dalam perasaan. Tiada suara, cuma sunyi malam. Saya berhenti. menenangkan diri sambil menoleh ke arah rumpun bambu yang menyala cahaya. Dalam fikiran saya 'saya perlu lakukan sesuatu'.
Saya mengadap ke arah rumpun bambu. Melangkah mendekati. Pandangan saya terarah tetap, mula memasang niat. Hanya mau berdamai. Nekad. Betul-betul berada di depan rumpun bambu, saya mendiamkan diri seketika. Memerhatikan kalau-kalau ada 'sesiapa' yang boleh saya 'berurusan'. Cuma Bambu. Dan dengan suara perlahan saya mulakan salam perdamaian. Terus-terang saya tidak tau apa-apa pun cara. Terpaksa hentam mana yang patut. Kalau tidak, macam tidak boleh lepas. Sesak dalam genggaman kemas yang tidak kelihatan oleh mata kasar.
"Nenek! Mohon izin. Anak cucu tumpang lalu... Minta maaf minta ampun. Sila nenek tolong ajar. Anak cucu 'terkasar' bahasa. Saya cuma mau nenek tahu, saya orang sini juga, anak jati Tingkalanon. . "
Suara saya separuh membisik. Hati saya mula berdebar-debar. Agak lucu bunyinya. Entah sesuai entah tidak kata-kata begitu. Saya masih merasakan sesuatu, seakan tidak mau melepaskan gemggamannya daripada tubuh saya.
"Kalau nenek tidak percaya , saya bagi 'minum' untuk nenek."
Kemudian saya mengigit ibu jari tangan kanan dan menitiskan darah di antara rumpun bambu. Tidak ada yang saya harapkan melainkan saya boleh dilepaskan pergi. Saya sepatutnya memohon campur tangan kepada-Nya. Entah kenapa saya perlu lakukan ini.
"Nenek, izinkan cucu menumpang lalu." Suara perlahan sambil menyentuh rumpun bambu dengan telapak tangan. Beberapa ketika. Saya tidak menunggu lama. Mengundur 4, 5 langkah ke belakang dan berpaling menuju ke jalan. Saya mula melangkah pergi, satu.. dua.. perlahan-lahan beban tadi hilang, dengan sebebas rasa dan penuh lega. Saya baru sedar, sekujur tubuh ini basah bermandi peluh. Saya mengambil kesempatan menoleh ke arah 'nenek' tadi. Sudah tidak bercahaya. Gelap. Sempat tersenyum, mengangguk kecil, sebagai salam 'perpisahan' dan terima kasih. Setiba di rumah, terus sahaja tidur tanpa memikirkan apa-apa lagi. Letih.
Sekalipun kita tidak mungkin percaya kisah-kisah 'mengarut' atau mempersoalkan kewujudan 'mahkluk-mahkluk' ini, nasihat orang tua-tua ialah jangan bersikap takbur dan angkuh. Saya tetap percaya kuasa Allah melebihi daripada segala sesuatu. Namun siapalah kita untuk bermegah diri. Sementara ini kita masih hidup di dunia yang penuh dengan rahsia dan misteri alam yang tidak terungkai, tidak terjamah oleh mata kasar dan kecanggihan sains teknologi, bersikap wajar, rendah hati dan sederhana. Mengawasi kata-kata dan di dalam rasa sementara terus bersujud kepada-Nya memohon perlindungan. Jangan takbur.

Sunday, December 28, 2008

Satu Kisah kecil

Merantau di negeri orang memberikan bermacam kisah. Pahit dan manis. Adakalanya sempat geram, seringkali juga menakutkan. Apa lagi kalau berada di Kuala Lumpur, jantung dan nadi Malaysia. Tempat yang tidak perlu anda tercari-cari hiburan atau segala macam jenis kekasaran cara dan tingkahlaku. Jika tidak sabar, boleh saja terjebak dengan seribu macam 'keriangan' atau hiruk-pikuk 'kejahatan'. Godaan datang sendiri menguji rasa. Pilihlah semau mu. Kuala Lumpur tidak pernah gagal memberikan apa sahaja yang anda ingin fikirkan.
Hanya sebuah kisah kecil. Cheras antara lokasi yang sangat padat dengan penduduk dan terkenal dengan jalannya yang hari-hari jam. Taman Bukit Tiara, satu lokasi tempat saya mencari makan. Tempat saya bekerja sejak tahun 2003 hingggalah sekarang. Banyak cabaran yang saya lalui. Berdepan dengan pekerja yang siang harinya berkeringat di tapak pembinaan, malam harinya sebagai gangster. Sangat sukar untuk mengendalikan mereka. Suka ikut kepala sendiri dan mereka boleh membuatkan anda tidak selamat berada di luar, di mana-mana.
Di antara hari-hari yang berlalu, ada beberapa waktu saya terpaksa berdepan dengan beberapa cabaran. Sejak mula saya menjalankan tugas, saya sudah diberikan kisah yang mencabar. Parang atau samurai pernah terhunus tetapi tidak sampai melibas. Sekumpulan besar pekerja yang merusuh kerana gaji mereka tidak dibayar oleh majikan mereka. Atau berdepan dengan pekerja yang mabuk pil khayal. Senjata api sering dijadikan alasan untuk mengugut anda. Kalau saya fikirkan balik, nyawa seperti di hujung jalan. Itu cabaran ketika saya mula-mula bertugas di sini. Mereka tidak begitu memahami 'style' saya bekerja.
Pada suatu petang yang tenang, saya seperti biasa bersiap-siap untuk pulang. Tepat jam 6.00pm, itu rutin saya balik kerja. Seorang penyelia keselamatan tapak pembinaan datang berjumpa saya.
"Mike, ada masa sekejap. Saya minta tolong. Emergency!."
"Ada apa masalah Encik Yusni?
"Masih ada pekerja di lot 15. Mereka tidak mau stop kerja. Gila orang ini. Suka marah-marah"
"Sudah beritahu mereka yang hanya dibenarkan melakukan kerja-kerja sehingga jam 6?"
"Sudah. Tapi mereka degil dan ugut mau pukul kalau ganggu mereka buat kerja."
Saya perhatikan wajahnya agak stress. Ada tanda-tanda kemarahan di wajahnya. Saya berfikir sejenak apa yang perlu saya lakukan dengan pekerja ini. Mencari cara yang sesuai. Saya sudah jangkakan orang seperti ini memang sangat sukar untuk mendengar nasihat malah boleh mendatangkan masalah besar. Saya tahu mereka ini siapa.
"Ok. Saya cuba bercakap dengan mereka."
Lalu saya menghidupkan enjin motorsikal dan pergi ke site berkenaan. Setiba di sana, terdapat lebih kurang 5-6 pekerja masih meneruskan kerja memasang tile. Sedang berjalan, saya memerhatikan mereka. Berfikir. Menganalisis. Apa cara dan bagaimana untuk 'masuk' ke dalam karekter mereka. Kesemuanya berbangsa cina dan wajah mereka adalah wajah yang keras, serius dan ada kesan parut di dahi, di pipi. Susuk tubuh cukup menceritakan mereka ini fit untuk 'aktiviti' gangster. Riak wajah mereka memang mudah dibaca, mereka ini jenis yang kering hati. Di antara mereka, ada seorang yang berbadan tegap, pejal, berbentuk berketul-ketul dan bertattoo, sibuk membuat arahan sambil duduk memerhatikan kerja-kerja anak buahnya. Saya agak dia adalah ketua di kalangan mereka. Saya berfikir kalau saya dapat handle 'kepala' ini, yang lainnya tidak akan mendatangkan masalah. 'Ainaaa.. Buli ka saya nie?" Perasaan tidak selesa mula menyerang dalam diri. Tenang dan fokus! Seakan-akan ada suara memujuk, membisik di dalam hati.
Saya terus berjalan ke arah 'taiko' bertattoo yang mula tidak senang dengan kehadiran saya. Saya tetap tenangkan diri. Dalam hati, saya masih tidak terjumpa cara untuk berkomunikasi yang sesuai untuk orang seperti ini. Think! Think!... Saya terus memaksa otak saya berfikir beberapa idea tetapi tidak juga datang-datang. Silaka!. Mati akal saya buat waktu ini. Taiko tadi sudah mula bangun dari tempat duduknya. Saya tersenyum dan menganggukkan kepala sedikit tanda respect.
'Taiko, apa macam kerja? sudah ok?"
Ini permulaan yang mencabar saya. Entah kalau kata-kata seperti itu disenanginya. Saya terus memandang tepat ke wajahnya. Terpaksa menggunakan psikologi agar saya tidak 'terlalu kecil' di mata mereka. Yang lainnya berhenti kerja dan memerhatikan saya. Saya buat tidak peduli reaksi mereka. Saya perlu 'handle' ketua kumpulan ini, bisik hatiku.
"Lu sapa?"
"Minta maaf. Saya supervisor Bukit Tiara."
"Apa hat? (Apa hal?)"
"Sini punya prosedur kerja sampai jam 5 petang. Boleh sampai jam 6 kalau ada sikit kerja yang mau siap hari ini juga. Sekarang sudah jam 6 petang. Semua orang sudah balik."
"Lu jangan kacau. Saya kerja, saya punya suka hati la"
"Saya minta maaf, saya terpaksa jalankan tugas saya."
"Lu orang pikir lu sapa?. Saya olang cari makan. Lu jangan tabur pasir dalam periuk nasi saya."
"Bukan begitu taiko. Saya tolong lu, lu tolong saya. Lu kerja jam 8 pagi sampai jam 6 petang. Saya tada kacau lu. Lu tada kacau saya. Sekarang sudah jam 6. Sini orang complaint saya tada buat kerja. Harap taiko boleh tolong saya. Taiko tara susah. hari ni tak bleh siap, esok boleh datang lagi. Hari-hari kerja. Saya, kalau kena buang kerja ini jam, esok sudah tada boleh datang kerja lagi. Kesian la saya tada makan"
Saya perlu 'membodohkan' diri. Perlu kawal suara. Perlu kawal jarak. Sementara itu, ekor mata saya tidak lepas dari mengawasi anak-anak buahnya.
"Lu tau saya siapa? Lu ada nampak wa punya gigi? (Sambil menunjukkan giginya yang rongak di depan. Lucu dalam hati. Gangster rongak!) Semalam lain tempat. Srupa ini macam. Gaduh-gaduh. Dia gangster, saya pun gangster ma! Lu orang mesti ingat!. Lu keluar lu punya tempat, wa tembak lu. Lu mau try, mari tengok!"
Saya kira orang ini memang sanggup bergaduh. Saya tidak menyangka ugutan sejauh ini melibatkan senjata dan nyawa. Saya teringat pesan bapa 'Jangan berlagak. Pandai-pandai ambil hati dan mesti masuk dan kena caranya bercakap. Biarlah orang pandang macam 'buduh-buduh'... Saya menghalusi pesan ini, saya tetapkan perhatian ke wajahnya dengan tenang sambil mengerah otak mencari cara untuk membuatkan dia agar tidak punya upaya untuk meneruskan kemarahannya. Orang marah jika diberikan reaksi yang sama, saya memang tau inilah yang sangat digemari oleh mereka. Dalam hati saya mula berfikir bagaimana untuk mematikan gelora emosi mereka yang mula memuncak.
"Taiko, daripada.... saya jalankan tugas saya. Tidak juga saya suka mau kacau taiko punya kerja. Kalau taiko sudah bilang mau tembak saya, apa boleh buat la. Saya mati awal. Tapi kalau taiko tidak juga tembak saya, saya betul-betul terima kasih sama taiko. Bukan saya tidak mati. Saya mati juga.... tapi ada lambat sikit"
Taiko ini terdiam. Mencari punca agaknya di mana bahagian kata-kata saya yang boleh 'memarakkan' kemarahannya. Lama terdiam. Barangkali gagal untuk meneruskan emosinya. Dalam hati, saya mengharapkan saya berjaya 'mematikan' naluri egonya.
Sebentar kemudian dalam dialek hokkien dia bercakap sesuatu kepada anak buahnya. Saya perhatikan mereka mula mengemaskan barang. Hati saya mula 'tersenyum' lega. Taiko ini rupanya memberikan arahan kepada anak buahnya supaya menghentikan kerja mereka. Dan mereka pun balik.
Esoknya, dengan nada girang lelaki yang bertattoo itu mengangkat tangan sambil tersenyum "Taiko, jangan susah. Jam 6 habis kerja!". Saya membalas dengan salute spring. Hehe... Selepas itu kami jadi kawan. Tengahari kalau saya tidak sempat memenuhi undangan mereka keluar makan, mereka belikan saya bekal untuk makan tengahari. 'Mereka ini sebenarnya baik juga orangnya' bisik hati saya.
Ada sapaan lembut di bahu saya. Rupanya Encik Yusni. "Awak dah buat apa dengan mereka?. Semalam bukan main garang. "
Saya hanya memandang wajahnya, sambil mengangkat bahu perlahan. Sekadar kenyit mata, menepuk bahunya perlahan dan berlalu membiarkan dia dalam keadaan sedikit hairan dan termanggu, meneruskan rutin saya. Senyuman saya pagi itu mengakhiri kisah ini. Perlahan-lahan saya mengimbas kembali, saya teringat akan kata-kata "Lawanlah kekerasan dengan perasaan hormat dan dengan nada yang lembut"

Friday, December 26, 2008

Yang Sesuai Di Hati Anda. Hati Kalian Lebih Mengertinya Bila Cinta Bertemu Cinta..

Dalam satu operasi, salah seorang anggota polis telah menyoal siasat 3 wanita berbangsa Indonesia yang berkerja sebagai pembantu rumah.
Polis: Awak bertiga ni sudah kahwin ke belum?
Amah 1: "Saya sudah kahwin tuan. Sudah ada orang yang cocok"
Amah 2: "Saya sudah bercerai tuan sebab kurang cocok"
Amah 3: "Saya belum kahwin tuan. Belum ada yang cocok"
Hehehe..Senyum. Jangan tak senyum.... Dalam hidup ini selalu berlaku pertemuan yang kadangkala membuatkan kita rasa wanita itu adalah pasangan yang cocok untuk kita. Tidak mungkin pasangan bercinta akan saling menerima antara satu sama lain jika mendapati mereka tidak sesuai atau bukan pasangan yang secocok. Dalam kes lain, ada yang menerima pasangan kerana telah diatur oleh ibu bapa samada di pihak lelaki atau perempuan. Kahwin dahulu, bercinta kemudian. Siapa pilih siapa, ibubapa akan menerima demi kebahagiaan anaknya. Saya percaya tidak mungkin anda akan menerima cinta yang tidak wujud di dalam hati kerana anda perlu menyayanginya seumur hidup. Cinta bukan sekadar seronok di dalam perasaan tetapi satu tanda ingatan tanpa tersiksa. Cinta tidak selalunya cantik tapi cukup untuk membuatkan hati berpaut, mengharap, dan ingin berjalan bersama. Kerana kita perlu percaya cinta itu bukan memaksa tetapi berkongsi rasa.
Selamat melangsungkan perkahwinan kepada para sahabat. Jerry & Ana, Chester & Via, Nimrod & Lena, kepada Daven & Abby yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Juga kepada Kazen Moren dan pasangannya. Tuhan menyertai kalian dan semoga sentiasa dilimpahi rahmat sepanjang hayat. Maaf kepada rakan-rakan yang tidak saya sebut kerana saya tidak tau siapa dan siapa kahwin bulan ni. Ucapan ini juga ditujukan kepada mereka.
Anda tersenyum. Saya tahu kenapa. Hehe... nanti la. Kalau ada jodoh.. Hidup ini sentiasa akan memberikan apa yang terbaik kepada kita sekalipun termasuk hal-hal yang tidak terjangkakan oleh kita. God is good.

Thursday, December 25, 2008

SELAMAT MENYAMBUT...

... Hari Natal dan Tahun Baru 2009.
Sangat singkat waktu. Tidak pernah sempat mematikan kata, tidak juga pernah sedar siapa tersenyum siapa terluka, selalu tidak terjaga, entah itu pagi entah itu malam atau dinihari. Sekejap ini 2008 berlalu begitu sahaja dengan pantas. Hasrat langkah ini tidak pernah selesai. Niat tidak pernah tercapai. Kerja tidak pernah usai. Rahsia waktu tidak pernah terungkai. Beban menyeringai, memberat ke bahu dan ke hujung kaki merantai. Namun lengan ini selalu ada ruang menghantar mimpi bila pejam mata, santai, memilih jalan denai dan air mata yang selalu tidak segan berderai. Ada permata mengintai tetapi berkecai. Ke bebatuan jalanan juga kuhampar seribu masa perjalanan yang kutahu tidak akan pernah damai. Dan aku tahu aku tidak akan mungkin sampai di hujung sana, menyemai....
sukma yang rindu
memberi nyawa kepada bayang
lalu menjadi puisi harapan
jika ada lafaz satu dua
bait puisi yang langsai
itupun memadai...
2009..
ruang gerbangmu
kau sudikan aku sekali lagi
mengecapi masa
tanpa dendam
melewati harimu dengan doa
dekat ke hadirat-Nya

Wednesday, December 24, 2008

7 Amaran Hubungan Kasih Sayang Di Ambang Gelora

Jika anda merasakan sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan, anda sedang berhadapan dengan krisis. Lebih awal kita menyedari dan mengambil jalan penyelesaian, lebih besar peluang untuk menyelamatkan, memulihkan dan memberikan kekuatan kepada perasaan dan hubungan kasih sayang. Krisis kehidupan biasanya berlaku berpunca daripada perasaan yang telah dikhianati atau mendapati ada orang ketiga mencelah dalam kehidupan kasih sayang. Lebih lama kita mengambil sikap tunggu dan lihat, akan lebih membawa kita kepada kehancuran dan semua harapan untuk mengubahnya akan hilang. Ada di kalangan kita yang melihat tidak ada apa yang perlu diubah pun. Kita lebih kepada emosi yang hanya mahu perhubungan ditamatkan begitu sahaja. Di bawah adalah 7 amaran tanda-tanda perhubungan kasih sayang mengalami keretakan;
1. Perselisihan semacam menjadi satu kebiasaan seolah-olah sudah menjadi satu peraturan, dan bukan peraturan nilai itu yang mendasari kehidupan.
2. Mendapati diri anda lebih kerap berada di luar rumah untuk mencari perhatian, keselesaan atau mencari seseorang yang boleh memahami diri anda.
3. Tidak mampu lagi mengingat kenangan-kenangan terbaik dalam perkongsian kasih sayang
4. Masa yang singkat yang diperuntukkan ketika menikmati hubungan mesra.
5. Tidak dapat meluangkan masa sedikitpun bersama si dia tetapi lebih banyak mementingkan kawan daripada pasangan.
6. Mudah memberikan reaksi yang tidak perlu. Seperti contoh merasakan pasangan anda seperti sudah tidak mencintai anda lagi cuma disebabkan dia tidak menyukai hidangan makanan.
7. Merasakan tidak ada apa-apa lagi harapan untuk mengubah keadaan. Seolah-olah mempunyai tanggapan semuanya sudah berakhir tetapi masih tidak pasti kemana hendak pergi atau apa yang perlu dilakukan. Kemarahan, hati terluka, tidak peduli, atau desperate sudah mendominasikan emosi anda.
Jika ada daripada perkara di atas mempunyai ciri-ciri sama di dalam perhubungan anda dengan pasangan, ikatan kasih sayang berada di ambang gelora dan berkemungkinan tidak mengambil masa yang panjang untuk berakhir secara drastik, dan lebih memburukkan apabila ia meningkatkan perseteruan, kemarahan yang tidak terkawal, kecemburuan yang terburu-buru, mendiamkan diri dalam jangka waktu panjang atau berlakunya serangan fizikal atau kata-kata nista.
Tanpa bantuan, perhubungan tidak akan dapat dipulihkan malah mengusutkan keadaan. Mengenalpasti krisis dan mengambil tindakan susulan adalah langkah yang sangat penting penting untuk mengelakkan berlakunya krisis.

Monday, December 22, 2008

Sekadar Luahan Dari Seorang Lelaki Kerdil

Demonstrasi - Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, demostrasi jalanan menjadi kebiasaan dalam menyuarakan bantahan. Ramai pihak yang terlibat, menjurus kepada perasaan tidak puas hati, perlakuan merusuh, ditahan pihak berkuasa dan sebahagian daripada mereka meringkuk dalam penjara. Yang menyedihkan bila kanak-kanak dan muda remaja terlibat sama dengan para pembantah yang mempunyai agenda keras terhadap beberapa isu berkaitan tanpa ada sesiapa yang membimbing emosi hijau mereka. Apa akan berlaku kepada Malaysia 15-20 tahun akan datang? Kanak-kanak kecil sudah 'dibiasakan' dengan bantahan di atas jalan. Orang dewasa merusuh dan bertelingkah dengan pihak berkuasa, kanak-kanan dan orang muda melihat, belajar dan bertindak sama merusuh. Kerekter muda mereka diasuh, mencambah emosi kebencian tanpa sekatan. Mereka ini membesar dan berkeluarga nanti. Jangan hairan kalau Malaysia melahirkan satu generasi besar yang tidak menguntungkan kesejahteraan dan keamanan. Waktu itu, rusuhan sudah bukan lagi menjadi isu malah menjadi rutin yang merosakkan wajah Malaysia yang harmoni. Ada saluran lebih berhemah, lebih menampakan kesepakatan dan kematangan. Bukan didorong emosi semata-mata. Jika anda sayangkan Malaysia, fikir-fikirkanlah.

ISA - Isu yang paling rumit, panas dan tidak ada orang yang menggemarinya. Disifatkan kejam kerana cara penguatkuasaannya. Tidak popular kerana memisahkan ahli keluarga, ditahan dan disumbatkan ke dalam penjara tanpa hak perundangan, selain layanan yang 'menakutkan' di pusat tahanan. Semua ini mengundang perasaan tidak hormat orang ramai terhadap fungsinya. Ahli politik sendiri dalam kerajaan mahupun pembangkang, mengambil bahagian mencuba sedaya upaya menghilangkan ISA dari peta undang-undang. Dalam sekian banyak tanggapan buruk terhadap ISA, Saya masih melihat relevansinya dalam mengekang perbuatan subversif dan tindak-tanduk ekstrem, cuma perlukan suntikan kemanusiaan di dalam perlaksanaannya. Kesedaran terhadap hak asasi perlu mencelah proses dalam mana-mana bentuk penahanan yang diklasifikasikan di bawah peruntukan akta ISA. Namun saya ingatkan juga kepada semua, anda harus bertanggungjawab juga di dalam setiap tindakan anda. Jika anda melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada ancaman keselamatan orang ramai dan negara, mengekangnya adalah langkah terbaik untuk menghindarkan sebarang potensi penularan sikap yang tidak terkawal. Tidak semua yang tidak digemari itu buruk. Siapa yang pernah makan umbut gabang atau pucuk muda kepayas? Rasa pahit tidak akan membawa kita kepada lebih gemar menjadikan itu rutin makanan. Tapi kepahitan dalam rasa itulah yang memberikan reaksi baik kepada kesihatan badan. ISA tidak wajar dimansuhkan.

Institusi Diraja - Isu ini agak sensitif. Ia menyentuh sensitiviti Raja yang diketuai oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia. Sebagai rakyat, izinkan saya menyentuh mengenai kekebalan Diraja yang kini menjadi polemik politik. Ada seruan yang mahu supaya dikembalikan semula hak dan kekebalan Diraja daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Mereka berpendapat pengubalan undang-undang yang menyentuh hak raja telah menyebabkan institusi Diraja tidak lagi bebas dalam menjalankan fungsinya. Saya mungkin telah melangkau sempadan tetapi ini adalah suara saya. Suara yang mahukan diri saya diperintah dan dinaungi oleh Raja yang bebas daripada salahguna kuasa dan perilaku jenayah. Agama Islam melarang umatnya berlaku zalim. Pengubalan undang-undang yang dilakukan sebelum ini tidak pernah menyentuh mengenai hak kedudukan Raja dalam perlembagaan sebagai Ketua Negara atau Raja bagi negeri masing-masing, atau sebagai Ketua Agama Rasmi Islam di Malaysia mahupun di negeri masing-masing. Pengubalan itu juga tidak menyelongkar hak keistimewaan raja kecuali yang menyentuh tingkahlaku. Jika seseorang Raja melakukan perbuatan jenayah, dengan sendirinya akan merosakkan reputasi dan kedudukannya yang dihormati. Lambat laun rakyat boleh bangkit memberontak dan bakal menamatkan sistem feudal yang menunjangi demokrasi negara berparlimen. Atas sebab inilah pengubalan undang-undang adalah perlu berkenaan kod tatalaku yang melibatkan Raja dan kerabat agar terpelihara, dihormati dan disanjung sepanjang masa agar terus dapat memayungi negara tercinta. Dirgahayu Tuanku!!

Ketuanan Melayu- Barangkali minda kita agak pantas memberi reaksi 'tercabar' bilamana satu-satu kaum bercakap mengenai ketuanan bangsanya kerana konotasi yang mendukung pengertian di sebalik perkataan 'tuan'. Kedua-dua perkara ini, iaitu mahu mengangkat konsep ketuanan dan reaksi tentangan terhadap konteksnya pula tentunya lahir melalui ekspresi yang bersifat didewasakan oleh sejarah bangsa, yang asasnya dibina melalui perjuangan tidak mahu diperhambakan melalui penjajahan. Secara sifat harafiahnya, tidak ada yang mau dipertuankan oleh sesiapa melainkan maju ke depan bersama. Namun, ia menjadi perdebatan sehingga mengguris perasaan dan kesepakatan kaum yang pelbagai. Ada yang menyifatkannya sebagai angkuh, menidakkan peranan kaum lain dalam sejarah kemerdekaan Malaysia. Namun, secara peribadi, saya melihat konsep ketuanan ini dari persepsi sihat. Ketuanan yang tidak bermaksud mempertuankan bangsa lain. Ketuanan yang mahu mengangkat bangsa sendiri menjadi tuan kepada semua aspek disiplin ilmu dan kemajuan teknologi sebagaimana bangsa lain menguasainya dan menjadi maju. Mungkin boleh digantikan dengan satu kenyataan yang lebih mendatangkan keselesaan kepada kaum lain iaitu KEPIMPINAN MELAYU. Yang memimpin di bumi sendiri, berkongsi matlamat dan muafakat bersama kaum lain demi Malaysia.
Isu Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik - Saya sebenarnya agak kritikal dengan isu ini pada waktu ia mula-mula diperkenalkan dahulu atas sebab yang besar iaitu mempertahankan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk mencapai ilmu. Saya berpendapat jika medium pengajarannya dalam modul Bahasa Inggeris, hasil ilmu tetap sama. Tidak mungkin akan berlakunya formula penyelesaian yang ajaib yang dapat membezakan logik 1+1=2 apabila matapelajaran Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris atau tidak ada kesilapan yang akan berlaku dalam dapatan ilmu melalui konteks formula yang sama di atas bila diajar di dalam Bahasa Malaysia. Cuma potensi jangka panjangnya ialah alternatif tambahan kepada subjek Inggeris dalam meningkatkan penguasaan bahasanya yang disifatkan sebagai bahasa global. Mungkin juga fokus utama kerana ada istilah dalam Matematik khususnya dalam matapelajaran Sains yang tidak terdapat dalam Bahasa Melayu kerana kekurangan pakar bahasa yang boleh mengaliterasikan wacana ilmu sekaligus menyukarkan pembelajaran bersifat lebih ilmiah. Sejak akhir-akhir ini ada suara-suara yang mahukan supaya sistem pengajaran Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik ditiadakan. Pada hemat saya, biarpun sistem ini memberikan masalah di peringkat sekolah rendah terutamanya yang melibatkan sekolah luar bandar, namun para ibu bapa dan warga pendidik memberikan reaksi yang baik. Namun, Jika sekiranya hendak dilakukan sebarang perubahan, penangguhan atau pemansuhan, haruslah mengambil kira pandangan ramai kerana sistem ini sudah diaplikasikan sejak sekian lama malah sudah menampakkan kesannya. Jauh di sudut hati, jika bukan kerana pengenalan sistem pengajaran begini dilaksanakan, saya tetap memikirkan bahawa martabat Bahasa Malaysia harus dipertahankan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Friday, December 19, 2008

Politik Durian Runtuh

Saya pasti akan tersenyum dan menggeleng-geleng kepala setiap kali menjelang hari besar proses demokrasi yang bakal menentukan untung nasib parti-parti politik terutamanya melibatkan parti memerintah. Bila tiba sahaja pilihanraya, parti yang memerintah bagai cacing kepanasan memikirkan cabaran pihak lawan dan penolakan pengundi. Agak menjengkelkan malah melucukan pun ada melihat 'ketidakkeruan' orang-orang politik yang kelihatan tergesa-gesa, gemar dengan taktik mengumumkan peruntukan besar-besaran saat-saat akhir.

Penangan pilihanraya kecil juga tidak mampu lari daripada politik durian runtuh. Terutama sekali di kawasan yang berpotensi memberikan kemenangan kepada pihak lawan. Biarlah saya katakan pengumuman peruntukan besar-besaran yang berlimpahan sekadar mengundang 'sakit hati dan geram'. Bayaran untuk Terengganu tambahan RM500j kepada jumlah sebelum ini, 10m untuk hasil jualan minyak Terengganu 'dihadiahkan' sejurus pengistiharan pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu. Di bumi Borneo, sehingga sekarang saya tidak mendengar sebarang perkembangan sejak pengumuman suntikan berbilion ringgit untuk Sabah dan Sarawak sebelum pilihanraya ke-12 baru ini. Itu belum termasuk minyak kalau kita bercakap mengenai minyak Sabah. Mungkin Kerajaan Persekutuan melihat Sabah merupakan 'kubu' kuat BN maka tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Jika sebelum ini BN gemuruh gara-gara 'Gempur September' oleh PR, pantas sahaja menghulur manisan, akhirnya kembali membisu, lega ikatan tali masih belum terlepas dari muncung hidung Sabah. Kasihan orang kita. Berpanjangan la kegeraman kita melihat minyak terus disedut ke seberang tanpa layanan yang boleh membuatkan rakyat Sabah merasakan diri mereka dihargai. Pemimpin kita pula sekadar melihat tempat lain dimajukan oleh kekayaan bumi kita sendiri.

Kenapa setiap kali menjelang pilihanraya ada sahaja pengumuman peruntukan yang manis dan sedap belaka untuk telinga mendengar? Rasanya, jawaban kepada persoalan ini tidak sukar mengundang senyuman sinis.

Imbas kembali kawasan N.5 Tandek sendiri. 3-4 penggal janji pilihanraya penaiktarafan jalan utama yang menghubungkan Tandek-Tingkalanon-Mosolog-Damai berkali-kali dicanangkan. Penggal ke-5 baru kelihatan jarak sejauh 2 batu jalan berturap. Kerja pula dilakukan sekerat-sekerat. Orang kampung pun boleh bercerita "Biasalah. Taktik orang politik bah supaya orang kampung terpaksa bergantung kepada parti ini kalau mau pembangunan diteruskan".

Sangat dalam perkataan orang kampung ini. Jika saya orang politik saya akan malu. Ada bezanya PEMBANGUNAN 'DITERUSKAN' dan PEMBANGUNAN BERTERUSAN. Itupun kalau boleh kita dikatakan pembangunan 'diteruskan' itu sebagai satu pembangunan. Jalan grabble depan mata sudah berpuluh tahun lamanya. Kalau ada yang perlu dilakukan cuma perlukan kerja baikpulih. Masalahnya, pemimpin kita putar belit, mengatakan penurapan jalan itu pembangunan. Pembangunan tidak boleh disamakan dengan kerja-kerja naiktaraf insfruktur!!

Wednesday, December 17, 2008

20 Perkara Sesuatu Mengenai Lelaki Dan Wanita.

1. Lelaki suka untuk menjadi orang yang pertama untuk membaca suratkhabar setiap pagi.
2. Cara lelaki melihat dirinya di cermin akan memberitahukan kepada anda adakah lelaki boleh mengambil peduli tentang orang lain.
3. Lelaki tidak suka untuk mendengar "Kita perlu berbincang mengenai hubungan kita".
4. Wanita lebih mementingkan cara berpakaian daripada lelaki. Dalam majlis belum pernah ada lelaki yang risau dan berkata "Oh tidak! Mereka yang lain memakai taxedo. Saya mau keluar dari sini!!"
5. Kebanyakan lelaki tidak suka berjalan jauh dalam ruangan membeli belah. Sebab itu kebanyakan ruangan pakaian untuk lelaki ditempatkan di tingkat pertama atau di tingkat bawah berdekatan dengan pintu masuk gedung.
6. Kalau lelaki menyediakan makan malam, dan campuran bahan masakan melebihi daripada tiga jenis, itu maknanya lelaki bersikap serius dan fokus terhadap pasangan.
7. Jika wanita ber'dating dengan lelaki, dia akan rasa pasangannya sesuai untuk dirinya jika lelaki itu lebih tua daripadanya, mempunyai pekerjaan atau mengambil waktu berjumpa dengan psikatri.
8. Tidak ada wanita yang yakin akan kecantikan diri selamanya. Sebab itu wanita sering berfikir 'Alangkah baiknya saya kelihatan seperti dulu'.
9. Kalau lebih daripada 3-4 lelaki bertemu, mereka akan bercakap mengenai kelab bolasepak kegemaran atau bisnes yang memberikan pendapatan sampingan.
10. Kalau wanita berkumpul lebih daripada 3-4 orang, mereka akan bercakap mengenai lelaki dan penampilan diri sesama mereka.
11. Kebanyakan wanita suka melihat sesuatu dalam diri "Adakah saya sedang jatuh cinta?" atau "Adakah saya seorang yang emosional dan kreatif?". Tetapi lelaki lebih cenderung melihat di luar daripada dirinya "Adakah team bolasepak saya menang?" atau "Harap kereta saya tidak ada apa-apa yang berlaku"..
12. Kalau lelaki katakan "Nanti la. Saya akan telefon awak kemudian!" dan dia tidak melakukannya juga, bermakna dia bukan lupa, bukan juga kehilangan nombor telefon anda dan sudah tentunya dia bukan mati. Cuma dia tidak mahu menelelefon anda.
13. Lelaki lebih menghargai pujian daripada wanita. Contohnya, Wanita: "Awak kelihatan hebat dengan pakaian ini!" Lelaki: "Terima kasih". Sebaliknya sebaliknya jika lelaki memuji "Awak sangat menawan berpakaian begini" Wanita: "Iya ka? Tapi baju ini tidak ada renda di lengan la".
14. Lelaki mempunyai keyakinan lebih daripada perempuan kerana mereka membesar dengan kecenderungan mengenal superhero. Perempuan pula membesar dengan patung barbie.
15. Lelaki mudah lupa banyak perkara. Wanita pula boleh mengingati segala-galanya. Sebab itu lelaki suka melihat ulang tayang perlawanan sukan terutama sekali yang melibatkan pasukan kegemaran.
16. Usah memberikan tunjuk ajar kepada lelaki bagaimana untuk berada di khalayak ramai, lelaki boleh terima 'nasihat' secara personal, tetapi di khalayak lelaki lebih suka mengendalikan dirinya sendiri.
17. Perempuan yang berkahwin dengan lelaki yang sudah bercerai mempunyai sikap lebih bertanggungjawab. Jika wanita begini lebih ramai dalam dunia, ini menguntungkan persekitaran dan industri kitar semula.
18. Lelaki lebih yakin akan diri sendiri. Ini boleh diperhatikan apabila lelaki menonton perlawanan bolasepak, dia boleh memikirkan jika dia fokus kepada perlawanan, kelab yang disokongnya boleh menang. Jika kelab berkenaan berkemungkinan akan mengalami kekalahan, dengan tidak semena-mena boleh menjadi 'coach' memberikan komen, mengkritik dan memberi arahan kepada pemain sekalipun hanya menonton TV. Haha..
19. Kadangkala lelaki sensitif dengan cara yang pelik. Jika dia menyalakan api untuk membakar surat-surat peribadi yang lampau, surat terakhir yang tidak habis terbakar akan dijadikan simpanan peribadi.
20. Wanita harus berhati-hati dengan lelaki yang kaya dan botak. Sikap angkuh disebabkan oleh kekayaan yang dimilikinya akan sama sekali menjejaskan imej baik berkepala botak.

Antara Beberapa Perkara Yang Boleh Mengusik Emosi Dan Rasa

1. Diperhatikan oleh renungan sinar mata bayi yang tepat ke wajah dalam beberapa waktu yang lama, seolah-olah sedang mencari sesuatu dalam diri anda dengan riak muka yang tenang.
2. Seorang perempuan lanjut usia yang sabar menunggu, melunjurkan kakinya, dengan sifat tenang ditemani kerut wajahnya yang seperti tiada kebimbangan, meneliti kalau-kalau ada pelanggan yang hendak membeli jualannya di tengah-tengah orang ramai yang lalu lalang.
3. Balik kampung dan melalui jalan kecil berbatuan menghala masuk ke halaman rumah
4. Berada di kaki gunung berkabus
5. Menikmati pasir pantai yang memanjang nun jauh, bersih dan dijaga rapi
6. Dataran luas tepi laut yang dipenuhi oleh kumpulan-kumpulan keluarga yang menghabiskan masa bersama anak-anak beriadah
7. Ruang rumah yang dipenuhi dengan gelak tawa seisi keluarga atau beberapa kenangan lama yang mengisi ruang tamu
8. Bergaduh dengan adik-adik kemudiannya menyedari telah menyakitkan fizikal mereka
9. Dikejutkan oleh kata-kata ibubapa yang memohon maaf kalau ada sebarang tindakan atau bicara mereka menyinggung perasaan saya.
10. Para pesawah yang sedang berjalan berkaki ayam balik dari bendang ketika senja hampir melabuh tirai, menggalas bekal kosong atau beban. Senja merah menikam cahayanya ke dahi berkeringat atau bermandikan sisa lumpur yang sedikit mengering masih terpalit di tubuh.
11. Alam yang baru selesai hujan dan bermandikan cahaya mentari, lebih khyusuk dinikmati pada waktu tengahari yang tiba-tiba membelah ruang maya memberi laluan kepada sang mentari.
12. Sawah padi yang terdampar luas menghijau diusik bayu lembut
13. Tugu peringatan pejuang lampau atau penemuan artifak
14. Peninggalan kota-kota lama yang tersergam atau yang ‘dikeluarkan’ daripada timbusan tanah
15. Sungai lebar di kaki bukit merentangi dataran rumput hijau yang menghampar luas menyelimuti anak-anak bukit dihiasi pokok-pokok rendang berdaun lebat, satu-satu terasing membahagi ruang fatamorgana pada satu petang yang dihiasi cuaca cerah dan langit yang lapang membiru.
16. Ruang galeri yang sangat luas dipenuhi dengan lukisan warna-warni kehidupan
17. Medan lapang yang pernah tertulis dalam sejarah berlakunya peperangan besar dan tinggalan kemusnahan ketamadunan bangsa
18. Ruang dewan bangsawan yang sangat luas dengan landskap yang klasik
19. Andai berlaku perselisihan faham dan tanpa sempat berbuat apa-apa, orang berkenaan terlebih dahulu menghulur salam dan berkata “Lupakanlah apa yang telah berlaku. Saya minta maaf” atau saya berpeluang untuk berjabat tangan dan diperkenankan permohonan maaf dengan senyuman yang ikhlas.
20. Berada di puncak bukit yang boleh memerhatikan seluas pandangan kawasan lembah
21. Menikmati nilai di antara lipatan cerita tempat bersejarah yang mengkisahkan jejak-jejak para Nabi.
22. Pada suatu saat di mana seluruh perasaan berpaksi kepada satu rasa ketika memandang dengan penuh pengharapan ke langit biru dan hati bertanya hiba, diselubungi kerinduan “Tuhan, adakah Engkau melihat aku sekarang?”

MB Kedah: Akan Tukar Perdana V6 Jika Ada Kemampuan Kewangan

Saya teringat satu artikel yang menyiarkan tentang beberapa keping potrait yang terpampang di ruang ekslusif Pejabat MAS yang berharga RM3 juta. Menurut jurucakap MAS waktu itu, pembelian potrait berkenaan yang menelan kos berjuta ringgit bertujuan untuk memberikan imej koporat, sesuai dengan kedudukan Syarikat MAS yangbertaraf antarabangsa. Saya percaya ini boleh dikaitkan dengan kedudukan kewangan MAS yang stabil sebelum mengalami prestasi merudum yang memaksa tindakan pengurangan pekerja dilakukan dan memindahkan operasi ke pejabat yang lebih kecil. Pembelian potrait berkenaan dilihat sebagai satu langkah membazir, mungkin terleka dengan jumlah aset tunai yang memenuhi kantung MAS pada waktu itu.
Kali ini, saya agak terpanggil untuk menulis mengenai hasrat beberapa kerajaan negeri yang mahu menukar Perdana V6, produk keluaran kebanggaan negara dan juga kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada kenderaan lain yang lebih branded. Terbaru, kenyataan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu menuruti jejak sama atas alasan 'kalau berkemampuan dari segi kewangan'. Persoalannya ialah apakah bentuk kriteria pengurusan yang boleh dilihat lebih disifatkan mesra rakyat jika kerajaan negeri selesa dengan kestabilan kewangan?
Jika ketika ini Kerajaan Negeri Kedah agak 'terumbang ambing' melihat akaun kewangannya tapi masih boleh mempunyai cita-cita sedemikian rupa, apatah lagi kalau memiliki aset tunai yang banyak! Mungkin Kerajaan Negeri Kedah mempunyai sebab tersendiri terutamanya yang melibatkan kos penyelenggaraan kenderaan tetapi bercita-cita 'besar' sementara dana negeri sekadar cukup-cukup untuk melaksanakan cuma beberapa bahagian daripada projek kemajuan, pada hemat saya seakan melihat ada potensi yang 'rakus' dari segi pengurusan kewangannya. Tukar kenderaan rasmi. Mengubahsuai pejabat menjadi lebih ekslusif. Menambah ruang kediaman rasmi menteri agar lebih selesa. Menteri-menteri boleh membuat perhitungan tuntutan perjalanan tahunan kepada jumlah lebih tinggi dan sudah tentunya dana kewangan negeri mampu membayarnya.
Ketika ekonomi mencengkam negara dan rakyat mengeluh memerlukan perhatian, bagaimanakah idea begini boleh mendapat keutamaan? Wakil rakyat yang dipilih melalui undi berfungsi untuk berkhidmat kepada rakyat atau untuk keselesaan diri sendiri? Mana satukah arah perjuangan politik yang lebih utama?
Berbanggalah kerana Malaysia berpeluang memiliki industri automobilnya tersendiri dan menghasilkan beberapa siri produk kenderaan kebanggaan negara. Di rumah sendiri anda sudah lama menghiaskan halaman dengan jenama BMW atau Mercedes. Tidak mengapa kalau kalau di halaman desa, anda selesa dengan kereta import. Berikan tempat kepada sikap patriotik mencelah imej kerajaan negeri. Tuan-tuan dan puan-puan, ini baru cuma melibatkan kenderaan rasmi kerajaan negeri. Bawalah imej Malaysia. Saranan kepada Syarikat permotoran, perbaiki mutu perkhidmatan anda kerana anda juga bertanggungjawab memberi nama baik kepada kenderaan kebanggaan negara.

Thursday, December 11, 2008

Waktu Demi Waktu Berlalu Menggenapkan 7 Hari Pemergian Ayah. Doa Dan Ingatan Jauh Ke Sanubari Menjadi Aspirasi Kehidupan Tatkala....

.... gelora menyebarkan serpihan pilu ke pelusuk rasa. Ayah, kenangan di antara ruang rumah dan di halaman desa akan terus hidup bersama pesan dan belai kasih di hujung jemarimu. Engkau selamanya di sisi kami.
"Tuhan, Raja Semesta Alam. Engkau yang kami sembah. Kami datang ke hadapan-Mu. Engkau mengerti keluh kesah kami. Engkau juga mengerti suara hati yang tidak dapat ditemukan oleh kata-kata. Engkau juga Maha Melihat, ayah telah memandangmu begitu tinggi saat sebelum tiba waktunya. Maha Besar Allah... Engkau Maha Adil untuk kami bertanya kerana Engkau telah terlebih dahulu kasih dan mengasihani seluruh umat ciptaan-Mu. Kepada-Mu lah kami menyerahkan seluruh kehidupan tanpa keraguan. Kiranya belas kasihan-Mu tercurah ke atas roh ayah dan menempatkan dia di tempat yang telah diperkenankan oleh-Mu. Amen"
Kepada sanak saudara dan sahabat handai, terima kasih tidak terhingga atas segala sokongan doa dan tanda ingatan.

Monday, December 08, 2008

Sawatan Pangayas Dalam Kenangan

1hb Feb 1939 - 2hb Dec 2008: Jam 6:20pm, Selasa

Always In My Mind

Bersama Selamanya

Sehari Selepas Kepergian Ayah Tersayang.... Kenangan Bersama Mu Tetap Hidup Selamanya Di Ruang ini


Perjuangan Harus Diteruskan

"SESAT DALAM HIDUP IBARAT MENGAYUH PERAHU, KE HULU MENUNGKAH SURUT, KE HILIR MENUNGKAH PASANG". Ayah... Pesan ini akan sentiasa menjadi pelita dalam hidup. Engkau... ayah yang tidak pernah putus kata mendorong, yang tidak pernah gagal mengasihani anak-anak, yang sentiasa terbaik di sisi ibu.

Ayah,

Waktu kami mencari makna hidup
Engkau adalah lelaki

Waktu gundah rasa
Engkau adalah taman berseri

Waktu tersesat jalan
Engkau adalah sumber

Waktu sukar bagi anak-anak
Engkau adalah teman

Waktu tumpah air mata ibu
Engkau adalah suami

Waktu mencari teduh
Engkau adalah bapa

Doa ibu membawa ke Syurga
Doa ayah jalan ke Syurga

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang telah diperkenankan oleh-Nya. Amen...

Nota: Terima kasih kepada semua yang telah berkesempatan datang menziarahi ke rumah. Juga kepada yang tidak sempat meluangkan waktu, doa kalian lebih daripada apa yang kami perlukan. Sesungguhnya nasihat, dorongan dan ingatan saudara dan saudari yang sangat kami hormati hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Mohon maaf sekiranya kami terlepas melayani, atau tidak sempat bertegur-sapa dengan kalian. Jauh di lubuk hati, hanya perkataan memohon MAAF ini sajalah yang mampu kami suarakan. Yang baik itu datang dari Yang Maha Kuasa. Yang buruk itu datang daripada kelemahan kami. Kepada YB Puan Anita Baranting, Adun N5 Tandek, dan Datuk Dr. Maximus J. Ongkili MP Kota Marudu melalui wakilnya, terima kasih kerana sudi meluangkan kesibukan waktu berkongsi suka-duka serta memberikan sokongan nasihat dan dorongan. Terima kasih tidak terhingga.Juga kepada rakan-rakan blogger dan rangkaian FS, terima kasih atas ucapan dan tanda ingatan kalian.
Catatan khas untuk SANGURU: Terima kasih atas kesudian sanguru memberi ruang dalam blog menulis mengenai bapa. Ia sangat menyentuh hati kami. SANGURU juga orangnya hebat dan sudah tentu dilahirkan melalui keluarga yang hebat dan daripada keturunan yang hebat. Saya bersyukur lahir di antara keluarga besar SANGURU. Seperti kata SANGURU 'sesungguhnya, aku jua mencintainya, demikianlah juga adanya di dalam rasa kami'... Terima kasih SANGURU!